Monday, October 19, 2015

Apakah Himpunan 'Show Force' Mampu Ringankan Penderitaan Rakyat?


Kenyataan Media
19 Oktober 2015

Apakah Himpunan 'Show Force' Mampu Ringankan Penderitaan Rakyat?

Menganjurkan perhimpunan secara besar-besaran samada di dalam stadium mahupun di atas jalanraya dengan tujuan dan tuntutan tertentu adalah fenomena biasa. Namun bagi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), himpunan yang dianjurkan wajar memberi kelebihan dan signifikasi yang positif kepada umum khususnya rakyat marhein.

Himpunan membantah GST, himpunan bantah kenaikan harga tol dan himpunan protes harga petrol naik adalah contoh himpunan yang bertujuan meringankan beban rakyat. Manakala himpunan membantah ISA, membantah penipuan pilihanraya pula adalah contoh himpunan yang menuntut hak demokrasi. Semua himpunan yang mempunyai tujuan ini adalah demi rakyat dan wajar dibanggakan.

Baru-baru ini kita dapat saksikan satu himpunan besar yang memenuhi sebuah stadium dengan tujuan menunjuk kekuatan. Dikhabarkan ratusan bas disewa untuk membawa penyokong hadir ke lokasi himpunan. SAMM ingin bertanya apakah tujuan himpunan dianjurkan selain daripada menunjuk kekuatan? Perlukah himpunan begini dianjur ketika rakyat dan kerajaan negeri Kelantan dilihat terjerumus pelbagai permasalahan?

SAMM agak terkejut dengan kenyataan YB Husam Musa beberapa hari sebelum himpunan berlangsung. Beliau membangkitkan banyak persoalan termasuklah soal jumlah tunggakan potongan pelbagai jenis pinjaman guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencecah RM 14.6 juta hingga September 2015.  YIK ialah agensi agama kerajaan negeri Kelantan yang diamanahkan untuk menjalankan aktiviti pendidikan Islam dan pengajian bahasa Arab di Kelantan.

Antara permasalahan yang dibangkitkan oleh YB Husam termasuk gaji guru telah dipotong oleh YIK untuk caruman guru-guru berkenaan tetapi YIK tidak menjelaskan caruman itu kepada agensi sepatutnya malah bayaran caruman kepada Koperasi Maik umpamanya, telah terhenti sejak Jun 2014. Tunggakan juga berlaku kepada Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, KWSP - semua sekali 21  jenis potongan caruman yang tertunggak.

Kerajaan negeri Kelantan yang selama ini dicanang sebagai sebuah kerajaan Islam haruslah bersikap amanah dalam mentadbir sebuah negeri. Pemotongan gaji yang telah dilakukan oleh YIK tetapi tidak dibayar kepada agensi yang dicarum adalah satu perbuatan yang tidak jujur malah ia menyusahkan banyak pihak.

Dalam masa yang sama menurut Husam, pembaziran turut berlaku apabila banyak lawatan luar negara yang melibatkan exco kerajaan negeri termasuklah lawatan ke Indonesia, Russia dan Afrika Selatan. Malah dilaporkan Exco kerajaan negeri telah membuat sumbangan yang besar dalam himpunan terdahulu di Pasir Putih dengan belanja mencecah ratusan ribu ringgit.

Hari ini SAMM pula ingin bertanya, berapakah jumlah perbelanjaan untuk perhimpunan Fastaqim? Tidakkah himpunan ini menelan belanja jutaan ringgit?

SAMM memandang serius akan pembaziran ini kerana ia cukup kontradik dengan apa yang berlaku dan secara langsung melibatkan nasib rakyat khususnya di negeri Kelantan. Dimaklumkan juga bahawa mangsa bah kuning hampir setahun yang lalu masih tinggal dalam khemah dan rumah sementara yang sangat daif. Kini musim tengkujuh kembali, hujan lebat akan mula berterusan. Apakah nasib mereka ketika kalian semua berhimpun dan berpesta ular?

SAMM juga sedang merangka untuk membuat lawatan ke lokasi saki-baki mangsa banjir di Kelantan. Selain menyampaikan sedikit bantuan, SAMM juga ingin memantau keadaan sekeliling dan persediaan menghadapi musim banjir yang baru.

Akhir sekali, SAMM ingin nasihatkan berhimpun memerah keringat kehadiran orang ramai itu biarlah demi sesuatu yang bermanfaat. Jika sekadar ingin menunjuk kekuatan, ambil lah iktibar dari himpunan hijau yang juga hasilnya memenuhi Stadium Darul Aman di Kedah, nampak seolah-olah kuat dan ramai tetapi akhirnya kerajaan Pas Kedah tumbang dalam PRU-13.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Thursday, October 8, 2015

Forum: Apa Harapan Baru Pakatan Harapan? - Rundinglah Demi Rakyat!

Kenyataan Media
8 Oktober 2015

Forum: Apa Harapan Baru Pakatan Harapan? - Rundinglah Demi Rakyat!

Pasca PRU13 memperlihatkan regim pemerintah begitu selesa menghadapi pakatan pembangkang yang berantakkan hingga akhirnya berlaku perpecahan. Ketika itu rakyat terus menjadi mangsa diasak dan dihimpit, malah tanahair ini terus dibuat sesuka-hati apabila kedudukan yang pembangkang lemah tidak bermaya menyekat kerakusan rejim. Ia tidak berlaku pada ketika negara mempunyai gabungan pembangkang yang kuat.

Keyakinan rakyat untuk melihat tanahair ini diselamatkan juga kian pudar dari sehari ke sehari, mereka seolah-olah akur dengan nasib dan takdir. Siapa lagi yang harus membela nasib rakyat jika bukan gabungan pembangkang yang merasakan mereka lebih baik dan lebih berhak menerajui negara ini dengan polisi 'negara rakyat' atau negara berkebajikan. Harapan rakyat terkubur dengan meletusnya perpecahan Pakatan Rakyat yang terbina di atas gelombang kebangkitan lalu.

Mutakhir ini, muncul satu gabungan baru dengan komposisi parti yang lebih meyakinkan, dan ia dinamakan Pakatan Harapan. Kemunculan gagasan baru Pakatan Harapan ini selain meletuskan gelombang baru perlawanan menentang regim, ia juga dikatakan turut mengundang konflik dalaman dan juga beberapa pertikaian.

Apakah ia satu harapan baru kepada rakyat? Apakah komposisi parti yang menyertai sudah muktamad atau masih terbuka? Apakah ada pergolakan dalaman terbaru dengan penubuhan Pakatan Harapan?

Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil inisiatif awal menganjurkan sebuah forum terbuka dengan mempelawa tokoh-tokoh yang mampu menjawab persoalan "Apa Harapan Baru Pakatan Harapan" yang juga sebagai tajuk forum. Antara tokoh yang mengesahkan kehadiran sebagai panelis termasuklah YB Khalid Samad (Amanah), YB Tian Chua (Keadilan), Wakil DAP, Saudara Arul (PSM), juga wakil golongan intelektual Dr Maszlee Malik dan che'GuBard sebagai Moderator.

SAMM mengajak semua pihak yang merasakan mereka memperjuang nasib rakyat yang kian tenat untuk kembali ke meja rundingan. Pentas forum anjuran SAMM ini juga merupakan satu anjakkan penting mencari titik persamaan dan sebuah 'pre-council' penyelesaian 'mutual'. Tanahair ini memerlukan satu gabungan pembangkang yang mantap untuk menumbangkan regim, atau sekurang-kurangnya membela rakyat dengan kekuatan yang menerbit rasa gerun pemerintah.

Berikut adalah butiran forum;

Forum : Apa Harapan Baru Pakatan Harapan
Anjuran: SAMM Kebangsaan
Tarikh & Masa: 11 Okt (Ahad) 8.45pm
Panelis: Yb Khalid Samad, Yb Tian Chua, Wakil DAP, Dr Maszlee Malik, Sdr Arul PSM
Moderator: che'GuBard
Lokasi: PAGER SAMM
No 334, Jalan Haruan 5/8,
Oakland Commercial Centre 2,
Seremban, N.Sembilan
Koordinat: 2.701912 , 101.919265
contact person: 019-6858558 (Azif)

Forum akan disiarkan secara langsung melalui SuaraTV dan SAMM menjemput pihak media lain supaya turut hadir membuat liputan. Orang ramai dijemput hadir di alamat seperti tertera.

Ayuh, kita semeja merungkai kekusutan, mencapai kata sepakat, demi rakyat.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan