Sunday, January 16, 2011

Rosmah - Isteri PM Paling Kontroversial ?

Oleh Nazli Ibrahim

Malaysia dengan enam Perdana Menteri (PM) dan tujuh isteri Perdana Menteri semenjak PM pertama, isteri kepada PM terkini dianggap paling kerap diharungi kontroversi yang tidak putus-putus.

Jika era PM kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi diselar oleh seorang lagi bekas PM iaitu PM keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dikatakan menempatkan menantunya di tingkat empat Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Najib Razak pula didakwa menempatkan pejabat isterinya di bangunan yang sama.

Isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor ketika ini dilihat sedang menikmati kedudukan beliau sebagai isteri PM Malaysia apabila bukan sahaja berjaya mencuri tumpuan malahan menjadi satu-satunya isteri PM yang menerima peruntukan yang tinggi dan pejabat khas di Putrajaya untuk beliau.


Memetik lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), edyesdotcom dan beberapa blog lain, Rosmah bukan sahaja memiliki pejabatnya sendiri malah turut mempunyai bahagian atau jabatan yang dinamakan Bahagian Wanita Pertama Malaysia atau First Lady of Malaysia Division.

Bahagian tersebut yang hanya ditubuhkan ketika era PM terkini itu, diketuai oleh Pegawai Khasnya Datuk Siti Azizah binti Sheikh Abod disamping lima lagi pegawai lain.

Selain dianggap keterlaluan, tindakan tersebut turut dianggap satu pembaziran apabila melibatkan perbelanjaan tambahan dana kerajaan seperti gaji pegawai dan kakitangan, ubah suai pejabat dan pelbagai kos lain yang berkaitan.

Wanita Pertama Negara

Rosmah juga didakwa menderhaka kepada Yang Dipertuan Agung dan Permaisurinya kerana menggunakan gelaran Wanita Pertama Negara yang sepatutnya gelaran bagi Permaisuri Agung seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Kontroversi gelaran ini yang telah lama ditimbulkan semenjak isu iklan satu muka surat penuh di akhbar New York Times yang memaparkan beliau sebagai Wanita Pertama Malaysia tidak berapa lama dahulu, telah diserang hebat oleh media pro pembangkang.

Bagaimanapun serangan pihak pembangkang yang seakan menyedari bahawa Rosmah sebagai satu lagi ‘titik lemah’ Najib, tidak memberi apa-apa kesan apabila Rosmah dilihat berusaha menjadikan gelaran tersebut sebagai gelaran rasmi terhadapnya apabila menganjurkan Sidang Kemucak Wanita Pertama selama tiga hari yang menelan belanja RM4.5 juta.

Malahan sesetengah pihak menganggap dari hari ke sehari, Rosmah dilihat begitu dominan dalam pentadbiran Najib dan dikatakan sebagai pihak di belakang tabir dalam beberapa keputusan pentadbiran Najib.

Memetik blog bedukcanang.blogspot, dalam satu entri lama di awal tahun 2010, pengendali blog tersebut melihat tingkah laku Rosmah sebagai tidak mustahil sekiranya beliau mempunyai cita-cita untuk terjun ke dunia politik sepenuhnya dan langkah-langkah awal untuk mempromosi dirinya sedang giat dijalankan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Teng cadang Rosmah bertanding pilihan raya

Sementara itu, FMT pula dalam satu temu bual bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim sekitar Oktober tahun lalu, dengan nada sinis Teng turut mencadangkan agar Rosmah bertanding dalam pilihan raya itu nanti.

Selain itu keputusan Najib meletakkan Senator Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini juga ‘dibaca’ sebagai tindakan bagi membolehkan Rosmah lebih berperanan jauh dalam hal ehwal yang membabitkan kementerian tersebut.

Status Sharizat yang hanya sebagai Senator yang bukanlah dipilih rakyat sebaliknya dilantik PM telah memaksa Sharizat hanya bertindak sebagai timbalan atau penasihat kepada Rosmah.

Malahan Rosmah turut diberikan kuasa untuk mengendalikan program Permata yang sepatutnya lebih relevan diletakkan di bawah kendalian Kementerian Pelajaran yang menterinya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baru-baru ini, ketika Rosmah di Arab Saudi, beliau juga mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelajaran Arab Saudi, Putera Faisal Bin Abdullah Bin Mohamad Al-Saud Royal Suite, Intercontinental Hotel di sana sekaligus seolah membelakangkan Muhyiddin.

Bagi kebanyakan penyokong PR, Rosmah dianggap menghina Islam apabila menjadi penaung Festival Busana Muslim yang diadakan di Monte Carlo, Monaco yang memperagakan ‘busana muslim’ memaparkan nama Nabi Muhammad dalam keadaan terbalik dan mendedahkan aurat wanita.

RM100,000 satu malam bilik hotel

Sementara itu dalam satu ceramah di Taman Bolton, Gombak Isnin lalu, Timbalan PKR, Azmin Ali mendedahkan Rosmah dikatakan telah menginap di Hotel Atlantis, Dubai yang menelan belanja sebanyak 120,000 dirham atau kira-kira RM100,000 untuk satu malam.

Kontroversi tidak putus melibatkan Rosmah juga mungkin menambah rumitkan Najib apabila kos perbelanjaan isterinya itu ke luar negara dikatakan mempunyai signifikan terhadap peningkatan 40 peratus peruntukkan perbelanjaan lawatan JPM ke luar negara seperti yang diumumkan dalam parlimen tahun lalu.

Keputusan Najib dalam belanjawan 2011 yang memperuntukan sejumlah RM111 juta bagi Pusat Anak Permata Negara yang dinaungi isterinya sebelum ini telah mendapat bantahan keras dari ahli-ahli parlimen blok pembangkang.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan samada keputusan-keputusan Najib yang menyentuh isterinya itu dibuat berdasarkan nasihat yang diberikan oleh penasihat-penasihatnya termasuk syarikat penasihat komunikasinya yang penuh kontroversi itu atau pun terpaksa menolak nasihat tersebut bagi memberi laluan kepada isterinya itu. - FMT

No comments:

Post a Comment