Tuesday, July 8, 2008

Husam : Politik Minyak

Oleh Husam Musa

Menaik atau menurunkan harga minyak, adalah pertimbangan politik.

Harga minyak dunia tidak akan terkejar, jika Negara ingin mengikut paras harga dunia. Waktu tulisan ini ditulis, ia sudah mencecah USD 146 satu tong. Sudah USD 11 lebih tinggi berbanding semasa Kerajaan mengumumkan kenaikan terakhir pada 5 Jun lepas.

Pilihan adalah samada untuk melindungi ekonomi Negara kita dan kesejahteraan rakyat atau mengejar harga dunia.

Oleh kerana Negara kita mempunyai minyak sendiri dan minyak yang kita keluarkan mencukupi untuk memenuhi keperluan kita sendiri, kita boleh memutuskan diri kita dari kenaikan harga minyak dunia. Kita tidak perlu terikut dengan harga dunia untuk menentukan harga domestik.



Untuk memudahkan pemahaman, kita andaikan semua keperluan dalam Negara menggunakan minyak yang kita sendiri keluarkan. Kita keluarkan 650,000 tong minyak sehari pada hari ini. Kita gunakan 500,000 tong. Kita masih mempunyai baki 150,000 tong sehari.

Setinggi mana pun harga minyak dunia meningkat, kita tidak perlu risau kerana harga yang kita kenakan untuk diri kita sendiri dari minyak perut bumi kita sendiri, boleh, secara teorinya, dipisahkan dari kenaikan dunia. Kecuali, keluaran kita kurang dari keperluan kita atau kita seronok mengikut rentak kenaikan harga dunia.

150,000 tong lebihan sehari, untuk satu tahun atau 365 hari ialah 54.750 juta tong. Dengan harga semasa, kita mempunyai lebihan pendapatan kasar seperti berikut;

54.750 juta tong x 150 USD x 3.20 = RM 26.280 billion setahun.

500,000 tong sehari yang kita gunakan , bukan diberi percuma. Kita menjualnya dengan harga RM 2.70 seliter. Satu tong minyak mentah boleh hasilkan 160 liter minyak petrol atau diesel.

Dengan harga RM 2.70 seliter minyak petrol, kita mendapat RM 108 juta dari jualan minyak petrol sehari jika kita andaikan separuh dari 500,000 tong dijual sebagai petrol, sebelum ditolak kos penapisan.

Ilustrasi ini, untuk menunjukkan kita mampu mengekalkan harga yang lebih rendah dari paras harga minyak dunia. Walaupun dalam keadaan sebenar, kita membeli minyak dari luar Negara untuk kegunaan domestik kerana faktor harga yang lebih rendah, tetapi ia dibiayai oleh tong minyak yang kita jualkan dengan harga dunia yang juga tinggi, bahkan lebih tinggi dari harga minyak yang kita beli.

Oleh kerana minyak kita lebih mahal kerana ia lebih berkualiti, itulah sebab kita menjual minyak kita dan membeli minyak dari luar untuk kegunaan domestik. Ertinya, jual beli tersebut tidak akan mengubah ilustrasi awal tadi bahawa kita mampu membiayai keperluan minyak domestik tanpa terikut dengan harga dunia.

Sebab itulah, harga domestik minyak di Negara pengeluar seluruhnya lebih rendah dari harga pasaran terbuka.

Point saya ialah, harga minyak dunia tidak perlu dijadikan ukuran untuk menaikkan harga minyak dalam Negara kita.

Lebih-lebih lagi, faktor politik adalah penyumbang kepada kenaikan harga minyak dunia. Ura-ura serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran, yang mungkin menyaksikan Selat Hormuz tersekat dari laluan keluar minyak Negara Teluk, iaitu 20 % bekalan dunia, akan memaksa harga minyak dunia meningkat lebih tinggi.

Tetapi faktor politik tidak selalunya kekal. Jika keadaan menjadi lebih stabil, ditambah Dollar Amerika mungkin mengukuh semula dan pengeluaran bertambah, harga minyak dunia mungkin boleh turun semula dan ia bukanlah mustahil. Jadi, hujah bahawa kita dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan harga dunia yang dijangka akan melambung tanpa had adalah masih boleh dipertikai.

Ia mungkin fenomena sementara. Dengan itu, kita masih ada beberapa tahun untuk mempertahankan harga yang rendah untuk kesejahteraan Negara sebelum membuat kajian semula.

Bekalan Minyak Negara Habis Tak Lama Lagi

Satu dari hujah yang digunakan oleh Kerajaan bagi mengiyakan kenaikan minyak ialah kerana bekalan minyak Negara akan habis dalam masa yang singkat. Kita perlu sesuaikan diri dengan harga dunia sedikit demi sedikit supaya pada waktu pengeluaran dalam Negara kita tidak lagi dapat menampung keperluan kita, kita tidak terperangkap dengan kenaikan mendadak.

Ada dua isu di sini. Isu pertama, rizab minyak kita tidak akan habis secepat yang digambarkan. Sesekali kerajaan mewar-warkan rizab kita akan habis dalam tempoh tujuh lapan tahun. Selepas didedahkan bahawa mengikut rekod Petronas sendiri, dengan kadar pengeluaran semasa, jangka hayat rizab kita boleh bertahan untuk tempoh tidak kurang dari 20 tahun dengan rizab 6 billion tong.

Sebenarnya, dengan rizab 6 billion tong dengan pengeluran 650,000 seperti sekarang, rizab kita boleh bertahan untuk 25 tahun.

Pada masa yang sama, kita menemui sumber baru minyak. Dalam pengurusan sumber minyak Negara, ada satu istilah iaitu Nisbah Penggantian Simpanan atau Reserves Replacement Ratio (RRR). Buat masa ini, Nisbah Penggantian Simpanan dalam Negara Negara, tak termasuk rizab hasil usahasama Petronas di luar Negara, ialah 1.8.

Maknanya, setiap tong minyak yang kita keluarkan, mempunyai penggantian baru dari penemuan sumber baru yang lebih tinggi iaitu satu perpuluhan lapan kali lebih tinggi.

Petronas dengan bangganya mencatit dalam buku Laporan Tahunannya seperti berikut;

“As at 1st January 2007, Malaysia’s total reserves grew by 1.4% to 20.18 billion barrels of oil equivalent (boe) from 19.91 billion boe last year as a result of the continuous exploration campaign undertaken by PETRONAS ……”

Dalam waktu terdekat, kita tidak perlu meresahkan kehidupan ekonomi kita dengan menaikkan harga minyak sedemikian tinggi. RM 2.70 adalah antara harga tertinggi bagi seluruh Negara pengeluar minyak, termasuk Mesir yang mempunyai pengeluaran harian yang jauh lebih rendah, rizab lebih kecil dan kegunaan domestik yang jauh lebih besar.

Mengapa harga Malaysia mesti lebih mahal dari Mesir? Penduduk kita tak seramai Mesir.

Kedua, bagi membolehkan satu kusyen jangka panjang kepada harga minyak kita menjelang habisnya simpanan dalam bumi kita, Negara memerlukan SATU DASAR TENAGA yang lebih komprehensif.

Kita mempunyai sumber gas asli yang jauh lebih besar. Buat masa ini, kita mempunyai tak kurang dari 100 trillion kaki padu dan sumber baru terus dijumpai.

Negara kita belum dipersiapkan sepenuhnya untuk memanfaatkan kedudukan ini. Ini adalah kelemahan perancangan.

Jika kita beralih kepada gas, penggunaan minyak boleh dikurangkan. Lebihan minyak tadi boleh dijual dan Negara akan mendapatkan keuntungan yang lebih besar.

Nanti Kerajaan akan berhujjah bahawa harga gas dunia juga telah meningkat.

Sebab itu, premis utama kita, jika kita ingin teruskan kesejahteraan rakyat, keputusan politik adalah segala-galanya. Jika kita ingin apungkan gas kita sendiri mengikut rentak dunia sedangkan ia adalah untuk kegunaan kita sendiri dari bumi kita, tentulah ia tidak ada penghujungnya. Tetapi jika kita mengenakan harga untuk kegunaan kita dari hasil bumi kita mengikut apa yang kita tetapkan, kita mampu berbuat demikian.

Pada masa yang sama, dengan perkembangan teknologi terkini, lain-lain sumber tenaga seperti solar, boleh dikembangkan untuk menampung keperluan tenaga pada masa depan.

No comments:

Post a Comment