Friday, April 29, 2016

DEBAT PERDANA: "DEKLARASI - MANA PERGI RAKYAT?"

Kenyataan Media
29 April 2016

DEBAT PERDANA: "DEKLARASI - MANA PERGI RAKYAT?"

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kini dalam fasa terakhir mempersiapkan sebuah pentas Debat Perdana bertajuk "Deklarasi - Mana Pergi Rakyat?". Debat Perdana ini bakal merungkai persoalan - apakah faedah dan keuntungan rakyat daripada Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada Mac lalu dari perspektif dua pihak yang pro dan kontra kepada penubuhannya.

Debat yang akan dilangsungkan pada 16 Mei 2016 jam 8 malam, bertempat di dewan KLSCAH menampilkan Dato' Ambiga Sreenevasan, Dato' Seri Khairuddin Abu Hassan dan YB Amiruddin Shaari di pihak pro-deklarasi manakala di pihak kontra-deklarasi pula menyaksikan kehadiran cheGuBard (PKR), Arutchelvan (PSM) dan juga sdr Haris Ibrahim (ABU). Moderator pula diserahkan kepada Pengerusi Kesatuan Mahasiswa, sdr Azzan Adnan.

Setakat ini Dato Ambiga, DS Khairuddin, cheGuBard, Arul, Haris dan Azzan telah mengesahkan kehadiran mereka manakala pihak kami masih menunggu jawapan akhir dari YB Amir.

Dalam menjayakan debat ini, SAMM juga telah menjemput beberapa pimpinan yang mengangkat Deklarasi Rakyat sejak awal penubuhan termasuklah Azmin Ali, YB Tian Chua, YB Dr Afif, namun tiada respon yang positif. Ini kali pertama Deklarasi Rakyat diperdebatkan secara terbuka dengan pertemuan dua pihak yang antonim dengan fundamental masing-masing.

SAMM melihat pembentangan hujah secara matang melalui kaedah dua hala mampu menghasilkan percambahan idea dalam erti sebenar menyelamatkan negara, berbanding forum sehala yang bias dan tepu kepada satu sudut pandangan semata-mata. 

Pertembungan idea ini juga harus diraikan sebagai satu medan buat rakyat menilai secara langsung, malah persoalan yang saling dijawab oleh kedua pihak mampu menjadi pedoman buat rakyat dalam menentukan bagaimana seharusnya tanahair gersang ini diselamatkan.

Kehadiran adalah terbuka buat semua tanpa mengira fahaman kepartian dan pengamal media dijemput untuk membuat liputan secara langsung. 

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, April 11, 2016

Mahathir Gagal Setakat Ini, Kita Bagaimana?

Tulisan Umum
11 April 2016

Mahathir Gagal Setakat Ini, Kita Bagaimana?


Pada hemat saya, Program Deklarasi Rakyat versi anak muda yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada hari sabtu lalu tidak mendapat sambutan seperti diharapkan.

Pentas penuh pemimpin muda tetapi audience hanya sedikit yang hadir, selebihnya ialah wartawan. Seolah-olah program tersebut hanya sebuah sidang media.

Pada dasarnya kita menghargai sebarang usaha orang ramai dan gerakan mana-mana pihak untuk selamatkan negara ini. Cuma apabila memilih untuk bersama deklarasi yang kononnya memperjuang 'Institutional Reform', tetapi masih bergerak atas agenda pertahan parti pemerintah (hanya ingin menjatuhkan Najib dan kuncunya), bagi kami ia tidak boleh dikompromi. Malah sosok yang melancarkan deklarasi itu juga yang merosakkan negara, yang membuka tender penindasan rakyat, yang membudayakan rasuah, yang melahirkan menteri-menteri yang ada pada hari ini, termasuk Najib.

Kami sudah berhujah panjang dalam soal deklarasi ini. Kami lancarkan kempen harapan dan amaran, kami hadir dialog, dan kami dapati langkah kami tepat dan banyak pihak yang sudah buka mata.

Lihatlah sendiri program di KSS itu, di mana sokongan anak muda, mana sokongan mahasiswa, sokongan aktivis? Jadi siapa yang sebenarnya bersama deklarasi mahathir ini, kalau bukan opportunist dan segelintir penyokongnya?

Jika dalam sesi dialog tempohari, Mahathir sebut betapa demokrasi itu adalah soal sokongan ramai, nampaknya Mahathir dan deklarasinya boleh dikatakan gagal setakat ini.

Justeru apakah kita terus benarkan kegagalan ini menjadi punca UmnoBN terus memerintah, dan pemimpin mereka terus meratah hasil mahsul khazanah negara?

Pertimbangkanlah semula, kembali ke landasan perjuangan sebenar. Tinggalkan Mahathir dan kuncunya, kita jauh lebih kuat tanpa mereka. Period.

Edy Noor Reduan

Pengarah Propaganda SAMM

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan