Kenyataan Media
29 Disember 2015
SAMM Kecam Penahanan Khairul Nizam Hanya Kerana Bercakap Benar
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengecam penahanan seorang aktivis masyarakat di bawah akta hasutan dan menuntut supaya saudara Khairul Nizam atau nama pena Aduka Taruna dibebaskan segera.
Khairul Nizam telah hadir sendiri ke IPD Dang Wangi pagi semalam untuk memberi keterangan, maka tidak ada sebab untuk beliau direman kerana telah memberi kerjasama yang baik.
Setelah diteliti tulisan yang kononnya menyebabkan beliau ditahan di bawah akta hasutan, SAMM mendapati ianya adalah satu tulisan yang jujur selain menjadi nasihat yang sangat berguna kepada mana-mana institusi kesultanan. Malah tiada juga unsur-unsur kebencian terhadap mana-mana pihak.
SAMM menuntut pihak berkewajiban supaya meneliti semula tulisan Khairul Nizam dan membuat tafsiran dengan lebih bijak khususnya dari sudut maksud penulisan beliau dipaparkan.
Penahanan Khairul Nizam juga menjadikan tahun 2015 sebagai tahun menangkap aktivis dan ahli politik, ia tidak ada bezanya dengan zaman kerakusan Mahathir menggunakan akta hasutan demi mengekalkan kuasa 22 tahun pemerintahannya.
Sekian
EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia