Saturday, November 30, 2013

PANGGILAN SIDANG MEDIA #BantahASTRO | 2 Dis | Isnin | 12 Tghari | Bangsar

MEDIA ADVISORY

Kepada tuan editor dan pengamal media,

Kesabaran rakyat terhadap aktiviti monopoli syarikat siaran berbayar ASTRO kini berada di penghujungnya, satu gerakan ampoh sedang disusun. Justeru itu, kami Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menjemput semua wartawan untuk hadir dalam satu sidang media #BantahASTRO pada tarikh, masa dan lokasi berikut;

SIDANG MEDIA GERAKAN #BantahASTRO

Tarikh: 2 Disember 2013 (Isnin)
Masa: 12.00 tengahari
Venue: Pejabat Radio Bangsar Utama (Bersebelahan Pejabat Malaysiakini)
Pertanyaan: 012-6794704 (Yaser), 016-6858558 (Azif)

Mohon pihak editor menghantar wakil media untuk membuat liputan. Orang ramai dijemput hadir memberi sokongan.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, November 29, 2013

Kelab Penyokong Kerajaan Selangor Jadi Kelab Kongkalikong

Kenyataan Media
28 November 2013

Kelab Penyokong Kerajaan Selangor Jadi Kelab Kongkalikong

Semalam SAMM Johor menjadi antara yang pertama menyuarakan rasa tidak bersetuju terhadap kenaikan gaji yang terlalu tinggi DUN Selangor di kala rakyat masih terbeban dengan kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin mendesak.

Hari ini, setelah pelbagai pihak menyatakan bantahan termasuklah komentar Ketua Pembangkang yang menyatakan kenaikan itu terlalu tinggi, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor membuat pusingan 180 darjah apabila Pengerusinya, YB Azmin Ali membuat kenyataan meminta pentadbiran Kerajaan Negeri mengkaji semula keputusan yang telah diluluskan semalam.

Persoalan yang ingin SAMM Johor lontarkan adalah mengapa semalam sewaktu usul pindaan dibentangkan di Dewan DUN, BBC Selangor tidak menyatakan bantahan atau menolak usul ini daripada diluluskan? Adakah BBC berpandangan bahawa Dewan DUN itu adalah seperti sebuah set penggambaran drama? Di dalam Dewan DUN, mereka mengundi untuk meluluskan usul kenaikan namun apabila berhadapan dengan media BBC membuat pusingan 180 darjah dan meletakkan semua beban kesalahan kepada Menteri Besar seorang.

Kelulusan kenaikan gaji ini bukanlah keputusan eksekutif semata-mata. Ia adalah keputusan kolektif kesemua ahli Dewan Negeri Selangor. Ia dibahaskan dan diundi untuk kelulusan. Maka, adalah tidak patut setelah pelbagai lapisan rakyat menyatakan bantahan termasuklah Ketua Pembangkang yang menyatakan bahawa kenaikan ini terlalu tinggi, barulah BBC tersedar daripada lenanya.

Atau apakah kenyataan Pengerusi BBC ini hanya untuk mengampu Ketua Pembangkang yang juga merupakan Ketua Umum PKR semata-mata? Setelah Dato' Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan tersebut barulah BBC tersedar ataupun semasa usul ini dibahaskan semalam Pengerusi BBC tidak berada di dalam Dewan DUN sehinggakan beliau tidak menyedari usul kenaikan gaji ini dibahaskan?

Rasional perbandingan gaji Menteri Besar, Exco, ADUN, Speaker dan Timbalan Speaker dengan swasta bukan satu justifikasi yang boleh diterima pakai. Swasta atau korporat adalah merupakan organisasi yang berorientasikan keuntungan sedangkan pentadbiran Kerajaan lebih berorientasikan khidmat kepada rakyat. Jika rasional ini digunapakai, maka seharusnya seluruh penjawat awam Negeri Selangor perlu menerima gaji yang setara dengan sektor swasta.

Cukuplah bermain wayang. Rakyat tidak buta. Rakyat tidak pekak. Rejim Pakatan Rakyat jangan mengikut telatah rejim Barisan Nasional yang sering menghina akal rakyat. Apa yang boleh kita simpulkan BBC Selangor telah menjadi Kelab Kongkalikong. Apa yang sedang anda persembahkan ini jelas menghina intelektual rakyat.

Roslee Mohd Shariff
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor
SAMM Johor

Thursday, November 28, 2013

Obama Ke Asia Pasifik April 2014 Untuk Meterai TPPA?

Kenyataan Media  
28 November 2014

Obama Ke Asia Pasifik April 2014 Untuk Meterai TPPA?  

Media Asia-Nikkei dan beberapa media di Jepun dan Filipina telah memetik kenyataan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat, Susan Rice yang menyatakan Barrack Obama, Presiden Amerika Syarikat akan membuat lawatan rasmi ke Asia Pasifik pada bulan April 2014. Kenyataan tersebut juga menyebut bahawa pentadbiran Obama terus kekal fokus kepada hubungan dengan rantau Asia-Pasifik setelah kunjungan beliau sebelum ini gagal kerana masalah dalaman Amerika Syarikat.  

Solidariti Anak Muda Malaysia melihat kenyataan Susan Rice ini mempunyai hubungan dengan siri rundingan Perjanjian Perkongsian Asia Pasifik (TPPA) yang sepatutnya dimeterai pada penghujung tahun ini sebelum Amerika Syarikat memulakan satu lagi perjanjian serupa dengan Kesatuan Eropah awal tahun 2014 nanti. SAMM melihat keghairahan Obama untuk hadir ke rantau Asia Pasifik secepat mungkin adalah untuk memastikan setiap negara peserta akan menandatangani Perjanjian TPPA setelah gagal dilakukan pada bulan Oktober lepas.  

Tambahan pula, siri terbaru rundingan TPPA baru sahaja berakhir pada 24 November 2013 di Salt Lake City, Amerika Syarikat. Sudah pastilah, pentadbiran Obama dan syarikat-syarikat multinasional Amerika tidak mahu menunggu lama lagi untuk memeterai perjanjian penjajahan ekonomi kapitalis terhadap negara-negara Asia Pasifik ini.  

SAMM turut memberi amaran kepada rejim Pemerintah untuk tidak tunduk kepada tekanan pentadbiran Obama dengan menandatangani perjanjian TPPA selagi mana rakyat tidak didedahkan mengenai butiran perjanjian, kebaikan dan keburukan perjanjian ini terhadap negara dan juga segala kepentingan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi atau digadai kepada mana-mana negara atau entiti perniagaan apatah lagi milik negara luar.

SAMM berikrar akan terus memberikan tekanan demi tekanan kepada rejim Pemerintah agar menarik diri daripada rundingan ini dan dalam masa yang sama akan terus mengekalkan momentum Bantah TPPA dengan memberikan pencerahan kepada segenap penjuru kelompok rakyat. Siri jelajah penerangan TPPA ke seluruh negara yang dijalankan sebelum ini akan diteruskan dengan risalah-risalah penerangan bahana TPPA kepada negara tercinta ini.  

SAMM sekali lagi menegaskan untuk menolak sebarang bentuk perjanjian yang tidak telus ini selagi mana rakyat tidak mengetahui apakah kandungan perjanjian yang bakal memberikan kesan kepada kehidupan seluruh rakyat selepas ini. Setidak-tidaknya rejim Pemerintah harus membenarkan Ahli-Ahli Parlimen untuk menerima akses kandungan perjanjian ini agar kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta negara dapat diperhalusi di peringkat Dewan Rakyat.  

Kedaulatan dan kesejahteraan negara bukankah sesuatu perkara yang boleh dikompromi. SAMM tidak akan sesekali membenarkan nasib dan masa depan negara ini dibuli oleh syarikat-syarikat gergasi asing dan negara kuasa besar, apatah lagi membiarkan negara berhadapan dengan risiko tuntutan jutaan dolar mana-mana syarikat asing yang sentiasa mencari jalan mudah mengaut untung tanpa memikirkan soal kesihatan umum, kesejahteraan alam sekitar dan kedaulatan sesebuah negara dalam menentukan dasar fiskal dan perundangan yang baik untuk rakyatnya.

Sebarang perjanjian yang menghala kearah melemahkan kedaulatan negara ini seharusnya ditolak oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira ideologi politik partisan. Ini masa depan negara kita, biar kita yang tentukan bukan syarikat kapitalis asing

Mohd Faizal B. AB Rahman
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Wednesday, November 27, 2013

Kenaikkan Cukai Pintu 300% Adalah Sifat Balas Dendam BN Melalui DBKL

Kenyataan Media

27 November 2013


Kenaikkan Cukai Pintu 300% Adalah Sifat Balas Dendam BN Melalui DBKL

 

Belum pun lagi mencapai tempoh setahun dalam pembentukan kerajaan Malaysia selepas pilihanraya umum ke 13, warga Kuala Lumpur telah dikejutkan dengan satu lagi 'bala' yang diberikan oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional, iaitu dengan kenaikan cukai pintu sebanyak 300 peratus.


Solidariti Anak Muda Malaysia Wilayah Persekutuan (SAMM Wilayah) membantah sekeras-kerasnya akan kenaikan cukai ini secara mendadak dan tidak masuk akal. Warga kota hidupnya penuh kesempitan, ditambah pula dengan kenaikan harga petrol, kenaikan harga barang-barang keperluan harian, namun kerajaan terus menghukum rakyat yang menolak mereka.


SAMM Menyifatkan tindakkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan cukai pintu sebanyak 300 peratus adalah satu siri balas dendam terhadap warga Kuala Lumpur kerana hampir semua parlimen kekal di tangan pembangkang sedangkan kerajaan telah 'melabur' dengan jumlah yang besar menjelang PRU-13.


Adalah diingatkan bahawa pihak Datuk Bandar dan DBKL tidak wajar sewenang-wenangnya menaikkan cukai pintu. Apakah benar ia rasional hanya kerana untuk menaikkan nilai hartanah di Kuala Lumpur? Sedangkan sebelum ini nilai harta tanah di Kuala Lumpur sememangnya telah meningkat tanpa kenaikkan cukai taksiran.


Pendapatan DBKL juga dilihat cukup besar jumlahnya dan tetap meningkat walaupun cukai taksiran berada pada kadar yang sama selama 21 tahun. Peningkatan jumlah pendapatan sebanyak RM511 juta kepada RM 1.69 billion dari tahun 2010 adalah cukup memberangsangkan, ia tanpa kenaikkan cukai pintu. Malah DBKL turut menyatakan dalam buku Bajet 2013 bahawa prestasi hasil ini akan meningkat bagi tahun kewangan 2012. Tidak cukupkah sumbangan warga kota setakat hari ini?


Justeru, SAMM melihat cadangan DBKL untuk menaikkan cukai taksiran 300% adalah keterlaluan dan hasrat seperti ini harus dilupakan. Sebaliknya DBKL harus menumpukan usaha penuh bagi mengutip hasil-hasil yang tertunggak seperti tunggakan cukai taksiran, tunggakan sewa perumahan dan sewaan gerai penjaja. Kenaikan kadar cukai pintu yang tidak seimbang dengan prestasi keselamatan dan perkhidmatan yang ala kadar adalah satu bentuk penganiayaan.

 

Ternyata, Menteri Wilayah cuba menyembunyikan tindakan khianat mereka atas nama 'pembangunan'. Tidak ada satu pun alasan yang boleh mewajarkan tindakan kerajaan untuk menaikkan harga cukai pintu terhadap rakyat di mana-mana wilayah sekalipun. Bagi SAMM, sebelum bercakap tentang pembangunan, kerajaan perlu terlebih dahulu membangunkan nilai amanah dalam pentadbiran dan pengurusan dana negara yang semakin tiris

 

Sekali lagi SAMM Wilayah mencabar kerajaan agar berhenti menghkianati rakyat! Perlu diingat, tidak ada kenaikan cukai tanpa pilihanraya kerajaan tempatan. Wang cukai juga dibazirkan tanpa pertanggungjawapan kepada rakyat.

 

Hentikan kenaikan cukai pintu atau rakyat tidak akan teragak-agak menghumban DBKL keluar dari 'pintu' pentadbiran!

 

Azmir Hj Mustafa

Penyelaras Negeri,

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan

Tuesday, November 26, 2013

Pulau Tergadai Kerana Rasuah dan Hasil Intipan, SPRM dan PDRM Masih Berdiam?

Kenyataan Media
26 November 2013

Pulau Tergadai Kerana Rasuah dan Hasil Intipan, SPRM dan PDRM Masih Berdiam?

SAMM sejak minggu lalu telah mendesak supaya pihak polis membuka siasatan ke atas keseluruhan pejabat AG di atas dakwaan wujud dua ejen CIA. Laporan polis juga dibuat di setiap negeri di seluruh negara bagi menggambarkan betapa seriusnya dakwaan Tun Mahathir yang dimuat dalam akuan bersumpah bekas Ketua Siasatan Jenayah PDRM, Mat Zain Ibrahim.

Selesai laporan polis oleh SAMM bersama aksi desakan anak muda di hadapan IPD Dang Wangi Ahad lalu, kini satu lagi pendedahan terbongkar yang juga melibatkan Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail. Mat Zain dalam akuan bersumpah yang sama mendedahkan Gani Patail telah dengan sengaja menyebabkan kekalahan kes Pulau Batu Puteh kepada Singapura ketika prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurut beliau lagi, berlaku transaksi pindahan wang dalam amaun yang besar ke dalam sebuah akaun di Hong Kong, di atas terlepasnya Pulau Batu Putih kepada negara Singapura. Ini menggambarkan Pulau Batu Putih sebenarnya telah dijual. SAMM juga tidak menolak kemungkinan, hasil intipan ejen CIA yang dikatakan berpengkalan di pejabat AG turut membantu lolosnya Pulau Batu Putih.

Langkah SAMM mendesak dengan laporan polis sebelum ini adalah bertepatan. Apakah pihak polis masih lagi berdiam diri kerana kes ini berprofile tinggi? Apakah SPRM hanya menunggu arahan pihak tertentu untuk bertindak? Apa lagi yang boleh diharapkan?

Perlu diingat, setelah gagal mendapatkan Pulau Batu Putih dalam pertembungan tahun 2007, Gani Patail tetap kekal sebagai AG dan tidak bertanggungjawab atas kekalahan tersebut. Malah menjadi persoalan lebih penting - Mengapa tiada rayuan dibuat kepada ICJ dalam kes Pulau Batu Putih setelah lebih enam tahun berlalu? Tiada juga sebarang perkembangan mengenainya. Ini jelas membangkit keraguan munahsabah betapa pejabat AG punyai agenda tersendiri.

Justeru itu, SAMM akan menggerakkan satu usaha penting untuk mengembalikan Pulau Batu Putih ke tanahair asalnya melalui SAMM Johor. Beberapa gerakan sedang disusun oleh SAMM Johor dan akan mula bertindak menuntut semula Pulau Batu Putih dalam masa terhampir.

SAMM sekali lagi menegaskan, Gani Patail harus disiasat dan dibicarakan segera atau dakwa Tun Mahathir atas tuduhan menipu dan mengelirukan. Inilah pengkhianat negara yang sebenar, pengkhianat negara ini tidak harus dibiarkan menduduki kerusi teratas dalam sistem perundangan negara, malah perlu dihukum mati jika bersalah.

Sekian

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, November 25, 2013

Aksi Mendesak PDRM Siasat Pejabat AG dan Gani Patail di Depan IPD Dang Wangi

Laporan Untuk Media
25 November 2013

Aksi Mendesak PDRM Siasat Pejabat AG dan Gani Patail di Depan IPD Dang Wangi

Semalam, satu lagi laporan polis dibuat oleh SAMM selepas belasan laporan dikemukakan sebelum ini dari SAMM seluruh negara sepanjang minggu lalu. Kali ini, laporan polis dibuat oleh penyelaras SAMM Wilayah sdr Azmir Hj Mustafa bagi terus mendesak pihak PDRM membuka siasatan terhadap pejabat Peguam Negara dan juga Gani Patail.

Hadir bersama dalam aksi di depan IPD Dang Wangi adalah termasuk penyelaras SAMM dari seluruh tanahair dan juga aktivis sekutu dari pelbagai latar belakang. 

Selepas sesi laporan polis selesai di dalam balai, SAMM dan para aktivis terus berkumpul beramai-ramai di depan IPD Dang Wangi membawa pelbagai sepanduk sebagai tanda mendesak. Turut dilaungkan supaya pihak polis jangan ambil ringan setiap laporan polis yang telah dibuat kerana isu ini sangat serius melibatkan kedaulatan negara tercemar, khususnya dalam isu kehilangan Pulau Batu Putih.

SAMM turut melaungkan seruan kepada puluhan anggota polis yang berkubu di depan balai, supaya sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menyiasat pejabat AG walaupun ianya berprofile tinggi. Anak muda menuntut profesionalisma dan integriti pihak polis dibuktikan dengan menyiasat kes ini.

SAMM turut mendesak sekiranya Pejabat AG dan Gani Patail didapati bersih dari anasir pengintip, maka Tun Mahathir harus didakwa kerana menipu dan mengelirukan.

Di akhir aksi mendesak, semua aktivis bersama menyanyikan sebuah lagu yang berlirik seperti di bawah;

Ooo ooo polis
Mana report kami?
Ooo ooo polis
Tak jalan ke lagi?
Jangan selit ke bawah kapet,
Atau buang ke tong sampah,
Ooo ooo polis
Siasat report kami

        Ooo ooh polis
        Mana report kami?
        Ooo ooh polis 
        Apa tunggu lagi?
        Bukan kecik isu ini
        libat bab kedaulatan
        Negara kami
        Yang di cintai...

Ooo ooh polis
Mana report kami???
Ooo ooh polis
Apa tunggu lagi???
siasat segra dakwaan tun M
Tarik segera gani patail
Ooo ooh polis 
Apa tunggu lagi???

       Ooo ooh polis
       Macamana report kami?
       Ooo ooh polis
       Tak jalan ke lagi?
       Jangan selit ke bawah kapet,
       Atau buang ke tong sampah,
       Ooo ooh polis
       Siasat report kami..

Sekian, turut dikepil beberapa keping gambar untuk tujuan laporan media.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, November 22, 2013

Ejen CIA: Dang Wangi Menjadi Medan Mendesak Siasatan Ke Atas Pejabat Peguam Negara (AG)

Kenyataan Umum
22 November 2013

Ejen CIA: Dang Wangi Menjadi Medan Mendesak Siasatan Ke Atas Pejabat Peguam Negara (AG)

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyifatkan dakwaan Tun Mahathir yang menyatakan terdapat dua agen perisik CIA dalam pejabat Peguam Negara adalah sangat serius dan pihak polis wajar bertindak segera. Pengakuan tersebut merujuk kepada akuan bersumpah Mat Zain (bekas ketua siasatan jenayah PDRM).

Namun setelah 13 laporan polis dibuat oleh SAMM bersama aktivis sekutu di seluruh negara sejak Sabtu lalu, masih tiada tanda-tanda kertas siasatan dibuka terhadap pejabat Peguam Negara dan juga terhadap Gani Patail. Ini amat menggusarkan menyedari kesan daripada pengintipan ini memudharatkan tanahair.

Paling ketara, beberapa keputusan penting yang melibatkan pihak Peguam Negara dilihat menyebabkan negara kerugian besar, malah Pulau Batu Putih juga tidak sepatutnya terlepas dari kedaulatan tanahair. Peguam Negara Gani Patail telah mengetuai misi mempertahan Pulau Batu Putih di mahkamah antarabangsa tetapi berakhir dengan kegagalan. 

Gani Patail dikatakan turut disasar oleh Tun Mahathir sebagai ejen perisik langsung tidak dipersoal di atas kekalahan tersebut. Malah timbul persoalan, apakah Gani sengaja membenarkan Pulau Batu Putih jatuh ke tangan Singapura yang menjadi sekutu rapat Amerika?

Antara lain, kes PKFZ yang berakhir dengan pembebasan Ling Liong Sik tidak dirayu oleh AG menjadikan kerugian berbilion ditinggal tanpa jawapan. Kes pembunuhan Altantuya juga tidak dirayu lantas skandal rasuah berprofil tinggi pembelian Scorpene yang juga melibatkan bilion ringgit terlepas begitu sahaja. 

Lantaran itu, SAMM meneruskan lagi desakan dengan lebih serius supaya pejabat dan peguam negara segera disiasat. Gani Patail harus ditahan segera kerana perbuatan khianat, atau Tun Mahathir harus didakwa kerana menipu. Apa yang lebih penting di sini ialah di mana tindakkan PDRM?

Justeru itu, SAMM menyeru semua aktivis, pendokong parti dan orang ramai agar bersama dalam satu aksi mendesak di hadapan IPD Dang Wangi pada 24 November (Ahad) bermula jam 2 petang. 

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Sunday, November 17, 2013

Laporan Polis SAMM Seluruh Negara Bermula - Desak Pihak Polis Siasat Pejabat Peguam Negara!

Laporan Terbuka
16 November 2013

Seperti yang dijanjikan dalam kenyataan SAMM bertarikh 15 November, berikut adalah laporan polis oleh SAMM seluruh negara mendesak siasatan ke atas pejabat Peguam Negara (AG) yang dikaitkan dengan agen perisik CIA, berdasarkan pengakuan Tun Mahathir dalam satu akuan bersumpah: 

#AGagenCIA 

Laporan polis jam 11 pagi
SAMM P.Pinang di Balai Bayan Baru
SAMM Kuching di Balai Padang Sentral Kuching

Laporan polis jam 3 petang
SAMM Pahang di IPD Kuantan, 
SAMM Kedah di IPD Kuala Muda, 
SAMM N.Sembilan di IPD Seremban 2
SAMM Terengganu di IPD K.Terengganu

Laporan polis jam 6 petang
SAMM Johor di IPD Tampoi
SAMM Perak di IPD Ipoh

Laporan Polis seterusnya (17 & 18 November)
SAMM Kelantan di IPD Bachok (Ahad)
SAMM Melaka di IPD Melaka Tengah (Ahad)
SAMM Perak Utara di IPD Parit Buntar (Ahad)
SAMM Selangor di IPD Sabak Bernam (Isnin)

Kemuncaknya, SAMM Kebangsaan dan SAMM Wilayah akan mengetuai satu lagi laporan polis di IPD Dang Wangi pada 24 November (Ahad) bersama sekutu aktivis, pengamal kepartian dan orang ramai!


Berikut adalah transkrip laporan polis yang dibuat;

Adalah saya (xxxxxxxxx), no kad pengenalan (xxxxxx-xx-xxxx) mewakili organisasi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) negeri dan selaku warga Malaysia yang sedar dengan ini menggesa pihak polis memulakan siasatan dan mengambil tindakan serius ke atas wujudnya tuduhan bahawa Peguam Negara terkait dengan agen CIA. Dilaporkan meluas di media wujud satu akuan bersumpah menggambarkan penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam membuat tuduhan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terlibat - agen perisikan asing (CIA). Ini merupakan satu perkara yang serius kerana dibawah peguam negara dimaksudkan banyak penyelewengan telah berlaku yang merugikan negara dan ini mungkin berlaku kerana dia terlibat selaku agen negara asing. Antaranya ialah :
  • sengaja membawa bahan palsu bagi melemahkan kes dalam perebutan pulau batu putih yang menyebabkan malaysia hilang kedaulatan keatasnya. umum tahu kepentingan Amerika lebih ke atas Singapura berbanding Malaysia.
  • sengaja merekayasa bahan bukti dalam kes Anwar Ibrahim. Umum mengetahui gabungan Mahathir dan Anwar pada ketika itu telah menempatkan negara didalam keadaan terbaik dalam sejarah
  • Gagal memfailkan rayuan ke atas pembebasan Datuk Seri Ling Liong Sik kerana menyebabkan berbilon wang negara hilang kerana skandal PKFZ yang menyebabkan negara dalam risiko tinggi
  • dan beberapa salah laku lagi khususnya dalam memberikan ansihat perundangan terhadap kerajaan.
Negara dalam keadaan krisis kerana rakyat semakin hilang kepercayaan dalam proses perundangan. Semua perkara boleh dipermainkan. SAMM berpendapat dan mendesak siasatan terhadap kemungkinan :
  • Pejabat Peguam Negara terlibat dengan agen risikan asing dan ia diketahui oleh Dr. Mahathir tetapi hanya kini bertindak kerana mahu menggunakan isu ini bagi mengugut Pejabat Peguam Negara tunduk dengan permintaannya kerana itu Dr. Mahathir masih berselindung dalam melemparkan tuduhan ini.
  • Perkara ini mungkin diketahui lama oleh Dr. Mahathir yang mungkin menikmati juga faedah darinya, kini bertindak atas beberapa alasan antaranya mahu menamatkan terus Anwar Ibrahim yang merupakan musuh politiknya dan tekanan ini berhasil dengan Pejabat Peguam Negara yang gagal mensabitkan Anwar sebelum ini menyerahkan tugasan kepada peguam yang dinamakan dalam kenyataan bersumpah itu yang turut bertemu Dr.Mahathir sebagai pendakwa. Walaupun dibolehkan tetapi ia amat janggal dalam negara ini seseorang peguam (swasta) diambil sebagai pendakwaraya dalam kes penting. Tindakan ini seperti menswastakan peranan peguam negara dan berapakah kos yang terpaksa ditanggung ? Dan jangan terkejut jika tekanan berterusan bagi menyeyapkan tuduhan kemungkinan AG akan berundur dan laluan diberikan kepada peguam kepercayaan Dr.Mahathir.
  • Kekalahan Datuk Mukhriz anak Dr.Mahathir dalam Pemiliahan Umno baru ini kerana Datuk Seri Najib dikatakan mempertahankan sepupunya Datuk Seri  Hishammuddin bin Tun Hussein selaku naib Presiden mungkin antara alasan Dr.Mahathir marah dan sekali lagi memberikan tekanan kepada isu Peguam Negara Agen Asing bagi menekan Pejabat Peguam Negara mengikut telunjuknya. Jika Pejabat Peguam Negara tertekan dengan isu ini mungkin akan memberi laluan permintaan Dr. Mahathir menekan Najib dalam isu seperti pembunuhan Altantuya di mana memang menjadi perhatian umum siapakah pembunuh Altantuya kerana dua pegawai polis yang telah wujudkan rakaman percakapan mengaku membunuh tetapi dibebaskan kemudianya kerana kelemahan dan kegagalan pendakwaan dari Pejabat Peguam Negara. Tekanan ini mungkin untuk membalas dendam terhadap Dr.Mahathir dimalukan dengan kekalahan anaknya atau mengasak Najib supaya akur bagi membuka laluan khas bagi anak Dr.Mahathir menjamin legasi politiknya.
Pihak Polis tidak boleh lepas tangan begitu sahaja dengan menyerahkan perkara ini kepada pihak lain. Ini isu serius harus diambil tindakan. Dunia sedang mentertawakan dan hilang hormat terhadap sistem perundangan negara. Pelabur akan lari, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan ini amat bahaya untuk negara. 

AG harus ambil keterangan, digantung tugas. Dr.Mahathir juga harus ditampilkan bagi dirakam kenyataannya segera termasuk semua yang terlibat dinamakan dalam akuan bersumpah tersebut. Isu ini serius lebih lebih lagi selepas pendedahan bagaimana Amerika menggunakan kedutaan asing di Malaysia sebagai pusat aktiviti operasi risikan.

Sekian laporan saya bagi pihak SAMM

Friday, November 15, 2013

Agen Perisikan di Pejabat AG: SAMM Lancar Laporan Polis Serentak di Seluruh Negara

Kenyataan Terbuka
15 November 2013

Agen Perisikan di Pejabat AG: SAMM Lancar Laporan Polis Serentak di Seluruh Negara

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dalam kenyataan sebelum ini telah mendesak supaya segala aktiviti yang melibatkan pihak Pejabat Peguam Negara (AG) dibekukan segera dan Tan Sri Gani Patail harus diberkas untuk disoal-siasat. Ia ekoran dakwaan serius Tun Mahathir mengatakan terdapat dua agen perisik CIA yang bekerja di pejabat Peguam Negara ketika ini.

Berdasarkan tuduhan Tun Mahathir yang dinyatakan dalam akuan bersumpah Mat Zain Ibrahim (Bekas Pegawai Kanan Polis), negara mungkin telah dipengaruhi oleh agenda jahat Amerika Syarikat secara terus melalui pejabat AG. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan, pihak polis harus bertindak segera manakala Tun Mahathir harus tampil memberi penjelasan. 

SAMM juga tidak menolak kemungkinan antara kecelaruan dan musibah yang berlaku adalah termasuk melibatkan pemalsuan bukti dalam kes liwat DS Anwar Ibrahim dan aktiviti pengintipan ini juga mampu menyebabkan kekalahan Pulau Batu Puteh di mahkamah antarabangsa. Pulau Batu Puteh juga tidak wajar terlepas namun apakah mungkin ianya diatur demi kedudukan strategik Singapura yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat.

Justeru itu, bagi terus memberi tekanan supaya pejabat AG dibersihkan dari anasir pengintip dan tindakkan lebih agresif oleh pihak polis, laporan polis akan dibuat oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) esok (16 November) secara serentak di seluruh pelusuk negara.

Laporan polis akan mula dibuat oleh SAMM P.Pinang jam 11.00 pagi di Balai Polis Bayan Baru, diikuti oleh SAMM dari negeri lain termasuk dari Sabah dan Sarawak. SAMM juga menyeru orang ramai dan aktivis sekutu turut membuat laporan polis di atas kecelaruan yang dibiarkan ini.

Sekiranya pihak polis masih lagi bermain wayang dan tidak bertindak sewajarnya, maka pada tarikh 24 November (Ahad) akan datang, SAMM seru semua aktivis, pengamal kepartian dan orang ramai berkumpul di depan IPD Dang Wangi untuk memberi tekanan yang jauh lebih serius.

Sekian, 

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Sunday, November 10, 2013

SAMM Gerak ke Pendalaman Baram Dalam Satu Misi Peninjauan dan Bantuan Asas

Kenyataan Media
10 November 2013

SAMM Gerak ke Pendalaman Baram Dalam Satu Misi Peninjauan dan Bantuan Asas

Berikutan isu pengusiran orang asal yang menetap di Baram semakin menjadi-jadi, satu misi peninjauan akan dilaksanakan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan kerjasama SAMM Miri dan sekutu tempatan.

Isu pengusiran penduduk Baram sangat serius sehingga dikatakan wujud kematian. Namun isu ini disenyapkan media demi melindungi kepentingan pemodal dan pihak berkepentingan dalam pembinaan Empangan Baram.

Penduduk asal dizalimi apabila diarah berpindah ke kawasan yang tidak sebati dengan kehidupan kaum pribumi Sarawak. Kejadian di Baram menyaksikan Orang Ulu dipindahkan ke kawasan ladang kelapa sawit yang terletak jauh dari kawasan perhutanan. Paksaan seperti ini merupakan satu kekejaman buat rakyat. 

SAMM berpendapat, pembinaan empangan pada masa kini tidak memberikan pulangan yang efisyen khususnya dari sudut pengeluaran tenaga berbanding kos pembinaannya. Pembinaan logi janakuasa elektrik adalah alternatif terbaik dengan kos jauh lebih rendah dan tidak melibatkan penghapusan hutan mahupun etnik.

Justeru itu, che'GuBard sendiri akan mengetuai satu misi peninjauan bersama pasukan SAMM dan sekutu masuk ke kawasan penempatan penduduk terlibat yang terletak jauh di pendalaman Baram pada 11 November hingga 13 November. Misi tersebut turut merangkumi penghantaran bantuan makanan dan peralatan asas serta membuat liputan khas.

Satu taklimat khas mengenai isu ini akan dibuat di Kuala Lumpur untuk membongkar kezaliman yang berlaku di pendalaman Baram sekembalinya SAMM dari Misi Baram. Kepada pihak yang ingin menyumbang dalam Misi Baram, sila maklum melalui email samm4anakmuda@gmail.com .

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM

SAMM Kuching Beraksi Bantah Kenaikkan Harga Barang dan Menolak GST

Kenyataan Terbuka
10 November 2013

Aksi : Membantah Kenaikan Harga Barang dan Menolak GST
Tempat : Old Court House, Kuching (2 Nov)
Depan Tua Pek Kong (9 Nov)

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kuching telah mengadakan aktiviti siri pertama #Bantah Pelaksanaan GST dan kenaikan harga barang (keperluan asas) oleh komrad SAMM Kuching iaitu William dan Akma.

Aksi Flashmob dimulakan dengan mengedar risalah berkenaan GST dan kenaikan barang asas malah kami juga mendapat reaksi yang negetif dari orang ramai berkenaan kenaikan harga minyak.

Laporan mediahttp://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/11/08/kenaikan-minyak-belum-membebankan/

Di samping itu, kami mendapati bahawa tahap kesedaran mengenai GST ini masih lemah dalam kalangan penduduk Kuching dan rakyat Sarawak khususnya. Mereka tidak kisah mengenai apakah itu GST kerana tidak mengetahui keburukan yang berupa penindasan kepada rakyat.

Flashmob tamat sekitar jam 330pm disebabkan kehadiran pihak Polis terutama sekali Cawangan Khas.

Aksi 9 November 2013

Siri kedua bertarikh 9 Nov pula bermula jam 1.30pm, komrad SAMM Kuching telah melancarkan gerakan bantah GST dan berdemo depan sekitar Tebingan Kuching dengan kehadiran 5 orang komrad SAMM Kuching.

Dalam masa yang sama, kami sempat menemubual beberapa orang dan maklum balas masih mengecewakan kerana mereka masih enggan mengulas dan tidak tahu apa sebenarnya GST.

SAMM Kuching memerlukan masa untuk memberi info supaya rakyat benar-benar faham mengenai cukai baru GST dan mengapa cukai yang membebankan rakyat itu harus ditolak.

Pihak SAMM Kuching juga sedang merancang untuk flashmob ketiga dan berterusan sehingga April 2015, segala rancangan telah dan sedang diatur.

William Iam
SAMM Kuching

Wednesday, November 6, 2013

PENGAKUAN TUN MAHATHIR: AG PERLU DIBEKU DAN DIBERKAS SEGERA

Kenyataan Umum
6 November 2013

PENGAKUAN TUN MAHATHIR: AG PERLU DIBEKU DAN DIBERKAS SEGERA

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak keras supaya segala aktiviti yang melibatkan pihak Peguam Negara (AG) dibekukan segera. Ia ekoran pengakuan Tun Mahathir yang mengaitkan Tan Sri Gani Patail sebagai pengintip dan agen CIA. SAMM menyifatkan dakwaan ini sebagai sangat serius.

Di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88 seksyen 3) memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup di atas kesalahan 'Pengintipan bagi maksud yang mudarat kepada keselamatan atau kepentingan Malaysia'. Maka Tan Sri Gani Patail harus diberkas dan dibicarakan serta-merta bagi menjamin negara ini berada dalam kedudukan lebih selamat.

SAMM juga menggesa agar Tun Mahathir tampil membuat penjelasan lebih terperinci mengenai dakwaan serius yang dilontarnya.

SAMM tidak menolak kemungkinan antara kecelaruan dan musibah yang berlaku adalah termasuk melibatkan pemalsuan bukti dalam kes liwat DS Anwar Ibrahim dan juga menyebabkan kekalahan Pulau Batu Puteh di mahkamah antarabangsa. Pulau Batu Puteh juga tidak wajar terlepas namun apakah mungkin ianya diatur demi kedudukan strategik Singapura yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat.

Laporan polis akan dilakukan oleh SAMM dan sekutu di seluruh negara dalam masa terdekat.

Sekian,

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, November 4, 2013

Wanita UMNO cedera parah ditumbuk petugas UMNO

1.01pm Ketua polis Kedah sahkan terima laporan anggota jawatankuasa (AJK) Wanita Umno Batu ditumbuk Pemuda PAS di Ulu Sedaka, lapor Bernama.

10.42 AM: Peratusan keluar mengundi sehingga 30.4% DUN Sg Limau

LAPORAN LANGSUNG

10.42  Peratusan keluar mengundi sehingga 10 pagi sebanyak 30.4 peratus.
10.15 SJK(C) Pei Hwa, Kampung Batu 17 - Terdapat provokasi kecil di kalangan penyokong PAS dan BN.

"Jangan buat kacau di sini," seorang polis yang bertugas di situ memberi amaran sambil menjarakkan mereka.
10.10 SK Dulang Besar - Terdapat khabar angin pergaduhan di Sedaka. Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika ditanya berkata beliau tidak mendengarnya.

"Gaduh dalam pemilihan Umno lagi teruk," katanya kepada pemberita.

Mahfuz juga memberitahu, penyokong PAS akan berkumpul di Markas Padang Lumat selepas jam 5 petang untuk mengikuti keputusan pilihan raya dari masa ke semasa.

Menurut pegawai SPR, setakat ini, 3,927 orang (14.43 peratus) sudah keluar mengundi. 

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilapor sebagai berkata, peratusan keluar mengundi yang melebihi 10 peratus pada sejam pertama adalah sangat baik.
9.30am SMK Bukit Besar - Kira-kira 50 meter dari pintu utama SMK Bukit Besar, penyokong dan perayu undi BN bersorak-sorak "Hidup BN!" setiap kali ada kenderaan membawa pengundi masuk ke jalan menuju ke SMK Bukit Besar.

NONEMereka bersorak-sorak sambil mengibarkan bendera kecil dengan logo BN.

Kira-kira 10 meter dari mereka pula adalah penyokong dan perayu undi PAS yang sebahagiannya berterima kasih kepada pengundi yang telah keluar membuang undi hari ini.

Bekas MP Hulu Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS adalah antara yang kelihatan berterima kasih kepada mereka yang telah membuang undi di SMK Bukit Besar.

Beliau berdiri di tepi jalan berhampiran Klinik Kesihatan Bukit Besar bersama-sama penyokong PAS.
9.30am SK Dulang, Dulang Besar - Proses merayu undi semakin rancak. Penyokong PAS membawa kain rentas menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dimulakan kerajaan.

Di pihak BN, kelihatan Puteri Umno, dengan berpayung biru pula membawa gambar calon mereka dan mempamerkan tulisan "I love BN".

NONEPenyokong PAS terus melaungkan slogan "hancur BN", "undur BN" dan "balik BN". Penyokong BN masih diam. Sebahagiannya berbisik, "bila mereka berhenti, baru kita mula".

Bagaimanapun, terdapat anggota Puteri Umno yang menyindir musuh politk mereka: 

"Mereka tidak makan ubat hari ini, sebab itu jadi macam itu," kata mereka.

Ketika penyokong BAS melaungkan "Barang Naik!", penyokong BN membalas "BR1M naik".

9.20am SMK Bukit Besar - Perayu undi BN dan PAS berkumpul berhampiran Klink Kesihatan Bukit Besar, menunggu pengundi yang hadir ke SMK Bukit Besar.

Sebahagiannya mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah membuang undi.

8.30 SK Dulang - Sohaimi tiba untuk membuang undi bersama isteri. Berbaju biru, beliau sempat senyum kepada pemberita.

NONEBeliau tidak menjawab apabila ditanya sama ada beliau ada merasa gugup. Selepas mengundi, Sohaimi menunjukkan jarinya yang ditanda dengan dakwat kekal.

"Semuanya OK. Kita sudah sampai ke kemuncaknya hari ini," katanya kepadaMalaysiakini.

Beliau turut membantu pemilih yang berkerusi roda.

Tiga anak perempuan dan seorang lelaki Sohaimi turut menemaninya dan sempat menyapa pemberita Cina dengan ucapan kam siah(terima kasih dalam dialek Hokkien).

NONE8.26am SMK Bukit Besar - Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat tiba di SMK Bukit Besar pada jam 8.26 pagi bersama isteri.

Beliau membuang undi tepat jam 8.31 pagi dengan senyuman penuh keyakinan.
 
8.00am Dulang Besar - Peti undi dibuka dan cuaca baik hari ini.

Bagaimanapun, proses pembuangan undi bermula perlahan.

Di SMK Dulang, seorang jentera parti memberitahu, setakat ini hanya sepuluh pemilih yang menunaikan tanggungjawapnya di situ.

Dulang Besar antara kubu kuat BN dalam DUN itu.

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan