Monday, June 2, 2008

Ezam ke arah Kerajaan Abdullah-Anwar ?

Oleh Sheih kickdefella


Ezam Mohd Noor berdiri di pentas di Kampung Kedai Piah tidak sampai 100 hari yang lalu dan menjerit-jerit dihadapan lebih kurang 300 orang mengupas hujah-hujahnya tentang bertapa buruknya UMNO dan betapa busuknya Barisan Nasional. Intipati pekikan Ezam berakhir dengan kesimpulan bahawa Kerajaan Pimpinan Abdullah Ahmad Badawi adalah terlalu hina dengan korupsi yang menjadi-jadi.

Sedekad yang lalu, Ezam keluar dari UMNO bersama enam kotak yang dilaung-laungkan sebagai berisi segala dokumen yang boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Sampai hari ini saya menanti Ezam membongkar isi keenam-enam kotak itu. Ezam rela ke penjara mempertahankan enam kotaknya. Dan minggu ini, Ezam kembali ke dalam UMNO bersama enam kotaknya.

Ezam kembali ke dalam UMNO bersama enam kotak? Apakah isi kandungan kotak-kotak itu? Hari ini segala-galanya telah jelas lagi bersuluh. Sebenarnya satu ketika dahulu Ezam keluar UMNO dengan enam kotak kosong, tetapi hari ini, Ezam kembali ke dalam UMNO dengan 6 kotak berisi.

Apakah yang diisi di dalam kotak-kotak itu? Apakah enam kotak itu berisi segala bentuk dokumen yang boleh memusnahkan Anwar Ibrahim dan mereka yang setia dengannya? Apakah enam kotak itu berisi segala dokumen dan skandal yang boleh menumbangkan kesepakatan kerajaan Pakatan Rakyat? Atau enam kotak itu berisi berjuta-juta ringgit sebagai habuan kepulangannya ke dalam UMNO.

Seorang Ahli Parlimen yang juga amat rapat dengan Anwar Ibrahim memberitahu saya, Ezam menawarkan RM10 juta kepada 3 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Perak untuk mengikutnya menyertai UMNO. Jika ini berlaku, tumbanglah kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Kembalinya Ezam ke pangkuan UMNO dijadikan pesta seperti dahulukala, bila ada pegawai kanan Parti Komunis Malaya menyerah diri, mereka dipaksa untuk membuat kenyataan terbuka dan menyebarkan propaganda Kerajaan. Melihat Ezam di kaca TV memberitahu bahawa beliau memohon untuk kembali ke dalam UMNO kerana kerajaan Pimpinan Abdullah adalah kerajaan yang Pro-Reform, bahkan Ezam seperti tidak tahu untuk menjelaskan keputusannya itu dan asyik-asyik berputar-putar pada kalimah ‘Pro-Reform’ mengingatkan saya disewaktu kecil dahulu menyaksikan bagaimana Musa Ahmad, bekas pemimpin kanan PKM tampil di kaca TV menceritakan mengapa dia menyerah diri.

Mengapa Ezam terjun ke dalam kapal yang hampir pasti akan tenggelam? Mengapa Ezam membiarkan dirinya sebagai tropi suasa Abdullah Badawi? Mungkin didalam darahnya ada sesudu dua darah amfibia dan menjadikan dia bersedia untuk melompat seperti katak.

Tetapi mungkin juga tindakan Ezam itu berdasarkan perancangan teliti yang memakan masa hampir setahun diperingkat perancangan. Perancangan yang diilhamkan oleh seorang ahli politik pembangkang yang amat bijaksana yang terkenal dengan pemikiran ‘out-of-the-box’.

Kembalinya Ezam ke dalam UMNO sudah tentu menambah percakaran di dalam Majlis Tertinggi UMNO dan juga di peringkat akar umbi di mana Ezam terpaksa bertapak semula. Ezam akan dilihat sebagai Pro Abdullah lantaran menambah gelodak akar umbi yang masih ingat siapa Ezam.

Kembalinya Ezam dilihat oleh akar-umbi sebagai satu permulaan kepada usaha membuka pintu kepada Anwar Ibrahim untuk kembali semula ke dalam UMNO dan seterusnya meneutralkan Najib Razak yang mungkin akan bergabung dengan Muhyiddin Yassin menentang Abdullah.

Anwar Ibrahim tidak pernah menghentam kepimpinan Abdullah bahkan beberapa kali Anwar tampil dalam wawancara akhbar mempertahankan Khairy Jamaluddin.

Namun, Najib Razak tidak pernah terlepas dari menjadi sasaran pelbagai tomahan oleh Anwar. Musuh Anwar di dalam Anwar jelas nampak ialah Najib Razak dan bukan Abdullah.

Apabila Anwar memberitahu rakyat Malaysia bahawa kerajaan baru akan ditubuhkan pada bulan September, apakah Anwar merujuk kepada kerajaan Abdullah-Anwar? Apakah pada bulan September Anwar akan menyertai UMNO dan akan dilantik sebagai ‘running-mate’ Abdullah untuk pemilihan pucuk pimpinan parti pada Disember 2008.

Di dalam politik tiada yang mustahil, di dalam UMNO, yang mustahil telah beberapa kali berlaku dan tentu kita masih ingat bagaimana ‘duri dalam daging’ UMNO, iaitu Musa Hitam bergabung dengan musuh tradisinya Tengku Razaleigh untuk menjatuhkan Mahathir atau lebih jelas, untuk membunuh Razaleigh ‘once and for all’?

Segala yang berkemungkinan berupaya menjadi kenyataan dan buat masa terdekat, jelas sekali kemasukkan Ezam ke dalam UMNO menambahkan lagi kekusutan yang UMNO hadapi.

Siapakah yang mendapat habuan dari bertambahnya kekusutan di dalam UMNO ini?

edyes wrote:

ya sheih, memang benar kata sheih, segalanya mungkin.

But marks my word.

I support Anwar's leadership as it takes me nearly a decade trying to believe him. And since lack of paklah governence, there is nobody else deserved the PM post but Anwar.

Upon on that, I believe he will bring full throttle of reformation in our system and of course ‘kebajikan rakyat’ will be spare. I also believe that if Anwar be our PM, All Malaysian will have a much much better life with his accountability leadership.

But, if Anwar turn to UMNO to be a PM and as a reason to reform, I will not ever to follow any kind of 360 degrees turnover leader including Anwar himself.

Jika Anwar berpaling ke UMNO, tidak kira apa alasan sekalipun, saya tidak akan mengikutnya dan meneruskan wadah perjuangan untuk menegakkan keadilan dan kebajikan rakyat.

Ingat, reformasi itu bukan untuk Anwar. Anwar adalah seorang pemimpin yang disanjung kerana perngorbanannya dan perjuangannya.

Kita reformist bukan taksub kepada pemimpin, tetapi taksub ke arah perubahan total !

No comments:

Post a Comment