Friday, October 2, 2009

M3M : Blogers Rakyat untuk Rakyat

friendship-award1

Oleh M3M

Fuuhh… dah lama tak menulis. Bukan kerana apa, cuma kesibukan di bulan Ramadhan dan di Aidil Fitri tidak mengizinkan aku berbuat demikian. Sekarang, setelah semuanya berlalu, barulah ada kelapangan untuk mula menulis.

Pada hari Ahad yang lepas, kami dari team PerakExpress telah pergi ke Sri Manjung untuk menghadiri satu perjumpaan sambil berhari raya dengan bloggers dari Manjung. Kami berkumpul di rumah blogger Otai Manjung. Itulah first time aku bersua muka dengan Otai Manjung, Manjung Mari serta yang lain-lainnya. Seronok giler!!! Makan pun sedap. Terima kasih diucapkan kepada Otai Manjung serta keluarga kerana layanan mesra mereka.

Dalam pertemuan tersebut, banyak yang disembang dan dibincangkan. Kebanyakannya berkisar pada hal ehwal suasana politik semasa dan bagaimana para bloggers boleh berperanan dalam memberikan sumber maklumat yang tepat kepada rakyat dan bagaimana nak menyedarkan rakyat bertapa perlunya mereka melakukan perubahan politik bagi mewujudkan satu sistem yang lebih baik daripada yang sedia ada sekarang. Bukan untuk apa… untuk kepentingan dan kebaikan mereka juga.

Di samping itu, perbincangan juga menyentuh tentang kelemahan dan kekuatan Pakatan Rakyat. Sikap, perangai serta tindak tanduk sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat yang telah memberi persepsi negatif serta mengugat kepercayaan dan harapan rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Kepincangan kepimpinan inilah yang amat dikesali!!! Pemimpin-pemimpin seumpama ini, patut dinyahkan kerana mereka dilihat sebagai anasir perosak dalam Pakatan Rakyat. Tindakan mereka ini boleh men’jeorpadize’kan peluang Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan rakyat dalam PRU 13 nanti.

Kita tak mahu bala yang menimpa BA dalam PRU 11 pada 2004… berulang kembali. Sikap ego dan tindak tanduk segelintir para pemimpin BAlah yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada gagasan BA dan kembali menaruh harapan kepada BN di bawah kepimpinan Pak Lah. Namun demikian… rakyat terkecewa lagi di bawah pentadbiran Pak Lah. Pada PRU 12, 2008, parti-parti pembangkang berjaya meraih semula sokongan rakyat. 5 buah negeri telah jatuh ke tangan parti pembangkang. Lantaran itu, Pakatan Rakyat ditubuhkan bagi membentuk kerajaan di negeri-negeri tersebut.

Sekarang… para pemimin Pakatan Rakyat macam tak belajar daripada kesilapan lalu. Masih ada yang buat kerenah itu dan ini. Masih ada yang nak tunjuk macho. Masih ada yang terlalu ambitious dan masih ada yang tonggong!!! Kelemahan-kelemahan inilah yang cuba dimanipulasikan oleh UBN. Kesannya… Perak dirampas dan jatuh ke tangan UBN. Perancangan jahat mereka masih dan akan diteruskan sehingga mereka berjaya merampas semula semua negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Malangnya… para pemimpin Pakatan Rakyat masih tidak belajar daripada kejatuhan Pakatan Rakyat negeri Perak. Pelik, mereka langsung tidak mengambil iktibar untuk memperbaiki kelemahan yang ada tetapi terus berbalah mengenai isu-isu yang tak sepatutnya dijadikan isu. Pakatan Rakyat kelihatan goyah dan kesempatan ini digunakan oleh UBN untuk menyerang mereka dengan pelbagai isu serta menggambarkan seolah-olah Pakatan Rakyat merupakan satu Pakatan yang rapuh dan tidak berkemampuan untuk memerintah.

Alhamdulillah… setakat ini mereka belum berjaya dan Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah masih dapat bertahan. Tetapi sekiranya senario ini berterusan, mampukah Pakatan Rakyat bertahan? Senario yang berlaku ini mengusarkan dan membuatkan rakyat, khususnya yang di atas pagar, menjadi fed up dan semakin muak terutama dengan sikap dua tiga kerat pemimpin Pakatan Rakyat yang bertindak macam dalang kepada UMNO untuk memporak-perandakan Pakatan Rakyat.

Namun, semua ini ada hikmahnya. Segala kecelaruan sikap dan tingkah laku kepimpinan dalam Pakatan Rakyat membolehkan rakyat menilai mana satu pemimpin yang boleh pakai dan mana satu yang tak boleh pakai dan patut dinyahkan, mana satu pemimpin berjiwa rakyat dan yang mana satu pemimpin hipokrit yang pentingkan kuasa dan kekayaan, mana satu pemimpin yang down to earth dan mana satu pemimpin yang egoistik, angkuh dan sukar didekati rakyat.

Kalau dulunya, rakyat meluat dengan gelagat dan perilaku para pemimpin UBN tetapi kini mereka mula meluat melihat sikap dan tingkah laku serta perangai buruk segelintir para pemimpin Pakatan Rakyat, baik daripada PAS, PKR mau pun DAP. Bagi para bloggers khususnya yang pro Pakatan Rakyat, kami masih sayangkan Pakatan Rakyat. Oleh itu, para bloggers pro-Pakatan Rakyat rasa bertanggungjawab untuk memberi maklumat serta informasi yang ada kredibiliti sebagai alternatif kepada sumber maklumat yang disebarkan melalui media-media arus perdana yang menjadi penjilat kepada UBN. Ini dapat mengelakkan minda rakyat dikongkong dan dipesongkan oleh propaganda dan dakyah UBN.

Melalui penulisan di blog masing-masing, para bloggers membuka ruang kepada rakyat untuk memberi komen, pendapat, pandangan serta kritikan terhadap isu-isu politik semasa yang diketengahkan. Ini merupakan luahan serta suara hati rakyat yang patut diberi perhatian. Para pemimpin Pakatan Rakyat mesti peka terhadap luahan serta suara hati rakyat kerana jika dibiarkan, mereka akan berasa kecewa dan kita takut nanti, padah akan menimpa Pakatan Rakyat dan UBN akan bermaharajalela semula. Rakyat memberi peluang kepada Pakatan Rakyat dalam PRU 12 yang lalu kerana mereka inginkan perubahan, seperti yang diwar-warkan melalui slogan VOTE FOR CHANGE. Rakyat telah pun membuat perubahan tetapi apakah para pemimpin Pakatan Rakyat juga berubah??

Aha… memang ada yang berubah. Ya, setelah mendapat kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada mereka, memang banyak para pemimpin Pakatan Rakyat yang ‘berubah’. Berubah macam mana??? Tepuk dada tanya selera!!!

Semua yang berlaku dan segala maklumat yang rakyat dapat melalui penulisan di blog-blog, khususnya yang pro-Pakatan telah mematangkan pemikiran dan minda mereka. Dengan itu, mereka sudah boleh membuat penilaian tentang sesuatu isu itu secara objektif. Inilah yang kita mahukan…. membentuk satu persepsi yang positif terhadap Pakatan Rakyat terutama bagi menghadapi sebarang PRK dan yang lebih utama pada PRU 13 nanti. Kita tak mahu Pakatan Rakyat kehilangan sokongan rakyat terutamanya mereka yang di atas pagar iaitu mereka yang tidak berparti. Sokongan merekalah yang hendak kita ’swing’kan kepada Pakatan Rakyat. Inilah matlamat para bloggers pro-Pakatan Rakyat. Memberi kesedaran kepada rakyat untuk memenangkan Pakatan Rakyat demi kesejahteraan rakyat.

Lantaran itu, para pemimpin Pakatan Rakyat harus mengubah persepsi mereka terhadap para bloggers terutamanya yang pro-Pakatan. Jangan pandang sumbangan dan peranan mereka dengan sebelah mata. Jangan hanya nampak mereka semasa memerlukan saja seperti semasa pilihan raya, tetapi selepas itu, mereka dilupa dan diketepikan. Apa yang mereka lakukan melalui pendedahan dan penulisan di blog-blog mereka adalah semata-mata untuk memenangkan dan memartabatkan kuasa rakyat. Dan rakyat, memerlukan para pemimpin yang mesra dan berjiwa rakyat, yang mementingkan kebajikan rakyat dan sanggup turun padang untuk mengambil tahu masalah rakyat.

Renungkanlah… Apakah para pemimpin Pakatan Rakyat yang kita ada sekarang, pemimpin rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat atau lebih menjadi pemimpin kepada parti yang lebih menghabiskan masa dengan parti daripada turun padang menjengok rakyat. Rakyat perlukan pemimpin rakyat bukan pemimpin parti!!!

Awas!! Blog-blog kini menjadi mata dan telinga kepada rakyat. Melalui paparan dan informasi yang dimuatkan dan melalui penulisan para bloggers, rakyat sudah mula membuat penilaian terhadap prestasi wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh mereka untuk menentukan samada para pemimpin ini, masih layak untuk mewakili mereka dalam PRU 13 nanti.



No comments:

Post a Comment