Wednesday, April 30, 2008

Parlimen : Laporan penuh hari pertama perbahasan

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

Perbahasan hari pertama Parlimen hangat

Seperti yang dijangkakan kemasukan 82 ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP membawa satu senario baru dalam perbahasan sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

Suasana tidak lagi seperti pada penggal yang lalu (selepas pilihan raya umum 2004) yang hanya menyaksikan babak ampu mengampu sahaja yang berlaku.Sebaliknya kali ini Dewan Rakyat menyaksikan satu kehangatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sejak Speker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memulakan sidang Dewan Rakyat jam 10.00 pagi lagi, suasana dewan menjadi gamat dengan pertikaian demi pertikaian dikemukakan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

Sidang yang sepatutnya dimulakan dengan Sesi Soalan dan Jawapan Lisan itu terganggu sementara berikutan perbalahan yang berlaku antara beberapa ahli parlimen dalam soal urutan soalan-soalan Soal Jawab Lisan, isu penggunaan perkataan-perkataan menghina, isu Aturan Urusan Mesyuarat, hak-hak ahli Parlimen dalam mendapatkan peluang menyoal balas yang mana rata-ratanya adalah isu teknikal.

Antara yang berbahas mengenai isu itu ialah, Azmin Ali (KeADILan-Gombak); Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur); Chong Chien Jen (DAP-Bandar Kuching); Dato' Bung Mokhtar Raden (BN-Kinabatangan); Ir Khalid Samad (PAS-Shah Alam); Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dan beberapa ahli Parlimen lain yang mencelah sesekali.

Tidak ketinggalan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang turut memberi pandangan-pandangannya berdasarkan pengalaman di Dewan Rakyat terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.

Speaker terpaksa menunggu hingga jam 10.55 pagi untuk memulakan seoalan pertama yang diajukan oleh Dato' Razali Ibrahim (BN-Muar) yang dijawab Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Namun jawapan yang diberi oleh Abdullah mengenai tahap kecekapan pentadbiran kerajaan dan isu-isu pembangunan tidak disenangi beberapa ahli Parlimen, yang menyebabkan mereka meminta soalan tambahan untuk diajukan kepada Perdana Menteri.

Begitupun Speaker menolak permintaan yang datangnya daripada beberapa Ahli Parlimen DAP, PAS dan wakil bebas, Dato' Paduka Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) menyebabkan suasana kembali tegang dan beberapa ahli Parlimen silih berganti bangun bagi meminta 'point of order'.

Kelam kabut dibuatnya Speaker hingga ada pula yang mencadangkan agar perbahasan ditangguhkan sementara berikutan kekalutan-kekalutan yang berlaku.

Sementara itu hanya tiga soalan sahaja yang mampu dibahaskan pagi tadi memandangkan kekalutan yang berlaku.Tiga soalan itu dibangkitkan oleh Razali (soalan pertama); Bung Mokhtar (soalan kedua) dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan Permatang Pauh) bagi soalan yang ketiga.

Sidang berjalan semula selepas Speker meminta semua ahli parlimen menunjukkan kesopanan dan daya kepimpinan mereka agar perjalanan perbahasan berjalan dengan lancar.

Semasa memulakan sesi perbahasan, Speaker menjemput Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) membentangkan usul tergempar di bawah perkara 18 (1), namun selepas membacakan usul itu dengan isinya mendesak kerajaan persekutuan memulangkan royalti minyak kepada negeri Terengganu, usul itu ditolak Speaker.

Penolakan usul itu sekali lagi menyebabkan keadaan gamat dengan beberapa ahli Parlimen termasuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena); Dr Dzulkifly Ahmad (PAS-Kuala Selangor); Dr Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) dan Ir Khalid Samad (PAS-Shah Alam) bangun mendesak penjelasan dan penimbangan semula usul itu agar dibahaskan.

Namun Speaker tidak berganjak dengan keputusannya itu, menyebabkan ramai yang marah.

Sementara itu, suasana di luar Dewan Rakyat juga tidak kurang meriahnya, ramai yang tertumpu kepada skrin-skrin televisyen yang disediakan di Lobi Parlimen untuk mendengar perbahasan yang pastinya hangat dan membuatkan jantung sentiasa bergerak laju.

Kelihatan beberapa Ahli Parlimen keluar masuk dewan, dan ada juga yang sempat menjengah Kafeteria bagi membasahkan tekak menikmati sarapan pagi dalam suasana yang agak sibuk.

Antara yang kelihatan di Kafeteria ialah, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yang duduk bersama bekas Ahli Parlimen BN Ketereh, Dato' Mohd Alwi Che Ahmad.

Seketika ternampak kelibat Presiden PAS yang keluar dari Dewan Rakyat dan terserempak dengan Presiden MIC, Dato' Seri S.Samy Vellu.Mereka bersalaman sambil jurugambar dari pelbagai media tidak henti-henti mengambil gambar mereka berdua.

Spontan dari mulut Samy menanyakan khabar kepada Presiden PAS, dan mereka kelihatan cukup mesra tanpa sebarang rasa prejudis walaupun dalam politik mereka bermusuh.

Presiden PAS seterusnya diberi laluan oleh Samy untuk ditemuramah wartawan-wartawan yang sememangnya menanti ulasan Presiden PAS itu mengenai beberapa isu yang sedang melanda negara hari ini terutamanya isu Melayu dan Islam.

Di Bilik Media pula, para wartawan sibuk mendengar perbahasan dan tidak kurang yang sinis mengkritik tingkah laku ahli Parlimen dengan 'lap top' di tangan ada yang mula menulis berita-berita panas yang berlaku pagi tadi.Semuanya mahu berita yang dilayangkan ke meja Editor akhbar masing-masing menepati kehendak dan sensasi, tidak kurang yang mahu berita mereka disiarkan segera.

Tidak kurang ada yang memerhatikan sahaja setiap gerak-geri yang terlintas di hadapan mereka.Team Harakahdaily terpaksa pulang ke pejabat pada jam 1.00 petang bagi melaporkan apa yang berlaku di Dewan Rakyat.

Ketika ini (jam 1.30 petang) sidang telah pun dihentikan Speaker pada jam 1.00 petang dan akan bersambung sebentar sahaja lagi (jam 2.30 petang). - mks.

edyes wrote :

Perjuangan sudah bermula ! Ayuh ledak segala kepincangan kerajaan BN di Parlimen !

No comments:

Post a Comment