Monday, December 14, 2009

Ketuanan Melayu - Projek Politik Kekal Kuasa !


Oleh Aidila Razak (Malaysiakini)




Konsep Ketuanan Melayu dan kontrak sosial adalah merupakan satu helah politik parti pemerintah untuk kekal berkuasa, kata naib presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

Katanya, jika adapun apa yang dipanggil kontrak sosial, ia tidak ada kena mengena dengan hak istimewa Melayu, tetapi ia merupakan rangka untuk melindungi rakyat.

Beliau berkata demikian dalam majlis forum bertajuk 'Mitos Ketuanan Melayu' anjuran Refsa (Research for Social Advancement) di ibunegara semalam.

Tiga lagi ahli panel ialah Noraini Othman' (UKM/Sister in Islam); pakar sejarah Malaysia, Clive Kessler dan ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Richard Yeoh.

Menurut Tunku Abdul Aziz, apa yang dianggap rakyat sebagai kontrak sosial adalah sebenarnya satu persefahaman antara pengasas kemerdekaan negara untuk 'tinggal bersama, kita mesti kerja bersama-sama".

Katanya, para pengasas tersebut merupakan golongan yang berfikiran liberal dan tidak pernah terfikir tentang hak keistimewaan orang Melayu.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara, masih belum menemui identitinya ekoran dasar-dasar yang tidak inklusif.

Menurutnya, identiti bersama itu boleh dicapai sekiranya rakyat merasakan mereka dilayan secara adil dalam dasar-dasar yang dilaksanakan dan mereka tidak merasakan bahawa Malaysia adalah tempat milik orang Melayu.

Konsept 1Malaysia 'kabur'


Ditanya sama ada konsep 1Malaysia itu bertujuan menangani isu perkongsian identiti, Tunku Abdul Aziz berkata, idea yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah kabur dan mendakwa perdana menteri sendiri gagal menjelaskannya.

Sebaliknya, kata beliau, konsep 'Malaysian Malaysia' anjuran DAP "tidak mendiskriminasi atau menyokong kesengsaraan rakyatnya."

Tunku Abdul Aziz berkata, beliau secara peribadi percaya kepada konsep tersebut sejak sebelum menyertai DAP lagi dua tahun lalu.

Menurutnya, konsep Malaysian Malaysia itu, apabila pertamakali diperkenalkan oleh pemimpin Parti Bertindak Rakyat (PAP) Lee Kuan Yew pada 1960-an, wujud banyak rasa curiga di kalangan pelbagai masyarakat etnik ekoran jurang ekonomi yang luas.

Pandangan tersebut turut dikongsi oleh Noraini yang berkata konsep tersebut sesuai dengan keadaan sekarang kerana wujudnya ramai masyarakat kelas pertengahan Malaysia yang bersedia untuk menjadi sebahagian daripada negara yang memberi kesaksamaan
kepada semua rakyatnya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa masih wujud halangan psikologi di mana ramai orang Melayu yang masih merasakan yang mereka belum bersedia untuk melepaskan 'tongkat' mereka.

Menurutnya, ia merupakan satu lingkaran di mana rakyat masih terperangkap dalam cara pemikiran feudal.

Noraini, yang merupakan penulis bersama buku 'Sharing the Nation', menambah bahawa konsep ketuanan Melayu membuat beliau kecut kerana ia membangkitkan "perasaan penghambaan".

Menurut istilah klasik Melayu, katanya, perkataan 'ketuanan' membawa maksud tuan ke atas hamba tawanan, yang menurutnya, satu konsep pra-feudal yang tidak sama waktunya dengan 1957, 1963 dan hari ini.

Seperti juga Tunku Abdul Aziz, beliau mengingatkan supaya jangan terjebak dengan 'perangkap' ketuanan Melayu, yang dianggapnya sebagai satu 'projek politik'.

Asal usul Ketuanan Melayu

Sementara itu, Yeoh pula berkata, istilah 'Ketuanan Melayu' bermula dengan ucapan Tan Sri Abdullah Ahmad pada 1989 yang berkata orang Melayu mesti dominan dalam kepimpinan politik.

Bagaimanapun, katanya, ucapan itu tidak memudaratkan, tetapi ia telah membawa maksud ketuanan Melayu kepada sesetengah pemimpin Umno yang tidak semestinya faham maksudnya.

Sehubungan itu, katanya, istilah tersebut perlu dilihat mengikut kontek sebenarnya, kerana ia ditimbulkan sewaktu Umno berdepan dengan krisis kepimpinannya di mana Tengku Razaleigh Hamzah mencabar kepimpinan Dr Mahathir ketika itu.

Menurut Yeoh, perlembagaan hanya menetapkan hak-hak keistimewaan untuk orang Melayu dalam bidang-bidang yang sudah pun ada sebelum kemerdekaan, dan tiada lagi keistimewaan baru yang ditambah.

Orang Melayu, katanya, boleh mencapai semua yang mereka telah capai, dan mungkin lebih daripada itu, tanpa istilah Ketuanan Melayu.

Sementara itu, Kessler pula menambah bahawa negara ini sedang melalui gelombang ketiga perjanjian Merdeka yang dipersetujui oleh para pengasasnya - yang pertama datang pada 1969 dan ketiga pada 1972 dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Gelombang kedua, katanya, mulai berakhir pada 1999 tetapi terus hidup tanpa kebiasaan dari 2004 "ketika kerajaan merasakan yang semuanya telah dimaafkan, sehinggalah apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2008".

Oleh itu, katanya, adalah diharapkan gelombang ketiga ini akan "mendukung semangat perjanjian Merdeka", yang mempunyai tujuan untuk membangunkan sebuah negara yang "pluralistik dan inklusif".

Malah, hujah Klesser, timbalan perdana menteri kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman pernah berkata bahawa penerusan dasar-dasar afirmatif yang membantu orang Melayu, boleh menjadi satu penghinaan kepada maruah mereka.


Artikel ini disalin tampal dari Malaysiakini tanpa kebenaran.

No comments:

Post a Comment