Sunday, February 26, 2012

Hormati Demokrasi, Hentikan Aksi Samseng Menjelang Pelancaran ABU Negeri Johor



Hebahan Umum
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor)
25 Februari 2012

Hormati Demokrasi, Hentikan Aksi Samseng Menjelang Pelancaran ABU Negeri Johor

Menjelang program Pelancaran Gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) Peringkat Negeri Johor pada 26 Februari ini di mana SAMM Johor turut terlibat sebagai penggerak Asalkan Bukan UMNO (ABU) Johor, semalam beberapa aktivis SAMM Johor telah menerima kecaman dan ugutan dari individu-individu semasa memasang poster-poster promosi program tersebut di beberapa tempat sekitar Pasir Gudang. Malahan, beberapa poster-poster promosi program tersebut telah dikoyakkan, diconteng dan disabotaj oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, dalam beberapa siri program Pelancaran Gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) di negeri-negeri lain telah berlaku provokasi dan gangguan tindakan tidak bertamadun yang gemar melacurkan minda anak muda. Sehubungan itu, SAMM Johor merasakan segala ugutan-ugutan, kecaman-kecaman dan tindakan mensabotaj poster-poster promosi ini hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan aktivis kami dalam berjuang menentang rejim korup. SAMM Johor percaya tindakan ini adalah langkah awal pihak-pihak lawan sebelum aksi samseng digunakan semasa program pelancaran ini berlangsung Ahad nanti. Bahkan baru-baru ini, kita dikejutkan dengan aksi ganas sekumpulan anak muda upahan di Sembrong, Kluang hingga menyaksikan cermin kereta Ketua Pembangkang Malaysia pecah.

SAMM Johor dengan tegas menyatakan bahawa kami tidak akan bertoleransi dengan pihak-pihak yang menjajah minda anak muda dengan anasir politik sebegini. Seharusnya, UMNO dan Parti Politik yang ada di Malaysia mendidik anak muda untuk berpolitik secara matang, secara ilmiah sebagai pewaris masa depan negara bukannya melakukan tindakan sembrono yang membonsaikan pemikiran masyarakat khususnya anak muda. Anak muda tidak seharusnya dijadikan mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab demi survival politik melampau mereka.

UMNO seharusnya menghormati lunas-lunas demokrasi dan kebebasan bersuara. Program yang dianjurkan adalah berlangsung di kawasan premis persendirian serta ini merupakan platform untuk rakyat negeri Johor yang telah ditindas bertahun lamanya untuk menyuarakan keperitan dan kepayahan mereka selama ini. Asalkan Bukan UMNO bukanlah satu gerakan yang dinaungi oleh mana-mana parti politik sebaliknya merupakan satu gerakan dari rakyat kepada rakyat. Sewajarnya, UMNO menghormati perbezaan pandangan dan meraikan demokrasi. Ini sahaja platform yang ada untuk rakyat tertindas meluahkan penderitaan mereka apabila media-media cetak dan elektronik telah dirantai oleh rejim Pemerintah.

Hujah biarlah dilawan dengan hujah. Namun jika keras yang dijual maka keras jugalah yang dibeli. Jika baik budi bicara, kami anak muda sedia memberi laluan agar anda berhujah di pentas yang telah kami sediakan, dengan etika dan syarat yang ditentukan seperti yang telah kami lakukan semasa Ceramah Timbalan Presiden PAS di Muar tempohari. Tetapi jika kehadiran mereka ini jelas lagi terang hanya untuk mengacau majlis rakyat, kami anak muda SAMM sentiasa bersedia di barisan hadapan, begitu juga dengan unit amal serta aktivis-aktivis ABU lain. Adalah menjadi tugas anak muda untuk memastikan keselamatan orang ramai ketika kemungkinan pihak berkuasa 'terlepas pandang' dalam menjalankan tugas.

Justeru itu, SAMM Johor akan menggerakkan kesemua aktivis untuk membantu pihak penganjur dalam menjaga keselamatan lokasi program daripada terjadinya tragedi-tragedi seperti di Klang, Selangor dan Semberong, Kluang baru-baru ini. Malahan, beberapa NGO dan NGI telah menyatakan kesediaan untuk bersama dalam mengawal keselamatan orang ramai sepanjang program tersebut berlangsung. SAMM Johor dan rakan-rakan Sekretariat Asalkan Bukan UMNO (ABU) Negeri Johor amat bersedia kali ini untuk berdepan dengan asakan provokasi tidak bertamadun pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini.

SAMM Johor juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput rakyat Johor hadir ke Pidato Pelancaran Asalkan Bukan UMNO (ABU) untuk mendengar luahan teman-teman dari segmentasi masyarakat seperti Bekas Penduduk Tasek Utara dan Plentong Tengah, Generasi Kedua FELDA, Orang Asal, Pekerja dan pelbagai lagi segmentasi masyarakat yang telah menjadi mangsa penindasan rejim UMNO pada :

  Tarikh : 26 Februari 2012 (AHAD)
  Jam : 9 malam
  Tempat : PASTI Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor

Akhir, SAMM Johor sekali lagi menyeru UMNO untuk menghormati lunas-lunas demokrasi serta jangan mengeksploitasi dan meracuni pemikiran anak muda dengan permainan politik kotor, politik ugutan dan politik samseng demi survival politik anda.

ASALKAN BUKAN UMNO !!

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras SAMM Johor



Sent from my Samsung Galaxy Tab

No comments:

Post a Comment