Friday, January 4, 2013

Kematian Azrul: Sebuah Noktah Déjà vu [Wajib Baca!!]


4 Januari 2013
Kematian Azrul: Sebuah Noktah Déjà vu

Peristiwa kematian seorang remaja Mohd Azrul Zulkifli yang maut selepas motosikal yang dipandunya didakwa ditendang seorang anggota polis merupakan satu lagi detik hitam yang mencerminkan keganasan penguasa di dalam negara ini. Pihak polis tidak akan mengaku bersalah di atas motto ‘polis sentiasa betul’ yang diamalkan sejak sekian lama. Apa lagi yang boleh diharapkan, Mohd Azrul Zulkifli telah pun meninggal dunia dan polis yang bertanggungjawab akan akhirnya dilepaskan dari kandang pesalah. Ini hakikat dari pengalaman rakyat.


Kejadian yang berlaku ini adalah episod sekual dari insiden malang yang menimpa arwah Aminulrasyid suatu ketika tidak lama dulu. Hanya yang berbeza ialah tiada sebarang tembakkan dilepaskan oleh pihak polis berbanding 21 das tembakkan yang dilepaskan ke arah kereta yang dipandu Aminulrasyid, namun fundementalnya – kasualiti nyawa tetap berlaku. Ia melambangkan kegagalan demi kegagalan pihak polis dalam menjaga keselamatan awam, dan ia menjadi lebih gagal apabila pihak polis langsung tidak mengakui kesilapan apatah lagi untuk pihak polis secara rasminya mengungkapkan permaafan.
Dari sudut moraliti pula, kejahatan pihak polis lebih terserlah apabila berlaku cubaan untuk ‘melepaskan diri’ dengan menuduh si mati sebagai penjenayah sedangkan siasatan belum lagi dijalankan. Sudahlah mangsa mati dibunuh, dituduh pula penjenayah pra-perbicaraan. Kebiadapan tahap apa lagi yang boleh ditakrif untuk diterima akal? Apakah polis sendiri tidak faham polisi perundangan?
Mengimbau kembali peristiwa yang berlaku di Shah Alam tidak lama dulu, sebilah parang secara tiba-tiba ditemui dalam kenderaan yang dinaiki oleh arwah Aminulrasyid dan sahabatnya sedangkan parang tersebut sengaja diada-adakan atau dalam erti kata lain – suatu fabrikasi. Juga dilaporkan kononnya kenderaan yang dipandu arwah Aminulrasyid dipandu secara ‘gostan’ setelah terbabas maka tembakkan dilepaskan oleh anggota polis, tetapi kiraan logik tidak mampu disangkal – bagaimana kenderaan itu mahu di‘gostan’ jika ketika itu pemandunya hanya tinggal jasad tidak lagi bernyawa?
Dalam masa yang sama, media perdana juga turut bersekongkol menjual persepsi kepada umum apabila saban minggu berita kenakalan remaja yang ekstrem dilagukan dalam berita pada ‘musim’ insiden Aminulrasyid. Pelik tetapi tidak benar, minggu yang sama banyak berita kejadian pecah gudang, pecah rumah dan rompakkan cybercafe dikenalpasti dilakukan oleh remaja bawah umur. Semuanya disusun rapi demi menafikan kebenaran.
Setelah perbicaraan Aminulrasyid berlangsung, anggota polis yang melepaskan 21 das tembakkan itu didapati bersalah dalam menjalankan tugas dan telah dijatuhi hukuman hanya 5 tahun penjara oleh mahkamah seksyen Shah Alam. Walaupun dirasakan tidak setimpal mengambil kira dari kehilangan sebuah nyawa namun cukuplah untuk memberi pedoman kepada anggota polis yang lain agar lebih berhati-hati, tidak lalai dalam menjalankan tanggungjawab melindungi orang awam.
Namun demikian, panas yang diharap sampai ke petang, hujan pula di tengahari. Setelah melalui pelbagai proses perundangan termasuklah rayuan di peringkat mahkamah tinggi akhirnya Hakim Abdul Rahman Sebli membatalkan hukuman lima tahun penjara terhadap anggota polis tersebut lantas memintas keputusan Mahkamah Seksyen Shah Alam September lalu. Maka analisis mudah di sini ialah – Pihak polis telah menjalankan tugas dengan baik melindungi orang awam dengan tembakkan 21 das dan Aminulrasyid tetap bersalah walaupun dibunuh hanya kerana tidak mempunyai lesen memandu ketika memandu.
Apakah dengan keputusan mahkamah tinggi ini memberi kebenaran untuk lebih ramai pihak polis mengundang kecelakaan ke atas orang awam? Apakah telah hadir kurnia ‘a licence to kill’ atau ‘fire at will’ ?
Selepas keputusan mahkamah tinggi membebaskan anggota polis yang membunuh Aminulrasyid, ia menjadi sebuah menifestasi kepada anggota polis lain untuk bertindak sesuka hati seperti menendang penunggang motorsikal yang sedang meluncur laju hingga menyebabkan kematian. Ia umpama memberi ‘lesen’ kepada anggota polis untuk membunuh dengan jaminan kelak akan dilepaskan tanpa bersalah.
Inilah yang berlaku terhadap arwah Mohd Azrul Zulkifli, seorang lagi anak bangsa yang mati ditangan pihak berkuasa. Seperti juga arwah Aminulrasyid yang tidak mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya, apalah yang boleh diharapkan lagi? Apakah keluarga Mohd Azrul akan bertempur turun-naik mahkamah dan akhirnya Mohd Azrul juga akan senasib Aminulrasyid tidak mendapat pembelaan dan keadilan? Sedarlah, apa yang berlaku terhadap arwah Mohd Azrul sangat malang apabila ia membabitkan institusi polis dan ingatlah juga bahawa mana-mana rakyat juga tidak terlepas dari kemungkinan berhadapan dengan situasi genting sebegini.
Setakuk demi setakuk, rakyat mula faham erti kata sebenar menuntut keadilan dalam sebuah negara polis. Sesudah mendiang Kugan yang mati di lokap, seterusnya mendiang Teoh Beng Hock dan arwah Sarbini yang mati dalam custody SPRM, seterusnya arwah Baharuddin Ahmad yang terkorban dalam Bersih 2.0, seterusnya arwah Aminulrasyid yang ditembak mati bagaikan pengganas, dan pasti bukan yang terakhir ialah arwah Mohd Azrul Zulkifli yang mati di kaki polis. Takuk-takuk ini adalah takuk kesedaran betapa tidak relevan lagi untuk terus membazir dan membuang masa untuk mengiringi bait-bait perbicaraan.
Justeru itu, adalah disarankan agar keluarga Mohd Azrul tidak membuang masa, tidak membazir uwang dan kuderat untuk menuntut keadilan di pentas milik ‘mereka’. Janganlah lagi diharapkan keadilan itu hadir bergolek-golek ke depan mata. Masanya kini bukan lagi untuk menanti kekecewaan, kita tidak kecewa kerana ini memang hakikatnya. Masanya kini untuk bangkit dan melawan, ini zaman melawan dan rakyat akan bersama dengan anda dalam pertembungan ini, yang juga diiktiraf sebagai perlawanan rakyat menentang penguasa zalim!
Usah toleh ke belakang, teruslah mara ke depan untuk melawan! Rakyat yang berjuta ini ramai yang kian memahami betapa mereka juga bakal senasib dengan anda kerna saban hari kesedaran itu sudah melekat di jiwa dan menanti masa untuk diekspresikan.
Usah lagi membuang masa, ayuh kita menyusun massa. Yakin dan percayalah, rakyat akan bersatu melawan kezaliman ini! Tanggal 12 Januari 2013 menjadi medan paling ideal, KL112 menjadi kod terpenting dalam sejarah penyatuan rakyat. 12 Januari 2013 Hari Kebangkitan 1 juta Rakyat akan turun membanjiri Kuala Lumpur.
Demi semua nama arwah dan mendiang yang disebut di atas, juga demi pemilik nasib malang yang tidak direkodkan, kematian kamu semua tidak akan menjadi sia-sia. Rakyat akan bersatu menggembeling kekuatan demi mengembalikan maruah dan keadilan. Ayuh semua kita noktahkan Déjà vu ini.
Kepada anggota polis dan pihak berkuasa, kepada SPR dan SPRM, kepada semua aparat pemerintah, kepada semua baharua regim, kami tidak kecewa kerana kami yakin tiada lagi yang boleh diharapkan dari kalian. noktah!
Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM

No comments:

Post a Comment