Monday, April 28, 2008

Pertembungan Parlimen Bermula Hari Ini !

oleh : kelantankini.com

SELEPAS sebulan setengah berakhirnya pilihan raya umum ke-12, hari ini para wakil rakyat yang dipilih bagi peringkat parlimen akan memulakan sidang pertamanya bagi penggal kedua belas.

Persidangan yang dijadualkan selama 16 hari itu dijangka akan menjadi perbahasan ‘panas’ ekoran pertambahan wakil rakyat yang mewakili pembangkang atau Pakatan Rakyat.

Pada pilihan raya umum lalu seramai Pakatan Rakyat yang diwakili PAS, PKR dan DAP memenangi sebanyak 82 kerusi parlimen berbanding 20 pada penggal lalu, di mana pecahannya adalah PKR 31 kerusi, DAP (28) dan PAS (23).

Persidangan Dewan Rakyat kali ini mencatat sejarah apabila pihak pembangkang telah memilih seorang wakil rakyat wanita sebagai Ketua Pembangkang iaitu Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Apa yang lebih menarik ialah buat pertama kalinya dalam sejarah sejak 50 tahun (sejak merdeka), parti pemerintah tidak memperoleh majoriti 2/3 pertiga di Dewan Rakyat.

Tambah menarik lagi semua presiden atau ketua parti dari Pakatan Rakyat kini berada di Dewan Rakyat. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang (Ketua Pembangkang penggal lalu).

Dengan suara yang agak besar ini diharap banyak isu nasional dan isu melibatkan rakyat bawahan di samping isu melibatkan penyelewengan parti pemerintah dapat diketengah dan diperbahaskan dengan berkesan.

Tambahan pula ramai wakil rakyat dari PR adalah terdiri daripada pemimpin muda yang mempunyai kemampuan dalam mengupas setiap isu yang akan dibangkitkan nanti.

Tentunya persidangan kali ini amat dinanti-nantikan lebih-lebih lagi selepas tsunami politik yang melanda BN pada pilihan raya lalu ditambah pula dengan kesudian pihak RTM yang ber’murah hati’ (sebenarnya kedekut) memperuntukkan masa 30 minit (saja) secara langsung setiap hari persidangan untuk tatapan rakyat.

Inilah masanya rakyat yang menjadi pengundi melihat peranan wakil rakyat pilihan mereka sebelum ini.

Mereka boleh melihat sejauh mana keupayaan dan tingkah laku wakil rakyat masing-masing sama ada pembangkang mahu pun kerajaan.

Selamat bersidang buat semua wakil rakyat!

edyes wrote:

Tidak sabar rasanya untuk saya melihat pertembungan menarik di antara BN dan PR !

Mari kita lihat sejauh mana perginya keangkuhan BN seperti tahun2 sebelumnya.

Mari kita saksikan pertikaman keris Hishamuddin dan pedang Mahfuz.

Mari kita dengarkan perbalahan antara KJ dan Nurul Izzah.

Mari kita tontoni serangan pahlawan-pahlawan berdarah Jebat ke atas perwira berdarah Tuah.

Semua yang diperkatakan ini adalah bertunaskan isu nasional dan bertunjangkan pembangunan ummah !

Selamat Berhujah...

No comments:

Post a Comment