Wednesday, August 10, 2011

"Ertinya, Pengajaran dan Dakwah Kita Perlu Disemak Semula"



Begitulah ayat terakhir Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam menerangkan betapa agama Islam itu adalah agama hujah. Pendirian saya sebelum ini ialah saya menyokong tindakkan JAIS menyerbu gereja berkenaan asalkan ianya bukan acara keagamaan yang sedang berlangsung. Namun apa yang lebih penting ialah, serbuan tersebut perlulah dikongkrit dengan maklumat yang lengkap bersama risikan yang tepat. Tidak perlu waran kerana kita bukan negara Amerika.

Tetapi setelah menghadam penjelasan Dr Asri, minda ini sedikit terbuka untuk berfikir dari suatu sudut. Sudut yang mengajar kita bahawa Islam itu indah dan Islam itu adalah dakwah di mana hanya yang mengejar kebenaran sahaja akan bersama dengan Islam. Saya benar terkesan apabila mengamati ayat berikut "Islam adalah agama hujah dan semestinya ditegakkan dengan hujah serta dilindungi oleh hujah" oleh Dr Asri.

Dalam masa yang sama, saya juga mendapat respon dari Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan iaitu YB Taufek Abdul Ghani. Respon ini agak berbeza dari sudut pandangan yang dilontar Dr Asri. YB Taufek juga telah mendengar penjelasan daripada JAIS, dan beliau melontarkan pendapat peribadi yang akhirnya saya petik seperti di bawah;

Saya dah dengar taklimat dari pihak Jais sendiri berhubung isu ini, pandangan saya sebarang xtvt dalam gereja , tidak boleh melibatkan orang Islam kerana ia mengundang fitnah (ketika org Islam berduyun2 ke masjid utk terawih, tiba2 ada yg ke gereja) dan ia juga bertentangan dgn Perlembagaan kerana dilihat seolah-olah cuba dakyah masuk Kristian (dari bukti yg Jais kumpul , bukan cuba dakyah lagi tapi benar2 dakyah).

Saya setuju dalam apa jua keadaan, kita kena jaga hak bukan Islam dan rumah Ibadat mereka tetapi dalam masa yg sama pihak gereja mesti juga jaga perasaan umat Islam dgn jgn sekali2 ajak Org Islam ke Gereja utk apa jua prgm. Kalau mereka jumpa org Islam yg susah..pertolongannya adalah mohon htr maklumat pada Jais , baitulmal , masjid dll. Sekadar pandangan peribadi.

Begitulah pendapat peribadi dari YB Taufek. Mencegah lebih baik dari mengubati, mungkin ini perumpamaan paling sesuai dengan pendapat di atas. Serbuan JAIS itu suatu bentuk pencegahan sebelum gejala murtad yang telah menjadi trend berdekad lamanya di negara ini menjadi lebih parah. Positifnya, serbuah JAIS ini membuka mata banyak pihak dan mengundang bicara disegenap ruang mengenai betapa soal murtad harus dikekang secara serius, hingga gereja diserbu sedemikian rupa.

Di bawah pula ialah sebuah laporan mengenai pendirian Dr. Asri yang saya petik dari portal Malaysiakini. Dapat dilihat ada perbezaan pendapat dalam isu serbuan JAIS baru-baru ini. Perbezaan pendapat itu adalah harus kerana ia boleh mencerdaskan minda di samping menjadikan kita sebagai masyarakat berfikir. Kita bukan lagi di era 80an yang mana pemikirannya adalah sehala. Masyarakat yang ada hari ini adalah masyarakat yang sentiasa mencari rahmat di sebalik perbezaan pendapat.

Sila amati pula petikan-petikan pendapat Dr. Asri di bawah yang dibawakan kepada kita oleh Malaysiakini;

Islam adalah agama hujah dan semestinya ditegakkan dengan hujah serta dilindungi oleh hujah, kata bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

NONESehubungan itu, katanya Malaysia sebagai sebuah negara Islam sepatutnya, berlaku keadaan di mana orang lain terpengaruh dengan Islam dan bukannya umat Islam di negara ini pula yang dipengaruhi oleh hujah pihak lain.

"Saya terfikir bagaimanakah jika negara-negara bukan Islam seperti Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah mengambil tindakan yang sama ke atas masjid-masjid di sana.

"Kita tahu umat Islam di sana aktif berdakwah kepada bukan Islam di pelbagai tempat khususnya di pusat-pusat Islam dan masjid-masjid. Bukan Muslim dijemput datang ke masjid dan diberikan al-Quran dan risalah-risalah berkaitan Islam.

"Jika mereka memakai undang-undang seperti kita, tentu masjid-masjid akan diceroboh dan didakwa," katanya dalam satu SMS ringkas kepada Malaysiakini, petang semalam.

Dr Asri mengulas kejadian 3 Ogos lalu, apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) didakwa menyerbu sebuah majlis makan malam yang diadakan di sebuah gereja di Petaling Jaya tanpa sebarang waran.

azlanExco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Hasan Ali bagaimanapun mempertahankan tindakan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama itu dengan alasan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Menurut Dr Asri sebagai agama hujah, pengajaran dan dakwah Islam sepatutnya mampu menangani isu berkenaan tanpa memerlukan tindakan seumpama itu daripada JAIS.

"Bukan hendak mmpertikaikan JAIS, namun untuk renungan kita umat Islam di Malaysia; sehingga bila kita hendak bergantung dengan undang-undang?

"Ertinya, pengajaran dan dakwah kita perlu disemak semula," katanya mengakhiri SMS itu.

Saya setuju dengan Dr Asri, betapa pengajaran dan dakwah kita perlu disemak semula. Dalam masa yang sama, saya juga bersetuju dengan tindakkan JAIS yang berjaya menggegarkan negara melawan isu murtad.

Namun apa yang lebih penting ialah, gejala murtad perlu dikekang dengan hujah kebenaran Islam, dengan kehebatan dan kemahsyuran Islam, dengan kasih sayang yang ada dalam Islam, bukan melalui kerangka undang-undang semata-mata.


EDYES @ edyesdotcom

Artikel ini juga disiarkan di portal lidahrakyat.com


No comments:

Post a Comment