Monday, March 12, 2012

Dakwaan Malaysiakini : Siasat Dengan Telus, Jangan Ada Niat Selindung



Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor)
Kenyataan Terbuka
12 Mac 2012

Dakwaan Malaysiakini : Siasat Dengan Telus, Jangan Ada Niat Selindung


Portal berita Malaysiakini hari ini melaporkan mengenai kes luar biasa yang melibatkan bekas Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan 'Ketua' Kongsi Gelap Johor. Klik pautan ini untuk berita penuh Kes pelik bekas IGP, AG dan ketua kongsi gelap. Portal berita itu turut mendakwa bahawa Peguam Negara telah campur tangan dengan menggunakan Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk mengakses fail sulit yang digelar 'Cicero' dalam kes itu.

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) menyifatkan pendedahan dakwaan ini merupakan satu perkara yang mengejutkan dan perlu diberi perhatian serius dan segera oleh pihak pemerintah. Satu siasatan menyeluruh perlu diadakan bagi menyiasat dakwaan yang ditimbulkan ini ekoran daripada ia melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang negara untuk melindungi kerja-kerja jenayah sindiket perjudian dan pengubahan wang haram di Negeri Johor.

Kredibiliti Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Negara sememangnya dalam 'masalah yang besar' kebelakangan ini dan dakwaan yang timbul ini berpotensi untuk menjerumuskan pandangan umum dan antarabangsa terhadap amalan penguatkuasaan perundangan negara ke tahap yang lebih buruk lagi. 
Ditambah lagi dengan Negeri Johor dewasa ini sibuk dengan pelan pembangunan Iskandar Johor, skandal ini bisa menghakis keyakinan pelabur antarabangsa terhadap mutu keselamatan di negeri ini dan seterusnya meranapkan imej Negeri Johor sebagai wilayah pembangunan ekonomi Selatan Malaysia.

Berikutan berlangsungnya Sesi Mesyuarat Dewan Rakyat yang bermula hari ini, SAMM Johor dengan ini menggesa agar sekalian Ahli-Ahli Parlimen terutama yang mewakili kawasan Parlimen Negeri Johor untuk membentangkan satu usul tergempar membahaskan perkara ini agar tindakan proaktif dan siasatan terperinci dapat dilakukan untuk mengkaji kesahihan dakwaan ini dan seterusnya melaksana tindakan berlandaskan peruntukan undang-undang sekiranya dakwaan ini terbukti benar dan sahih.

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor turut menzahirkan ingatan kepada pihak Kerajaan Pemerintah agar menyiasat dakwaan ini dengan penuh ketelusan. Jangan ada niat untuk sekadar menutup kepincangan dan kejelikan yang wujud dalam agensi penguatkuasaan undang-undang Negara. Siapa yang bersalah wajib diheret ke muka pengadilan. 

Skandal sebegini bukanlah boleh dipandang enteng. Rakyat telah memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menjaga keselamatan rakyat bukannya berkompromi dan bersekongkol dengan aktiviti-akviti yang melanggar norma perundangan. Amanah rakyat terhadap pemerintah negara ini telah dipersiakan sekiranya kejahatan tersembunyi ini terus didiamkan demi mengekal kuasa.

SAMM Johor merasakan perlunya pemerintah dan agensi-agensi yang terlibat untuk tampil membersihkan diri dari terpalit dengan skandal-skandal seperti ini. Kami, sebagai anak muda merasa amat belas melihat kesungguhan anggota-anggota Agensi Kerajaan yang selama ini telah mengerah keringat seikhlas hati demi menabur bakti kepada Negara tetapi terpaksa menanggung malu ekoran dari sikap beberapa 'Orang Besar' dalam agensi-agensi ini yang mudah 'Gelap Mata'. 


Kami juga sebagai pewaris masa depan negara merasa amat jelik dengan perangai sebegini dan menggesa agar ia dibanteras dengan segera. Cukuplah kerosakan dan kehinaan yang telah anda campakkan kepada sistem pemerintahan negara tercinta selama ini dengan isu-isu yang tidak terjawab.

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras SAMM Negeri Johor
www.anakmudamalaysia.com

No comments:

Post a Comment