Wednesday, March 26, 2014

Demokrasi Terus Hancur, Pimpinan PR Dihalang Masuk Sarawak Untuk Berkempen

Kenyataan Media 
26 Mac

Demokrasi Terus Hancur, Pimpinan PR Dihalang Masuk Sarawak Untuk Berkempen

Solidariti Anak Muda Malaysia Sarawak (SAMM Sarawak) mengecam keras ke atas penafian pimpinan PR yang dihalang untuk memasuki salah satu negeri di dalam Persekutuan Malaysia. Hak sebagai anak watan telah dinafikan dengan angkuh oleh seorang ketua menteri yang memerintah di atas mandat yang diberikan oleh rakyat demi kelangsungan politik yang sempit.

Setelah kita merdeka dan bersama dalam satu gagasan persekutuan, undang-undang dracornia masih dikekalkan oleh rejim pemerintah dengan alasan dangkal. Di dalam masa  yang sama, rakyat di seluruh negara di arah bersatu hati dalam menghadapi pelbagai maslahan yang kian meruncing namun, rejim penguasa begitu angkuh menggunakan undang-undang di zaman penjajah.

Tindakan pengusiran terhadap tiga pimpinan PKR iaitu Setiausaha Agung Dato Saifuddin Nasution, Naib Presiden Tian Chua dan Pengarah Strategi PKR Rafzi Ramli yang datang untuk bersama dalam Pilihanraya Kecil N51 Dun Balingian. Tindakan ini adalah jelas bahawa pihak rejim kini ketakutan setelah banyak kepincangan dan kelemahan yang didedahkan bagi membendung amarah kebangkitan rakyat setelah menyaksikan kebangkitan rakyat yang berlaku di PRK  N25 Kajang yang baru saja melabuhkan tirainya.

Sekali lagi, pihak SAMM Sarawak mengutuk dengan keras hak demokrasi yang seringkali dilaungkan oleh rejim pemerintah berlandaskan semangat demokrasi berparlimen yg didokong oleh seluruh rakyat negara ini.

Norazarizah Rahman
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Sarawak

Friday, March 21, 2014

Umno bincang : Jika Mca kalah besar Dun Kajang akan diberi pada Umno selepas ini

Kenyataan Terbuka
20 Mac 2014

Umno bincang : Jika Mca kalah besar Dun Kajang akan diberi pada Umno selepas ini

Politik perkauman akhirnya memerangkap Bn. Seperti biasa di kawasan Melayu Bn akan berkempen untuk menolak PR kononya PR ini liberal dan tidak mementingkan agama juga sering mengenepikan kepentingan Melayu untuk kepentingan orang bukan Melayu khususnya Cina. Sebaliknya di kawasan bukan Melayu khusus Cina Bn pula memainkan kompang berbunyi perlu undi Bn kerana PR ini ekstrimes agama Islam dan Melayu.

Di Kajang mereka terperangkap, dalam kelekaan mereka ingin mengepung undi orang Cina dengan berkempen secara terbuka 'orang Cina harus undi orang Cina' mereka kemungkinan akan hilang banyak undi orang Melayu.

Bukan satu yang perlu diselindungkan Umno akar berusaha untuk menghantar calon Umno dalam PRK kali ini. Kenyataan menghantar calon Umno ini turut disambut dan di utarakan oleh pemimpin bertaraf Menteri pada peringkat awal lagi. Tuntutan peringkat akar umbi ini dilihat cukup munasabah jika mengikut sifir politik pengasingan kaum yang diamalkan Bn kerana majoriti pengundi Kajang ialah Melayu sebanyak 49 % dan orang Cina hanya 40 % sahaja. 

Malah jika dilihat pencapaian Bn dalam dua pilihanraya umum kebelakangan ini jelas MCA sudah hilang populariti khususnya kekalahan besar di Kajang. Malah dari segi Jentera MCA sendiri terpaksa bergantung banyak dengan Umno.

Namun Presiden Umno yang lemah (berdasarkan cakap - cakap kalangan Umno di bawah) gagal menempatkan Umno sebagai calon sebaliknya akur dengan MCA yang sedia lemah.

Bukan sedikit ketidak puasan hati dikalangan ahli Umno bawahan rupanya. Beberapa pertemuan telah dibuat ada yang mengikrarkan akan mengundi PKR, ada yang tidak mahu keluar mengundi, ada yang mahu melakukan undi rosak malah ada yang sehingga menjangkau kecewa dengan kelemahan Umno itu membela Melayu hingga memutuskan keluar dari Umno dan memasuki PKR.

Contohnya pada 14 Mac lepas di Pentas Karnival Rakyat Selangorku anjuran SAMM dan Pejabat Exco Alam Sekitar, Pelancongan dan Kepenggunaan, sekumpulan yang selama ini dikenali sebagai tegar Umno telah mengikrarkan sokongan dengan menghantar borang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Antara yang mengisytiharkan kemasukan tersebut antaranya ialah
  • Timbalan Ketua Cawangan Sg. Kantan Peringkat 3, 
  • Ketua Wanita Cawangan Sg. Kantan Peringkat 3, 
  • Bekas Ketua Cawangan Bt. 9, 
  • Ketua Beliau Seksyen 9, Bandar Baru Bangi
  • Ketua Belia Taman Sri Minang
juga beberapa aktivis Melayu yang selama ini tegar Umno seperti
  • Ayahanda Din (Sg. Jelok)
  • Ayahanda Dollah (Semenyih)
  • Ayahanda Mohar
  • Naib YDP Pemadam Kajang
dan kumpulan yang menyerahkan sekitar 87 borang keahlian diketuai sendiri oleh Tn Hj Omar selaku Presiden Gabungan Persatuan Melayu Selangor / Wilayah Persekutuan.

Menariknya selain kumpulan yang telah secara terang menyokong dengan memasuki PKR ini ada ramai ahli Umno termasuk beberapa Ketua Cawangan ketika dalam pertemuan tertutup menyatakan dengan jelas. Mereka dengan persetujuan pimpinan 'atasan' akan melakukan undi protes sama ada tidak keluar mengundi atau undi rosak atau terus mengundi PKR kerana hujah mereka jika Mca kalah besar kali ini pasti kerusi Dun Kajang akan diberikan kepada Umno selepas ini.

Perbincangan untuk mengalahkan Mca ini juga wujud dikalangan Umno yang memang membenci PKR kerana hujah mereka sama ada Bn Menang atau kalah tak mengubah apa, PR masih MB dan Bn masih PM. 

Apa pun bagi SAMM melihat ini sebagai bukti politik perkauman itu sendiri yang selama ini menjadi kekuatan Bn akan memusnahkan Bn itu sendiri.

Dalam perkembangan hampir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurop dalam satu ucapan di depan masyarakat Cina telah membuat ucapan yang berbau perkauman melampau. Ucapan ini lebih parah dibuat dalam program penyampaian bantuan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional. Sudahlah menggunakan dana rakyat untuk berkempen lebih malang lagi dalam peruntukkan yang sepatutnya memperkukuh perpaduan tetapi Menteri ini telah memecah belahkan rakyat lagi.

SAMM sendiri telah membuat satu laporan Polis mengenai kejadian tersebut.

Rakyat Kajang harus mengambil kesempatan untuk menunjukkan kematangan rakyat menolak politik adu domba perkauman jahat Bn.

Satu undi untuk Bn ia undi untuk memecah belah masyarakat, satu undi untuk PKR-PR ia undi untuk perpaduan nasional.

Sekian.

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia

Thursday, March 20, 2014

JEMPUTAN SIDANG MEDIA: Laporan Polis Menteri Salahguna Kuasa | 11pg | 21Mac | IPD Kajang

MEDIA ADVISORY

Kepada tuan editor dan pengamal media,

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengadakan satu sidang media mengenai kes salahguna kuasa seorang menteri. Salah seorang komrad SAMM juga telah dipanggil polis untuk ambil keterangan.

Berikut adalah maklumat venue sidang media;

Tarikh: 21 Mac 2014 (Jumaat)
Masa: 11 pagi
Venue: Depan IPD Kajang
Pertanyaan: 012-6794704 (Yaser), 016-6858558 (Azif)

Orang ramai dijemput hadir memberikan sokongan khususnya pihak wartawan untuk membuat liputan sidang media ini.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Wednesday, March 19, 2014

PELANCARAN JELAJAH #RAKYATBANGKIT REFORMASI 2.0 "KEMBALIKAN KEADILAN - HENTIKAN KEZALIMAN" | JUMAAT 21MAC | STADIUM KAJANG

Kenyataan Media
19 Mac 2014

PELANCARAN JELAJAH #RAKYATBANGKIT REFORMASI 2.0 "KEMBALIKAN KEADILAN - HENTIKAN KEZALIMAN"

Waktu rehat dari keletihan yang diharungi dalam usaha menyelamatkan negara ini melalui pilihanraya umum ke13 pada tanggal 5 Mei tahun lalu telah sampai ke penghujungnya. Kini sudah tiba masanya Rakyat Malaysia bersedia untuk aksi lebih besar. 

Belum pun masuk setahun kemenangan Barisan Nasional dengan penuh penipuan pada PRU13, mereka telah menunjukkan taring dengan menghukum bukan sahaja pemimpin politik lawannya, malah rakyat jelata turut menjadi mangsa kezaliman. Satu persatu pemimpin dan pejuang rakyat dalam rangka disumbat ke penjara, dalam masa sama juga satu persatu janji 'rakyat didahulukan' dicemari tanpa ehsan. 

Justeru itu, ayuh kita tamatkan segera onar penderitaan rakyat dengan bersama melancarkan satu fasa gagasan perjuangan yang diperbaharui - #RakyatBangkit REFORMASI 2.0 "Kembalikan Keadilan - Hentikan Kezaliman".

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai tuan rumah aksi kali ini menyeru kehadiran orang ramai pada 21 Mac 2014 jam 8.30 malam di Stadium Kajang dalam aksi Pelancaran Jelajah #RakyatBangkit REFORMASI 2.0. Ia sebuah himpunan permulaan, hadirlah dengan tema hitam sebagai lambang perlawanan, ini masanya rakyat menunjuk kekuatan.

SAMM menggesa semua pihak bersatu, kerana rakyat yang bersatu tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana regim sekalipun. SAMM menjemput semua pihak bersama menjayakan hari besar titik mula perlawanan baru ini.

Siri himpunan #RakyatBangkit REFORMASI 2.0 akan menjelajah ke seluruh negara sebelum hari kemuncaknya - bersama himpunan gergasi 1 May di medan jalanraya.

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Kehadiran awal di sebelah petang amatlah digalakkan bagi memeriahkan program sebelumnya iaitu "Bersama Srikandi Masa Depan Negara" yang bermula jam 5 petang. turut bersama dalam prog 5 petang ialah YB Nurul Izzah | YB Rodziah Ismail | YB Kashturi Pato | YB Elizabeth Wong | Aishah | Aiman Athirah | Cikgu Mala | YB Fuziah Salleh | YB Dr Siti Mariah | YB Hannah Yeoh | 

Tuesday, March 18, 2014

Menteri Minta Pengundi Cina Sokong Calon Cina - Perkauman Sempit Bn Berterusan

KENYATAAN MEDIA
18 MAC 2014

Menteri Minta Pengundi Cina Sokong Calon Cina - Perkauman Sempit Bn Berterusan

1. Pilihanraya kecil Kajang sekali lagi menyerlahkan sifat perkauman Bn yang memecah-belahkan rakyat. Dasar pecah perintah yang diamalkan oleh penjajah terus menjadi legasi pemerintahan hingga ke hari ini.

2. Strategi mereka melebelkan PKR dan PR sebagai liberal dan melebihkan orang bukan melayu khususnya cina di kalangan kelompok melayu namun di kelompok masyarakat bukan melayu melebelkan PR sebagai ekstrimis Islam dan menindas bukan melayu telah menjadi perkara rutin.

3. Terbaru, ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup kepada pengundi Cina dalam sebuah majlis di Kajang pada 16 Mac lepas, dengan jelas dan sedar dia mengatakan kepada orang cina supaya mengundi calon yang terdiri daripada kaum cina. Ucapan berbaur perkauman tersebut mendapat liputan beberapa media termasuk Malaysiakini. sila klik http://www.malaysiakini.com/news/257277

4. Ucapan penuh berbau perkauman ini juga berlaku ketika Bn menyalah-guna bantuan kerajaan bagi tujuan kempen pilihanraya. Bantuan berupa beras, kerusi roda, barangan keperluan asas serta baucar beli-belah telah diagihkan. Program yang dinamakan "Sayangi Komuniti" itu dianjurkan Rukun Tetangga, zon Kajang yang terletak di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

5. SAMM turut persoalkan bagaimana seorang menteri JPM boleh menggunakan perbelanjaan dana rakyat di bawah peruntukkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional? 

6. Jika menggunakan 'sifir' perkauman Bn orang cina patut sokong orang cina maka apakah ia juga bermaksud orang melayu harus sokong calon melayu di PRK N25 Kajang? Jika berasaskan sifir perkauman Bn, DUN Kajang majoriti komposisi pengundi Melayu lebih tinggi kenapa tidak dibenarkan Umno sahaja bertanding?

7. Mengenai serangan propaganda Bn yang menyatakan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hilang kelayakan untuk dipilih kerana pernah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Ia sama sekali serangan dangkal cuba memperbodohkan rakyat. Peruntukkan undang-undang tidak menghalang mana-mana individu yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen selepas tempoh 5 tahun dari tarikh jawatan dilepaskan.

8. Perlu ditegaskan perletakan jawatan pada tahun 2008 ialah kerana memberi ruang pada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dunia maklum telah dihukum secara salah. Pada ketika itu juga Kak Wan menyebut dengan jelas ingin menumpukan kepada urusan keluarga dan menyambut tuntutan betapa Anwar Ibrahim harus segera ke Parlimen.

9. Namun pada ketika itu mungkin Kak Wan mungkin seperti yang lain, tidak menyangka regim sanggup menggunakan skrip konspirasi yang hampir sama untuk menghina Anwar dan keluarga. Maka Kak Wan sekali lagi muncul menggantikan Anwar Ibrahim menghadapi konsirasi kotor regim pemerintah.

10. Perlu diingat calon Bn juga pernah meletakkan jawatan hanya kerana dia tidak sebulu dengan pimpinan Mca. Apa hasilnya dia meletakkan jawatan kepada pengundinya pada ketika itu?  Apa jaminan calon Bn di PRK N25 Kajang tidak meletak jawatan sebagai Adun ketika Mca dalam Bn masih bergolak dan tidak sebulu?

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, March 14, 2014

Pemimpin Umno dan NGO Melayu Pro-Umno Serah Borang Sertai PR Malam Ini di Stadium Kajang

Kenyataan Media
14 Mac 2014

Pemimpin Umno dan NGO Melayu Pro-Umno Serah Borang Sertai PR Malam Ini di Stadium Kajang

Stadium Kajang malam ini bakal menyaksikan pemimpin Umno setempat beserta ahli-ahlinya dan beberapa NGO melayu Pro-Umno, akan umum keluar Umno dan serah borang menyertai Pakatan Rakyat.

Berikutan hilangnya kepercayaan terhadap kewibawaan pemimpin Barisan Nasional menerajui negara, dipercayai tindakan 'keluar Umno masuk Pakatan' ini akan berterusan dalam skala yang lebih besar. 

Datuk Seri Wan Azizah dijangka akan menerima serahan lebih 100 borang disaksikan oleh DS Anwar Ibrahim pada sekitar jam 9 malam ini di pentas Karnival Rakyat Selangorku anjuran SAMM dan Exco Pengguna dan Pelanconangan Negeri Selangor.

Semua pengamal media termasuk dari media arus perdana dijemput untuk membuat liputan.

SAMM menjemput orang ramai untuk hadir menyaksikan sendiri peristiwa yang menjadi satu titik penting dalam meneruskan legasi 'Langkah Kajang'.

Selesai majlis penyerahan borang, acara diteruskan dengan sebuah forum debat 'Wancana AMK' yang menampilkan calon-calon Ketua dan timbalan ketua AMK dengan idea masing-masing.

Sekian,

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda SAMM

Wednesday, March 12, 2014

MH370: Status Sebenar Keupayaan Scorpene Menjadi Persoalan

Kenyataan Media
12 Mac 2014

MH370: Status Sebenar Keupayaan Scorpene Menjadi Persoalan

Misi pencarian dan penyelamat bagi penerbangan MH370 masih lagi menemui jalan buntu walaupun telah memasuki hari yang kelima. Namun sehingga hari ini hasrat rakyat untuk melihat armada laut terbaik negara iaitu sepasang kapal selam scorpene beraksi dalam misi ini masih tidak kesampaian.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut bersimpati dengan kejadian yang berlaku. Namun SAMM tetap bertegas bahawa mencari sesuatu yang 'tidak kena' itu bukan bermaksud tidak menghormati sensitiviti.

Ketika negara lain berlumba-lumba mengerah kepakaran dalam misi mencari dan menyelamat, termasuklah menghantar kapal kelas perang, kerajaan Malaysia melalui kementerian bertanggungjawab mengelak dari menggunakan kapal selam Scorpene.

Berikut adalah jawapan dari Dato' Seri Hishamuddin dalam sebuah twit yang berbunyi;

"Our (Msian) Submarines are not designed for this operation. Its not the role for a submarines for Search & Resque #MH370"

Jawapan menteri ini telah menimbulkan lebih banyak polemik malah mencetus kemarahan orang ramai. Umumnya, tidak perlu belajar hingga ke Oxford untuk mengetahui sistem kelengkapan sonar yang terdapat dalam mana-mana kapal selam mampu mengesan dan menjejak objek di permukaan dan dasar laut.

Malah, satu laporan berita AFP bertarikh 3 September 2009 dengan jelas menyebut antara kemampuan kapal selam Scorpene yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia sedia untuk beroperasi dalam misi 'Search & Rescue'. 

Antara keratannya berbunyi;

"Naval officials said the submarine would be based in Sabah state, on Borneo island, where it will undergo fine-tuning before it is deployed in SEARCH and RESCUE"

Justeru, apakah Hishamuddin Hussin sebagai seorang menteri telah menipu rakyat Malaysia? Atau apakah kapal selam bernilai RM 7 bilion itu mempunyai masalah untuk beroperasi?

SAMM bukan sahaja menggesa persoalan ini dijawab segera oleh menteri, malah turut menuntut supaya dua kapal selam negara yang meragut wang rakyat hampir RM1bilion setahun untuk penyelenggaraan itu memulakan misi pencarian khususnya di dasar laut. 

Segalanya masih belum terlambat kerana jika diimbas kembali, penerbangan Air France yang terhempas di lautan atlantik pada tahun 2009 hanya ditemui 5 hari selepas dilaporkan hilang. Maka Malaysia harus segera menghantar Scorpene, atau benarlah seperti yang dikhabarkan - Malaysia telah membeli kapal selam yang tidak boleh menyelam.

Sekian, SAMM mendoakan agar MH370 ditemui dalam keadaan selamat, inshaAllah.

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM

Ceramah Umum | YB RafiziRamli | YB HattaRamli | che'GuBard | Rabu 12Mac | STADIUM KAJANG


Ayuh bersama YB Rafizi Ramli, YB Hatta Ramli dan che'GuBard dalam ceramah penerangan isu semasa dan kempen pilihanraya kecil N25 Kajang malam ini di STADIUM KAJANG

Mohon disebarkan maklumat ini dan semua dijemput hadir.

Monday, March 10, 2014

MH370 - Apa Jadi Dengan Prosedur Keselamatan Pintu Masuk Di KLIA?

Kenyataan Terbuka
10 Mac 2014

MH370 - Apa Jadi Dengan Prosedur Keselamatan Pintu Masuk Di KLIA?


Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar turut merasa amat dukacita dan bersedih di atas kehilangan penuh misteri pesawat Malaysia Airlines MH370 sejak Sabtu lepas. 


SAMM Muar juga berkongsi kesedihan anggota keluarga dan sanak saudara penumpang dan anak kapal MH370. SAMM Muar sentiasa mendoakan agar keselamatan penumpang dan anak kapal sentiasa dipelihara Yang Maha Esa dan mengharapkan agar petunjuk-petunjuk yang dapat menyelesaikan krisis ini segera diperolehi. SAMM Muar juga berkongsi kesedihan anggota keluarga dan sanak saudara penumpang dan anak kapal MH370.


Sambil menghargai usaha dan tindakan pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dan juga agensi-agensi lain dari dalam Negara dan antarabangsa, SAMM Muar juga ingin menarik persoalan bagaimana keadaan sistem pintu masuk sempadan Negara masih mudah dibolosi.


Bukanlah satu rahsia lagi, dalam krisis MH370 ini dua passport yang telah dilaporkan hilang oleh warga Itali dan Austria dapat membolosi dan menaiki pesawat malang tersebut. SAMM Muar menolak untuk mengaitkan sebarang spekulasi atau membuat rumusan awal mengenai teori mengapa dua individu tidak beridentiti ini menggunakan passport tersebut tetapi lebih kepada menarik perhatian mengenai tahap keselamatan kawalan pintu masuk sempadan Negara.


Beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat bagaimana mudahnya pintu sempadan Negara ditembusi sama ada oleh individu, senjata api, dadah atau juga sindiket pemerdagangan manusia dan lain-lain. 


SAMM Muar pernah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 5 Ogos 2013 yang menekankan betapa perlunya Kerajaan Pemerintah mengambil berat dan memandang serius mengenai tahap keselamatan dan kebocoran yang berlaku di pintu-pintu masuk sempadan Negara.


SAMM Muar juga mengambil maklum bahawa Yang Berhormat Saudara Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Kawasan Bakri pernah cuba untuk membawa usul berhubung kawalan pintu sempadan Negara pada 15 Jun 2011 sewaktu kejadian warga Singapura yang ditahan sewaktu cuba memasuki kembali Negara mereka selepas menjamu selera di Bandaraya Johor Bahru ketika itu. 


Kes itu telah menunjukkan secara jelas bagaimana tahap keselamatan pintu sempadan Negara sehinggakan dua wanita tersebut boleh memasuki Negara kita tanpa dicop passport mereka oleh Imigresen.


Kerajaan Pemerintah tidak pernah mengambil berat dan serius berhubung perkara ini. Seharusnya apabila terjadi kejadian seperti kes warga Singapura dan juga penyeludupan dadah dan senjata api, Kerajaan Pemerintah lebih peka dan menilai semula tahap keselamatan pintu sempadan. Tambahan lagi, mencegah adalah lebih baik dari merawat.


Dan kini, Perdana Menteri baru tersedar dari mimpi apabila terjadinya krisis malang ini dan baru hendak mengarahkan protocol keselamatan di KLIA disemak semula. Ia seharusnya dilakukan secara berkala semenjak daripada terjadi kes 2 warga Singapura itu. 


Pemeriksaan mengejut terhadap pegawai-pegawai yang menjaga pintu sempadan Negara ini harus dilaksanakan untuk memastikan mereka tidak cuai dan lalai hingga terjadi perkara-perkara seperti ini. Membolosi pintu sempadan Negara dengan mudah tidak memberikan reputasi baik kepada Negara apatah lagi kita sekarang berada di dalam Tahun Melawat Malaysia 2014.


Segala peruntukan dan perbelanjaan besar yang telah dikeluarkan bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 akan menjadi sia-sia sekiranya tahap keselamatan pintu sempadan Negara kita masih menjadi persoalan. Siapa yang ingin memperjudikan nyawa dan nasib mereka dengan menaiki pesawat daripada sebuah Negara yang mudah lolos seperti ini?


SAMM Muar masih terus berdoa dan mengharapkan agar pesawat MH370 ini tidak diancam oleh pengganas atau sebarang unsur-unsur seperti itu. SAMM Muar masih mengharapkan krisis ini akan berakhir dengan baik tanpa ada satu isu keselamatan antarabangsa yang akan menghakis potensi kita dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014. Namun, persoalan tahap keselamatan pintu sempadan negara perlu diberi perhatian yang serius.


Sekian,

 

Saiden Muslimin Ismail

Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar


Apakah Negara Sudah Hilang Keberkatan?

Tulisan Umum
10 Mac 2014 

Apakah Negara Sudah Hilang Keberkatan?

Bila musibah datang melanda, kita sering diajar untuk bermuhasabah. Dalam bermuhasabah, kita mencari di manakah punca berlakunya suatu musibah itu, kita meneliti di manakah silapnya dan apakah hikmah di sebalik kejadian. Begitulah se-eloknya.

Sebelum saya teruskan penulisan ini dengan lebih serius, ingin saya kongsi bahawa ketika ini terpapar di papan televisyen perlawanan di antara Datuk Lee Chong Wei menentang Chen Long dalam aksi badminton final All-England. Chong Wei sedang mendahului dengan kiraan 13-7, dan dalam gaya yang menguasai permainan. 

Tidak seperti semalam, perlawanan separuh akhir menentang permata baru Korea Selatan menyaksikan Lee Chong Wei hampir dikejutkan. Namun pengalaman sebagai pemain nombor satu dunia sejak sekian lama memberi kelebihan kepada beliau mara ke final.

Dalam masa yang sama, seluruh rakyat Malaysia dirundum kesedihan meratapi kehilangan pesawat MAS MH370 sejak hampir 48jam yang lalu - hilang secara misteri. Pelbagai spekulasi memenuhi ruang suapan berita di facebook dan twitter sehingga SKMM terpanggil mengeluarkan amaran dengan harapan menyekat khabar angin. 

Khabar angin yang menular terbahagi kepada beberapa bentuk berita. Antaranya yang terawal mengatakan MH370 selamat mendarat di lapangan terbang Nanning China, ternyata ia tidak benar. Lagi teori mengatakan MH370 terhempas disaksikan oleh pekerja offshore pelantar minyak, ternyata tidak sahih setakat ini. Lagi teori MH370 meletup di udara sebelum terhempas, atas alasan tiada isyarat kecemasan. 

Lagi teori kononnya MH370 berpatah balik ke KLIA tetapi menuju ke Pulau Pinang, maka operasi pencarian diluaskan ke selat Melaka. Teori patah balik ini hadir dari team radar TUDM, tetapi apabila ditanya mengapa objek besar ini tidak mampu dikesan melintasi banjaran titiwangsa, ia tidak terjawab. Ini menimbulkan soal yang lebih bahawa apabila memikirkan apakah ruang udara kita sebenarnya bebas dimasuki objek sebesar Boing 737 tanpa dikesan?

Akhir sekali yang terbaru setakat ini ialah pasukan penyelamat Filipina telah menemui bangkai MH370 dan mangsa terselamat dengan kasualiti minima dari jangkaan - ini tidak dapat dipastikan. Apapun, tidak salah mendoakan keajaiban.

Misi pencarian juga merungkap pelbagai perdebatan. Ketika banyak negara berlumba-lumba menghantar bantuan kepakaran dalam misi pencarian, kita masih berkira-kira untuk menghantar sepenuh kekuatan. Bila ada pihak yang merasakan inilah masanya kapal selam scorpene menunjukkan aksi seraya mengusulkan misi pertama kapal selam negara, dijawab pula oleh menteri kononnya Scorpene adalah kegunaan untuk berperang, bukan misi penyelamat.

Ya benar pak menteri, Scorpene itu kapal selam untuk perang, tapi jangan lupa bahawa lori askar untuk logistik perang juga diguna untuk hantar anak-anak anggota tentera ke sekolah. Apakah menteri tidak tahu kemampuan terbaik kapal selam ialah mengesan dan menjejak objek samada di permukaan laut mahupun di dasar laut melalui sistem kelengkapan sonar.

Negara seperti China dan Vietnam juga menghantar kapal kelas perang ke medan pencarian, mengapa kita berkira untuk menghantar Scorpene? Apakah Scorpene bernilai 7 bilion itu tidak cukup fit untuk beraksi? Atau tidak mampu menyelam?

Lebih malang apabila Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendiri dilaporkan bersantai di kem ILMU Janda Baik. Ini bukan khabar angin, laporan bergambar ini berpunca dari seorang menteri melalui update di laman sosialnya. Apalah nasib rakyat, dapat pemimpin serupa tidak berkat.

Ayuh kita imbas kembali, muhasabah diri. Apa yang sebenarnya sedang melanda negara hari ini?

Saya berhenti sejenak menulis selepas menjadi saksi kemenangan Lee Chong Wei sebentar tadi. Mujurlah tiada bik mama di sekitar. Lee Chong Wei menang straight set dan ini kejuaraan All England kali ketiga berturut-turut mengikut kata Hasbullah Awang. Saya agak kurang yakin dengan pengulas legenda ini, rasanya tahun lepas kejuaraan All-England perseorangan dimenang oleh Chen Long.

Saya pergi ke laman rumah untuk sesi berasap, tetapi belum pun dinyalakan api rokok, telah terhidu udara berjerebu yang berbau asap. Suasana begini masuk hampir sebulan, semakin teruk kualiti udara di hampir semua kawasan sejak akhir-akhir ini.

Jerebu, kemarau panjang, statistik kematian penyakit denggi yang menggila dan sebelum itu banjir besar melanda, adalah pakej musibah yang cukup besar. Ditambah pula tragedi MH370 di tarikh '703'. Apakah kita semua tidak sedar? Bala... Bala...

Boleh jadi, negara ini sudah hilang keberkatan apabila kita membiarkan kezaliman berlaku, juga apabila kita menghalalkan penipuan. Jangan kita sesekali lupa bahawa pemerintahan tanahair kita pada hari ini adalah berdasarkan kemenangan yang penuh dengan penipuan - menang dengan demokrasi yang digelapkan.

Maka, jangan kita hairan apabila bala ditumpahkan ke bumi ini sambung-menyambung selagi rakyatnya tidak bangkit membetulkan yang salah. Selagi kita berkompromi dengan penafian demokrasi lalu, mungkin selagi itu musibah akan berterusan.

Rumusannya, selagi kita terus berserah menerima pemerintahan yang ada hari ini, selagi kita bersetuju dengan kemenangan mereka yang kita tahu penuh penipuan itu, kita sebenarnya telah bersubahat.

Justeru itu, bangkitlah merebut semula hak kita, agar dikembalikan keberkatan dalam kenegaraan. Bangkitlah dengan berani, risiko harus diambil demi menamatkan kesengsaraan. Janganlah hanya berserah, apatah lagi bersubahat.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Rad:11)

Sekian, Takziah buat semua keluarga mangsa tragedi MH370.

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM

Sunday, March 9, 2014

Ribuan Hadir ke Stadium Kajang Tanda Solidariti Terhadap Anwar

Kenyataan Umum
9 Mac 2014

Ribuan Hadir ke Stadium Kajang Tanda Solidariti Terhadap Anwar

Walaupun dengan notis hanya dua jam, ribuan penyokong dan pendokong keadilan sempat berhimpun di Stadium Kajang sebagai tanda solidariti terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Umum mengetahui dengan hukuman bersalah yang diumumkan mahkamah, sekali gus menghalang Anwar dari bertanding di DUN Kajang. Maka rakyat celik pasti membaca situasi ini sebagai satu penganiayaan. Aparat pemerintah sekali lagi digunakan untuk tujuan kotor.

Jelaslah walaupun sosok Anwar yang berumur 67 tahun itu masih berbisa dan ditakuti oleh regim, maka kezaliman diteruskan dan kebahagiaan keluarganya dirampas. Rakyat marah akan bangkit melawan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah kepada rakyat yang hadir dan menggesa lebih ramai turun ke Kajang bagi menyatakan sokongan dan membuktikan penolakkan terhadap apa jua bentuk kezaliman.

Ketika ini, SAMM dengan kerjasama Pejabat Exco Pengguna dan Pelanconangan Negeri Selangor sedang menganjurkan Karnival Rakyat Selangorku di Stadium Kajang dari 7-22 Mac, menampilkan ceramah umum hampir setiap hari dan pelbagai acara keramaian. Jadikan stadium Kajang ini sebagai lokasi semua ahli Pakatan Rakyat dan aktivis berkumpul.

Api kebangkitan rakyat akan terus menyala, dan terus membara. Anak muda akan terus lawan penindasan!

Sekian,

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, March 7, 2014

Bersama EZAD EXIST dalam Pembukaan Karnival Rakyat Selangorku Malam Ini [Jumaat 7 Mac]

Salam hormat,

Bersama EZAD EXIST dalam Pembukaan Karnival Rakyat Selangorku Malam Ini [Jumaat 7 Mac]

Ingin dimaklumkan bahawa Karnival Rakyat Selangorku yang bertempat di Stadium Kajang akan bermula mulai hari ini dan persembahan pembukaan akan menampilkan persembahan saudara Ezad Exist pada malam ini.

Dijemput kehadiran semua untuk memeriahkan majlis keramaian yang dianjurkan bersama Pejabat Exco Pengguna dan Pelanconangan Negeri Selangor dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Mohon kerjasama semua pihak untuk bantu hebahan mengenai program dan aktiviti sepanjang Karnival Rakyat Selangorku berlangsung.

Bantuan semua didulukan dengan ucapan jutaan terima kaseh.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM

Thursday, March 6, 2014

Karnival Rakyat Selangorku: 7-22 Mac 2014

Kenyataan Media
6 Mac 2014

Karnival Rakyat Selangorku: 7-22 Mac 2014

Bermula 7 Mac hingga 22 Mac 2014, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan kerjasama Pejabat Exco Pengguna dan Pelanconangan Negeri Selangor akan menganjurkan sebuah "Karnival Rakyat" bertempat di Stadium Kajang.


Ia satu karnival istimewa yang mempamirkan kejayaan dan kemakmuran Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, khususnya dari aspek kebajikan dan merakyatkan ekonomi Selangor. Karnival Rakyat Selangorku juga menyediakan ruang dan peluang buat semua agensi kerajaan negeri dan pelbagai NGO untuk mempamirkan pencapaian dan gerak kerja masing-masing.

Karnival yang akan berlangsung selama 16 hari ini juga akan dimuatkan dengan pelbagai acara keramaian termasuklah program ceramah perdana membabitkan pimpinan utama Pakatan Rakyat dan NGO, peluang perniagaan, ruang pameran, program temuduga terbuka yang menyediakan peluang pekerjaan, program santai rider muda, sukaneka dan belon raksasa untuk kanak-kanak, dan pelbagai lagi program yang menjamin kemeriahan di Kajang.

Berikut adalah jadual penuh program dan aktiviti sepanjang Karnival Kajang Berlangsung;

Tarikh

Masa

Program

Butiran

Jumaat

7 Mac 2014

 

5.00 petang

 

9.00

 

Taklimat penganjur

 

Ceramah Umum

 

 

YAB TSKI , YB Eli, YB Rodziah

(cadang disekalikan dengan SMUE)

 

Sabtu

8 Mac 2014

5.00 petang

 

 

9.00 malam

Bersama Zunar dan team Kartunis

 

Ceramah Umum

 

 

Datuk Chua Jui Meng, Ronie Liu, Ust. Azman (PAS NS) & che’GuBard

 

Ahad

9 Mac 2014

3 – 6 petang

 

 

 

9.00 malam

Derma Darah, Pemeriksaan Kesihatan dan Kemunculan Badut

 

Ceramah Umum

 

 

 

 

 

YB Teressa Kok, YB William Leong, Dr. Rosli Yaakop & Pak Jabit (artis) 

Isnin

10 Mac 2014

 

9.00 malam

 

Ceramah Umum

 

YB Sivakumar (ex speaker Perak),
YB Khalid Samad 

Selasa

11 Mac 2014

 

5.00 petang

 

9.00 malam

 

Bersama BERSIH

 

Ceramah Umum

 

Kempen DART (BERSIH – SAMM)

 

YB Datuk Mahfuz, YB Tian Chua

 

Rabu
12 Mac 2014

 

9.00 malam

 

Ceramah Umum

 

YB Dr. Hatta Ramli, YB Rafizi Ramli

 

Khamis

13 Mac 2014

 

9.00 malam

 

Ceramah Umum

 

YB Sivarasa Rasiah, Ust. Badrul Amin, Leman Raja Rawak

 

Jumaat

14 Mac 2014

 

5.00 petang

 

 

 

8.30 malam

 

 

9.30 malam

 

Kemunculan Badut dan pertandingan mewarna kanak – kanak

 

Bersama artis Hijrah

 

 

Wacana AMK

 

 

 

 

 

Kemunculan Artis Hijrah

 

 

YB Nik Nazmi, YB Amiruddin Shaari, YB Lih Kang, YB Dr. Afif 

Sabtu

15 Mac 2014

 

2 – 7 petang

 

 

9.00 malam

 

Autoshow

 

 

Konsert Otai Rock

 

Pameran kereta ‘old school’ dan kemunculan artis Zul Yahya

 

Leon, Gamma, Gravity, Handy Black, Dimensi (rock 80 an)

 

Ahad

16 Mac 2014

 

9.00 malam

 

 

 

Malam Solidariti Pendidik

 

 

 

Badan bertindak bantah SPPBS, Cikgu Abbas (Bekas Pengarah BPG),Cikgu Fariz Musa, YB Cikgu Azman (LUNAS), Cikgu Mala, che’GuBard

 

Isnin

17 Mac 2014

 

9.00 malam

 

Ceramah Perdana

 

Hj. Mohammad Sabu, Imam Muda Ashraf

 

Selasa

18 Mac 2014

 

9.00 malam

 

Ceramah Umum

 

YB Nizar Jamaluddin, YB Ust Marzukh, YB Khalid Samad

Rabu

19 Mac 2014

 

9.00 malam

 

Ceramah Umum

 

 

 

Khamis

20 Mac 2014

 

9.00 malam

 

Malam bersama Mahasiswa

 

 

 

Jumaat

21 Mac 2014

 

5.00 petang

 

 

 

 

 

 



9.00 malam

 

Srikandi masa depan Bangsa Malaysia

 

 

 

 

 



Pentas Anak Muda Malaysia

 

YB Nurul Izzah, YB Rodziah Ismail, YB Kashturi Pato, YB Elizabeth Wong Abby Abadi, Aishah, Aiman Athirah, Cikgu Mala, Dayangku Intan, YB Fuziah Salleh, YB Dr. Siti Mariah, YB Hannah Yeoh, YAB TSKI

 

YB Teo, Suhaizan Kayat, YB Nik Nazmi, YB Amiruddin Shaari, dan pimpinan politik dan NGO muda

Sabtu

22 Mac 2014

10.00 pagi

 

 

 

9.00 malam

Konvoi SAMM – ARC & Tukar Minyak Hitam (servis motorsikal percuma)

 

Ceramah Perdana ‘Final Countdown’

 

 

 

 

Semua pimpinan utama (pertunjukan bunga api)

Ahad

23 Mac 2014

 

Hari bebas berniaga sehingga

6 petang

Pengumuman keputusan dan ucapan penghargaan oleh pimpinan


Acara Perdana - Malam Bersama Pimpinan Rakyat, NGO, Aktivis Mahasiswa dan persembahan artis.

Temuduga kerjaya - Syarikat dan perbagai agensi akan membuat temuduga terus di mana ribuan peluang pekerjaan akan dibawa ke kajang khususnya untuk anak muda.

Santai Rider Muda - bersama Yaser said (juara cub prix asia) untuk teknik bawa motor dengan betul). Juga akan dibawakan para peguam untuk sesi ‘hak anda dan kuasa polis’. Tawaran untuk ‘tukar minyak hitam’ secara percuma untuk menjayakan program ini. Pameran kereta 'Old School'.

Kesihatan - Pemeriksaan kesihatan percuma dan program derma darah.

Penerangan Khas - Program penerangan skim 20 meter padu air Selangor percuma dan isu air Selangor.

Kebajikan - Daftar warga emas untuk Skim Mesra Usia Emas. Pendaftaran untuk Tabung Pendidikan Anak-Anak dan Hadiah Anak Masuk Universiti juga akan dibuka.

Permainan - Untuk kanak-kanak akan ada acara sukaneka, Istana belon gergasi, pertunjukkan kuda dan mini paint ball.


Pihak sekretariat SAMM di Karnival Rakyat Selangorku juga akan membuka kaunter semak dan pendaftaran pengundi bagi memudahkan semua pihak. 

Justeru, kami menjemput semua rakyat Malaysia yang hadir ke Kajang khususnya ketika menjalankan kempem pilihanraya kecil N25 Kajang, menjadikan Stadium Kajang sebagai pusat tumpuan. Semua rakyat tanpa mengira fahaman kepartian dijemput hadir meraikan Karnival Rakyat Selangorku.

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda SAMM
Bagi pihak Sekretariat Karnival Rakyat Selangorku

Umno Terus Bodohkan Melayu, Teresa Kok Menjadi Mangsa di Permatang Pauh

Kenyataan Media 
6 Mac 2014

Umno Bodohkan Melayu, Teresa Kok Menjadi Mangsa di Permatang Pauh

Solidariti Anak Muda Malaysia Pulau Pinang (SAMM Penang) bersama Pemuda Pas Kawasan Pekan Permatang Pauh telah menganjurkan satu ceramah umum di Padang Cermai, Permatang Pauh, malam tadi. 

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang tampil ceramah malam tersebut adalah termasuk YB Nizar Jamaludin, YB Teresa Kok, YB Steven Lim dan che'GuBard.

Sebagaimana siri-siri ceramah yang lalu, ceramah penerangan Pakatan Rakyat seringkali diganggu oleh golongan-golongan "barbarian" dalam kencah politik tanah air. 

Ketika YB Teresa Kok selesai berucap, hadir seorang lelaki mendekati Teresa untuk tujuan bersalaman. Namun berlaku kekecohan apabila lelaki tersebut memecahkan telur ketika bersalam dengan YB Teresa Kok hingga mengotorkan baju beliau. 

SAMM Penang mengutuk keras kejadian yang melambangkan betapa pihak gerombolan yang konon melaungkan hidup melayu langsung tidak menunjukan adab, tata susila masyarakat timur yang jauh lebih sopan dan bertamadun.

SAMM Penang menegaskan, Umno dan Barisan Nasional wajib ditumbangkan segera kerana telah mengamalkan pembodohan melampau terhadap rakyat. Lelaki malang yang menyerang Teresa Kok ini pastinya tidak mendapat maklumat yang betul mengenai video yang diterbitkan oleh Teresa Kok.

Media kawalan Umno juga bertanggungjawab dalam siri-siri pembodohan bangsa yang berterusan. Malah, Utusan terus memusing berita apabila mengfitnah kejadian malam tadi kononnya Teresa Kok ditampar.

Kini laporan polis telah dibuat, kami menanti apakah hasil siasatan berhubung laporan yang telah dibuat. Semoga slogan "Tegas, Adil & Berhemah" benar-benar terlaksana.

Afzanizam Hashim
Penyelaras Bersama 
Solidariti Anak Muda Malaysia Pulau Pinang (SAMM Penang)

Tuesday, March 4, 2014

Tidak Bertamadun: FAM Atau Ultras Malaya?

Kenyataan Terbuka
4 Mac 2014

Tidak Bertamadun: FAM Atau Ultras Malaya?

Tindakan kumpulan Ultras Malaya membakar suar dan membaling bom asap ketika aksi persahabatan antara pasukan Malaysia menentang Filipina di Stadium Selayang Sabtu lalu mengundang pelbagai komentar dari banyak pihak.

Antara yang mencuri perhatian ialah kenyataan pengurus pasukan kebangsaan sendiri, Datuk Seri Subahan Kamal yang menyifatkan perbuatan Ultras Malaya sebagai samseng dan tidak bertamadun.

Sebagai kumpulan anak muda yang mencintai sukan bolasepak tanahair, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menganggap Subahan tidak peka dengan metafora kejadian yang berlaku. Apakah FAM itu cukup bertamadun mengekalkan Presiden FAM selama 30 tahun yang menyaksikan prestasi bolasepak kebangsaan menjunam sejak itu?

Setia hadir dalam setiap perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kumpulan Ultras Malaya untuk menarik perhatian betapa sesuatu perlu diperbetulkan. Perkara paling jelas dituntut ialah Presiden FAM harus melepaskan jawatan.

Mengambil pasukan Filipina sebagai contoh terbaik, sebuah pasukan yang berguru dengan Malaysia suatu ketika dulu. Malaysia pernah mengejutkan dunia dengan kemenangan 15-1 menentang Filipina di Sukan Asia 1962. Dalam kejohanan yang sama, Malaysia dinobatkan pasukan nombor 3 asia setelah menggenggam pingat gangsa.

Kini pasukan Filipina telah jauh meninggalkan kita di tangga 127 dunia, dan pasukan kebangsaan masih terkial-kial untuk mencapai kedudukan 150 terbaik ranking FIFA. 

Di atas fakta ini, apakah tindakan Ultras Malaya itu keterlaluan? Setiap rakyat Malaysia harus bersyukur dengan kewujudan sekumpulan anak muda yang memperjuangkan nasib sukan nombor satu negara. SAMM tanpa berselindung berbangga dengan keterampilan dan keberanian Ultras Malaya.

SAMM yakin tindakan Ultras Malaya bukan ditujukan kepada pasukan kebangsaan bimbingan Ong Kim Swee. Ia menifestasi dari 'kesamsengan' FAM yang tidak berganjak dari kepimpinan sedia ada khususnya jawatan utama. SAMM juga menasihatkan Datuk Seri Subahan agar lebih berpandangan terbuka dan mengkaji secara menyeluruh di atas kejadian yang telah berlaku.

SAMM sentiasa berada di belakang Ultras Malaya dan menyokong sebarang usaha untuk menukar-ganti Presiden FAM kepada sosok yang lebih berkaliber demi sukan bolasepak tanahair. Cukup-cukuplah 30 tahun berada di tahta.

Percayalah bahawa tiada lagi suar dan bom asap yang akan dilontarkan oleh Ultras Malaya ke dalam padang sekiranya presiden FAM benar-benar meletakkan jawatan.

Sekian,

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan