Friday, January 31, 2014

Sokongan Penuh Pencalonan Anwar Ibrahim Sebagai Calon DUN Kajang dan Khalid Ibrahim Sebagai Pengarah Pilihanraya

Kenyataan Umum SAMM Zon Muar
31 Januari 2014

Sokongan Penuh Pencalonan Anwar Ibrahim Sebagai Calon DUN Kajang dan Khalid Ibrahim Sebagai Pengarah Pilihanraya

Dalam dunia politik Demokrasi Berparlimen, situasi kekosongan kerusi legislatif sama ada di peringkat Parlimen atau di Dewan Negeri bukanlah sesuatu yang tidak normal. Malah, jika kita bicara dalam konteks politik tanahair pun terdapat beberapa peristiwa pengosongan kerusi legislatif dengan bersandarkan kepada alasan strategi taktikal percaturan sesebuah gabungan parti-parti politik.

SAMM Muar menghormati pandangan dan komentar dari teman-teman seluruh Johor atas nama kebebasan menzahirkan pandangan dan juga dalam masa yang sama ingin turut mengambil bahagian dalam menyatakan pandangan.

Hakikat dan sejarah politik menentang rejim Pemerintah dalam negara ini mempunyai banyak kisah dan penuh warna-warni. Dan kerana itulah, SAMM Muar memilih untuk tidak segera memberikan komentar. Situasi yang berlaku di Selangor tampak tidak jauh berbeda dengan tahun-tahun akhir pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah. Pertembungan dan percakaran beberapa fraksi dengan kepimpinan eksekutif negeri akhirnya telah mengakibatkan rakyat Kedah mengambil keputusan untuk meninggalkan koalisasi Pakatan Rakyat.

Maka, SAMM Muar sebagai sebuah gerakan anak muda yang sudah muak dengan pentadbiran rejim Pemerintah Barisan Nasional dapat memahami justifikasi tindakan tidak popular Anwar Ibrahim dalam isu DUN Kajang. Adalah sesuatu yang amat malang sekali bagi rakyat Selangor sekiranya beliau tidak datang dengan tindakan radikal seperti ini dan hanya berdiam diri melihat pentadbiran cemerlang dan mesra rakyat di Selangor ketika ini musnah dalam Pilihanraya Umum ke 14 akan datang ekoran daripada percakaran fraksi-fraksi yang tidak berkesudahan.

Hakikat yang perlu difahami oleh semua pendokong-pendokong gerakan menentang BN adalah Selangor merupakan paksi atau tunjang utama Pakatan Rakyat maka ia wajib dipertahankan daripada sebarang ancaman dan tindakan parasit-parasit yang berselindung atas nama rakyat.

Barisan Nasional juga tidak patut angkuh kononnya tindakan ini sebagai satu tindakan tidak demokratik. Bagaimana kamu boleh mengungkapkan perkataan tidak demokratik walhal kamu sebelum ini melakukan sesuatu yang lebih buruk di Perak? Tindakan Parti Keadilan Rakyat dan Anwar Ibrahim ini lebih elok apabila menyerahkan semula hak rakyat Kajang untuk membuat pilihan mereka bukan dengan memaksa mereka menerima sahaja tindakan atau keputusan yang diambil oleh koalisasi politik.

Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar sebagai sebuah gerakan anak muda Muar dengan jiwa yang besar menyokong penuh pencalonan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan Rakyat bagi pilihanraya kecil DUN Kajang. SAMM Muar juga turut menyokong penuh perlantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor sebagai Pengarah Pilihanraya untuk DUN Kajang.

SAMM Muar dan sekutu juga berikrar dan bersedia menggerakkan jentera kami ke Kajang bagi membantu mempertahankan DUN Kajang seperti mana kami beraksi dalam kempen #Hizwan4Muar dalam pilihanraya umum yang lalu. Rakyat Kajang harus berbangga kerana mereka mempunyai peluang untuk mendapat khidmat seorang negarawan yang bukan sahaja diakui oleh dunia politik tempatan malahan masyarakat antarabangsa.

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar (SAMM Muar)

Tel : 018-2864256
Email : samm.muar@gmail.com

Thursday, January 30, 2014

RAHSIA yang bukan rahsia: Perniagaan Franchise Paling Murah di Dunia!




Setelah lihat sendiri duit masuk lebih RM300 untuk pendapatan bulan kedua (maknanya baru 2 bulan buat)... maka tiba masa saya masuk gear 4 untuk bisnes super mantap #Revolusimkad TuneTalk TONE EXCEL... siapa yang nak join boleh call/sms/whatsapp 0102675872 


AMARAN: Ini bukan MLM. Anda tidak disuruh buat loan puluh-puluh ribu untuk mulakan bisnes ini. Anda tidak perlu mencari orang, bila sampai masanya, orang yang akan cari anda... hanya promotekan sahaja... promote sahaja ja ja ja ja...

Ya kita tak carik orang pun, kita cuma kongsi kebaikan dan kebahagiaan! Ini bisnes revolusi simkad handphone... kita cuma tukar handphone kita dari LIABILITI kepada ASET... Kita hanya yakinkan orang guna tunetalk akan dapat lebih banyak benefit dan bermanfaat berbanding telco lain.

Handphone itu satu keperluan, dan kita tanggung RM yg besar untuk call/sms/internet, secara purata RM100-150 utk call/sms/internet setiap bulan, dan mungkin lebih... CUBA FIKIR, selama kita byr bulan2 tu, apa yg kita pernah dapat dari telco C/M/Dg ? lebih2 pun dapat free airtime, dan free call masa besday jer...


Tapi kalau kita revolusikan simkad kita dari telco lain kepada Tunetalk TONE EXCEL, kita dapat rebet dalam bentuk RM setiap kali topup, kita boleh redeem tiket AirAsia percuma, kita dilindungi PA insurance bernilai 100k secara percuma, kita dapat 30% diskaun (corporate rate) bila menginap di TUNE Hotel, dan paling penting, kita berpeluang jana pendapatan pasif secara berterusan yang meningkat setiap bulan... yer, meningkat setiap bulan lan lan lan lan...

Jadi kenapa kita nak terus berada dalam kerugian? cukuplah bertahun-tahun pakai handphone tanpa sebarang keuntungan diri... Bertukarlah, lakukan revolusi, anda tidak pernah terlambat untuk buat perubahan, kerana sampai bila2 anda akan tetap akan gunakan hphone... tak mungkin anda kata tahun depan nak stop pakai hphone... 

Daripada kita terus jana kekayaan buat K Ananda, lebih baik kita fikirkan untuk diri kita pulak... ambik peluang revolusikan simkad kita, dari sebuah LIABILITI kepada sebuah ASET yang berguna! ya, ASET yang berguna na na na na...



Bisnes ini juga mudah lagi memudahkan... anda nak register orang baru, tak perlu bawak borang, bawak hphone sahaja... Duit masuk terus ke dalam akaun maybank/rhb/cimb/dlll anda secara otomatik, tidak perlu datang ke pejabat untuk ambil check dan tunggu 3 hari utk clear check. MUDAH DAH DAH DAH DAH DAH....


Satu rahsia yang bukan rahsia, ini perniagaan franchise paling murah dalam dunia... kita tak perlu promote TuneTalk dah, sebab dah femes dah... YA SUDAH FEMES DAH DAH DAH DAH DAH....

Edy Noor Reduan a.k.a edyess
010-2675872

Monday, January 27, 2014

Protes Turun Dataran Merdeka: Rumah Chegubard dan Edy Noor Diserbu Sepasukan Anggota Polis

Kenyataan Media
27 Januari 2014 

Protes Turun Dataran Merdeka: Rumah Chegubard dan Edy Noor Diserbu

Sekitar jam 8 malam, rumah Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan di Setia Alam dan rumah Pengasas SAMM, che'GuBard di Bukit Chedang telah didatangi pihak polis dari IPK Kuala Lumpur bagi tujuan menghantar sapina. Pihak polis hadir dengan kekuatan lebih kurang 10 anggota dengan tiga kenderaan polis hampir serentak di kedua-dua rumah pimpinan SAMM.

Menjadi persoalan, mengapa begitu ramai anggota polis yang diguna untuk menghantar sapina? Lebih 20 anggota polis untuk hantar sapina di dua lokasi adalah pembaziran sumber tenaga, sepatutnya boleh mengekang lebih banyak jenayah malam ini.

che'GuBard dan Edy Noor yang berada di rumah masing-masing menerima sapina tersebut, telah diminta hadir ke Mahkamah Jalan Duta pada 29 Januari 2014 pada jam 8 pagi bagi menjawab pertuduhan kononnya telah menganjurkan sebuah himpunan di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember. 

Menurut sapina yang dikemukakan, ia bersangkutan perlanggaran seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, kesalahan seksyen 9(5) dibaca bersama seksyen 34 kanun kesiksaan. 

SAMM sekali lagi menegaskan bahawa himpunan protes Turun pada malam ambang tahun baru adalah anjuran rakyat yang terkesan dengan kenaikan berangkai kos sara hidup, mengapa ini sukar difahami?

Perhimpunan pada malam tersebut juga berlangsung dengan aman, tidak seperti yang digambarkan secara melampau oleh pihak polis kononnya ada kerajaan yang bakal terguling, kononnya terdapat bom tangan. SAMM minggu lalu telah membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis KL yang menabur tomahan dan telah mendesak supaya PDRM mendedahkan hasil siasatan 'himpunan guling kerajaan' tetapi sehingga hari ini pihak polis masih berdiam diri.

Justeru itu, che'GuBard dan Edy Noor juga telah menyatakan kesediaan untuk hadir perbicaraan Rabu ini di Mahkamah Jalan Duta. Pengamal media dijemput hadir bagi membuat liputan.

Rakyat yang menyokong penurunan kos sara hidup juga diminta untuk terus bersama dalam perjuangan membebaskan tanahair ini dari segala bentuk penindasan. 

Sekian

Isamuddin Sanusi
Pengarah Sekretariat
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, January 24, 2014

Adnan Mansor Beri Bayangan Subsidi RON95 Akan Dimansuh

Kenyataan Media
24 Januari 2014

Adnan Mansor Beri Bayangan Subsidi RON95 Akan Dimansuh

Rakyat bakal sekali lagi menjadi mangsa penipuan kerajaan apabila menterinya Datuk Seri Adnan Mansor mengumumkan dasar harga baru RON95 akan berkuatkuasa pada Mei atau Jun tahun ini.

Dengan menggunakan alasan 'memastikan semua subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia yang layak', satu mekanisma akan diperkenal yang membolehkan hanya golongan susah mendapat subsidi petrol. Gesaan ini pasti menimbulkan kegelisahan kepada golongan pertengahan apabila pemansuhan subsidi RON95 menjadi agenda sebenar.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak sebarang usaha kerajaan menaikkan harga petrol RON95 walau dengan apa pun alasan. Rakyat sudah cukup menderita dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup yang melambung. Berita pemotongan subsidi ini sangat tidak membantu meredakan keresahan rakyat.

SAMM percaya Mekanisma bakal disusun akhirnya menjadikan rakyat Malaysia dipaksa tunduk kepada kerajaan. SAMM jangkakan rakyat akan diarah memohon kad subsidi dan hanya yang bergaji tertentu sahaja layak memiliki kad tersebut. Pada tahun 2011, Ismail Sabri ketika itu menjadi menteri bertanggungjawab pernah mencadangkan penggunaan mykad sebagai token pengantara untuk menikmati subsidi petrol. 

Apa pun mekanismanya, SAMM seru kerajaan melihat kembali bagaimana ketirisan besar berlaku dalam agihan subsidi kepada nelayan. Jika ketirisan subsidi diesel untuk nelayan tidak mampu dibendung, bagaimana pula agihan subsidi terhadap belas juta pemandu di Malaysia?

Rakyat seolah terpaksa mengemis di bumi sendiri untuk sesuap subsidi. Pengagihan subsidi ini juga akan menjadi sebuah lagi 'BR1M' yang memaksa rakyat akur terhadap pemerintah sampai bila-bila.

Cukup sudah duga-menduga perasaan rakyat, SAMM yakin kali ini rakyat akan bangkit secara luar biasa setelah pemerintah tidak henti-henti mempermainkan rakyatnya. Lebih ramai yang akan memilih jalanraya, dan mungkin Putrajaya.

Rakyat bersatu tidak dapat dikalahkan!

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Wednesday, January 22, 2014

Bila Sinar Sebenar Akan Menjelma?

Bila Sinar Sebenar Akan Menjelma?

Sinar mentari tahun 2014 di mulakan dengan penuh kesuraman. Setiap ibu bapa pasti merasai kesakitan yang teramat perit untuk menjengah ke tarikh ini. Dimana nak cari duit untuk menyekolahkan anak. Persoalan ini menjadi satu mimpi buruk dan seakan mahukan mentari 2014 disekat agar tidak menjelma selamanya.

Anak anak yang merengek meminta itu dan ini mengacah-ngacah ke telinga seumpama sembilu yang sangat tajam. Tidak mahu melayan, ia keperluan. Mahu melayan dia sangat kesempitan. Ketika ini malam-malam Jumaat tidak lagi menjadi mimpi gembira untuk pasangan. Mereka hanya mengharapkan bulan tiba-tiba menyinarkan emas dan wang ringgit dan jatuh terletak elok di bawah bantal agar esok ibu bapa dengan wewenangnya ke supermarket membeli kesemua permintaan anak-anak.

Tindakan kerajaan Najib "mengurangkan" subsidi minyak dan seribu kenaikan lain menjadikan kesuraman itu benar benar ranum pada tahun 2014. Kesemuanya tidak mampu bertahan untuk tidak naik lagi. Lepas satu satu kenaikan berlaku. Jeritan dan amaran oleh kementerian berkaitan harga barang dipandang cukup sinis. Sehinggakan apa saja yang terbit di mulut menterinya dianggap lawak dan dogengan seorang yang sangat bodoh. Dengan muka seolah seorang pelawak ia mencukupkan lagi drama itu. Kesian.

Najib yang sebelum ini juga kurang dihentam menerima akibat yang sama. Kangkung yang hanya sebenarnya dijadikan contoh menjadi bahan lawak sehinggakan BBC London turut terlibat. Ia cukup cukup memalukan. Rakyat seolah tidak mempedulikan sesiapa lagi yang hendak di disegani.

Disaat segalanya berlaku, tiba tiba hari ini ibu bapa dipanggil ke sekolah untuk menerima bantuan RM100 untuk setiap murid. Program bermula pukul 2 petang, pukul 11 pagi ibu bapa sudah mundar mandir di sekolah menanti dengan penuh sabar kehadiran pemuka pemuka kerajaan hadir untuk memberikan nyawa itu.

Senyum sepanjang jalan, melenggang seolah bakal mendapat durian runtuh yang berharga sejuta. Itulah nilainya masayarakat kita. Bila sang penceramah memulakan bicara dan memuji memuji sang kangkung, rakyat mengangguk bersetuju sambil tersenyum melebar. Hampir kesemua bicara yang disampaikan diterima dengan penuh percaya.

Ini kenyataan. Dan kenyataan ini akan berulang ulang setiap masa. BR1M bakal muncul lagi. Sekali lagi pak menteri kedai kopi yang setiap hari berbekalkan secawan kopi yang bisanya sangat tidak terperi di kedai kopi akan tunduk tak mengerti. Sesuatu harus di fikirkan agar budaya ini mati. Biar kuasa melawan kekal abadi untuk menghentikan kebodohan ini.

Bersama kita fikirkan untuk generasi yang lebih bahagia walau tahun baru menjelma.

Hj Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

Tuesday, January 21, 2014

Filem TWoWS Haram Masuk Malaysia? Apakah Anak Rosmah Terbit Filem 'Blue'??


Gambar di atas adalah antara adengan dalam filem The Wolf of Wall Street. Menurut laporan Malaysiakini, filem ini diharamkan untuk ditayang dalam negara. Apakah kerana filem ini terbitan anak tiri Perdana Menteri (bagi menjaga nama baik), maka filem ini diharamkan?

Jika sebelum ini dicanang satu malaya bahawa anaknya si Rosmah telah mengharumkan nama negara kerana berjaya mencipta nama di medan kemewahan Hollywood, mengapa pula filem 'kebanggaan' yang menelan belanja RM326 juta itu dihalang masuk ke dalam negara?

Rakyat Malaysia yang penuh dengan sifat ingin tahu, pastinya tertunggu-tunggu apakah hasil tangan dan hasil pelaburan seorang anak yang turut mewakili keluarga Perdana Menteri walaupun berstatus anak tiri - dia anak Rosmah, seorang wanita yang sering menonjol melebihi kebanyakkan kepimpinan negara, juga isteri kepada Perdana Menteri.

Antara yang dilaporkan oleh Malaysiakini mengenai filem anak watan ini;
Filem, yang merupakan pesaing untuk Academy Award tahun ini, mencipta rekod penggunaan perkataan lucah 'F' paling banyak dalam filem R-rated. Menurut Variety, perkataan 'F' itu didiucapkan 506 kali dalam filem itu, atau 2.81 kali seminit. 
Red Granite Pictures membenarkan kandungan tertentu filem itu dipotong untuk melepasi proses tapisan di beberapa negara.


Sebagai contoh, bagi tayangan di India, tiga babak terpaksa dipotong iaitu adegan pesta seks gay liar, adegan onani di tempat awam dan satu lagi adegan melibatkan aksi Leonardo DiCaprio menghembus kokain ke dalam punggung seorang perempuan.
Apakah dunia ini sudah kehabisan genre?

Penyokong-penyokong Umno pastinya tersemat rasa bangga yang tidak berbelah bahagi terhadap Rosmah Mansur dan anaknya yang telah mengharumkan nama negara. Kalau rasa filem ini keterlaluan, jangan tengok. Dalam masa yang sama, Umno juga akan berjuang bermati-matian mempertahankan kalimah Allah, dan juga kalimah kangkung.

Bayangkan jika filem ini menjadi contoh dan ikutan kepada anak muda seluruh negara, siapakah yang akan kita rujuk sebagai puncanya? Dalam dunia perfileman, sesebuah filem itu diarahkan oleh seorang director mengikut citarasa producer. Sudah pasti penerbit tidak mahu filem hasil duit poketnya tidak memberi pulangan, maka penerbit juga punya peranan tertentu dalam menentukan halatuju filem tersebut.

Filem Wolf of WallStreet adalah berdasarkan kisah benar. Namun kita tidak lupa bahawa filem Lion of The Desert juga berdasarkan kisah benar yang juga mendapat sambutan hebat di Hollywood, malah menampilkan watak seorang pejuang islam yang hebat - Omar Mokhtar yang dilakonkan oleh Anthony Quinn. 

Filem Lion of The Desert juga telah diterbitkan dan dibiayai oleh warga Libya yang ingin melihat 'hero' mereka di persada dunia. Hari ini kita kenal Omar Mokhtar melalui sebuah filem Hollywood, dunia kenal Omar Mokhtar melalui Hollywood.

Apalah salahnya jika kisah riwayat Umar Abdul Aziz difilemkan di mana jua jika tidak pun di Hollywood? Jika filem mengenai keperibadian Umar Abdul Aziz yang mengamalkan amanah pada tahap tertinggi ini dibiayai oleh seorang anak, mahupun anak tiri kepada Perdana Menteri, pasti memberi kesan lebih bermakna.


RM326 juta bikin filem 'blue'. Inilah yang disokong Umno? inilah ketuanan Umno?

Edyess
Blogger Pro-Rakyat
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Thursday, January 16, 2014

Parody Kangkung Adalah Sentimen 1Malaysia

Kenyataan Media
16 Januari 2013

Parody Kangkung Adalah Sentimen 1Malaysia

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membidas kenyataan seorang blogger pro-umno yang cuba mengaitkan sebuah flashmob parodi kangkung dengan sentimen perkauman. SAMM menyifatkan tindakan blogger tersebut hanya mengambil kesempatan dari satu aksi semata-mata, namun tidak melihat dari pelbagai sudut yang lebih menyeluruh. 

Apa yang berlaku dalam negara hari ini ialah, 1Malaysia telah ditindas pemerintah dengan kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal - tidak ada kaum yang terkecuali. Respon dari kebanyakkan menteri pula dilihat kurang bijak dan mendapat kritikan umum.

Kemuncaknya, lahir parodi yang disensasikan secara meluas berpunca daripada respon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu majlis di Kemaman. 

Semua kaum di atas nama rakyat Malaysia telah terlibat dalam menjayakan 'parodi kangkung' yang bermula di laman sosial, dan SAMM tidak menolak kemungkinan ianya akan diperluas dalam bentuk flashmob. Trend 'kangkung' ini akhirnya mendapat perhatian dunia.

Jika blogger Umno menuduh flashmob berunsur kangkung hanya melibatkan kaum cina, apakah blogger tersebut mahu melihat 1Malaysia melakukan 'flashmob kangkung' selepas ini? SAMM percaya ia mampu dilaksanakan dan banyak pihak akan mengambil bahagian.

Justeru, SAMM amat bersetuju dengan saranan pelbagai pihak agar kempen #Kangkung1Malaysia dilancarkan bagi mengisi keharmonian kepelbagaian kaum yang bersatu meluahkan perasaan.

Rakyat bersatu tidak dapat dikalahkan

EDY NOOR REDUAN
Blogger pro-Rakyat
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Wednesday, January 15, 2014

Tubuh JK Siasatan Diraja Siasat Kekayaan Luar Biasa Rosmah dan Najib.

Kenyataan Media
15 Januari 2014

Tubuh JK Siasatan Diraja Siasat Kekayaan Luar Biasa Rosmah dan Najib.

Nama Rosmah Mansor sekali lagi dipetik menjadi kontroversi nasional apabila didakwa membiayai sebuah filem Hollywood melalui anaknya Riza Aziz yang menjadi penerbit filem tersebut. 

Dakwaan tersebut dilaporkan oleh beberapa media arus perdana termasuk M-star Online yang menyatakan terdapat tuduhan bahawa filem terbitan Riza Aziz mendapat sumbangan kewangan dari ibunya. M-Star Online bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sumber tuduhan tersebut.

Riza Aziz merupakan anak Rosmah bersama bekas suaminya, Abdul Aziz Nong Chik. Baru-baru ini, susuk yang sama telah terpalit dengan skandal pembelian kondo mewah di New York bernilai RM111 juta.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan tegas mempersoalkan dari mana datangnya kemewahan luar biasa keluarga Perdana Menteri?

Semua dakwaan ini telah dilaporkan secara meluas oleh media yang berwibawa, bukan dipetik dari blogger politik semata-mata. Sedangkan sebelum ini ramai pimpinan politik anti-kerajaan yang ditangkap dan didakwa hanya dari sumber pihak yang tidak kredibel.

Maka SAMM mendesak satu Jawatankuasa Siasatan Diraja ditubuh bagi menyiasat semua dakwaan kemewahan luar biasa sejak Najib memegang jawatan Perdana Menteri. SAMM juga menggesa agar Najib Razak dan Isterinya diberi cuti sehingga siasatan selesai dan pucuk pimpinan negara harus dipangku oleh mereka yang layak.

Ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, keluarga Perdana Menteri dan menterinya pula bermewah-mewahan. Dalam masa yang sama, mereka seru rakyat supaya berjimat - ini sangat kontradiksi.

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Saturday, January 11, 2014

Ketawa Penawar Duka, Pengubat Sengsara Peningkatan Kos Sara Hidup

Bacaan Umum
11 Januari 2014

Ketawa Penawar Duka, Pengubat Sengsara Peningkatan Kos Sara Hidup

Malam tadi, seperti malam hari jumaat sebelumnya, tercegatlah kami sekeluarga di depan tv menonton Maharajalawak Mega. Hiburan ringan ini sedikit sebanyak melegakan perasaan stress di tempat kerja. Gelak tawa yang terhasil dari persembahan peserta Maharajalawak Mega mampu melampias keletihan sepanjang minggu.

Faktanya, kadar hormon stress seperti kortisol dan adrenalin akan cenderung untuk menurun ketika kita ketawa, jadi peluang untuk ketawa ini jangan dilepaskan.

Kerana itu juga kita melihat di celah mana-mana sudut dalam laman sosial, 'trolling' sering menjadi trending yang besar. Setiap gambar berangkai yang mengajuk kata-kata menteri dan ahli politik atau fatwa songsang mufti sebagai contohnya, pasti membuatkan anda tersenyum. Malah saya percaya setiap kali kita membuka laman sosial facebook, kita akan ternanti trolling baru merentasi ruangan suapan berita. 

Benarlah tawa itu penawar duka. Selain peserta Maharajalawak Mega, para menteri, para pegawai kanan polis, para mufti dan juga termasuk Perdana Menteri dan timbalannya sering mengeluarkan kenyataan yang mempunyai nilai komidi, lebih-lebih lagi Zahid Hamidi. 

Di sebalik ajukan yang menggelikan hati, hadir pula komen-komen berani dari anak muda menokok-nambah rencah bahan tawa. Memperlekeh kenyataan menteri menjadi sesuatu yang sangat cool hari ini, menjadi ikutan dan hiburan di laman sosial.

Berbalik kepada hiburan Maharajalawak Mega tadi malam, sesuatu yang agak mengejutkan berlaku. Ingin saya mengaku di sini bahawa sejak sekian lama pelawak bernama Nabil selalu menjadi pilihan dan sokongan pihak saya. Bukan kerana beliau sering mempromosi bahaso nogori yang menjadi bahasa hometown saya, tetapi kerana kehebatan beliau beraksi seorang diri. Tidak mudah menjayakan standing comedy, tetapi Nabil cukup berjaya dengan usaha yang gigih menjadi penghibur tanahair.

Namun bukanlah Nabil yang mengejutkan saya. Kejutan telah dibuat oleh sebuah kumpulan bernama SYJ, mungkin sahaja singkatan dari nama ahli kumpulan tersebut iaitu Syuk, Yassin dan Jihan. SYJ mengejutkan banyak pihak termasuk mendapat sorakan spontan para penonton, komen juri yang memuji tindakan mereka dan seterusnya mengundang pelbagai komen di laman sosial. Semuanya positif, semuanya menyokong SYJ. 

Ironinya, daripada persembahan kumpulan SYJ itu, mereka bukan sahaja terselamat dari tersingkir malah kedudukan dalam carta menunjukkan peningkatan yang mendadak, mereka tidak berada di kedudukan tiga tercorot dalam pertandingan Maharajalawak Mega minggu ke sembilan. Kepada sesiapa yang mengikuti siaran Maharajalawak Mega, pasti sedar kejutan tersebut dan mungkin bersetuju dengan tindakan mereka.

Kumpulan SYJ merupakan satu-satunya kontenden yang sanggup membahayakan kedudukan mereka dalam dunia hiburan apabila menyelitkan jenaka troll kenaikkan harga petrol, dan terus menyindir kerajaan apabila mengumumkan satu-satunya penurunan yang berlaku adalah penurunan dividen ASB (berbanding pelbagai kenaikan yang membeban rakyat).

Difahamkan juga ini bukan kali pertama SYJ menerapkan isu semasa dalam jenaka mereka. Apa yang ditonjolkan oleh kumpulan SYJ malam tadi adalah satu bentuk sokongan kepada rakyat dan gerakan pendesak penurunan kos sara hidup. Harus menjadi kesedaran semua betapa isu kos sara hidup yang melambung adalah isu sebenar, bukan isu pertelingkahan agama. Tindakan SYJ membakar isu ini adalah terpuji dan wajar mendapat sokongan ramai. 

Tahniah kumpulan SYJ. Walaupun saya peminat Nabil, namun undi saya selepas ini adalah untuk SYJ dan saya yakin ramai di antara kita yang akan ambil keputusan sama. Undi saya adalah untuk mereka yang bersama rakyat, undi saya ialah untuk mereka yang sanggup membawa isu rakyat walaupun sedar tindakan tersebut mengundang 'gam' pihak berkepentingan. Penguasa ini tidak perlukan alasan untuk menutup periuk nasi orang seni yang tidak memihak kepada mereka, ini pernah berlaku dan terus berlaku.

Kumpulan SYJ menjalankan peranan mereka dengan risikonya tersendiri, maka kita di sini juga harus berperanan menjadi pendesak utama. Jika kita terlepas aksi 50 ribu #RPDM31D, berjanjilah bahawa kita tidak akan melepaskan lagi peluang pada masa akan datang, dengan berani menuntut kos sara hidup diturunkan, atau pemerintah zalim itu dihumban!

Semoga kumpulan SYJ menyelitkan lagi isu-isu rakyat dalam jenaka mereka agar ia mampu menyedarkan lebih ramai di luar sana. Saya berdoa agar kumpulan SYJ akan melangkah ke final Maharajalawak Mega dan tidak mustahil menjadi juara. Juara rakyat (peoples champ).

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Yang Menang Tidak Menang Semua, Yang Kalah Tidak Kalah Semua

Bacaan Umum
10 Januari 2014

Yang Menang Tidak Menang Semua, Yang Kalah Tidak Kalah Semua

Menginjak tahun 2014, negara kita masih terus bergelut dalam isu-isu agama. Agama merupakan satu perkara yang penuh dengan sensitiviti yang boleh mengancam asas keharmonian dan kerukunan ukhwah di antara masyarakat dalam Negara ini sekiranya tidak diuruskan dengan penuh hikmah. Ia tidak boleh ditangani dengan kegopohan untuk menjadi hero.

Berzaman hidup dlm Negara majmuk penuh warna warni agama, budaya dan bahasa. Kenapa kita masih terus ingin bermain dgn isu sebegini. Belajar dari sejarah. Pertembungan antara agama dan bangsa yang akhirnya menyaksikan kemusnahan keharmonian malah lebih buruk lagi ketamadunan sesuatu Negara bangsa itu turut musnah.

Mengapa perlu ada tindakan-tindakan provokasi dari satu pihak kepada pihak yang lain. Celaan demi celaan, hinaan demi hinaan, tindakan demi tindakan terus dilakukan. Apa yang ingin dibuktikan? Agama itu lebih supreme dari agama lain? Atas alasan mempertahankan agama masing-masing kita menghalalkan tindakan-tindakan yang akan terus melahirkan prejudis dan buruk sangka antara satu sama lain?

Perlembagaan kita telah menggariskan 2 artikel berhubung agama iaitu Artikel 3 Agama Rasmi Persekutuan dan Artikel 11 Kebebasan Dalam Mengamalkan Ajaran Agama bukan untuk menjadi bahan bacaan semata-mata tetapi sebaliknya untuk mengelak perkara sebegini dari terus mengancam keharmonian antara kita. Nenek moyang kita telah mewariskan Negara ini bukan untuk melihat kita bergaduh atas nama agama dan bangsa. Mereka berjuang bermandi darah membebaskan Negara ini untuk melihat kita semua hidup berkasih sayang antara satu sama lain.

Dalam menghadapi isu agama ini, kita perlu tangani dengan penuh toleransi, berhikmah tanpa rasa syak wasangka diantara satu sama lain. Dalam realiti dunia seharusnya kita tidak mengamalkan prinsip "winner takes all". Prinsip itu hanya berlaku di Las Vegas saja. Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Bagi penganut Islam mungkin menang dengan penghakiman tetapi ia hanya di Semenanjung. Manakala bagi Kristian mungkin kalah dalam penghakiman tetapi pengumuman 10 perkara oleh PM bagi Sabah dan Sarawak tidak menyebabkan mereka kalah semuanya.

Perdana Menteri harus segera melaksanakan pelan rekonsiliasi nasional yang ditaja beliau. Jangan berlengah-lengah lagi. Seharusnya sidang meja bulat yang menghimpunkan pihak-pihak berkepentingan perlu diadakan segera bagi mencari titik pertemuan yang dapat menyatukan kesemua rakyat. Jangan terus berdiam dan membiarkan sahaja pelbagai bentuk provokasi agama berlaku di dalam Negara.

Politisi-politisi juga tidak harus menjadi jaguh. Menjadikan agama sebagai medan meraih popularity politik tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada kestabilan dan kerukunan Negara. Cukuplah menjadikan agama sebagai alat untuk kepentingan hayat politik masing-masing. Agama perlu dicerna sebagai medium yang memandu setiap daripada kita untuk terus kekal berada dalam kebenaran yang hakiki dan akhlak yang baik. Cukuplah mengadu domba rakyat dengan bersandarkan agama. Tiada untungnya.

Rakyat juga tidak harus terperangkap dalam permainan sentiment yang cuba ditonjolkan bagi terus memastikan kita sentiasa berpecah belah dan tiada kesepakatan. Isu agama dan bangsa akan kekal dimainkan bagi memastikan perhatian kita akan terpesong dari isu-isu lain yang sedang menjerut leher kita. Percayalah, selagi kita terus terpecah kerana sentiment agama dan bangsa ini, mereka-mereka yang sedang memegang kuasa sedang menari gembira kerana perhatian kita telah Berjaya mereka pesongkan.

Ahmad Anwar Asyraf (Comrade AAA)
Penyelaras SAMM Kebangsaan

Tuesday, January 7, 2014

Pasca #RPDM31D: Rakyat Pilih Gelanggang Seterusnya

(Mohon disebarkan seluasnya)

Respon Kerajaan UmnoBN Pasca Selepas Rakyat Protes #RPDM31D di Dataran Merdeka;

"Malaysia tidak mampu mengekalkan pemberian subsidi kepada orang awam, maka kami sedang menurunkan beban negara secara berperingkat" - Najib Razak, PM

"Kita harus terima hakikat bahawa negara kita ini perlu kurangkan subsidi yang dinikmati oleh rakyat dan kita tidak mahu rakyat terlalu selesa dengan jumlah subsidi tinggi yang diberikan oleh kerajaan" - Zahid Hamidi, Menteri KDN

Selepas 50 ribu berjaya masuk ke Dataran Merdeka, PM dan menterinya terus memperlekeh rakyat. Mereka belum cukup gerun dengan rapat protes rakyat yang ditunjukkan pada malam 31 Disember lalu.

Kenyataan di atas juga merupakan signal yang jelas yang tidak menolak kemungkinan subsidi petrol akan dihapuskan dalam masa terdekat.

Adakah anda mahu berdiam diri? atau sedia untuk aksi seterusnya?

Kita serah kepada rakyat untuk pilih aksi terbaru pasca #RPDM31D. Sila masuk ke pautan di bawah, dan pilihlah. Apa jua keputusan rakyat, samada KLIA, Tol Sg Besi atau Putrajaya, kita akan bersama dalam menentukan nasib marhein.


Gerakan3112 bersedia untuk satu lagi aksi, serah kepada rakyat untuk pilih gelanggangnya. Gerakan3112 akan diteruskan selagi kos sara hidup tidak diturunkan, atau rakyat akan bersatu menurunkan Najib, si penguasa zalim.

Ayuh kita buktikan kuasa rakyat itu tidak mampu dikalahkan oleh mana-mana kerajaan yang angkuh dan sombong!

Gerakan3112

Rakyat Perlu Bayar Ribuan Ringgit Untuk Fahami GST

Kenyataan Media
7 Januari 2014

Rakyat Perlu Bayar Ribuan Ringgit Untuk Fahami GST

Kenyataan balas kepada kenyataan Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri Jabatan Kastam dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) berhubung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).


Menyedari bahawa sistem percukaian adalah merupakan instrumen ekonomi yang amat penting bagi sesebuah Negara untuk menjana hasil atau pendapatan. Cukai yang dipungut ini dibelanjakan oleh kerajaan bagi tujuan keselamatan Negara, rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur untuk membangunkan ekonomi, dan pelbagai lagi, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak terburu-buru membuat kenyataan rasmi tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

SAMM, sebuah gerakan anak muda yang mempunyai jaringan anggota di seluruh Malaysia telah membuat ketetapan untuk menubuhkan Sekretariat GST dengan objektif utama menjalin kerjasama dengan agensi-agensi perlaksana GST. Antaranya ialah Kementerian Kewangan, Kastam DiRaja Malaysia dan Malaysia Industrial Development Authority (MIDA), maka sebuah bengkel latihan dan pemahaman GST akan diadakan pada 18 Januari ini menjemput kedua-dua agensi ini menyampaikan kefahaman yang proaktif bagi mengelakkan kekeliruan rakyat kelak.

Sekretariat GST SAMM telahpun mengambil inisiatif dengan menghubungi pihak-pihak agensi kerajaan iaitu melalui surat yang diemelkan kepada MIDA bertarikh 26 November 2013,  surat permohonan (no rujukan SAMM-20131203-GST-01) bertarikh 3 Disember 2013 kepada Pejabat Perlaksanaan GST, Kementerian Kewangan dan melalui sistem dalam talian permohonan seminar GST Kastam DiRaja Malaysia (No. Rujukan RQ-027660).

Namun, MIDA telah menolak permohonan tersebut manakala MOF dan KDRM masih membisu sehingga hari ini. Persoalan yang ingin diutarakan adalah mengapa agensi-agensi perlaksana ini tidak mahu membuka ruang kepada kumpulan-kumpulan anak muda non-partisan seperti SAMM untuk mendapat peluang mendengar penjelasan mereka, memahami kaedah percukaian GST, membuat penilaian dan berkongsi idea mengenai rejim percukaian ini? Ditolak dengan pilihan tarikh lain dan ditolah mentah-mentah adalah dua perkara berbeza.

Setelah meneliti kenyataan dari MOF yang menyeru pihak yang ingin bekerjasama dalam memahami GST serta peruntukkan bernilai RM 100juta disediakan bagi memenuhi maksud latihan GST, maka SAMM ingin penjelasan dari MOF mengapakah permohonan bengkel GST tidak mendapat sebarang jawapan walaupun telah sebulan permohonan ini dihantar. Mengapa pihak agensi-agensi perlaksana ini tidak mahu untuk bekerjasama dengan SAMM? Satu ketika kamu pinta SAMM untuk mengikut saluran, satu ketika lagi kamu tutup semua pintu-pintu saluran yang ada.

Sekretariat GST SAMM juga tidak mahu terperangkap dalam permainan polemik politik berhubung perlaksanaan cukai GST kerana itulah SAMM memilih untuk mendengar dulu penerangan kaedah perlaksanaan GST daripada agensi terbabit sebelum satu pandangan atau komen rasmi dapat dikeluarkan. SAMM amat berharap agar agensi-agensi perlaksana GST ini juga tidak terperangkap dengan aksi politik semata-mata sebaliknya meraikan segenap lapisan masyarakat untuk mendapat penjelasan penuh dan menyumbang sedikit pandangan berhubung perlaksanaan GST.

Sekretariat GST SAMM turut menerima sesalinan emel daripada sebuah badan latihan yang mengenakan yuran bengkel GST sebanyak RM 1200 kepada setiap peserta sedangkan pihak Kementerian Kewangan menyediakan peruntukkan sebanyak RM 100juta bagi tujuan latihan dan pemahaman GST.

Akhirnya di sebalik segala polemik mengenai GST, terdapat pihak-pihak mengambil peluang mengenakan yuran yang mahal dan mengaut keuntungan dan berkemungkinan meningkat perbelanjaan latihan kepada syarikat-syarikat pemain industri yang mana mungkin segala perbelanjaan dan kos ini akan dipulangkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Seharusnya, kerajaan meraikan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyediakan platform latihan GST bukannya membiarkan syarikat swasta membuat latihan dengan yuran yang mahal.

Mohd Faizal Ab. Rahman
Sekretariat GST/TPPA
Penyelaras SAMM Kebangsaan

Friday, January 3, 2014

SAMM Sokong Himpunan Pensil Merah

Kenyataan Umum
3 Januari 2014

SAMM Sokong Himpunan Pensil Merah 

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini menyokong himpunan 'Pensil Merah' yang dianjurkan oleh sekumpulan wartawan yang menuntut kebebasan media dan membantah penggantungan sebuah akhbar.

Himpunan yang berlangsung esok jam 2 petang di depan bangunan Majlis Peguam (kawasan lapang depan jam besar), adalah bertepatan ekoran penggantungan akhbar The Heat hanya kerana akhbar tersebut melaporkan pemborosan keluarga Perdana Menteri. 

Penggantungan akhbar The Heat melambangkan satu penindasan terhadap warga media dan ia menutup ruang kepada media lain untuk menyampaikan kebenaran. Jika The Heat digantung, tidak mustahil akhbar atau portal berita lain turut mengalami nasib yang sama. Seharusnya, jika laporan mana-mana akhbar didapati tidak benar maka kerajaan mahupun keluarga Perdana Menteri mempunyai saluran yang luas untuk failkan saman.

SAMM juga mempersoalkan di manakah transformasi Najib dalam soal keterbukaan yang dicanang selama ini? Apakah ia sudah basi setelah berjaya mengekalkan kuasa pada pilihanraya umum yang lalu? Apakah keputusan KDN ini yang dipimpin oleh Zahid Hamidi dengan sengaja memburukkan reputasi Najib Razak?

Justeru itu, SAMM menggesa semua pengamal media, termasuk blogger dan pemain media sosial wajib mengambil bahagian dalam himpunan protes Pensil Merah. Ini kerana, semuanya terdedah dengan hukuman yang bersifat kuku besi.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Thursday, January 2, 2014

SAMM SARAWAK MENGUTUK TANGKAPAN AKTIVIS YUSOF BAHARUDDIN

Kenyataan Media 

2 Januari 2014


SAMM SARAWAK MENGUTUK TANGKAPAN AKTIVIS YUSOF BAHARUDDIN


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Sarawak mengutuk tangkapan saudara Yusof B. Baharuddin hingga membawa kepada tahanan reman selama tiga hari. 


Saudara Yusof yang juga merupakan anggota SAMM Sarawak ketika ditangkap, baru sahaja menghantar delegasi SAMM Kebangsaan ke lapangan terbang Kuching. Beliau juga telah membantu segala pergerakan SAMM Kebangsaan di Kuching selama beberapa hari. Apakah kerana tulisan beliau di laman sosial atau keterlibatan beliau dengan kempen Nyah Taib yang dilancar SAMM, maka beliau ditangkap dan direman hingga 3 hari?


SAMM Sarawak berasa kesal kerana pihak polis sentiasa mengamalkan sikap dwi-standard apabila begitu cekap dan pantas menangkap aktivis yang bangkit melawan, tetapi membisu dengan setiap ancaman pengguna facebook terhadap pimpinan Pakatan Rakyat dari kalangan penyokong kerajaan.


Kami SAMM Sarawak mendesak supaya anak muda Sarawak bangkit dan lawan Regim Taib yang semakin mengila merompak hasil mahsul negeri demi memperkukuh kekayaan empayar ahli keluarganya. Salahguna kuasa turut berlaku, tanah hak milik rakyat Sarawak terus dirampas manakala siapa yang lawan akan diheret ke lokap.


Rakyat sarawak jangan lagi takut dengan Taib Mammud, kita harus yakin dan berani, cukuplah puluh tahun ditindas. Bersatulah kita rakyat Sarawak menuntut Hak dan pertahankan bumi kenyalang ibu pertiwi tanah tumpah darah kita. 


Ayuh bersama, kita "NYAH TAIB".

 

Perjuangan adalah perlaksanaan kata – kata

Selamatkan Sarawak, Selamatkan Malaysia

 

Azan Akma

Penyelaras SAMM Kuching

Email :akmal.zahraa@gmail.com

Facebook :Azan Akma

Twitter : Azan_Akmal@twitter.com

 

Web rasmi : www.anakmudamalaysia.com

Protes Ambang Tahun Baru Capai Matlamat dan Berlangsung Aman

Kenyataan Media
1 Januari 2013 (11pm)

Protes Ambang Tahun Baru Capai Matlamat dan Berlangsung Aman

Akhirnya Dataran Merdeka sekali lagi menjadi medan protes rakyat apabila seramai 50 ribu orang memenuhi segenap padang dan jalan di depan bangunan Sultan Hishamuddin. Ia satu lembaran sejarah baru selepas kali terakhir Dataran Merdeka menjadi medan protes rakyat ialah pada tahun 1998 tetapi kini ia berulang dengan kekuatan rakyat.

Aksi kebangkitan rakyat semalam menjadi berita dunia, melaporkan bahawa tahun 2014 bukan sahaja merupakan tahun melawat Malaysia, tetapi juga tahun perlawanan menuntut kos sara hidup diturunkan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merakam syabas dan tahniah buat semua anak muda aktivis dan mahasiswa khususnya mereka yang terlibat dalam Gerakan3112 #RPDM31D yang menjadi penggerak utama. SAMM juga ingin menegaskan beberapa perkara;

1. Dua pengumuman dari Perdana Menteri dan Timbalannya, untuk turun elaun menteri dan untuk kaji semula rasionalisasi subsidi merupakan salah satu kejayaan protes. Namun rakyat tidak mudah ditipu, potong gaji 10% tidak menutup pembaziran, ketirisan, salah guna kuasa dan sebagainya. Najib berani potong gaji menteri, apakah berani memotong perbelanjaan Rosmah?

2. Lebih 1300 laporan polis yang dibuat oleh Umno dan NGO pro-BN kononnya akan berlaku keganasan pada malam tahun baru termasuk 'himpunan guling kerajaan' meleset sama sekali. Protes berlangsung dengan aman, tiada yang cedera dan tiada kerajaan yang terguling. 

3. SAMM mengutuk cubaan fitnah pihak polis apabila menaikkan gambar palsu di laman facebook rasmi PDRM kononnya terdapat seorang anggota yang cedera parah ketika bertugas di Dataran Merdeka malam tadi. Walaupun permohonan maaf telah dibuat oleh PDRM melalui laman yang sama, integriti polis dalam menyebarkan berita cukup terjejas. Ini juga bukan kali pertama, ketika Bersih 3.0 dulu berita kematian anggota polis disebar dan polis percaya propaganda jahat ini lalu bertindak ganas terhadap peserta demo.

5. Persembahan konsert dihentikan oleh penganjur setelah melihat peserta demonstrasi berbaju hitam memenuhi keseluruhan padang. Tiada seorang pun peserta himpunan yang naik ke pentas konsert seperti yang dilaporkan oleh TV3.

6. Ucapan Datuk Bandar yang berbaur provokasi tidak berjaya membangkit kemarahan rakyat untuk merampas pentas, malah hadirin tetap bertenang. SAMM turut menyifatkan konsert yang menelan belanja mewah RM15 juta itu wajar dihentikan oleh rakyat. Ini kerana ketika ramai yang terkesan kenaikan berantai kos sara hidup, sebuah agensi kerajaan sewenang-wenangnya membazirkan wang rakyat. Sepatutnya sambutan tahun baru perlu bersifat muhasabah.

7. Pihak polis menuduh SAMM dan beberapa NGO sebagai penganjur 'himpunan guling kerajaan', ternyata tuduhan ini melulu dan tersasar. Proses saman akan bermula dalam masa terdekat bagi membersihkan nama SAMM.

8. Aksi protes di Dataran Merdeka adalah kemenangan besar buat rakyat yang menjadi penganjur. Kehadiran puluhan ribu demonstran menjadi bukti bahawa propaganda polis dan kerajaan gagal mengalih isu sebenar iaitu tuntutan menurunkan kos sara hidup.

SAMM yakin gerakan rakyat ini tidak akan terhenti di sini. Protes akan diteruskan selagi kerajaan tidak 'turun' dan SAMM akan mengganda usaha untuk mobilisasi lebih besar dalam satu lagi himpunan raksasa yang dijangka berlaku pada Hari Buruh tahun 2014.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan