Tuesday, February 1, 2011

Anwar: Bawa Pulang Rakyat Malaysia Segera!!

KUALA LUMPUR, 1 Feb: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan supaya membawa pulang rakyat negara ini dari negara Mesir sekarang ekoran suasana yang tidak terjamin lagi dari segi keselamatannya.

"Saya menggesa kerajaan segera membawa pulang rakyat kita di sana. Jangan tunggu sehingga nasi menjadi bubur," kata Anwar dalam satu kenyataannya.

Ketegangan di Mesir jelasnya tidak akan mengendur dalam beberapa ketika ini.

Protes menuntut perubahan disertai puluhan jika tidak ratusan ribu rakyat setiap hari di beberapa kota utama negara tersebut.

Keadaan semakin tidak menentu, keselamatan orang awam tidak lagi terjamin. Lebih membimbangkan adanya laporan bahawa wujudnya kumpulan samseng yang melakukan jenayah sewenang-wenangnya, kata beliau dalam kenyataannya itu.

"Saya difahamkan rakyat Malaysia yang kini tinggal di Mesir hampir mencecah 11 ribu orang, 10,328 dari jumlah tersebut merupakan pelajar yang mendaftar dengan kedutaan Malaysia di sana.

"Saya khuatir kedutaan kita menghadapi kesukaran untuk mengawasi serta menjamin keselamatan para pelajar dan rakyat Malaysia," katanya.
Beberapa hari ini regim Hosni Mubarak telah mengambil tindakan untuk merencat penggunaan internet terutamanya jaringan media sosial seumpama Facebook dan Twitter.

Malah, perkhidmatan telefon mudah alih juga sukar diperolehi, kata anggota Parlimen Permatang Pauh itu.

Oleh itu, kata Anwar yang juga Ketua Pembangkang, adalah mustahil buat kedutaan Malaysia mengawasi serta menjamin keselamatan seluruh rakyat kita di sana kerana sistem telekomunikasi sudah lumpuh dan tidak lagi berkesan.

Perkembangan ini sewajarnya menyedarkan Kerajaan Malaysia bahawa mereka perlu segera merencana kepulangan rakyat kita dari Mesir, tegas Anwar.

"Adalah tidak munasabah membiarkan rakyat kita terdedah kepada bahaya dan tersepit di celah-celah keributan menuntut Perubahan," katanya. - harakahdaily

No comments:

Post a Comment