Monday, September 27, 2010

Datuk Kamarul Tumbang Di Teluk Kemang!

Setinggi tahniah diucapkan kepada YB Ravi di atas kemenangan 'bergaya' bagi merebut jawatan Ketua Cabang Teluk Kemang, menumpaskan calon yang berkapasiti Ahli Parlimen. Kelibat YB Ravi sepanjang hari di Glory Beach Resort menampakkan hasil lumayan apabila memperolehi 279 undi berbanding YB Teluk Kemang, Datuk Kamarul memperolehi hanya 135 undi.

Satu kemenangan solid untuk ADUN Bandar Port Dickson. YB Ravi diberi signal yang jelas untuk meneruskan agenda-agenda parti selaku Ketua Cabang Teluk Kemang. Datuk Kamarul pula boleh menumpukan tugasannya kepada rakyat sebagai Ahli Perlimen Teluk Kemang.  Saya percaya ada hikmah dan kelebihannya apabila Ahli Parlimen itu bukan seorang ketua cabang.

Tepat jam 2.30 petang, Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Port Dickson berlangsung dengan dirasmikan oleh calon ketua AMK iaitu saudara Badrul Hisham Shaharin atau nama komersialnya Chegubard.

Delegasi Cabang Teluk Kemang juga menamakan DS Anwar Ibrahim sebagai presiden dan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon untuk Timbalan Presiden KEADILAN. Cabang Teluk Kemang juga mencalonkan Chegubard sebagai Ketua AMK manakala bagi calon naib presiden, YB Fuziah, YB Nurul Izzah, YB Gobala Padang Serai dan Dr Lee Boon Chye telah dipilih.

Pemilihan 2010 adalah pertembungan yang bersifat kekeluargaan. Walaupun setiap calon mempunyai agenda dan pendekatan yang berbeza, namun saya percaya arusnya masih sama dan matlamatnya juga sama, apatah lagi di atas nama perjuangan.

Mereka yang terpilih haruslah bersikap sayang terhadap mereka yang kalah iaitu sayang kerana potensi untuk sama-sama berbakti untuk parti itu lebih bermanfaat, dan bicarakanlah betapa yang kalah itu tetap diperlukan bagi menjayakan misi, visi dan agenda perubahan. Bagi yang tertewas, haruslah berjiwa besar dengan meletakkan kepentingan parti jauh di hadapan sebagai satu keutamaan. Buanglah sifat rajuk yang membunuh semangat juang, tegak dalam istiqomah dan bersama dalam jamaah bagi misi nasional yang jauh lebih gergasi.

Dengan segala keputusan di atas, kita berharap demokrasi itu akan terus subur bersama harapan rakyat yang menuntut agar keadilan itu dapat dibuktikan dengan sebenar-benar demokrasi. PKR adalah parti rakyat, parti untuk rakyat, maka dengan menyerahkan kuasa memilih kepada rakyat menjadikan PKR sebuah parti yang harus diangkat bersama dokongan Gagasan Pakatan Rakyat.

Tahniah Teluk Kemang !

YB Ravi ketika memberi ucapan alu-aluan sebagai Pemangku Ketua Cabang


Chegubard Merasmikan MATC Teluk Kemang


No comments:

Post a Comment