Friday, January 27, 2012

Autonomi Dengan AUKU Umpama Kereta Tanpa Enjin



Kenyataan Umum
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
27 Januari 2012

Autonomi Dengan AUKU Umpama Kereta Tanpa Enjin

Semalam Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa lima Institusi Pengajian Tinggi Awam - Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia and Universiti Teknologi Malaysia – akan diberikan autonomi. Walaubagaimanapun langkah ini tidak bermakna sekiranya Akta Universiti dan Kolej Universiti yang mencengkam kebebasan universiti masih berkuatkuasa.

Selama ini AUKU telah terbukti sebagai penghalang utama autonomi universiti dan kebebasan akademik. Keputusan kerajaan untuk meminda Seksyen 15 AUKU tidak membawa sebarang makna memandangkan pindaan ini tidak mengatasi budaya ketakutan dan pemusatan kuasa yang telah yang disebarkan oleh AUKU selama ini. Mahasiswa, masyarakat sivil dan pihak pembangkang telah secara konsisten menyatakan pendirian ini tetapi hanya selepas ditempelak mahkamah sendiri dalam keputusan UKM 4 barulah pihak kerajaan menerima hujah ini.

Kami juga masih menunggu jawatankuasa dwi-parti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah untuk menjadi realiti. Jawatankuasa tersebut, sekiranya menjadi realiti – akan meneliti akta alternatif kepada AUKU yang telah dicadangkan oleh pimpinan mahasiswa pada 2008.

Kewujudan AUKU (akta 174 dan akta 555) sendiri telah diwujudkan dengan semangat ingin mengekang aktivisma di kalangan mahasiswa dan kakitangan akedemik di IPTA dan IPTS. Maka atas semangat ingin melihat IPT menjadi tempat melahirkan modal insan, maka undang-undang yang wujud atas semangat mengongkong ini seharusnya bukan dipinda tetapi dimansuhkan terus. 

SAMM bertegas supaya undang-undang AUKU yang bersifat draconian terhadap mahasiswa serta merencat kebolehan sebenar mahasiswa ini harus ditamatkan segera tanpa berdolak-dalik.

SAMM melihat pengumuman pemberian autonomi semalam oleh Menteri hanya bersifat retorik semata-mata, apa erti autonomi universiti jika AUKU terus berkuat-kuasa ? Autonomi IPT dengan AUKU masih beroperasi memenjara hanyalah ibarat memberikan kereta tanpa injin. Hiasan kosmetik bagi meredakan luapan amarah mahasiswa.

Pada masa yang sama, SAMM turut kesal dengan keputusan Kolej Universiti Insaniah Kedah (KUIN) untuk menggunakan AUKU terhadap lima mahasiswanya. Sedarlah tindakan di KUIN akan memberikan impak negatif kepada PR secara keseluruhan apabila dilihat tidak mampu mengotakan janji yang telah dibukukan (Buku Jingga) selain akan memberikan persepsi cakap tak serupa bikin. Tindakan di KUIN umpama mensabotaj kempen buku jingga PR yang antaranya memberikan tumpuan kebebasan akedemik, menjamin aktivisma pelajar dan pemansuhan AUKU.

Kami berharap keadilan akan tertegak di dalam kes ini dan semua negeri-negeri Pakatan harus menunjukkan komitmen mereka menentang AUKU dengan tidak membenarkan peristiwa tersebut berulang. Kita telah berjuang sekian lama untuk menentang ketidakadilan tersebut.

Dalam kesempatan ini juga, SAMM ingin memaklumkan sebuah program Pentas Anak Muda anjuran bersama SAMM Wilayah dan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Pentas turut menampilkan ramai mahasiswa termasuklah Adam Adli, Safwan Anang, Khalid Ismath, Yuyu Luna, wakil anak muda SAMM dan penampilan Srikandi Keadilan untuk menyampaikan pidato menggegar rostrum. 

Program tersebut jatuh pada 29 Januari (Ahad) bertempat di Dewan Pak Mustafa, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak bermula jam 8.30 malam. Semua dijemput hadir termasuk pengamal media.


Wan Farrel
Penyelaras Segmentasi Mahasiswa SAMM Kebangsaan
www.anakmudamalaysia.com

1 comment:

  1. Salam tuan blog ,
    Mintak jasa baik tuan tolong link kan blog saya di halaman blog tuan .
    Jihad Siber http://jihadsiber.blogspot.com/
    blog asal saya ialah MBRM (Minda Baru Rakyat Malaysia)tetapi blog itu sudah kena godam , tak boleh nak update lagi blog tu , terpaksa saya bina baru atas semangat perjuangan melawan kebatilan BN..., untuk memeriahkan lagi suasana pilihan raya tak lama lagi...Terima Kasih

    ReplyDelete