Monday, October 1, 2012

GEMPAR! Warga Asing Beli Kad Pengenalan Palsu Diberi Peluang Mengundi - Ayuh Desak Bubar SPR Sebelum Parlimen Dibubar



Kenyataan Media
1 Oktober 2012

Warga Asing Beli Kad Pengenalan Palsu Diberi Peluang Mengundi - Ayuh Desak Bubar SPR Sebelum Parlimen Dibubar

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sekali lagi mendesak keras supaya SPR dibubarkan terlebih dahulu sebelum pilihanraya. SAMM sebelum ini telah membuat pendedahan kerjasama SPR dan JPN untuk menutup kerja kotor penipuan pilihanraya, hari ini mendedahkan kes terbaru yang menunjukkan warga asing diberi kelayakkan mengundi - satu pengkhianatan besar terhadap kedaulatan negara.

Merujuk kepada laporan Akhbar Daily Express bertarikh 29 September 2012, seorang warga asing bernama Hassannuddin Bin Manna memberitahu mahkamah bahawa dia telah membeli Mykad palsu dengan harga RM1000. Mahkamah juga telah memutuskan Hassannuddin didenda dan dipenjara kerana memiliki dokumen palsu, sekaligus mengesahkan Kad Pengenalan yang diperolehi Hassannuddin adalah palsu. 

Namun setelah disemak nombor kad pengenalan milik Hassannuddin (741029125463), SAMM mendapati nombor Kad Pengenalan palsu tersebut wujud dalam pangkalan data SPR dan juga merupakan pengundi yang sah. 

Persoalannya, bagaimana seorang warga asing yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana memiliki kad pengenalan palsu didapati layak untuk mengundi? Kad Penganalan yang dikenalpasti tidak sah, tetapi sah untuk mengundi mengikut bancian senarai pengundi SPR? Bagaimana ini berlaku? 

Kad pengenalan ini juga didapati mempunyai rekod di JPN dengan status 'telah diambil'. Ini bermakna Kad Pengenalan palsu ini telah diluluskan di JPN. Siapa pegawai yang meluluskannya? Siapakah kerani kaunter yang melepaskan kad pengenalan palsu ini untuk diambil?

Apakah ini satu lagi kerjasama utuh di antara Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga melibatkan bantuan dari Jabatan Imigresen? Inikah hasil daripada program 6P yang cuba dilaksanakan secara terburu-buru oleh Jabatan Imigresen?

Isu pemberian Mykad kepada warga asing merupakan satu isu yang sangat serius ketika ada warga sendiri yang masih tidak diberi kad pengenalan kerana birokrasi melampau. Percayalah lambat laun warga negara sendiri terpaksa merempat di bumi bertuah ini. 

Keadaan menjadi lebih parah apabila warga asing diberikan pula hak untuk mengundi oleh SPR. Apakah demokrasi negara ini dibiarkan terjual kepada warga asing demi menyelamatkan Barisan Nasional daripada kehilangan kuasa?

Lihatlah bagaimana kedudukan warga asing di serata pelusuk negara walaupun tanpa memiliki dokumen yang sah, mereka mampu berniaga di pasar pagi, pasar petang siang dan malam, membuka gerai, bengkel malah ada yang mempunyai syarikat pembinaan sendiri. Bayangkan jika warga asing diberikan kad pengenalan secara sewenang-wenangnya demi mempertahan regim pemerintah sedangkan ia sebenarnya satu skim menjual negara.

Barisan Nasional sudah semakin lemah dan tidak mampu untuk menang dalam pilihanraya yang juga beberapa kali ditangguh. Barisan Nasional kini ditolak oleh rakyat negara ini, maka idea memberikan kewarganegaraan segera kepada warga asing merupakan satu jalan singkat yang mengundang padah kepada seluruh rakyat negara ini. Banyak pendedahan telah dibuat dan pendedahan terbaru ini menjadi bukti kewujudan pemberian 'kewarganegaraan segera' sedang berleluasa.

SAMM sebagai peneraju anak muda bingkas sekali lagi menyeru kepada seluruh rakyat agar tidak berdiam diri ketika negara sedang dijual sehabisnya. Semua persoalan ini bukan sahaja wajib dijawab malah SPR yang gagal membersihkan senarai pengundi wajib dibubarkan segera sebelum parlimen dibubar. 

SAMM memanggil semua NGO dan individu yang cintakan demokrasi, cintakan negara ini harus menyertai gerakan membubarkan SPR dengan segala bentuk tekanan walaupun dengan melakukan satu lagi protes terbesar menuntut pilihanraya bersih dan adil - BERSIH 5.0. Selagi pilihanraya tidak bersih, selagi itulah wajarnya protes ini dengan pelbagai pendedahan yang tidak disangkal sebagai bukti.

"Perubahan itu harus didesak bukan ditunggu"


Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
www.anakmudamalaysia.com
email: edyesdotcom@gmail.com

No comments:

Post a Comment