Friday, September 27, 2013

Red Giants: SAMM Selangor Percaya Sumbangan Kerajaan Negeri Adalah Memadai

Kenyataan Media
27 September 2013

Red Giants: SAMM Selangor Percaya Sumbangan Kerajaan Negeri Adalah Memadai

Pasukan Selangor atau dikenali sebagai The Red Giant merupakan sebuah pasukan yang evergreen dan digeruni lawan sepanjang masa dalam kancah bolasepak tempatan. Tidak dinafikan, perkembangan yang baik dalam pembangunan bolasepak pasukan Selangor seharusnya diberi perhatian.

Namun sebagai anak muda progressif, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor menggesa semua pihak yang saban hari mengkritik dasar kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim dalam sudut pembangunan sukan supaya lebih proaktif dan positif. 

SAMM Selangor difahamkan kerajaan negeri telah menyumbang lebih 7 juta setahun untuk pembangunan sukan bolasepak negeri. Jumlah bantuan tersebut adalah yang tertinggi berbanding negeri lain. Apakah bantuan sebanyak lebih RM 7 juta setahun tidak memadai?

SAMM Selangor percaya kerajaan negeri telah memberikan sokongan yang besar namun perlu diingat bahawa sukan bolasepak seharusnya lebih bertenaga dengan tajaan syarikat besar dalam negara. Pihak yang mengkritik harus meneliti apakah sebabnya bolasepak tempatan kurang mendapat tajaan yang besar sehingga memaksa kerajaan negeri dilihat 'wajib' menjadi penaja utama.

SAMM Selangor melihat FAM sebagai satu badan yang gagal membawa bolasepak tanahair ke tahap komersial yang tinggi. FAM perlu dirombak dan diberi nafas baru maka bolasepak tempatan akan berpotensi untuk lebih bersinar seterusnya mendapat sokongan besar dari syarikat gergasi dan menarik minat lebih ramai pelabur.

Pelaburan besar-besaran dari pihak kerajaan negeri tidak semestinya akan membawa hasil lumayan. Pasukan negeri Melaka sebagai contoh, telah dilaburkan jutaan ringgit tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Ia merubah menjadi satu pembaziran.

SAMM Selangor meminta agar semua pihak lebih memikirkan bagaimana dana peruntukkan kerajaan negeri dibelanjakan dengan manfaat terbaik terhadap rakyat tanpa mengabaikan perkembangan sukan di peringkat negeri. Kebajikan rakyat adalah keutamaan dan tidaklah perlu menggadai negeri hanya semata-mata untuk sebuah pasukan bolasepak yang kuat. Berbelanja biarlah dengan berpada-pada, RM 7 juta setahun yang diperuntukkan itu sudah lebih dari mencukupi dalam aspek bantuan kerajaan negeri.

SAMM Selangor juga menggesa kepada semua penyokong agar tidak hanya 'bising' ketika pasukan negeri tidak berada di puncak prestasi, tetapi memberikan sokongan tanpa belah bahagi walau di mana pun kedudukan pasukan negeri.

Azhar Achil
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor

Thursday, September 26, 2013

MEMOHON PENJELASAN DATO’ SERI MOHAMED NAZRI B. TAN SRI AZIZ MENGENAI PEMBELIAN RUMAH MEWAH LEBIH RM7 JUTA OLEH ANAK LELAKINYA.

Kenyataan Umum

Tarikh: 26 September 2013

MEMOHON PENJELASAN DATO' SERI MOHAMED NAZRI B. TAN SRI AZIZ MENGENAI PEMBELIAN RUMAH MEWAH LEBIH RM7 JUTA OLEH ANAK LELAKINYA.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memperolehi dokumen mengenai milikan harta kekayaan anggota keluarga dan individu - individu rapat dengan beberapa orang Menteri Kabinet kira – kira sebulan yang lalu oleh pihak yang tidak dikenali. Setelah diteliti diyakini beberapa dokumen tersebut ada kesahihannya dan SAMM tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan pertembungan dalaman Umno menjelang pemilihan parti itu.

Mengenepikan sentimen mengapa pemberi maklumat menyalurkan maklumat itu dan niat politiknya tetapi atas keinsafan mempertahankan kepentingan rakyat maka SAMM secara berperingkat akan menyiarkan dokumen dokumen tersebut sebagai persoalan untuk dijawab oleh Menteri terbabit.

Dokumen yang pertama ialah berkenaan pembelian sebuah banglow bernilai RM 7,242,555.07 yang dikaitkan dengan seorang yang bernama Mohamed Nedim B. Mohamed Nazri. Diperiksa dia ialah anak seorang menteri kabinet.

Bagi anak yang sangat muda dan setelah diteliti pekerjaan atau perniagaannya, adalah amat meragukan dari sudut kemampuan. Bagaimana anak menteri ini punya kemampuan untuk membeli banglow dengan harga yang sedemikian tinggi? 


Maka perbagai persoalan muncul. Ini bukan tuduhan tetapi sebagai seorang Menteri sudah tentu rakyat berhak bertanya kepada Nazri mengenai banglow anaknya ini.

Bagaimana anaknya dapat membeli banglow ini? Adakah dia layak? Adakah dia membeli dengan tunai? Jika melibatkan pinjaman bank berapa banyak pinjaman dibuat dan berapa jumlah tunai yang dibayar? Bagaimana bank boleh memberikan kelulusan bernilai jutaan ringgit kepadanya, adakah kerana dia anak menteri? 

Nasib kita sebagai rakyat biasa, untuk mendapatkan pinjaman bank bagi membeli kereta kancil atau rumah kos rendah pun bagai nak gila memanjat tangga dari bank ke bank bagai mengemis.

Semua persoalan ini juga seharusnya membawa kepada Jabatan Hasil dalam Negeri dan individu tersebut harus dipanggil untuk diteliti milikan sebenar pendapatannya. Juga melalui sumber rekod Jabatan Hasil Dalam Negeri ada terdapat keraguan bagaimana dia mampu memiliki kediaman mewah bernilai tinggi dengan pendapatan yang diistiharkan.

Menarik juga dilihat dari dokumen yang diperolehi ialah bagaimana dalam proses membeli rumah mewah ini pembeli menikmati diskaun RM500,9444.08 (-7%) selaku bumiputera. Orang biasa termasuk pimpinan Umno diperingkat cawangan yang gila–gila mempertahankan Umno ada yang hanya menikmati diskaun tak sampai RM10,000 atas nama bumiputera ketika membeli rumah kerana itulah sahaja kemampuan kita orang biasa - biasa.

Melalui kenyataan ini SAMM bagi pihak anak muda Malaysia yang bergelut dengan peningkatan kos hidup dan dihimpit perbagai masalah kewangan menuntut untuk Nazri tampil dan menjawab. Anaknya ini juga yang satu ketika dahulu pernah didedahkan oleh Rafizi Ramli berkenaan menggunakan kenderaan mewah milik seorang jutawan dengan siap pengawal peribadi.

Berkenaan perkara ini kami mempunya dokumen sebut harga, perjanjian dan gambar aset tersebut. Sekali lagi kami tegaskan ini bukan tuduhan tetapi persoalan yang perlu dijelaskan.

Selain itu berkenaan individu terbabit kami punya beberapa dokumen lain yang akan kami bangkitkan persoalanya dalam berperingkat. Kami juga dalam proses penelitian peringkat akhir beberapa dokumen lain yang mengaitkan anggota Kabinet yang lain.

Sekian.

Che'GuBard
Penyelaras SAMM Kebangsaan

Tuesday, September 24, 2013

Jelajah #BantahOBAMA #TolakTPPA Mobilisasi Protes 11 Oktober Tetap Diteruskan

Kenyataan Terbuka
24 September 2013

Jelajah #BantahOBAMA #TolakTPPA Mobilisasi Protes 11 Oktober Tetap Diteruskan

Walaupun Menteri MITI, Mustapha Mohamad menggesa supaya jelajah anti-Obama dan anti-TPPA ini dihentikan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan rakan sekutu tidak berganjak untuk meneruskan jelajah sebagaimana yang dijadualkan.

Mustapha juga meminta supaya kehadiran Presiden Barrack Obama tidak disambut dengan protes besar-besaran sepertimana yang sedang disusun melibatkan pelbagai pihak.

SAMM ingin menegaskan bahawa pentingnya jelajah ini diteruskan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa Perjanjian TPPA ini bakal mengheret negara ke kancah penjajahan moden dalam bentuk ekonomi. Penjajah era baru tidak lagi membawa kereta kebal dan senjata perang, tetapi hanya dengan pena bersama kertas perjanjian. 

Kerajaan juga tidak memberi gambaran sebenar potensi TPPA yang mampu menggadai negara. Adalah dengan itu jelajah ini menjadi medan umum bagi menyampaikan maklumat yang terbocor dari 'perjanjian rahsia' TPPA.

SAMM tidak sesekali membenarkan kedaulatan tanahair diperjudikan menyedari TPPA adalah perangkap sebagaimana ia dirahsiakan dari pengetahuan umum. Bukan sekadar orang biasa malah menteri dan ahli parlimen juga ramai yang tidak mengetahui apa itu TPPA.

Perjanjian TPPA boleh ditandatangan di mana jua dan bila-bila masa selagi rundingan dari wakil MITI masih berjalan. Majlis metrai tandatangan yang sepatutnya berlaku pada Oktober lalu hanyalah ditangguhkan. Tidak semestinya ia berlaku ketika Presiden Barrack Obama hadir ke Malaysia, ia juga boleh dimetrai di luar negara.

Namun dalam masa sama SAMM tetap bertegas kehadiran Obama ke Malaysia harus ditentang. Presiden Barrack Obama memimpin negara yang mengamalkan dasar ketenteraan bersikap 'samseng antarabangsa', kejam dan berpaksi kepada zionis, Obama tidak harus masuk ke Malaysia.

Bantahan terhadap kehadiran Obama tetap diteruskan di KLCC pada 11 Oktober 2013. Malam sebelumnya, Kemuncak Jelajah #BantahOBAMA #TolakTPPA juga akan berlangsung di KSS Kg Baru, memberi ruang kepada dua tokoh ternama Tun Mahathir dan DS Anwar untuk berada sepentas bersama menentang Perjanjian TPPA. Petisyen jemputan telah diserahkan kepada kedua-dua belah pihak melalui serahan tangan dan fax.

Jelajah #BantahOBAMA #TolakTPPA kini memasuki siri ke 5 berlangsung di Taman Meru, Ipoh malam ini. Orang ramai dijemput hadir ke semua lokasi jelajah yang berbaki 9 daripada 14 lokasi di seluruh negara.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, September 23, 2013

ADVISORY: Dua Sidang Media - depan Pejabat Tun Mahathir (12tghari) dan Pejabat DSAI (2ptg)

MEDIA ADVISORY

Kepada tuan/puan editor,

Hari ini, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa (SMM) akan mengadakan DUA sidang media pada masa  dan lokasi berikut;

1. Sidang Media di depan pejabat Tun Dr. Mahathir;
Tarikh: 23 September 2013 (Isnin)
Masa: 12.00 Tengahari
Lokasi & phone office: 
No 1, Jalan P8H, Precint 8
62250 Putrajaya
03-88858900

2. Sidang Media di depan pejabat DS Anwar Ibrahim;
Tarikh: 23 September 2013 (Isnin)
Masa: 2.00 Petang
Lokasi: 
Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat
A-1-09, Merchant Square
No 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya


Sidang Media berlangsung sebaik sahaja surat undangan rasmi kepada Tun Dr Mahathir dan DS Anwar Ibrahim untuk sepentas membantah perjanjian TPPA sepertimana yang dijanjikan.

Mohon pihak editor / pengamal media menghantar wakil masing-masing untuk membuat liputan dan orang ramai dijemput memberi sokongan.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Thursday, September 19, 2013

'Bakar Obama' Menifestasi Bantah Kehadiran Obama dan Menolak Perjanjian TPPA

Kenyataan Umum
19 Sept 2013

'Bakar Obama' Menifestasi Bantah Kehadiran Obama dan Menolak Perjanjian TPPA

Pelancaran Jelajah #BantahObama #TolakTPPA di Taman Melati, Wangsa Maju malam semalam menjadi satu permulaan mobilisasi besar 'menyambut' kehadiran Presiden Amerika pada 11 Oktober ini di KLCC. 

Majlis yang dianjurkan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama SMM dan NGO Bantah TPPA dipanaskan dengan aksi 'bakar Obama' sebagai satu amaran penting simbolik penolakkan terhadap perjanjian penuh kerahsiaan TPPA dan juga kehadiran Obama ke Kuala Lumpur. Dalam aksi berkenaan, satu replika Obama dan bendera Amerika telah dibakar hingga rentung di depan ratusan hadirin.

Barack Obama dijadualkan ke Kuala Lumpur pada bulan depan untuk menjadi saksi tandatangan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian TPPA, namun tekanan yang hebat dari rakyat dan pelbagai NGO telah menyebabkan kerajaan Malaysia menangguhkan tandatangan metrai perjanjian tersebut.

Turut memeriahkan majlis pelancaran adalah termasuk YB Tian Chua, YB Dato Tan, YB Dr Hatta Ramli, che'GuBard, Hishamuddin Rais, Adam Adli dan Safwan Anang manakala wakil NGO pula antaranya Syed Ibrahim (IKRAM), Azlan Awang (Blindspot), Sivarajan (JERIT).

Jelajah #BantahObama #TolakTPPA akan merentasi seluruh negara merangkumi 13 lokasi dari setiap negeri. Hari ini, jelajah siri kedua akan menyusul ke utara tanahair di Bayan Baru, Pulau Pinang bertempat di Tapak bekas Astaka Bukit Gedung bermula jam 8.30 malam, sebelum ke Kangar dan Alor Setar pada hari berikutnya.

Semoga jelajah ini berjaya menyedarkan lebih ramai golongan masyarakat bahawa negara ini sebenarnya sedang dijual oleh pemerintah melalui skim Perjanjian TPPA, dan semua harus bersatu tanpa mengira warna NGO dan fahaman politik - memastikan 'samseng antarabangsa' tidak menjejakkan kaki ke bumi Malaysia bersama jerangkap samarnya.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, September 17, 2013

Pelancaran Jelajah #BantahTPPA & #AntiObama Malam Ini (Selasa 17Sept) di Taman Melati, Wangsa Maju

Kenyataan Terbuka

17 September 2013

Pelancaran Jelajah #BantahTPPA & #AntiObama Malam Ini di Taman Melati, Wangsa Maju

Selepas berakhirnya siri jelajah #Black505 yang menyaksikan beberapa kemuncak perhimpunan pada pertengahan Jun lalu, suasana perlawanan antara rakyat yang ditindas dan kerajaan zalim dilihat sejuk tidak bermaya. Di atas kesuraman ini juga, kesempatan diambil oleh pemerintah untuk terus menekan rakyat menyedari asakan dari rakyat sudah mulai perlahan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak memandang ringan situasi ini lantas membawa perlawanan baru untuk rakyat bersatu melawan penindasan. Suasana ceramah umum yang selama ini menjadi medan penyebaran maklumat akan dihidupkan semula.

Maka bermula hari ini, SAMM bersama rakan sekutu akan menjengah ke seluruh negara dalam satu siri jelajah mobilisasi menentang perjanjian TPPA dan membantah kehadiran Presiden Obama ke Kuala Lumpur pada 10-11 Oktober ini. Siri jelajah juga akan dipanaskan dengan beberapa isu semasa termasuklah isu kesan kenaikkan harga petrol dan pemenjaraan 13 pejuang demokrasi.

Jelajah #BantahTPPA dan #BantahObamaKLCC anjuran SAMM, SMM dengan kerjasama Badan Bertindak Bantah TPPA yang dibarisi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan merentasi 13 lokasi di seluruh tanahair sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur dalam satu pentas kemuncak yang mungkin mempertemukan dua tokoh terbesar tanahair. Jelajah ini juga akan memastikan orang ramai dari seluruh negara akan bergerak dan sampai ke Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2013 demi satu perhimpunan di KLCC 'menyambut' Presiden Amerika, Barrack Obama dengan cara tersendiri.

Aksi pelancaran Jelajah #BantahTPPA akan berlangsung malam ini di Taman Melati, Wangsa Maju dianjurkan oleh SAMM Wilayah yang diketuai oleh sdr Azmir Hj Mustaffa dengan kerjasama PKR Wangsa Maju. 

Pentas pelancaran akan digegarkan oleh YB Tian Chua, Dr Hatta Ramli, che'GuBard, Hishamuddin Rais, wakil mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli. Turut hadir di pentas adalah wakil NGO #BantahTPPA antaranya Nizam Mahshar (MTEM), Cikgu Azmi (MAPIM), Syed Ibrahim (IKRAM), Azlan Awang (Blindspot), Sivarajan (JERIT), Anas (Blindspot).

SAMM menjemput seluruh warga kota untuk hadir bersama menghadam maklumat mengenai bahana perjanjian TPPA dan isu semasa yang menghangat. Pesta kesedaran akan terangkan semula biarpun sekadar berbentuk ceramah sebagai pemula, ia cukup menjadikan api kemarahan rakyat dinyalakan sebaiknya. Cukuplah waktu rehat, kini tiba masanya bersama menggerak massa menyelamatkan tanahair.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, September 13, 2013

Kudeta Perak: Pemenjaraan Segera 13 Aktivis Ini Satu Kekejaman!

Kenyataan Umum
13 September 2013

Kudeta Perak: Pemenjaraan Segera 13 Aktivis Satu Kekejaman!

Hari ini menyaksikan satu lagi siri hitam pasca PRU berlaku apabila 13 peserta demonstrasi menentang rampasan kuasa negeri Perak dipenjara serta-merta. 

Keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 kepada semua aktivis yang membantah kudeta di Bukit Chandan pada 6 Februari 2009 adalah kejam dan tidak berhati perut.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak keras agar semua peserta demo dibebaskan segera bagi memberi laluan kepada pembelaan rayuan di mahkamah tinggi yang dinotiskan oleh peguam.

Kerajaan pemerintah yang sebelum ini pernah menjatuhkan kerajaan sah negeri Perak melalui rampasan kuasa, hari ini telah menunjukkan belang taringnya menggempur rakyat yang hanya menyuarakan bantahan. Selepas menang PRU13, kerajaan kini boleh lakukan apa sahaja demi menunjukkan kekuasaan mereka bertujuan menakutkan rakyat. 

Ketika pembunuh dibebaskan, ketika perasuah dan peragut wang rakyat berprofile tinggi diberi hukuman yang cukup ringan, 13 rakyat yang menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa diberi hukuman cukup berat dan tidak setimpal. Malah 13 rakyat biasa ini dilayan seperti penjenayah berat!

SAMM mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kamu hari ini tidak punya pilihan selain terus menderita dalam negara sekejam ini, ketika ruang demokrasi ditutup dan jika bersuara akan dihukum dengan seperti penjenayah.

Hukuman yang tidak mengambil kira soal kemanusiaan ini juga bersifat seperti di zaman penjajah. Dengan tekanan terhadap rakyat seperti ini, apakah kita sudah benar-benar merdeka?

Justeru SAMM menyeru semua rakyat khususnya anak muda supaya bangkit dan lawan. Ayuh bersama SAMM Perak, turun ke penjara Tapah memberi solidariti kepada 13 saudara kita yang dianiaya oleh regim legasi penjajah. 

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Tuesday, September 10, 2013

KENYATAAN MEDIA DAN JADUAL JELAJAH #BantahTPPA

KENYATAAN MEDIA
10 SEPT 2013


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak putus usaha untuk terus menggesa semua pihak bersatu menentang perjanjian TPPA yang disifatkan sebagai satu bentuk penjajahan baru. Lebih malang apabila penjajahan baru ini dihalalkan oleh pemerintah di atas kepentingan tertentu yang tidak menyebelahi rakyat.

Semua rakyat harus disedarkan betapa perjanjian TPPA ini adalah 'keganasan ekonomi' yang bukan sahaja bakal menyebabkan rakyat ditindas oleh konglomerat bertaraf dunia yang bersifat 'samseng antarabangsa' secara terus, malah maruah kedaulatan negara turut tergadai.

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan bahawa Perjanjian TPPA tidak akan ditandatangani ketika kedatangan Presiden Obama di Kuala Lumpur seperti yang dijadualkan pada bulan depan. Namun ramai yang tidak sedar proses metrai perjanjian TPPA hanyalah satu penangguhan. Ia tetap akan berlaku setelah pasukan perunding mencapai 'kata sepakat' yang dinafi dari pengetahuan umum.

Maka satu Jelajah #bantahTPPA anjuran SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Gabungan membantah TPPA (BANTAH) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan dilaksanakan bermula 17 September.

Jelajah #bantahTPPA yang berbentuk ceramah umum ini akan merangkumi 13 lokasi di seluruh Negara dengan agenda utamanya menggerak mobilisasi untuk satu demonstrasi besar di KLCC pada 11 Oktober depan. Jelajah ini menampilkan wakil dari parti politik PR dan BN selain aktivis BANTAH dan wakil MTEM untuk sepentas menerangkan bahana penjajahan TPPA.

SAMM dan rakan sekutu sekali lagi secara rasminya mengundang dua tokoh utama tanahair DS Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir untuk bersama dalam satu pentas raksasa pada aksi kemuncak Jelajah #bantahTPPA bertempat di KSS Kampung Baru pada 10 Oktober 2013, iaitu sehari sebalum demonstrasi besar #bantahTPPA menyambut Presiden Amerika, Barrack Obama di KLCC.

Kedua-dua tokoh ini dilihat begitu lantang menggesa kerajaan Malaysia menolak Perjanjian TPPA. Dalam masa yang sama, Tun Mahathir dan DS Anwar juga pernah saling menuduh masing-masing pro kepada US. Maka kita sediakan ruang dan peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk mengenepikan tuduhan, lantas mengenepikan permusuhan politik domestik demi mempertahan kedaulatan negara. Rakyat juga sudah tentu ingin melihat sama ada tokoh-tokoh ini semata ingin pertahan ego politik domestik atau tampil mempertahankan negara dari dijajah ekonominya.

Dikepilkan bersama, jadual penuh Jelajah #BantahTPPA yang akan singgah ke seluruh negara membawa penerangan demi kesedaran umum, betapa tanahair sedang dalam proses dijual jika rakyat tidak bertindak keras dan radikal dalam perlawanan ini.

CHE'GUBARD
Ketua Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
MEWAKILI SELURUH SEKUTU BADAN BERTINDAK BANTAH TPPA


JADUAL JELAJAH #bantahTPPA MENJELANG DEMONSTRASI ANTI-TPPA | KLCC | 11 OKT 2013

SEPT 17 | TAMAN MELATI | WANGSA MAJU | K.LUMPUR (KICK-OFF) | 012-2231239

SEPT 19 | BUKIT GEDONG | BAYAN BARU | P.PINANG | 017-4760274

SEPT 20 | DEWAN KG BERJAYA | ALOR SETAR | KEDAH | 017-5568557

SEPT 21 | DATARAN RAKYAT DUN INDERA KAYANGAN | KANGAR | PERLIS | 019-4342244

SEPT 24 | MERU | IPOH | PERAK | 019-3039240

SEPT 26 | KOMPLEKS PENDIDIKAN ISLAM, BADAK (KPI) | BACHOK | KELANTAN | 019-9317608

SEPT 27 | JALAN GONG PASIR | DUNGUN | TERENGGANU | 019-9809974

SEPT 28 | PADANG BALOK MAKMUR | KUANTAN | PAHANG | 017-9140090

OKT 1 | PUSAT KHIDMAT DUN KUALA KURAU | PARIT BUNTAR | PERAK I 012-5595258 

OKT 4 | PUSAT KOMUNITI BAKRI-BENTAYAN | MUAR | JOHOR | 013-7133652

OKT 5 | TAMAN ASEAN | BANDAR MELAKA | MELAKA | 012-2478016

OKT 6 | TAMAN TASEK JAYA, SENAWANG | SEREMBAN | N.SEMBILAN | 018-3510949

OKT 8 | DEWAN SERI SEKINCHAN | SELANGOR | 012-3312364

OKT 10 | GRAND FINALE | KELAB SULTAN SULAIMAN KG BARU | 010-2675872


Monday, September 9, 2013

SIDANG MEDIA: JELAJAH #BantahTPPA DAN UNDANGAN RASMI PENTAS BERSAMA DS ANWAR & TUN MAHATHIR

MEDIA ADVISORY

Kepada tuan editor dan pengamal media,

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa (SMM) dan Badan Bertindak Bantah TPPA (bantahTPPA) yang dibarisi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan mengadakan sebuah sidang media pada tarikh dan masa berikut;

Tarikh: 10 September 2013 (Selasa)
Masa: 12.00 tengahari
Venue: Dewan Perhimpunan Cina KL&Selangor (KLSCAH)

Sidang media adalah bertujuan mengumumkan jadual Jelajah #bantahTPPA ke seluruh negara bagi mengganda mobilisasi untuk demonstrasi besar di KLCC pada 11 Oktober 2013. 

Surat undangan rasmi DS Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir untuk sepentas membantah perjanjian TPPA juga akan turut menjadi agenda utama.

Mohon pihak editor / pengamal media menghantar wakil media untuk membuat liputan dan orang ramai dijemput memberi sokongan.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tumpu Perkukuh Demokrasi Parlimen Sebelum Bentuk Kabinet Bayangan

Kenyataan Terbuka
9 September 2013

Tumpu Perkukuh Demokrasi Parlimen Sebelum Bentuk Kabinet Bayangan

Sekali lagi polimik kabinet bayangan diperkatakan, kali ini ia dimulakan dengan cetusan oleh Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dalam kenyataan terbukanya Sabtu lalu. Cadangan menjelmakan kabinet bayangan dari kalangan Pakatan Rakyat ini pula disambut segera oleh Khairy Jamaluddin umpama Datuk Lee Chong Wei melakukan 'smash' bola tanggung di hadapan net.

Perlu diingat bahawa kabinet bayangan bukan sekadar senarai calon siapa nak jadi bakal menteri. Kabinet bayangan ialah senarai kumpulan atau individu ahli parlimen atau siapa sahaja yang dinamakan oleh parti pembangkang bagi menangani isu berdasarkan kementerian atau segmentasi.

Persoalan paling utama di Malaysia ialah kabinet bayangan di malaysia tidak akan berfungsi kerana demokrasi dan sistem berparlimen Malaysia tidak berjalan dengan baik. Sebagai contoh, jika kita meletakkan seorang atau sekumpulan sebagai pemantau perihal ekonomi, dan mereka mahu mengeluarkan cadangan balas berkaitan TPPA pasti gagal kerana semua rundingan mengenai TPPA dirahsiakan. Malah jika perjanjian itu ditandatangani pun hanya selepas beberapa tahun kemudian baru boleh perjanjian itu diketahui.

Perjanjian TPPA bukan sahaja menjadi rahsia kepada kabinet bayangan malah ahli parlimen kerajaan sendiri tidak memiliki butiran rundingan. Maka apakah ertinya kabinet bayangan tanpa ruang akses maklumat? Lagi contoh, jika PR bentuk kabinet bayangan untuk Kementerian Pertahanan maka adakah PR mampu memperolehi butiran pembelian senjata?

Maka sesiapa yang mahu bercakap soal kabinet bayangan harus memahami asas kewujudan kabinet bayangan itu dahulu. Jika tidak ia akan dilihat lebih kepada 'test market' untuk ketahui di mana kedudukan diri dalam kabinet tersebut, atau sebenarnya telah sebabkan pasukan sendiri terjerumus ke dalam perangkap musuh secara tidak sedar, memberi ruang kepada musuh untuk kucar-kacirkan kesepakatan.

Kepada dua ketua pemuda dari PAS dan umno ini, adalah lebih baik kiranya kita selaku anak muda memikirkan bagaimana memperkukuhkan sistem dua parti, membuka ruang demokrasi ke arah mempertingkatkan penglihatan rakyat dalam sistem demokrasi, memperkukuh integriti sistem negara. SAMM sedia menyertai perbincangan tersebut.

SAMM percaya Khairy Jamaluddin faham dan mampu melakukan ke arah itu namun kadang-kala dia juga tidak terlepas dari terperangkap dengan kenakalan pemain politik.

Kabinet bayangan bukan seperti permainan kad untuk tonjol kad siapa paling kuat, tetapi semangatnya lebih kepada timbang-tara (check and balance). Ia harus juga disuburkan dengan ruang demokrasi perdebatan terbuka demi mencari pendekatan terbaik buat tanahair. 

Dalam masa yang sama, Khairy juga harus menjadi penggalak ke arah pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia dan ketua pembangkang negara, samada untuk dialog atau aksi debat, yang penting rakyat menilai.

CHE'GUBARD
Ketua Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Wednesday, September 4, 2013

JELAJAH #bantahTPPA BAKAL PERTEMU DS ANWAR DAN TUN MAHATHIR DI PENTAS KEMUNCAK

Kenyataan Umum
4 September 2013

JELAJAH #bantahTPPA BAKAL PERTEMU DS ANWAR DAN TUN MAHATHIR DI PENTAS KEMUNCAK

Ketika kemelut kenaikkan harga harga petrol dan diesel menjadi tumpuan semua lapisan masyarakat, ramai yang terlepas pandang betapa tanah air ini sebenarnya berdepan musibah yang jauh lebih besar iaitu penjajahan ekonomi melalui perjanjian TPPA.

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan bahawa Perjanjian TPPA tidak akan ditandatangani ketika kedatangan Presiden Obama di Kuala Lumpur seperti yang dijadualkan pada bulan depan. Namun ramai yang tidak sedar proses metrai perjanjian TPPA hanyalah satu penangguhan. Ia tetap akan berlaku setelah pasukan perunding mencapai 'kata sepakat' yang dinafi dari pengetahuan umum.

Proses kesedaran terhadap bahaya TPPA berada di kemuncak sebelum dipadamkan oleh isu harga minyak yang bakal menyebabkan harga semua sektor keperluan dan perkhidmatan melambung. Ia sekaligus mengalih perhatian rakyat supaya melupakan malapetaka yang jauh lebih besar.

Justeru itu, kesempatan dari mood kemarahan rakyat hari ini, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak lagi menunggu dan terus menggerak kesedaran umum sehingga muktamadnya penarikkan Malaysia dari menyertai perjanjian multilateral terikat TPPA yang melibatkan negara Asia Pasifik.

Maka satu Jelajah #bantahTPPA anjuran SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Gabungan membantah TPPA (BANTAH) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan dilaksanakan bermula 17 September. Jelajah #bantahTPPA yang berbentuk ceramah umum ini akan merangkumi 15 lokasi di seluruh negara. Jelajah ini menampilkan wakil dari parti politik PR dan BN selain aktivis BANTAH dan wakil MTEM untuk sepentas menerangkan bahana penjajahan TPPA.

Kemuncak Jelajah #bantahTPPA akan mempertemukan dua tokoh utama tanahair DS Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir dalam satu pentas raksasa pada 10 Oktober 2013, iaitu sehari sebalum demonstrasi besar #bantahTPPA menyambut Presiden Amerika, Barrack Obama di KLCC.

Kedua-dua tokoh ini dilihat begitu lantang menggesa kerajaan Malaysia menolak Perjanjian TPPA. Dalam masa yang sama, Tun Mahathir dan DS Anwar juga pernah saling menuduh masing-masing pro kepada US. Maka kita sediakan ruang dan peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk mengenepikan tuduhan, lantas mengenepikan permusuhan politik domestik demi mempertahan kedaulatan negara. Rakyat juga sudah tentu ingin melihat sama ada tokoh-tokoh ini semata ingin pertahan ego politik domestik atau tampil mempertahankan negara dari dijajah ekonominya.

Penganjuran Jelajah #bantahTPPA kini dalam proses rangkaan akhir dan akan diumum dalam satu sidang media awal minggu depan. Undangan kepada DS Anwar dan Tun Mahathir untuk sepentas di kemuncak jelajah juga sedia untuk disampaikan.

Mungkin ada hikmahnya keputusan tidak popular pihak kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel, ia sekaligus menjadi pemangkin api kemarahan rakyat untuk muncul di setiap lokasi jelajah dan bersama dalam satu demonstrasi besar #bantahTPPA 11 Oktober nanti.

Sekian

CHE'GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, September 3, 2013

Harga Petrol dan Diesel Naik Selepas PRU13 Sudah Dijangka

Kenyataan Media

3 September 2013

Harga Petrol dan Diesel Naik Selepas PRU13 Sudah Dijangka

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini menyelar tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen ketika rakyat mencari nafas setelah berbelanja di perayaan Aidilfitri. SAMM menyifatkan kenaikkan ini adalah rentetan bahana terhadap rakyat setelah ditipu pada pilihanraya umum yang lalu.

Kenaikkan harga petrol dan diesel ini juga adalah angkara sikap kerajaan yang terlalu boros untuk meneruskan survival ketika dalam usaha mengekalkan pemerintahan. Lihatlah bagaimana mereka membeli undi, melaburkan wang untuk tipu helah tertentu hingga menang dan turut digelar kerajaan 'undi pos'.

Tawaran harga petrol lebih murah oleh Pakatan Rakyat pada pilihanraya lalu sebenarnya telah mempengaruhi orang ramai untuk melihat Barisan Nasional tumbang, menjangkakan penurunan 50sen sejurus selepas diumumkan Pakatan Rakyat menang. Namun malangnya penipuan pilihanraya telah menafikan hak rakyat untuk menikmati harga petrol lebih murah, malah hari ini dinaikkan pula sebanyak 20 sen oleh kerajaan '47 peratus'. 

Musibah ini telah dijangkakan berlaku sekiranya Barisan Nasional menang PRU. Lihatlah bagaimana Paklah menaikkan harga minyak kira-kira 3 bulan selepas Pilihanraya Umum 2008 walaupun telah berjanji harga petrol tidak naik dalam tahun yang sama, kini penipuan seperti ini diulang semula oleh Najib Razak walaupun Najib sendiri menengaskan harga petrol tidak akan naik selepas PRU.

Alasan kenaikkan harga minyak global dan alasan harga minyak negara murah berbanding negara lain adalah tidak relevan sama sekali. Ini kerana sebagai negara pengeksport minyak, sebarang kenaikkan harga minyak dunia harusnya memberi kelebihan kepada negara pengeluar. Membandingkan harga minyak kepada negara serata asean adalah tidak memadai, harus dibanding dengan negara pengeluar minyak dan lihatlah bagaimana harga petrol di Malaysia jauh lebih tinggi.

Kenaikkan harga petrol akan menyebabkan rakyat terkesan dan sedikit tertekan, tetapi apabila kenaikkan harga petrol diiringi kenaikkan harga diesal adalah satu kecelakaan kepada setiap rakyat dalam negara ini. Pastinya semua harga barang keperluan akan meningkat dan perbelanjaan bulanan rakyat juga akan melambung. Rakyat yang terbeban dihimpit kesempitan hidup, akan terus 'mengemis' sesuap bantuan kerajaan.

Kononnya pengurangan subsidi demi rasionalisasi? Apakah mengekalkan subsidi 19 bilion untuk kroni pengusaha IPP setiap tahun itu cukup rasional? Nasib puluhan juta rakyat tidak dipeduli tetapi beberapa kerat konglomerat kaya raya dijaga rapi.

Apakah segala kenaikkan ini tidak cukup untuk bangkitkan kemarahan rakyat? Jika di Brazil, hanya kerana tambang bas naik 10% memperlihatkan penentangan jutaan rakyatnya. Kita di Malaysia harus tunjuk kekuatan rakyat atau terus ditindas. Sedarlah bahawa Barisan Nasional mempunyai 5 tahun lagi untuk merodok rakyat sebelum PRU14 menjelma.

Justeru, untuk setiap rakyat yang ingin meluahkan kemarahan masing-masing, SAMM dan rakan sekutu menyediakan pentasnya. Bermula petang ini, satu aksi flashmob akan berlangsung di Dataran Merdeka diketuai oleh APBM, Geng Kotak dan SAMM Wilayah bersama kumpulan aktivis mahasiswa dan anak muda. Ayuh semua kita tunjukkan kuasa rakyat, biarkan flashmob petang ini menjadi 'domino' kebangkitan rakyat.

Amaran SAMM buat kerajaan, jika berdegil untuk tidak menurunkan semula harga petrol dan diesel, satu demonstrasi besar akan dikerahkan pada Oktober nanti. Kuasa rakyat jangan dipandang enteng, rakyat bersatu tidak akan dikalahkan!

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan