Friday, February 28, 2014

Transformasi: JPN yang dulu bukanlah yang sekarang

Tulisan Terbuka
28 Februari 2014

Transformasi: JPN yang dulu bukanlah yang sekarang

Dari dulu hingga kini, seperkara yang kita cuba elak berlaku dalam kehidupan seharian kita ialah kehilangan dompet. Setelah meluangkan masa beberapa minit hingga beberapa jam cuba mengesan kedudukan dompet tidak membuahkan hasil, maka perasaan yang tenang pada awalnya tadi merubah menjadi gundah gulana. 

Ya benar, tidak boleh buat 'misscall' jika dompet hilang. Misscall dibuat hanya untuk mengesan talipon bimbit yang keciciran atau missplace. Jika ada 'ringing' tetapi suasananya sepi, itu bermakna talipon bimbit itu masih selamat cuma kita tidak berada di tempat yang betul. Jika awal tadi ada 'ringing' kini sudah tiada, itu bermakna harapan tipis untuk mendapatkan semula talipon bimbit hilang tadi, telah musnah. Kita bukan berada di negara skandanavia atau di negara Iran.

Berbalik cerita kehilangan dompet tadi. Perasaan gundah gulana itu hadir bukan kerana jumlah duit yang memenuhi dompet. Sebagai seorang warga miskin kota, kebiasaannya jumlah duit yang tertinggal di dalam dompet itu tidaklah banyak mana, cuma ketika luar biasa sahaja dompet itu penuh empuk dengan wang ringgit. Kebarangkalian dompet hilang atau tercicir ketika dompet penuh wang ringgit adalah sangat rendah kerana sudah pasti tangan kita akan mendakap dompet itu setiap tiga minit.

Perasaan gundah itu hadir bukan kerana gambar kekasih lama yang terselit di kompartmen berzip, ditakuti dompet ini dikesan oleh isteri (lalu berlaku sesi spotcheck), maka gegak gempita lah tetangga kejiranan. Namun ini zaman 'anak kecil main ipad' agak mustahil gambar kekasih lama disimpan dalam dompet, melainkan ia disimpan di dalam ipad, iphone atau android talipon pintar. 

Bukan fasal duit, bukan fasal gambar kekasih lama, dan bukan juga fasal kad kredit. Ya memang benar dalam dompet tersebut ada beberapa keping kad kredit, malangnya kad kredit tersebut sudah tiada kredit atau dengan kata lain, sudah cecah limit. 

Perasaan gundah gersang itu hadir tidak lain dan tidak bukan, kerana memikirkan kad pengenalan (Mykad) yang turut hilang bersama dompet. Sesudah kehilangan MyKad, terbayanglah kita bermacam-macam musibah yang perlu dihadap. 

Pertama, kita tidak sedar berapakah denda yang bakal dikenakan kerana denda kehilangan Mykad berubah-ubah semakin mahal. Perketat pengeluaran MyKad kerana sindiket jual IC yang berleluasa sering dijadikan alasan maka warga Malaysia yang hilang Mykad akan dihukum seberat yang boleh. 

Kedua, selagi kita belum memiliki sijil pengenalan sementara, selagi itu kita mampu dicas sebagai warga asing. Kerana warga asing hari ini bukan saja ramai melimpah ruah, tetapi keterampilan mereka menghampiri keterampilan warga tempatan. Hanya berbeza dengan ketara pada vokalnya sahaja. 

Ketiga, terbayang juga sejauh mana lakunya sijil pengenalan sementara yang dibekalkan oleh JPN khususnya dalam soal urusan rasmi seharian. Berapa lama masa yang perlu ditunggu untuk mendapatkan semula Mykad yang baru juga tidak dapat dipastikan, apakah sebulan? 

Alkisahnya hari ini, seusai sebutan kes di Mahkamah Jalan Duta pagi tadi (kes himpunan malam tahun baru), saya telah singgah menjenguk Jabatan Akauntan Negara (JPN) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta. 

Tujuan saya menjengah JPN adalah bukan kerana kehilangan Mykad sepertimana mukadimah saya tadi, tetapi kerana cip dalam MyKad milik saya sudah tidak beroperasi sejak sekian lama. Goreslah guna pemadam fabre castell sekalipun, cip tetap gagal dibaca.

Sampai di JPN saya terkejut pejabat itu lengang. Ini luar kebiasaan. Bila saya masuk pejabat JPN, datang seorang pegawai memaklumkan bahawa sistem offline sejak pagi dan tidak dapat menjamin waktu pulihnya, dicadangkan pula kepada saya untuk pergi ke Puduraya aras dua. Tanpa membuang masa saya beredar dan bergegas ke Puduraya. Saya tidak komplen sistem offline, saya cuma komplen jumlah parkir yang tidak mencukupi. Tidak menolak kemungkinan puncanya ialah pengangkutan awam yang sangat lemah.

Setibanya di JPN Puduraya, ketika mengurus penggantian MyKad, saya mengalami satu kejutan, saya tidak pasti apakah ia kejutan budaya? Urusan penggantian Mykad sangat mudah dan lancar, ini di luar fikrah yang terdoktrin sejak sekian lama.

Akhirnya saya hanya mampu merumuskan bahawa - saya bukan sahaja telah menerima layanan yang cukup baik, malah melihat sistem pengeluaran dan memperbaharui MyKad berlangsung sangat pantas dan penuh efisyen berbanding beberapa tahun lalu. Dari nombor giliran dipanggil (juga tidak ambil masa yang lama), hingga sesi bergambar, hanya mengambil masa tidak sampai 5 minit dan kad siap dalam masa beberapa jam. 

Tahniah saya ucapkan kepada JPN di atas transformasi ini. JPN yang dulu bukanlah yang sekarang, dulu berbulang sekarang hanya beberapa jam berselang. Kita tidak lagi perlu mengheret sijil pengenalan sementara ku hulu dan hilir sehingga lunyai fizikalnya. Kita tidak lagi terdedah untuk ditangkap sebagai warga asing kerna rupa kita juga tidak jauh berbeda.

Namun dalam masa yang sama, kita juga harus berdoa agar sistem yang efisyen dan telah di'transformasi' ini tidak disalahguna khususnya bila tiba musim pilihanraya. 

Sekian

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM

Wednesday, February 26, 2014

Kempen Kesedaran Persempadanan Semula BERSIH-SAMM Muar

Kenyataan Media

26 Februari 2014


Kempen Kesedaran Persempadanan Semula BERSIH-SAMM Muar berlangsung dengan jayanya


Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar bersama-sama dengan pasukan Tindakan dan Kajian Persempadanan (DART) BERSIH telahpun menjalankan kempen kesedaran sivik masyarakat berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya yang bakal dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada hari Ahad, 23 Februari 2014 di sekitar kawasan DUN Maharani -  Parlimen Muar, DUN Bentayan – Parlimen Bakri, DUN Gambir dan DUN Tangkak dalam Parlimen Ledang.

 

Kempen sehari yang bertujuan untuk memberikan kesedaran sivik dan membentuk kefahaman masyarakat terutamanya pengundi berdaftar akan peranan dan hak demokrasi mereka dalam perkara berkaitan persempadanan semula kawasan pilihanraya ini diketuai oleh Pengerusi BERSIH, Saudari Maria Chin Abdullah dan disertai oleh YB Saudara Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Bakri, YB Saudara Chua Wee Beng, ADUN Bentayan serta barisan aktivis SAMM Muar dan aktivis pro-perubahan Muar.

 

Bermula jam 11 pagi, pasukan kempen telah mula bergerak mengedarkan risalah-risalah penerangan kepada khalayak umum di sekitar Hentian Bas Ekspres Bentayan dan kemudiannya terus bergerak di sekitar Bandar Muar. Sekitar jam 1 tengahari, konvoi kempen mula bergerak ke Bandar Tangkak di mana kami singgah ke Hentian Bas Tangkak yang terletak di tengah-tengah Bandar Tangkak. Dan selepas itu, konvoi kempen terus ke destinasi terakhir iaitu di pekan Bukit Gambir. Rata-rata khalayak yang ditemui menyambut baik usaha kempen ini yang memberikan mereka kesedaran akan hak mereka sewaktu persempadanan semula kawasan pilihanraya dijalankan dimana sebelum ini tidak ramai yang mengetahui apakah peranan mereka dalam proses ini.

 

Walaupun ruang masa yang agak singkat namun, SAMM Muar dan delegasi BERSIH sempat meluangkan masa berbincang untuk mengadakan satu sesi bengkel persempadanan semula dimana fokus dan objektif bengkel ini adalah untuk memberikan kefahaman yang utuh kepada seluruh aktivis dan rakyat Muar yang peduli terhadap salah satu pilar demokrasi Negara ini sekitar Mac nanti dan juga beberapa aktiviti pendemokrasian lain.

 

Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar menyambut baik dan sememangnya bersedia untuk bekerjasama dalam sebarang bentuk program yang dapat memberikan pencerahan minda kepada seluruh rakyat Muar dalam aspek hak dan peranan dalam membina Negara bangsa ini dan juga pengukuhan doktrinisasi demokrasi berperlembagaan kepada warga Muar.

 

Sememangnya menjadi hasrat SAMM Muar untuk sentiasa bersama-sama dengan pihak-pihak yang berminat dalam pembinaan masyarakat Madani di sekitar kawasan Johor Utara selain daripada turut serta dalam sebarang bentuk aktiviti perlawanan rakyat. Adalah diharapkan selepas ini lebih banyak aktiviti kerjasama di antara SAMM Muar dengan NGO-NGO atau pertubuhan-pertubuhan lain demi ke arah memperkukuhkan pengetahuan dan kefahaman masyarakat Muar dalam aspek bernegara.


SAMM Muar ingin mengambil kesempatan ini untuk terus menyeru anak-anak muda sekitar Muar dan Johor Utara yang peduli terhadap aspek demokrasi dan bernegara untuk bersama-sama kami dalam menjalankan pelbagai aktiviti agar akhirnya seluruh rakyat Muar dan Johor Utara mendapat manfaat yang baik. Kepada yang berminat untuk bersama-sama kami bolehlah menghantar butiran diri sama ada melalui email kepada samm.muar@gmail.com atau perkhidmatan Whatsapp kepada nombor 018-2864256. 

 

Ahmad Anwar Asyraf

Penyelaras

Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar

Thursday, February 20, 2014

Kajang Sudah Jadi Yangoon ?

Kenyataan Umum
20 Februari 2014

Kajang Sudah Jadi Yangoon?

Semalam, SAMM menerbitkan sebuah kenyataan bersama gambar-gambar yang menunjukkan perkembangan pelik di Kajang. Ia ekoran kebanjiran warga asing yang dipercayai warga Myanmar yang diturunkan di KTM Kajang.

Warga Myanmar tersebut juga dilihat membawa beg seolah-olah baru tiba dari KLIA, juga dimaklumkan dikawal rapi oleh beberapa anggota RELA.

Hari ini keadaan semakin sesak di Kajang oleh warga Myanmar, apakah Kajang sudah menjadi kota Yangoon? 

Dua klip-video telah disumbangkan oleh sukarelawan yang menjadi pemantau SAMM di Kajang, dikepilkan sekali untuk kegunaan pihak media.

Berikut adalah kenyataan semalam untuk rujukan semua;

Kenyataan Media
19 Februari 2014
 
Perkembangan Pelik di Kajang, SPR Harus Minimakan Ruang Manipulasi
 
Satu perkembangan yang pelik telah berlaku di sekitar Kajang apabila pasukan pemantauan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengesan beberapa bas persiaran menurunkan warga asing di hadapan KTM Kajang pagi ini.
 
Apakah ianya satu kebetulan apabila ribuan warga asing dipercayai warga Myanmar hadir ke Kajang dengan beg besar seolah-olah baru masuk ke negara melalui KLIA.
 
Dalam perkembangan yang sama, adakah kehadiran warga asing ini turut berkaitan dengan kelewatan melampau tarikh pilihanraya kecil yang jatuh pada akhir Mac dengan alasan yang tidak masuk akal? 
 
SAMM tidak menolak kemungkinan kelewatan tarikh PRK ada kaitan, demi persiapan lebih rapi untuk penipuan pilihanraya kecil N25. Usaha SPR untuk menggunakan senarai pemilih yang baru (Mac 2014) juga agak meragukan.
SAMM turut menggesa supaya SPR meminimakan ruang-ruang manipulasi antaranya dalam soal jumlah pengundi awal yang begitu ramai. 
 
Menjadi persoalan, mengapa SPR menggunakan petugas dari pengundi DUN Kajang? Mengapa tidak SPR memanggil petugas dari sekitar Bangi, Semenyih dan Cheras untuk menjadi petugas pilihanraya? 
Jika SPR memanggil pengundi Kajang sebagai petugas maka ia membuka ruang manipulasi dengan peningkatan besar jumlah pengundi awal. Ini sepatutnya boleh dielakkan.
 
Sebagai sebuah badan yang tercalar teruk menafikan demokrasi dalam PRU lalu, SPR harusnya terarah untuk menjadi lebih bersih bagi mengembalikan keyakinan orang ramai. Namun pemerhatian SAMM setakat ini, SPR tetap tidak berubah dan tidak punya usaha yang nyata untuk perbaiki kelemahan. SPR terus diperkudakan pemerintah.
 
Sebelum ini SAMM telah mendesak pihak SPR memperinci anggaran perbelanjaan RM1.6 juta untuk PRK Kajang yang disifatkan agak tinggi. Ia ekoran operasi SPR yang kerap menggunakan orang tengah dalam pelbagai urusan secara tidak langsung berlaku ketirisan dan pembaziran.
 
Akhir sekali, SAMM menyeru kepada orang ramai dan semua aktivis demokrasi agar turun ke Kajang untuk memastikan pilihanraya kecil kali ini berlangsung dengan bersih dan adil. Harus diingat, Inilah 'turning point' bagi pihak Barisan Nasional maka tidak mustahil penipuan terbesar dalam sejarah bakal berlaku di Kajang.
Sekian,
 
che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Sekian,

che'GuBard 

Nebraska 2013

Nebraska 2013

Saya rasa saya patut menulis tentang hal ini. Ia mempunyai banyak kebaikan untuk dijadikan renungan kita bersama. Kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu dan bapa yang sedang sakit, atau tua harus membaca cerita ini atau menonton filem ini sehingga selesai.

Seorang ayah yang sudah tua, nyanyuk dan sudah hampir hilang kesasaan mendapat satu surat 'scam' daripada sebuah syarikat yang memaklumkan kepadanya bahawa dia memenangi 1juta Usd.

Dia percaya surat itu. Sangat percaya. Dengan penuh susah dan payah dia ingin berjalan kaki mahu ke Lincoln untuk mendapatkan habuannya.

Lincoln yang jauhnya hampir 1000km daripada rumahnya di Billings.Dia di tahan polis dan dihantar ke rumah. Di marahi isteri dan anak anaknya. Dia masih juga berusaha untuk pergi lagi. Tapi ditahan anaknya sekali lagi di pertengahan jalannya. Dia nyanyuk.

Filem arahan Alexander Payne's ini menampilkan lakonan hampir kesemua orang orang tua. Ia cukup tulus. Tiada hero atau heroin yang mulus dan terkenal.Hanya berbekalkan skrip dan jalan cerita yang sangat baik. Ia sangat jujur dalam menceritakan teladan kepada kita.

Akhirnya si anak kedua yang sangat kasihankan si ayahnya mengambil tanggungjawab untuk menghantar si ayah ke tempat 'duit' itu.

Itupun setelah dia bersungguh menanyakan dan menerangkan kepada di ayah bahawa apa yang diperolehi itu hanya sebuah ilusi. Si ayah tetap percaya ianya benar. Dia kan sudah nyanyuk.

Perjalanan yang jauh itu menjadi sangat lelah bila si ayah tadi seringkali mengganggu. Si ayah mahu berhenti bila berjumpa keretapi lama. Si ayah hilang di bar kerana berhenti minum beer dan berbagai lagi gangguan.

Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk singgah di dalam perjalanan itu ke kampung asal ayahnya. Kampung asalnya masih di diami oleh adik ayahnya. Di sambut dengan penuh skeptikal. Orang miskin bertandang. Tentu datang untuk menyusahkan keluarga mereka. Lagipun ayahnya sudah nyanyuk.

Setelah berbasa basi dan memberitahu tujuan asalnya untuk mengambil duit usd1 juta, keluarga ayahnya berubah. Layanan yang terima umpama seorang YB masuk kampung. Hampir ke semua memuji dan memuja.

Tidak sekadar pujian daripada keluarga, rakan taulan yang sememangnya sangat mencemuh sebelumnya sampai mengadakan jamuan meraikan kepulangannya. Dia di angkat seumpama hero yang baru pulang daripada medan perang.

Puas dijelaskan oleh anaknya bahawa, apa yang dikatakan ayahnya itu hanyalah ilusi, rakan rakan ayahnya itu tidak percaya. Sebagaimana ayahnya, gamaknya mereka semua pun sudah nyanyuk.

Mereka semua malah mengherdiknya dengan kata kata yang sinis bahawa si anak ini sengaja tidak mahu membahagi bahagikan duit yang bakal diperolehi oleh ayahnya. Manusia bila dengan duit, begitulah lagak biasanya.

Si anak, walau sudah jauh berjalan, namun masih tega memujuk si ayah. Kita pulang saja ayah. Apa yang ayah impikan itu sebenarnya hanya sebuah ilusi. Fatamorgana.

Ayahnya yang bukan sahaja nyanyuk malah sangat keras hatinya. Tidak menerimanya, malah berkeras akan terus berjalan kaki seandainya anaknya tidak mahu menghantarnya. Mengalah.

Akhirnya, setelah berhenti rehat selama dua hari di situ, mereka meneruskan perjalanan ke Lincoln. Sebanyak 500 km lagi harus di tempuhi oleh mereka.

Bila didesak oleh anaknya kenapa ayahnya sangat teruja untuk mengambil duit itu, "aku ni insan yang sangat tidak berguna, aku hanya pemabuk yang sangat teruk, aku hanya inginkan sebuah truk dan sebuah kompresor angin. Semuanya ini, aku mahu tinggalkan untuk kamu. Agar kelak nanti kau tidak akan mengata kepadaku, aku tidak meninggal apa apa untukmu".

Mendengar itu, anaknya berasa hiba. Seorang ayah, walau seburuk mana ia, walau semasa hidupnya sangat tidak berguna masih meletakkan keutamaan terhadap anak anaknya. Adam Fazly, papa sangat menharapkan anda menontonnya.

Akhirnya anak dan ayah sampai ke syarikat itu. Bila di terangkan tujuan kehadiran mereka, dengan penuh sinis penjaga premis itu mengatakan nombor yang tertera di 'surat' ayahnya itu hanya memenangi sebuah topi yang tertulis Prize Winner. Aduh.

Rilek, tanpa marah ayah menyarung topi itu dengan penuh bangga.

Sebelum pulang, anak yang masih hiba dengan kata kata ayahnya, mengambil keputusan untuk menjual keretanya dan membeli sebuah truk  dan sebuah kompresor untuk ayahnya.

Ayahnya sangat terkejut. Si anak menipu mengatakan sebenarnya dia telah 'deal' dengan syarikat yang ayahnya menang itu untuk trak dan kompresor.

Ayahnya sangat gembira dan berkata "mataku akan tertutup dengan penuh seandainya aku mati sekarang, dan anak cucuku tidak akan mengutukku lagi"

Mereka akhirnya pulang dengan perasaan penuh bangga. Si ayah berbangga kerana impiannya tercapai, si anak pun berbangga kerana dapat memuaskan impian ayahnya.

Kehidupan kita hari ini, kita sangat memerlukan pemahaman tentang perkara ini. Bagaimana si ayah dan ibu yang terpaksa memahami anak semasa kecil dan membesarkan mereka, si anak juga sepatutnya memahami si ayah atau ibu walau mereka nyanyuk dan mula meminta sesuatu yang pelik dan berbagai bagai.

Sesungguhnya membahagiakan mereka adalah sebahagian keutamaan hidup kita.

Percayalah. Walau ia sangat sukar, kita pasti akan mendapat balasan daripadaNYA. Jika tidak di dunia, di akhirat nanti ia tentu pasti.

Firman Allah Taala artinya:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan
menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada kedua orang tua dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan
kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak
mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Qs. Al-Israa: 23)

Semoga anda mendapat sesuatu.Sekian.

Hj Osama @ Hj Joe
Ketua Penerangan DPPK Bachok
Merangkap Penyelaras SAMM Kelantan

Wednesday, February 19, 2014

Perkembangan Pelik di Kajang, SPR Harus Minimakan Ruang Manipulasi

Kenyataan Media
19 Februari 2014

Perkembangan Pelik di Kajang, SPR Harus Minimakan Ruang Manipulasi

Satu perkembangan yang pelik telah berlaku di sekitar Kajang apabila pasukan pemantauan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengesan beberapa bas persiaran menurunkan warga asing di hadapan KTM Kajang pagi ini.

Apakah ianya satu kebetulan apabila ribuan warga asing dipercayai warga Myanmar hadir ke Kajang dengan beg besar seolah-olah baru masuk ke negara melalui KLIA.

Dalam perkembangan yang sama, adakah kehadiran warga asing ini turut berkaitan dengan kelewatan melampau tarikh pilihanraya kecil yang jatuh pada akhir Mac dengan alasan yang tidak masuk akal? 

SAMM tidak menolak kemungkinan kelewatan tarikh PRK ada kaitan, demi persiapan lebih rapi untuk penipuan pilihanraya kecil N25. Usaha SPR untuk menggunakan senarai pemilih yang baru (Mac 2014) juga agak meragukan.

SAMM turut menggesa supaya SPR meminimakan ruang-ruang manipulasi antaranya dalam soal jumlah pengundi awal yang begitu ramai. 

Menjadi persoalan, mengapa SPR menggunakan petugas dari pengundi DUN Kajang? Mengapa tidak SPR memanggil petugas dari sekitar Bangi, Semenyih dan Cheras untuk menjadi petugas pilihanraya? 

Jika SPR memanggil pengundi Kajang sebagai petugas maka ia membuka ruang manipulasi dengan peningkatan besar jumlah pengundi awal. Ini sepatutnya boleh dielakkan.

Sebagai sebuah badan yang tercalar teruk menafikan demokrasi dalam PRU lalu, SPR harusnya terarah untuk menjadi lebih bersih bagi mengembalikan keyakinan orang ramai. Namun pemerhatian SAMM setakat ini, SPR tetap tidak berubah dan tidak punya usaha yang nyata untuk perbaiki kelemahan. SPR terus diperkudakan pemerintah.

Sebelum ini SAMM telah mendesak pihak SPR memperinci anggaran perbelanjaan RM1.6 juta untuk PRK Kajang yang disifatkan agak tinggi. Ia ekoran operasi SPR yang kerap menggunakan orang tengah dalam pelbagai urusan secara tidak langsung berlaku ketirisan dan pembaziran.

Akhir sekali, SAMM menyeru kepada orang ramai dan semua aktivis demokrasi agar turun ke Kajang untuk memastikan pilihanraya kecil kali ini berlangsung dengan bersih dan adil. Harus diingat, Inilah 'turning point' bagi pihak Barisan Nasional maka tidak mustahil penipuan terbesar dalam sejarah bakal berlaku di Kajang.

Sekian,

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Jangan Tunduk Kepada Helah Perkauman


Kenyataan Media
19 Februari 2014

Jangan Tunduk Kepada Helah Perkauman

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk perbuatan melempar bangkai ayam dan menabur cat merah di pejabat Teresa Kok. Perbuatan ini merujuk kepada politik perkauman melampau BN dan ia berlaku selepas cubaan sebelumnya tidak mendapat sambutan.

SAMM percaya tindakan ini juga adalah satu usaha menakut-nakutkan pihak YB Teresa Kok dengan harapan ada permohonan maaf akan dibuat. 

SAMM menegaskan bahawa Teresa tidak harus tunduk kepada tekanan ini kerana rakyat yang celik perpaduan tetap menjaga keharmonian negara. Hanya segelintir yang 'sakit' sahaja tergamak ingin melihat rusuhan antara kaum berlaku.

SAMM menggesa pihak berkemahiran supaya menyiarkan semula video yang diterbit Teresa Kok dengan sarikata berbahasa melayu, agar semua pihak memahami satira politik yang ditonjolkan tiada unsur penghinaan terhadap agama dan bangsa lain khususnya islam dan melayu. 

Apa salahnya kelemahan pemerintah itu ditonjolkan dalam bentuk satira selagi pihak kerajaan masih sombong dan bongkak tidak akui kelemahan diri?

Ia sinonim dengan aksi demo kangkung yang memperlihat kelemahan seorang Perdana Menteri, langsung tiada kaitan dengan penghinaan agama dan bangsa tetapi respon dari penyokong Umno berdemo dengan parang dan hasutan yang jelas, merupakan antara cubaan menimbul kebencian kaum.

Ternyata Umno terlalu lemah lantas mencari jalan perbalahan kaum maka apabila berlaku perbalahan apakah kononnya melayu akan bersatu? Ini satu dongeng dahulu kala, perpaduan yang diterap dengan baik oleh Pakatan Rakyat telah menjadikan rakyat tidak terpedaya dengan helah perkauman sepertimana YB Teresa Kok cuba dijadikan 'kambing hitam'.

SAMM seru semua rakyat bertenang dan SAMM yakin rakyat jauh lebih matang menilai permainan sentimen perkauman oleh pihak jahat.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, February 17, 2014

Perodua, Honda dan Nissan

Tulisan Santai
16 Februari 2014

Perodua, Honda dan Nissan

Pertamanya saya memohon maaf. Saya pasti permohonan maaf saya ini akan diterima dengan hati penuh terbuka.

Saya juga mengharapkan anda menerima dengan penuh terbuka apa yang saya akan perkatakan. Ini adalah penyataan daripada sisi saya dan ia adalah sangat tidak adil untuk anda mengherdik dan membenci saya.

Saya katakan ia adalah kenyataannya dan saya sangat berharap anda semua menerimanya.

Semasa saya mula mula mendapat kerja selepas berhempas pulas belajar saya berjaya membeli sebuah kereta produa Kancil. Saya membeli kancil kerana itu hanya kemampuan saya ketika itu.

Namun ketika itu ia sudah menjadi satu kebanggaan yang sudah agak baik. Bujang dan mempunyai kereta walau ianya hanya kancil sudah menjadikan saya tampak sebagai seorang yang sudah berjaya.

Kerana sekiranya anda baru bekerja dan anda mempunyai kemampuan yang lebih daripada kancil anda sebenarnya hanya seorang penjual dadah atau pengikis harta orang tua anda.

Lagipun kancil ketika itu masih dianggap sebagai sangat trendy dan cool bagi seorang anak muda. Ia dilihat sebagai tiket yang sangat baik untuk memancing para gadis gadis berdahi agak licin. Anda jangan merasakan isteri saya jenis itu. Saya tahu dia mencintai saya sepenuh hati bukan kerana saya memiliki jentera ajaib ini. Saya tahu dan sedar akan hal itu.mungkin sedikit ada kot. Kah kah kah.

Oh, saya melalut sangat panjang. Yang saya mahukan di sini bukan tentang itu. Itu hanya pembukaan agar anda tidak sangat akan 'terasa' nanti.

Setiap pembelian kereta akan dibekalkan dengan service selepas pembelian. 15 tahun yang lepas, service bukanlah satu keutamaan sangat baik untuk kereta national kita. Saya tidak tahu sekarang namun saya masih mengekalkan benchmark itu untuk kereta Malaysia.

Dua minggu selepas membelinya, yang mana runner in 1000 km belum habis, pemegang pintu saya patah. Sebagai kereta yang daranya belum pecah sepenuhnya saya dengan penuh bangganya membawa kereta saya ke pusat servis yang telah ditentukan.

Apa yang saya harapkan ialah mereka meminta maaf penuh jujur dan sykt menghantar seorang wanita yang cantik untuk memohon maaf itu lantas menggantikan pemegang pintu itu dengan percuma.

Anda tahu apa jawapan mereka, "maaf dik, adik kena beli yang baru sendiri harganya rm89.90 dan warnanya ialah hitam dan kami akan memasangnya dengan caj." Saya menyumpah dengan penuh perasaan di dalam hati.

Saya merasakan pembelian yang saya banggakan ini merupakan penghapusan dosa yang telah ditentukan oleh Allah ke atas dosa yang paling besar pernah saya lakukan.

Oleh kerana datuk saya mempunyai bengkel, saya membawanya ke bengkel datuk saya. Mereka hanya menggunakan dawai besi mengikatnya dan mengelokkannya dan cajnya hanyalah percuma.

Bermula daripada hari itu, itulah kali terakhir saya ke pusat servis itu. Bagi saya mereka sangat mencekik darah. Mereka bukan sahaja menjual kereta sambil mencekik darah anda, mereka juga menjual service sambil mahu membunuh anda. Sungguh tidak patut.

Selepas 7 tahun saya bersama Kancil saya menjualnya. Untuk kesemua harga yang saya terpaksa bayar , saya hanya mendapat hanya lebih kurang rm10 ribu. Dengan sedikit duit simpanan saya tambahkan dengan hasil jualan kancil, saya membeli sebuah Honda. Oh, saya cukup bangga. Saya telah berjaya meninggalkan legasi kereta National. Saya merasakan saya telah berjaya menumpaskan seribu musuh yang telah setiap bulan mencekik dan mahu membunuh saya. Saya berjaya menjadi manusia yang sangat merdeka.

Mari saya ceritakan tentang servis honda ini. Ianya adalah sangat baik. Saya diberikan servise secara percuma untuk kesemua barangannya serta upahnya sebanyak 5 kali. Saya hanya perlu booking dan menghantarnya. Yang pasti, mereka juga sangat efisien. Layanan yang baik di bilik menunggu yang beraircond sambil diberikan air kopi atau milo yang sangat disukai oleh anak anak saya.

Pernah satu ketika, aircond kereta saya tidak sejuk. Mereka menggantikannya dengan sebuah aircond baru yang saya lihat masih di dalam plastik bila mereka mahu menukarnya. Hati saya sangat tersentuh.

Mahu membandingkannya seumpama langit dan bumi. Mereka sangat cermat dan berhati ketika mereka melakukan kerja kerja mereka. Saya merasa sangat berbaloi walau terpaksa membayar harga yang sedikit mahal untuk kereta tersebut. Seperti kata pepatah alah membeli namun menang memakai.

Polisi mereka juga sangat jelas, mereka membenarkan kata kata mereka semasa sebelum saya menandatangani surat perjanjian. Salesman yang menjualnya cukup ramah dan masih menghubungi saya walau telah lama saya membelinya.

Hampir setiap bulan saya akan menerima buletin Honda dan akan di berikan pelbagai hadiah kepada saya. Setiap kali hari ulangtahun saya mereka akan menghantar kad dan memberitahu saya tentang produk baru mereka. Contoh layanan ini sungguh bertaraf dunia. Anda akan merasakan sangat dihargai sebagai seorang pelanggan.

Saya merasa cukup cukup dihargai. Yang lebih menariknya, sepanjang 9 tahun bersama Honda, saya tidak pernah mengalami masalah yang berat. Yang menelan belanja yang besar. Juga tiada lagi masalah pintu dan masalah kecil yang amat lucu untuk di ceritakan. Saya mengambil keputusan untuk tidak menjual kereta ini kerana mengenangkan ia sangat tidak bermasalah.

Sebelum saya membuat keputusan membeli Honda dulu, saya membuat beberapa pertanyaan dan penyelidikan. Saya menimbang banyak perkara antaranya saranan daripada kawan kawan serta beberapa perkara yang menarik sebagai pedoman. Saya juga membaca beberapa artikel.

Antara yang masih tergiang giang di telinga saya ialah saranan kawan saya saudara Aminuddin Abdullah. Dia minta saya menoleh kepada Nissan. Alasannya Nissan di miliki oleh ramai pembeli Cina. Mengapa bangsa ini sukakan Nissan menjadikan satu alasan yang sangat menarik hati saya.

Akhirnya saya tetap memilih Honda. Seperti juga kawan saya si Amin itu memilih toyota dan kini saya dengar beliau sudah mula tinggalkan Asia dan memilih enjin German sebagai teman barunya. Tahniah kawanku. Engkau pergi dulu menjengah Eropah. Tunggu aku datang suatu hari nanti.

Kenapa saya tidak memilih Nissan dan memilih Honda ketika itu?. Mata saya tidak pernah merasa bahagia dengan Nissan. Dia seolah dicipta untuk menjadi sangat hodoh dan pelik. Tiada perasaan. Sangat ketinggalan dan saya pasti tiada yang akan menoleh kepadanya untuk kali kedua.

Untuk kereta baru saya, saya membuat keputusan yang sangat pelik. Saya berusaha mengikut kata otak pelik saya bukan lagi perasaan. Saya mencuba kelainan. Saya memilih Nissan. Hodoh? Masih hodoh, saya akui itu.

Selepas 1000km pertama saya ke pusat servis Nissan. Sangat mengujakan. Terletak di kawasan yang sangat tidak sibuk. Boleh berlenggang saja ke sana. Besar dan luas. Bilik menanti yang sangat nyaman, aman, ada wifi, air cond dan semestinya air cappucino yang sangat lazat. Juga terdapat surau dan tandas yang sangat bersih dan kemas.

Layanannya saya rasa lebih baik daripada Honda dan jauh sekali berbanding kereta National kita.

Kenapa saya ceritakan semua ini? Bila Proton mengeluarkan produk pertamanya pada 1985 saya baru melangkah ke darjah satu. Ketika itu jiwa patriotik saya masih belum dirosakkan dengan perkembangan dunia hari ini yang sangat mengujakan dan cepat.

Terasa hanya Malaysia ada di peta dunia. Hampir setiap kami akan bersama sama melukis lambang Proton. Malah saya pernah mendapat hadiah kerana lukisan lambang Proton saya yang paling cantik dan terbaik.

Saya juga tidak pernah melupakan saat bersesak-sesak di depan Hotel Perdana menonton kereta Proton Knight yang di pandu oleh seorang Mat Salleh. Dia membuat pelbagai aksi akrobatik. Sungguh teruja dan tidak mungkin saya melupakan. Serasa saya kereta inilah harapan masa depan saya.

Selepas membesar, saya lihat industri kereta Malaysia mengalami zaman yang sangat suram. Kita membesar bersama Kia dan beberapa syarikat Korea namun kita jauh ketinggalan berbanding mereka. Kenapa ini terjadi?

Secara nakal saya pernah melakukan beberapa kajian. Setiap pagi saya menghantar anak ke sekolah. Saya akan melalui sebuah lampu isyarat di hadapan sekolah di kawasan rumah saya.

Lampu isyarat ini di bina dengan ada butang untuk kanak kanak sekolah melintas. Kajian mendapati kebanyakan pengguna kereta National akan selalu mengingkari lampu isyarat ini.

Kesimpulannya saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena kepada pengguna kereta National ini. Saya menjangkakan pembelinya dikalangan orang orang yang tidak memahami undang undang dan tidak berdisplin.

Berdasarkan pengalaman saya ini, saya meletakkan pengguna kereta national ialah orang yang dipaksa atau terpaksa membelinya dan dikalangan mereka yang sangat tidak berdisplin.

Anda terasa kerana anda penjual kereta National? nah jadikan servis anda terbaik dan jika anda terasa kerana anda berkereta National? Jaga disiplin anda. Hanya anda mampu mengubahnya.

Sehingga kini saya masih mengharapkan kereta National kita akan kembali menjadi kereta kebanggan kita dan menjadi kereta utama dunia. Sesuatu harus dilakukan dengan lebih bertanggungjawab.

Terima kasih kerana membaca sehingga ke saat akhir. Saya memohon maaf sekali lagi sebagaimana saya nyatakan di awal tulisan saya. Saya nyatakan ini pandangan saya. Anda berhak mempunyai pandangan anda sendiri.

SEKIAN untuk kali ini. Insha Allah kita akan bertemu lagi. Semoga terhibur!

Hj Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

Thursday, February 13, 2014

SPR Harus Perinci Kos RM1.6 juta Untuk PRK Kajang

Kenyataan Media
13 Februari 2014

SPR Harus Perinci Kos RM1.6 juta Untuk PRK Kajang

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menuntut pihak Suruhanjaya Pilihan Raya menyenarai dengan lebih terperinci jenis-jenis perbelanjaan daripada anggaran kos RM1.6 juta untuk PRK Kajang sepertimana yang diumumkan.

SAMM menyifatkan kos RM1.6 juta agak tinggi berbanding kos perbelanjaan PRK DUN Kuala Besut yang tidak mencecah RM1 juta, dalam keadaan logistik pengangkutan di Kajang jauh lebih baik berbanding Kuala Besut.

Dalam perlaksanaan PRK Kajang, tidak ada perbelanjaan baru buat SPR, tiada kenderaan baru yang dibeli, tiada perkakasan baru yang dibeli melainkan kertas ballot undian. Jadi di manakah kos pilihanraya yang tinggi ini disalur? 

SAMM juga tidak menolak kemungkinan modus operandi SPR yang hanya menguntungkan pihak ketiga seterusnya menyebabkan kos perbelanjaan melambung tinggi. SPR seharusnya lebih efisyen dan memanfaatkan sepenuhnya sumber tenaga pekerja SPR yang diberi gaji bulanan.

Sekian

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Monday, February 10, 2014

Bagaimana Jika Ada Pihak Tawarkan RM1200 Untuk Botakkan Rosmah Mansor?

Kenyataan Media
10 Februari 2014

Bagaimana Jika Ada Pihak Tawarkan RM1200 Untuk Botakkan Rosmah Mansor?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengecam keras kenyataan 'kurang masak' Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi dalam isu tawaran tampar ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Ketika banyak pihak menggesa tindakan sewajarnya terhadap kumpulan yang membuat tawaran melampau berbentuk ugutan itu, Zahid tanpa rasa bersalah mempertahankan kumpulan tersebut dan menganggap tawaran tampar itu bukan suatu ancaman keselamatan.

Apakah Zahid Hamidi buta undang-undang? Atau sebenarnya ada dua set undang-undang maka itulah jawapan terbaik seorang menteri?

Jika benar tawaran menampar itu bukan satu ancaman keselamatan, maka oleh kerana sikapnya yang sering membazir wang rakyat, bagaimana jika ada pihak yang menawarkan RM1200 kepada sesiapa yang berjaya membotakkan kepala Rosmah Mansor? SAMM percaya ini juga bukan satu ancaman keselamatan jika hukum mantik yang sama terpakai.

SAMM juga ingin memberi nasihat percuma kepada para menteri, janganlah perbodohkan rakyat kelak rakyat pula akan perbodohkan kamu dengan pelbagai gelagat termasuklah flashmob dan klip video lucu.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

SAMM Pulau Pinang Menyelar Tindakan Kurang Cerdik NGO Pro-umno Serang Rafizi

Kenyataan Media
10 Februari 2014

SAMM Pulau Pinang Menyelar Tindakan Kurang Cerdik NGO Pro-umno Serang Rafizi 

SAMM Pulau Pinang menyelar tindakkan kurang cerdik NGO (pro umno) membuat provokasi kekecohan dengan memaki hamun di Program Ceramah bersama YB Rafizi, YB Sim Tze Tzin YB Tkm1 Haji Rashid Hasnon dan Pemimpin Pakatan Rakyat Setempat di Bukit Gedung Pulau Pinang, malam semalam.

YB Rafizi telah didatangi oleh beberapa individu yang ingin menyampaikan memorandum notis kononnya terdapat perobohan rumah, dan Rafizi menerima memorandum tersebut dengan baik. Namun tidak dapat dikesan apakah angin yang tiba-tiba melanda jiwa penghantar memorandum ini apabila naik berang dengan YB Rafizi.

Mujurlah SAMM Pulang Pinang yang menjadi sebahagian penganjur bertindak pantas melerai dan menempatkan YB Rafizi ke tempat lebih selamat dan memberikan penjelasan lanjut di atas sifat budi bicaranya melayan setiap persoalan yang ditimbulkan.

Dari kekecohan yang berlaku, timbul beberapa persoalan antaranya;

1. Siapa sebenarnya yang serang siapa dulu dengan membuat provokasi dan di program siapa?

2. Apa kaitan dengan penyerahan memorandum dan notis roboh rumah di Waterfall Pulau Pinang kepada YB Rafizi Ahli Parlimen Pandan?

3. Selepas selesai insiden di ceramah bukit gedong kelihatan individu yang menganggu dan yang ingin serahkan notis tersebut bersama tkm1 berbincang tentang pekara tersebut di Nasi Kandar Kassim Mustapa, ada cara mudah utk berjumpa tapi kenapa pada awalnya perlu membuat kecoh di tempat ceramah?

SAMM Pulau Pinang mengutuk keras tindakkan melulu beberapa individu yang membuat kecoh di majlis Pakatan Rakyat, menjerit-menjerit memaki hamun penceramah yang hadir ini hanya berlaku dari kalangan penyokong Umno yang kian lupa diri.

SAMM Pulau Pinang menjangka bahawa sebenarnya mereka terdesak untuk mencari isu untuk menyerang Pakatan Rakyat. Mereka menggunakan media massa pro kerajaan yang hadir semalam untuk memanipulasi isu. Tetapi mereka tersilap langkah, kerana kami tidak berminat melayan provokasi yang cuba di timbulkan. Penyokong dari Pakatan Rakyat tidak mudah termakan provokasi.

Turut hadir semalam lebih kurang 6 orang Pengawai Keselamatan (SB) tetapi mereka berjaya mengawal keadaan. Penyokong Pakatan Rakyat juga berjaya menenangkan keadaan untuk mengelakan daripada berlaku insiden yang lebih buruk.

Sekian

Aidil Hj Ibrahim
Penyelaras SAMM P.Pinang

SAMM Pahang Gesa Pasukan JDT Digantung Jika Fiasco Kekecohan Berterusan

Kenyataan Terbuka
9 Februari 2014

SAMM Pahang Gesa Pasukan JDT Digantung Jika Fiasco Kekecohan Berterusan

Perlawanan bolasepak antara pasukan Pahang dan Johor di Stadium Darul Makmur pada Jumaat lalu menjadi kecoh selepas beberapa penyokong melakukan provokasi. Kekecohan ini tidak wajar berlaku dan seharusnya boleh dielakkan. Perkara ini terjadi disebabkan campur tangan orang tertentu berpangkat VVIP, sepertimana yang berlaku dalam perlawanan T-Team menentang pasukan Johor (JDT).

FAM sendiri tidak berani atau bacul untuk mengenakan tindakan tatatertib kepada petualang yang mampu merosakkan semangat sukan bolasepak tanahair. SAMM Pahang kesal dengan apa yang terjadi dan menyelar tindakan FAM yang hanya menutup sebelah mata. Malah suatu ketika, ada pasukan yang tergamak membawa masuk senjata api rifal automatik ke dalam stadium - apakah tindakan FAM?

Maka SAMM Pahang menggesa agar mana-mana pasukan yang mengundang campur tangan golongan VVIP ini digantung dari meneruskan penyertaan dalam liga Malaysia sekiranya sikap seperti ini gagal dibendung pada masa hadapan. SAMM Pahang merujuk pasukan JDT sebagai contohnya.

SAMM Pahang juga berharap agar tidak ada lagi berlaku kekecohan di stadium. Tidak salah memberikan sokongan padu, namun jika pemimpin pasukan tidak mampu tunjuk contoh yang baik, maka para penyokongnya akan bertindak lebih luar kawalan. SAMM Pahang menyeru kepada semua penyokong-penyokong bolasepak agar tidak taksub, janganlah sokong hingga membawa rebah.

Cintailah sukan bolasepak tanahair, kerana ini sukan kegemaran kita dan jadikanlah ia terbaik.

Sekian

Amirul Syazwan
Penyelaras SAMM Pahang

Taib Lebih Kebal Dengan Kedudukan TYT Sarawak

Kenyataan Media
10 Februari 2014

Taib Lebih Kebal Dengan Kedudukan TYT Sarawak

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melalui sayapnya SAMM Sarawak telah melalui beberapa fasa memberi tekanan kepada regim Taib Mahmud supaya berundur dari 'tahta rajah putih Sarawak' selama lebih 30 tahun. Untuk tempoh tersebut, terbentuk kekayaan sebuah empayar berskala bilion dan persoalan dari mana datangnya kekayaan keluarga Taib tidak langsung disentuh.

Menyedari kekayaan negeri Sarawak yang dihakis tanpa kepedulian terhadap nasib rakyat dan infrastruktur asas yang masih jauh ketinggalan, maka SAMM Sarawak melancarkan kempen #NyahTaib dengan harapan negeri Sarawak ditadbir oleh pemimpin yang lebih bertanggungjawab. 

Setelah puluhan aktivis tempatan dilatih, puluhan ribu bahan kempen berbentuk risalah dan dvd kesedaran diedar sehingga beberapa aktivis SAMM Sarawak diberkas dan dilokap sewaktu menjalankan kempen ini, malah ada suatu ketika puluhan NGO berkampung selama dua hari di depan istana Taib Mahmud kononnya SAMM anjur demonstrasi di kawasan tersebut, akhirnya usaha kecik SAMM menggembeling kempen #NyahTaib membuahkan hasil apabila Taib mengumumkan pengundurannya.

Namun terdapat usaha untuk melantik Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak yang baru. Sekiranya ia berlaku, segala bentuk perundangan soal salahlaku yang dilaporkan terhadap Taib Mahmud akan menjadi lebih sukar dan terbatas. Kedudukan TYT Sarawak akan menjadikan Taib lebih kebal, mungkin inilah ideanya.

Justeru itu, SAMM Sarawak bertekad untuk memastikan gerakan lebih besar disusun bagi menghalang usaha lantikan TYT kepada mana-mana individu yang terbabit salahlaku rasuah dan salahguna kuasa, apatah lagi bagi mereka yang terlibat merompak hasi bumi Sarawak berpuluh tahun lamanya.

Sekian

Azan Akma
SAMM Kuching
Penyelaras Bersama SAMM Sarawak

Monday, February 3, 2014

Selangor Perlukan Anwar dan Khalid Ibrahim

Kenyataan Media
3 Februari 2014

Selangor Perlukan Anwar dan Khalid Ibrahim

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) lahir dari semangat perlawanan anak muda, menegaskan perubahan itu tidak datang bergolek dan tidak boleh ditunggu. Perubahan harus direntap sebagaimana kita mengasak dan terus mengasak dengan matlamat menumbangkan mana-mana regim penindas rakyat.

PRK Kajang hadir dalam suasana politik yang tidak menentu. Ramai yang menyokong langkah ini demi kestabilan dan kelangsungan perlawanan, namun tidak kurang juga yang membantah dengan alasan tersendiri. Selepas penjelasan demi penjelasan diutarakan, akhirnya kata putus dari semua pimpinan Pakatan Rakyat dicapai dengan nilai positif - tumbangkan Barisan Nasional demi perubahan.

SAMM juga tidak terlepas dari pertembungan pendapat. Sebagai anak muda, kita meraikan perbezaan pendapat dan membuat keputusan dasar di atas persetujuan kolektif. SAMM merakam beberapa perkara dalam kenyataan ini, adalah termasuk;

1. Pakatan Rakyat harus berani melambung bola untuk dimainkan oleh pihak lawan, maka Langkah Kajang adalah keputusan yang sangat berani, mempertaruhkan reputasi kekuatan sebuah parti dan gabungan Pakatan Rakyat. Ia juga berupa satu serangan untuk mematahkan serangan pihak musuh yang pelbagai.

2. TS Khalid Ibrahim telah menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar dengan cemerlang, namun asakan hebat dari musuh yang penuh tipu helah melangkau bidang kekuatan TS Khalid. Bagi mengekang kemaraan musuh ini, sosok Anwar menjadi pertaruhan terbaik untuk memimpin negeri Selangor dari asakan seteru utama iaitu Najib Razak yang menjadi pengerusi BN Selangor.

3. TS Khalid Ibrahim juga mempunyai jasa yang amat besar di Selangor, dan antara jasanya yang paling besar ialah memberi laluan kepada DS Anwar Ibrahim untuk memimpin Selangor dan seterusnya menjadi faktor penyatu yang paling berpengaruh. Maka SAMM turut mencadangkan supaya TS Khalid menjadi orang paling kanan dalam pengurusan kewangan di negeri Selangor, dan diangkat menjadi Pengarah Pilihanraya.

4. Soal 'amanah' telah dijadikan senjata utama oleh pihak musuh selepas Adun Kajang meletak jawatan. Sedarkah semua bahawa Barisan Nasional telah pecah amanah selama lebih 50 tahun lamanya? SAMM nasihat kepada Umno dan BN supaya melihat kekayaan dan pemborosan Rosmah Mansor sebagai simbol 'amanah'.

5. Pertembungan Mahathir dan Najib menjadikan negeri Selangor sebagai medan penilaian dalaman Umno. SAMM tidak menolak kemungkinan isu perkauman dan kebencian agama akan dilancarkan dalam skala besar yang di luar jangkaan. Maka wajar untuk SAMM nyatakan bahawa Selangor memerlukan seorang Anwar Ibrahim.

Justeru itu, SAMM dengan ini menyokong cadangan meletakkan DS Anwar sebagai calon Pakatan Rakyat dan TS Khalid Ibrahim Sebagai Pengarah Pilihanraya. SAMM juga akan menggerakkan kekuatan jentera SAMM dalam usaha membuahkan kemenangan Pakatan Rakyat di PRK N25 Kajang.

Isamuddin Sanusi
Pengarah Sekretariat
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Sunday, February 2, 2014

Debat Khalid Samad - Noh Omar : SAMM Sedia Anjur

Kenyataan Media
1 Februari 2014

Debat Khalid Samad - Noh Omar : SAMM Sedia Anjur 

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyambut baik gesaan yang dibuat oleh YB Khalid Samad supaya debat mengenai penggunaan kalimah Allah diteruskan. Ia juga berikutan kesediaan Datuk Seri Noh Omar yang dilihat sangat kecewa apabila Wacana Sinar Harian bertajuk "Perdebatan Hujah Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Perundangan" dibatalkan pada saat akhir.

Drama yang ditonjolkan oleh Noh Omar yang hadir ke venue debat di auditorium Karangkraf walaupun berita pembatalan telah dimaklum secara meluas, membuktikan betapa seriusnya hasrat Noh untuk 'bertemu' Khalid Samad. SAMM dengan ini sedia untuk merealisasikan hasrat tersebut dan percaya rakyat juga ingin melihat siapa yang bakal 'disekolahkan'.

Isu kalimah Allah ini amat penting untuk dibentangkan kepada umum khususnya demi memperlihatkan agama Islam sebagai sebuah agama yang sempurna, tidak menindas penganut agama minoriti. SAMM juga berpendapat debat antara Khalid dan Noh ini harus menjadi cetusan awal memecahkan 'taboo' pemikiran rakyat seandainya pihak yang lebih afdal membicarakan soal ini secara terbuka masih belum bersedia.

Rampasan kitab bible awal bulan lalu sebenarnya telah memberi impak yang besar di dalam dan luar negara, bagaimana Islam di Malaysia dipandang dari mata dunia selepas peristiwa rampasan tersebut. Apakah 'kekerasan' seperti ini berlaku atas sifat balas dendam? Maka harus ada penjelasan yang optimum dengan pilihan yang ada.

Justeru itu, SAMM akan menyediakan platform terbaik buat kedua-dua seteru politik ini saling berhujah. SAMM percaya Khalid Samad punya hujah untuk dipertahankan dan Noh Omar juga tidak akan melepaskan peluang untuk menjadi 'guru'. Sudah sampai masanya rakyat dimatangkan pemikiran dengan hujah yang bernas, bukan dengan cara menunjukkan kekuatan fizikal dan memomokkan orang lain. Ini zaman pakai otak, bukan pakai otot.

SAMM mencadangkan tarikh 10 Februari sebagai tarikh wacana debat dianjurkan dengan tajuk yang sama dan moderator yang sama seperti wacana Sinar Harian yang dibatalkan sebelum ini. Lokasi debat akan diberitahu dalam masa terdekat, tidak menolak kemungkinan akan berlangsung di Petaling Jaya.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan