Monday, July 29, 2013

Nasib 33 Aktivis di Mahkamah Jalan Duta dan 1 Aktivis di Mahkamah Klang Hari Ini

Kenyataan Umum
29 Julai 2013

Nasib 33 Aktivis di Mahkamah Jalan Duta dan 1 Aktivis di Mahkamah Klang Hari Ini

Hari ini merupakan hari yang cukup penting dan getir khususnya buat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kerana bermulanya pendakwaan terhadap 33 aktivis di Mahkamah Jalan Duta dan seorang aktivis di Mahkamah Klang. 

SAMM sebelum ini dengan kenyataan tegas mengambil tanggungjawab penuh terhadap peristiwa yang berlaku di depan Parlimen pada tanggal 24 Jun 2013, di mana sekumpulan anak muda menyatakan protes terhadap penipuan pilihanraya di hari pertama Parlimen bersidang untuk penggal ke-13 ini. SAMM akan memastikan kesemua aktivis yang didakwa mendapat pembelaan dan dibebaskan.

Selain 33 aktivis yang akan ditentukan nasibnya di Mahkamah Jalan Duta, seorang lagi aktivis iaitu Azhar Achil selaku Penyelaras SAMM Selangor turut menghadapi pertuduhan di Mahkamah Klang di ketika yang sama. Pendakwaan beliau adalah kerana menganjurkan sebuah perhimpunan rakyat di Sabak Bernam dalam salah satu aksi Jelajah SAMM #Blackout #SuaraRakyat505. 

Masuk 10 terakhir Ramadhan ini, SAMM memanjatkan doa agar semua aktivis rakyat ini diselamatkan dari regim yang menggunakan segala kekuatan bagi menghakis kebangkitan rakyat, setelah menafikan demokrasi demi mengekal kuasa. Janji SAMM tetap dikota, walau apa pun terjadi kami tidak sesekali akan undur dan akan terus lawan segala penindasan terhadap rakyat biarpun nasib dan masa depan kami dipertaruhkan.

SAMM juga seru semua aktivis, NGO dan individu, supaya hadir bersama menyatakan solidariti terhadap aktivis rakyat di Mahkamah Jalan Duta dan Mahkamah Seksyen Klang hari ini dengan mengenakan pakaian hitam. Pengamal media juga dijemput untuk membuat liputan terhadap kedua-dua lokasi pertuduhan.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment