Sunday, August 30, 2015

Melagakan Azmin dan DAP Adalah Tafsiran Yang Salah (Kecewa fitnah AntaraPos)

Kenyataan Media
30 Ogos 2015

Melagakan Azmin dan DAP Adalah Tafsiran Yang Salah (Kecewa fitnah AntaraPos)

Merujuk kepada laporan berita (http://antarapos.com/bm/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WmbpVmaA==) bertarikh 28-08-2015 12:08 ditulis oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar yang jelas ia merupakan satu fitnah.

Dalam berita tersebut Antara Pos tersebut dengan sengaja menfitnah cheGuBard dengan mengatakan kononya cheGuBard dalam satu forum menyebut DAP mahu menjatuhkan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor apabila membangkitkan isu Darul Ehsan INVESTMENT Group (DEIG) di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Setelah meneliti berkali kali rakaman video forum tersebut dengan jelas laporan AntaraPos ini fitnah jahat.

Dalam forum tersebut, pihak yang mendakwa DAP menggunakan isu DEIG untuk menjatuhkan Azmin Ali adalah dari pengerusi forum dan juga respon seorang lagi panel lain, mungkin dengan tujuan bagi memberi persepsi buruk menunjukkan bagaimana jahatnya DAP mencaturkan politik menjatuhkan individu. Namun cheGuBard menjelaskan isu DEIG ini bermula 'panas' dengan dibangkitkan oleh YB TS KHALID IBRAHIM (adun bebas) bukan DAP yang bangkitkan. 

Hanya kemudian selepas Khalid bangkitkan baru ia mendapat respon wakil DAP, malah ditegaskan bukan sahaja wakil DAP tetapi wakil PAS dan wakil Umno dalam dewan juga turut respon. Jadi cheGuBard dengan jelas menegaskan tidak perlu ada pihak yang cuba 'spin' isu ini sebagai isu perkauman bagi memburukkan DAP.

Ketika memberikan komen berkenaan isu ini dalam forum tersebut dengan jelas cheGuBard menyatakan yang seharusnya malu dalam perkembangan ini ialah pembangkang utama di Selangor iaitu wakil - wakil umno kerana sepatutnya ia dibangkitkan oleh wakil Umno tetapi Umno yang sangat lemah sebagai pembangkang sehingga tidak mampu melantik ketua pembangkang terpaksa menanti Adun bebas Khalid untuk membangkitkan perkara itu barulah kemudian disambut oleh Umno.

SAMM dengan tegas menggesa AntaraPos membetulkan laporan ini yang jelas berniat jahat dan seolah cuba memburukkan cheGuBard dan menjejaskan hubungan SAMM dengan DAP.

SAMM juga memohon ADUN Bukit Gasing (DAP) sebelum memberikan komen kepada media seharusnya beliau memastikan dahulu kedudukan sebenar. Kami yakin YB Rajiv Rishyakaran sendiri tidak menonton rakaman forum tersebut sebaliknya hanya memberikan komen terus tanpa ketahui kebenaran apabila dihubungi wartawan antarapos.

Kami tidak menolak untuk mengambil tindakan lanjutan jika pembetulan dan permohonan maaf tidak diperolehi secara terbuka dalam masa terdekat.

sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, August 21, 2015

SAMM Dah Kata, Mahathir Bukan Selamatkan Malaysia

Kenyataan Media
21 Ogos 2015

SAMM Dah Kata, Mahathir Bukan Selamatkan Malaysia

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) selama ini menyongsang arus apabila memilih kempen #SudahlahMahathir ketika banyak pihak menjadikan Mahathir kereta kebal ampuh melawan Najib. Malah SAMM dikeji dan ditohmah oleh banyak pihak termasuklah dituduh menyokong pentadbiran Najib hanya kerana menentang Mahathir dengan keras. 

Namun kenyataan Mahathir semalam adalah satu tamparan hebat buat ahli politik pembangkang yang selama ini menjadikan populariti Mahathir sebagai modal perlawanan dan pedoman dengan perkiraan 'Musuh kepada musuh adalah rakan'. 

Terdahulu, Penasihat DAP Lim Kit Siang mempelawa Mahathir bersama DAP untuk melawan Najib. Mutakhir ini, Presiden PKR yang juga ketua pembangkang menyucikan dosa-dosa Mahathir apabila secara terbuka menyambut seruan Mahathir menyingkirkan Najib. Hampir semua Ahli Parlimen pembangkang mengikut rentak Mahathir. 

Akhirnya lewat petang semalam, dengan populariti yang turut didokong sendiri oleh pihak pembangkang, Mahathir menasihatkan pembangkang supaya terus bekerja keras menumbangkan Najib namun dalam masa sama harus mengekalkan pentadbiran Barisan Nasional. 

Sekarang apa kata parti pembangkang? Apakah parti pembangkang akhirnya akan akur kepada seruan Mahathir mengekalkan pentadbiran BN? 

Mahathir adalah penipu, setiap kata-katanya adalah penipuan. Mahathir hanya tidak menipu ketika berdiam diri, itupun kita harus berhati-hati kerana pastinya Mahathir yang berdiam itu sedang merancang untuk penipuan seterusnya. 

Mahathir bukan mahu selamatkan Malaysia, malah Mahathir bukan mahu selamatkan Umno pun. Mahathir-Najib atau Mahathir-Paklah atau Mahathir-sesiapa sahaja adalah pertembungan meletakkan kroni bagi menjarah khazanah tanahair. Noktah.

Sebelumnya Mahathir telah memohon maaf kepada umum kononnya pilihannya kali ini gagal. Harus disedari, Najib adalah pilihan kedua Tun Mahathir selepas Pak Lah. Persoalannya, apakah kita rakyat Malaysia harus terus memberi ruang kepada Tun Mahathir menentukan siapa yang berhak menjadi Perdana Menteri? 

SAMM juga tidak pernah sesekali bersetuju dengan idea menurunkan Najib untuk digantikan dengan seorang lagi pemimpin politik daripada UMNO/BN. SAMM menegaskan tuntutan untuk diwujudkan Kerajaan Sementara (Caretaker Government) meliputi semua Parti Politik bagi menyelesaikan krisis yang sedang berlaku dan mempersiapkan Malaysia untuk menghadapi Pilihanraya Umum yang bersih, adil dan telus dalam tempoh maksima 18 bulan.

SAMM terus kekal dengan pendirian dan akan tetap meneruskan kempen ‪#‎SudahlahMahathir‬ kerana Mahathir adalah perlambangan kepada sistem sedia ada yang rosak dan korup. SAMM juga ucap tahniah kepada Lim Kit Siang dan Wan Azizah yang meng'hero'kan Mahathir dan seterusnya menyokong agenda 'kekal BN' Mahathir.

Sekian,

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Monday, August 17, 2015

Kenyataan SAMM: Mahathir tidak mendapat keadilan liputan Media?

Catatan Umum
17 Ogos 2015

Mahathir tidak mendapat keadilan liputan Media?

1. Sudah dua bulan SAMM memulakan kempen #sudahlahMahathir, kempen ini mendapat sokongan perbagai pihak tanpa menafikan kekeliruan dan penentangan juga wujud dan bukan senang untuk mendapat liputan media bagi menerangkan secara jelas kempen ini.

2. Terbaru akhbar Sinar Harian di mana sepanjang minggu lepas kami sudah memulakan 'hubungan' bagi menyiarkan tulisan penuh mengenai 'apa dia kempen #sudahlahMahathir'. Telah dipersetujui tulisan tersebut akan disiarkan dalam ruangan pendapat akhbar tersebut, namun malangnya malam semalam (16 Ogos) saya dihubungi memaklumkan tapisan peringkat tertinggi akhbar tersebut telah menolak menyiarkan mengenai kempen #sudahlahMahathir.

3. Sebelum itu sebuah akhbar online The Malaysian Insider di mana banyak menyiarkan tulisan aktivis SAMM termasuk berita mengenai SAMM sebelum ini tetapi pada satu peringkat ketika kempen #sudahlahMahathir mula 'panas' salah seorang editor kanan media berkenaan memaklumkan kepada salah seorang aktivis SAMM bahawa tulisannya terpaksa ditolak kerana anti Mahathir dan perlunya dia menulis tajuk lain dan 'InsyaAllah' akan disiarkan. Jika ini zaman Mahathir bayangkan, bukan media tidak pro dia malah media yang tidak menyerang musuh politiknya pasti akan sengsara.

4. Ini menguatkan kepercayaan SAMM bahawa media bebas itu sebenarnya suatu yang hampir tidak wujud. Media pasti akan melapor hanya berdasarkan kehendak 'tauke' mereka atau paling tidak kehendak pasaran. Kerana itu dalam Blue Print #NegaraPembaharuan yang akan diterbitkan nanti, dalam perihal Media kami menegaskan media bebas tidak wujud tetapi perlu didesak ialah kebebasan mewujudkan media itu. Media harus bebas cengkaman penguasa.

5. Kami faham ramai tersedut dan terpesona serta mengherokan Mahathir, malah isteri Anwar Ibrahim sendiri dilaporkan The Malaysian Insider' seolah membasuh semua durjana Mahathir klik http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/wan-azizah-syukur-dr-mahathir-kini-faham-perasaan-rakyat

6. Namun kami tegas Mahathir ialah punca kerosakan negara. Ya, Najib punya masalah sebegitu juga Abdullah Badawi tetapi menjatuhkan seorang PM (individu) semata - mata dengan melantik seorang lagi individu ikut 'tunjuk' Mahathir tidak mengubah keadaan malah terus memerangkap negara jauh dalam kehancuran.

7. Sila klik sini http://chegubard.blogspot.com/2015/08/apa-dia-kempen-sudahlahmahathir.html untuk membaca dan memahami apa dia kempen #sudahlahMahathir itu sebenarnya.

8. Yang didesak SAMM ialah ke arah negara perubahan sila klik sini http://anakmudamalaysia.com/2015/08/rethinking-merdeka-negara-perubahan/ untuk memahami apa dia 'negara perubahan' dan bentuk Kerajaan Peralihan  (Caretaker Government) yang didesak oleh SAMM.

9. Kepada semua khususnya kepada pemimpin Pembangkang, sampai bila kita harus mengikut skrip yang sama semata ? Kita tidak perlu bergantung kepada Mahathir. Ikut skrip lama selepas singkir Abdullah, tiada tindakan diambil untuk memulangkan khazanah rakyat.Selepas itu berlaku pilihanraya, Mahathir yang kita latih rakyat rujuk dan herokan Mahathir akan membelasah kita dengan teruk semula. Adakah kita mahu ikut skrip yang sama ?

sekian.

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Thursday, August 13, 2015

Saman Najib dan SPR, SAMM Ucap Tahniah PKR

Kenyataan Media
13 Ogos 2015

Saman Najib dan SPR, SAMM Ucap Tahniah PKR

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ucap tahniah buat PKR di atas tindakan saman terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas dakwaan membelanjakan RM2.6 bilion duit derma dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, melanggar Akta Pilihan Raya 1954.

Selari dengan pendirian SAMM sejak dari awal pendedahan Wall Street Jurnal, gesaan YB Nurul Izzah agar mahkamah membatalkan keputusan bagi semua 222 kerusi Parlimen dalam PRU13 lalu dan mengadakan pilihan raya semula dilihat sebagai satu kenyataan berani yang menunjukkan kesediaan PKR mengembalikan semula kuasa kepada rakyat.

Bagi SAMM, seharusnya sebuah badan NGO yang mempunyai gagasan terbesar seperti BERSIH harus mengambil peranan membawa perkara ini ke peringkat mahkamah. Ia jauh lebih baik kerana BERSIH wajar dilihat bersih dari kepartian, maka sudah pasti desakkan itu akan lebih bersifat neutral dan jauh lebih besar nilainya.

Inilah jalan yang SAMM cuba gambarkan dalam kempen #SudahlahMahathir, kempen ini mensasarkan perubahan sistem bukan sekadar perubahan individu. SAMM menegaskan hanya menjatuhkan Najib dan menaikkan seorang lagi PM ikut tunjuk Mahathir tidak membawa erti apa-apa selain menyambung kesengsaraan rakyat.

SAMM dalam masa yang sama dengan tegas mencadangkan Kerajaan Peralihan (Caretaker Government) ditubuhkan bagi mengganti kerajaan sedia ada. 'Caretaker Government' ini merupakan satu kerajaan sementara yang terdiri daripada anggota Dewan Rakyat merangkumi wakil-wakil daripada kesemua Parti Politik yang ada di dalam Dewan tersebut.

Kerajaan Peralihan ini akan beroperasi mengikut tempoh masa yang sesuai bagi tujuan menyelesaikan beberapa perkara yang mendesak. Tempoh masa yang dicadangkan adalah 18 bulan. Selepas itu, Kerajaan Peralihan ini wajib membubarkan Parlimen dan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih sebuah Kerajaan yang baharu.

Dalam tempoh masa Kerajaan Peralihan ini, SAMM menggariskan beberapa perkara yang dilihat agak kritikal untuk dirombak semula supaya Malaysia dapat diletakkan ke landasan yang sebenar. Sila ke pautan http://anakmudamalaysia.com/2015/08/rethinking-merdeka-negara-perubahan/ (Rethinking Merdeka - Kerajaan Perubahan) untuk maklumat selanjutnya.

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, August 4, 2015

Jangan Dihancurkan Negara Hanya Kerana Sebuah Derma

Tulisan Umum
4 Ogos 2015

Jangan Dihancurkan Negara Hanya Kerana Sebuah Derma

Kepada semua teman yang pernah menghina dan memperlekeh integriti keperibadian Perdana Menteri kita yang perlu saya sebut di sini iaitu Dato' Seri Najib Tun Razak, adalah lebih baik kalian semua menginsafi perbuatan kalian dan bertaubatlah jika perlu. Saya sendiri berasa amat takut dengan gumpulan-gumpulan dosa di atas pelbagai hamburan dan tohmahan selama ini terhadap DS Najib dan keluarganya. 

Kalau boleh ingin saja saya hadir melawat Seri Perdana dan merafak kemaafan dengan setulus ikhlas serta memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau. Ingin saja saya bersalam dan mencium tangan Wanita Pertama yang perlu saya sebut di sini iaitu Datin Seri Rosmah Mansor jika ini dibenarkan. 

Pengakuan saya ini sama sekali tidak bermaksud membodek hanya kerana beliau seorang multi-bilionair, mohon jangan sesekali tindakkan saya ini disalah-erti, benar saya ikhlas. Janganlah ditambah dosa kering saudara sekalian, cukuplah yang sedia ada itu barangkali mampu mengheret kalian ke neraka.

Ingin saya imbas di sini, DS Najib lahir dari kalangan bangsawan iaitu Perdana Menteri Malaysia ke-dua, Tun Abdul Razak. Diberi didikan terbaik dari dalam dan luar negara. Cukup berkarisma bukan sahaja untuk memimpin 3 juta ahli umno seluruh dunia, malah untuk menjadi nakhoda melayarkan negara ini menjadi sebuah negara maju. Saya maksudkan layar bahtera, bukan layar perak.

Malah beliau juga mempunyai jodoh yang baik dikalangan terbaik, kerana sudah tertulis orang yang soleh akan bertemu jodoh yang solehah. DS Rosmah wajar menjadi ikon kebangsaan sebagai Wanita Pertama yang menjadi tulang belikat buat Perdana Menteri kita, sebagai cheque and balance.

Ekoran pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, yang mengesahkan RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi DS Najib merupakan sumbangan penderma, saya melihat segala tindak tanduk DS Najib mentadbir negara ini khususnya rombakkan kabinet yang dibuat minggu lalu adalah bertepatan. Sekurang-kurangnya telah diakui dan disahkan wang tersebut selamat di akaun Perdana Menteri kita. Ia lebih baik berbanding tidak mengaku apa-apa atau menafikannya. 

Kita maklum bahawa wang sebanyak RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib adalah duit derma, bukan duit penyelewengan atau rasuah mana-mana pihak dan ia tiada kena-mengena dengan 1MDB seperti yang dilaporkan. Tuduhan melampau oleh bekas TPM dan Tun Mahathir akhirnya terjawab hingga Mahathir sendiri terpaksa akui kemungkinan Muhyiddin melakukan jenayah besar hingga terpaksa diketepikan dari kabinet Najib. 

Malahan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia yang perlu saya sebut di sini iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Presiden parti Islam PAS yakin bahawa Najib tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Ia adalah satu penilaian yang tepat oleh seorang ulamak. Apakah kita ular yang biasa-biasa ini berani membangkangnya? Sokongan TG Hadi Awang ini harus menjadi azimat untuk kita semua memberi sokongan padu terhadap DS Najib Razak.

Janganlah pula kita persoalkan dari mana sumber datangnya sejumlah wang bernilai RM2.6 bilion. Siapa yang menderma yang tidak penting asalkan yang menderma itu ikhlas kerana Allah, tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima. Siapa kita untuk menilai sebuah keikhlasan? 

Jumlah RM2.6 bilion itu juga amatlah kecil jika dibandingkan dengan jumlah RM800 bilion hutang negara. Tidakkah kalian nampak jurang perbezaan yang ketara? Justeru saya fikir janganlah perihal derma RM2.6 bilion ini diperbesarkan.

Janganlah pula kita tanya ke mana wang ini dibelanjakan. Sebagai rakyat, kita boleh sahaja mempersoal penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam negara ini, contohnya skandal 1MDB. Namun wang derma yang masuk terus ke akaun DS Najib adalah hak beliau untuk membelanjakannya dengan berhemah. Siapa tahu, ribuan rumah mangsa banjir di Kelantan yang siap sebelum raya tempohari mungkin sebenarnya dari wang RM2.6 bilion ini? Tidak hairanlah mengapa parti pembangkang PAS bersikap mesra BN umpama salah sebuah parti komponen. 

Beberapa pihak dilihat menuduh wang RM2.6 bilion ini digunakan sebagai dana perbelanjaan PRU-13 adalah sama sekali tanpa bukti. Hanya kebetulan wang ini masuk dua bulan menjelang pilihanraya umum tidak boleh dijadikan sandaran kepada dakwaan tersebut. Lagipun, wang ini masuk ke akaun peribadi, bukan akaun parti. Jadi janganlah dipertikan kemenangan BN dalam pilihanraya lalu. 

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memberi nasihat kepada semua rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak gopoh dalam membuat penilaian. Janganlah kita memilih demonstrasi jalanan hanya kerana wang derma RM2.6 bilion ini. Negara kita ada undang-undang, malah ada Peguam Negara baru yang jauh lebih matang.

Demonstrasi jalanan hanya akan menyebabkan negara mampu menjadi huru-hara. Walaupun jutaan umat Malaysia berada di Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 29 Ogos nanti, pihak polis pastinya sudah bersedia dengan pelbagai kelengkapan termasuklah gas pemedih mata dan air gatal 'watercanon'. Garam yang sedikit tidak mampu merawat kepedihan mata, dan walaupun setiap yang hadir membawa payung hitam, ia mungkin tidak mampu menghadang corong canister yang terbang ke arah kalian, apatah lagi semburan air gatal. 

Janganlah salahkan pihak berkuasa sekiranya kalian dipukul dengan cota, dan dipijak dengan kasut boot besi. Saya tahu kalian semua sangat berani, saya tahu kalian tidak takut mati demi tanahair, tetapi sayangilah diri sendiri dan keluarga. Jika marah sangat pun, cukuplah hambur kemarahan di media sosial, kerana mungkin itu sahaja kualiti kita.

Janganlah hadir berdemo dalam aksi Bersih 4 hujung bulan nanti hanya kerana wang derma RM2.6 bilion. Ia mungkin akan menyebabkan kehancuran ke atas negara ini, walaupun kita mampu saja bina semula dengan lebih baik, tetapi lebih baik jangan ambil risiko kerana tanpa risiko tiadalah perubahan. Ada juga yang berkata "The biggest risk is not taking any risk", ini jangan dipercaya.

Kita harus berterima kasih kerana masih bernafas dengan percuma, dan dibayar elaun BR1M setiap 3-4 bulan, ini idea DS Najib bukan Ahmad Maslan. Ingin juga saya bertanya di sini, berapa ramai di antara kita yang sudah berterima kasih kepada DS Najib yang menurunkan harga petrol sepuluh sen walaupun ketika ringgit menjunam hampiri RM4 sedolar?

Kita harus bersyukur negara ini masih lebih baik dari kebanyakkan negara Afrika yang rakyatnya kebuluran. Negara kita ini belum ada yang kebuluran, jadi mengapa perlu kita lawan kerajaan? Malah kita juga harus berbangga kerana mempunyai seorang Perdana Menteri sanggup bertahan walau apa pun rintangan.

Saya bangga menjadi sebahagian rakyat Malaysia yang terus bersabar. Bersabar itu bukan bermaksud dungu, ia lebih dari itu.

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan