Friday, August 23, 2013

Pembebasan Azilah dan Sirul Sudah Dijangka, Beri 'Motivasi' Kepada Polis Untuk Terus Membunuh

Kenyataan Terbuka
23 Ogos 2013

Pembebasan Azilah dan Sirul Sudah Dijangka, Beri 'Motivasi' Kepada Pihak Tertentu Untuk Terus Membunuh

Sememangnya dari awal kes pembunuhan Altantuya menyaksikan perbicaraan melibatkan Azilah dan Sirul ditangguh dan ditangguh sehingga selepas pilihanraya untuk memberi laluan Barisan Nasional menang PRU tersebut. Kemenangan ini membolehkan kedua-dua 'pak sanggup' ini dibebaskan, hari ini. 


Perihal ini sudah disebut dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sudah menjangka keputusan mahkamah Rayuan yang membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu. 

Apabila BN kekal, rakyat bukan sahaja tidak mengetahui apakah motif pembunuhan dan siapa yang arah pembunuhan Altantuya, malah pembunuhnya juga dibebaskan. 

Walaupun dalam kes yang berprofile tinggi, walaupun sudah mengaku melakukan pembunuhan malah menyebut diri sebagai 'kambing hitam' kerana menjadi pembunuh upahan, namun akhirnya dibebaskan. Apakah ia satu keputusan menang-menang demi saling melindungi? Lihatlah bagaimana keadilan tidak berada di tempatnya, tetapi berada di tangan pemerintah.

Keputusan ini juga seharusnya memberikan 'motivasi' besar kepada pihak tertentu untuk terus menjalankan kerja 'black-ops' dengan jaminan dibebas sekiranya tertangkap dan dibicarakan. Pihak tertentu termasuk kemungkinan melibatkan anggota polis yang mengikut telunjuk atasan mampu berbuat apa sahaja kerja jahat, pasti akhirnya terlepas hukuman dan dibebaskan. Maka tidak hairanlah jika selepas ini lebih banyak kes pembunuh upahan. Konspirasi akhirnya berjaya apabila si pembunuh, individu yang mengarah pembunuhan, orang tengah, semuanya selamat. Rekod imigresen Altantuya terus hilang, bersama rekod bahan letupan yang diseludup keluar.

Pendedahan mengenai kematian tragis Altantuya telah di buat oleh SAMM dan banyak pihak lain khususnya apabila melibatkan skandal penyelewengan pembelian kapal selam Scorpene. che'GuBard sebelum ini pernah menulis dan menerbitkan sebuah buku yang bertajuk 'Siapa Arah Bunuh Altantuya'. Buku tersebut telah menyebabkan che'GuBard ditahan sebanyak enam kali dan rumah che'GuBard beberapa kali digeledah, namun tiada dakwaan terhadap che'GuBard. Malah ketika buku ini dilancarkan, rumah che'GuBard dibaling dengan bom botol.

Justeru itu, apakah konklusi paling tepat mengenai pembunuhan altantuya? Negara hari ini menjadi kartun apabila membayangkan 'sebenarnya' Altantuya membunuh dirinya sendiri, kemudian bangun dan meletupkan pula dirinya menggunakan bom C4 demi menghilangkan bukti.

CHE'GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Thursday, August 22, 2013

Jamboree Anak Muda Radikal | JAMRAD SAMM | 31 Ogos - 1 September 2013

Kenyataan Terbuka
22 Ogos 2013

Jamboree Anak Muda Radikal | JAMRAD SAMM | 31 Ogos - 1 September 2013

Buat pertama kali dalam sejarah, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menganjurkan pertemuan besar-besaran anak muda radikal dari seluruh tanahair dalam satu Jamboree Anak Muda Radikal (JAMRAD 2013), dengan kerjasama dari aktivis mahasiswa SMM dan beberapa front anak muda.

JAMRAD 2013 akan bermula pada 31 Ogos 2013 sempena hari 'pembebasan' negara dan berakhir 1 September 2013. Penyertaan adalah melalui jemputan yang kini sedang diperhebat dan ianya terbuka buat semua anak muda yang 'bersetuju memilih RADIKALISMA sebagai jalan perjuangan'. Lokasi JAMRAD 2013 juga telah dimaklum melalui jemputan.

JAMRAD 2013 juga membuka ruang dan platform terbaik untuk penyertaan baru anak muda dalam meneruskan rantaian perjuangan mereka yang terdahulu. Diskusi, perbincangan dua hala, bersukan dan aksi lasak adalah antara aktiviti yang bakal mewarnai JAMRAD 2013.

Kepada anak muda yang sudah berdaftar melalui portal SAMM dan sedia untuk menyertai jamboree, sila rujuk semula portal yang beralamat www.anakmudamalaysia.com untuk maklumat lanjut. Maklumat mengenai JAMRAD 2013 juga boleh diakses di laman Facebook rasmi SAMM.

Akhir sekali, SAMM mengalu-alukan penyertaan semua khususnya dari front anak muda yang bersama dan bersekutu dalam pelbagai aksi untuk menyelamatkan negara ini. JAMRAD 2013 adalah permulaan yang bakal melahirkan anak muda yang cukup kental untuk berhadapan sebuah regim 60 tahun.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Wednesday, August 21, 2013

Fiasco Pembatalan Lesen 1.7Juta Pemandu: Siapa Hero Seterusnya?

Kenyataan Umum
21 Ogos 2013

Fiasco Pembatalan Lesen 1.7Juta Pemandu: Siapa Hero Seterusnya?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi amaran kepada pihak berkuasa supaya tidak sesekali menduga kemarahan rakyat apabila seringkali menghadirkan cadangan yang tidak berperi-kemanusiaan.

Pengumuman Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebentar tadi bahawa seramai 1.7 juta pemandu yang disenarai hitam oleh polis trafik supaya dibatalkan lesen memandu jika enggan bayar baki tertunggak saman lalu lintas, adalah keterlaluan dan umpama hilang kewarasan.

Cadangan 'jahat' ini dilihat lebih menjengkelkan dengan alasan kononnya tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat ketika Aidilfitri lalu. Apakah kaitan antara tidak bayar saman dengan peningkatan jumlah kemalangan?

Jika KPN tidak berpuas hati dengan statistik kemalangan, sila buat kajian lebih terperinci punca kemalangan berlaku, sudah pasti bukan kerana pemandu tidak membayar saman. Namun pemikiran yang mungkin dipengaruhi oleh kedudukan kantung kewangan kerajaan maka lahirlah idea yang menafikan hak untuk rakyat memandu.

Apalah nasib rakyat Malaysia, dari menteri sampai ke polis, semuanya seolah berniat untuk menganiaya rakyat. Rakyat yang tersepit dengan kesempitan hidup tidak mampu untuk membayar saman, akhirnya dihukum lagi dengan pembatalan lesen memandu sekaligus bagaikan menghalang seorang ayah menghantar anak ke sekolah.


Jika semalam dapat disaksikan cadangan peminjam PTPTN disenarai dalam CCRIS dan Menteri Belia dan Sukan mendapat nama hasil dari kemelut ciptaan sendiri, kali ini menteri mana pula yang bakal menjuarai isu kononnya membela nasib pemandu yang punya saman ini?

Cukuplah bersandiwara, rakyat bukan bahan eksperimen untuk dicucuk-cucuk dengan cadangan yang menguji kesabaran. SAMM mendesak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang cadangan, kaji sebelum diumumkan.

SAMM berjanji jika cadangan ini dilaksanakan, SAMM akan menggerak mobilisasi besar mengajak semua pemandu yang mempunyai saman supaya mempertahankan hak untuk 'hidup' di tanahair ini.

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

BANTAH TPPA: DEMONSTRASI DAN PERARAKAN DITERUSKAN 23 OGOS INI

Kenyataan Terbuka
21 Ogos 2013

BANTAH TPPA: DEMONSTRASI DAN PERARAKAN DITERUSKAN 23 OGOS INI

Selepas siri awal penentangan terhadap perjanjian rahsia TPPA yang berlangsung dalam bulan puasa 19 Julai lalu, kini bantahan diteruskan lagi demi memastikan tanahair tidak dijajah dalam bentuk yang baru. Perlawanan menentang 'penjualan negara' ini perlukan konsistensi selagi masih belum terlambat.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyambut baik gerakan yang bermotto "Kekalkan Kemerdekaan - Tolak TPPA", akan bersama kumpulan anak muda lain untuk pertahan kedaulatan negara dari dicemar oleh 'sotong kurita beracun'. 

SAMM menyeru orang ramai khususnya warga kota menyertai satu lagi protes bantahan terhadap Perjanjian TPPA pada 23 Ogos ini di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat. Kemudian pada jam 2.30 petang, para demonstran akan berarak ke arah Kedutaan US untuk digegarkan oleh rakyat Malaysia yang cintakan tanahair.

Perjanjian TPPA yang telah dibincangkan secara rahsia selama ini, harus disekat kerana didapati bakal memberi kesan negetif yang besar terhadap rakyat dari pelbagai sudut termasuklah soal kedaulatan negara. Maka SAMM ambil tanggungjawab mobilisasi dan menggesa semua anak muda ayuh bersama dalam aksi kali ini, dan sebarkan maklumat berikut;

Himpunan Aman Bantah TPPA

Tarikh: 23 Ogos 2013 (Jumaat)
Masa: 2.00pm (lepas solat)
Lokasi: Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak
Perarakan: Masjid Tabung Haji - Kedutaan US

SAMM mengalu-alukan penglibatan lebih banyak pihak dalam demonstrasi dan perarakan ini. Semua pihak harus bersatu memastikan negara diselamatkan dari cukong konglomerat bertaraf dunia yang memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat. 

Tunjukkan kepada dunia satu signal penolakkan yang besar terhadap perjanjian yang menjadi 'jerangkap samar' kepada negara yang menyertai TPPA.

Rakyat bersatu tidak akan dikalahkan. Jumpa 23 Ogos di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak.

CHE'GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia

Mahasiswa disenarai CCRIS, Tarif Letrik Naik, Apa Lagi Kerajaan Mahu?

Tulisan Terbuka
20 Ogos 2013

Mahasiswa disenarai CCRIS, Tarif Letrik Naik, Apa Lagi Kerajaan Mahu?

Kemenangan Barisan Nasional dengan penuh penipuan dan bantuan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 5 Mei lalu, akhirnya 'klimex' tersebut dibuktikan sebagai titik bermulanya nasib yang lebih malang untuk rakyat Malaysia. Mungkin untuk tempoh 5 tahun, dan tidak mustahil untuk tempoh lagi 50 tahun.

Semua harus sedar bahawa PRU13 adalah peluang terbaik untuk bukan sahaja menyelamatkan negara ini, malah rakyatnya juga. Semua harus sedar betapa perubahan dasar negara ini untuk menjadi lebih mesra rakyat, mesra kepada rakyat dalam ertikata sebenar hanya boleh berlaku selepas tumbangnya regim Barisan Nasional. Ini fakta yang klasik, walaupun masih belum dibuktikan namun ia satu kepercayaan umum.

Minggu ini ada dua berita tidak baik, pertama mengenai kenaikkan tarif letrik dan kedua fasal peminjam PTPTN yang gagal membayar pinjaman secara konsisten bakal kehilangan hak untuk 'hidup' apabila nama disenaraikan dalam sistem CCRIS. Ini sangat pelik, apakah negara ini sudah rosak apabila pinjaman untuk melanjutkan pelajaran sudah setaraf dengan pinjaman kad kredit, sewa-beli kenderaan dan pinjaman perumahan. Padahal terma 'pinjaman' itu sendiri sepatutnya diganti biasiswa.

Kedua-duanya berita di atas punya kesan langsung yang menambah kesempitan hidup rakyat dan diburukkan lagi oleh beberapa siri kenaikan harga barang keperluan asas dan harga perkhidmatan. 

Di sebalik keuntungan berbilion syarikat monopoli TNB, khabaran kenaikkan tarif sudah kedengaran sejak awal tahun. Ia dititik-beratkan lagi ketika memasuki musim pilihanraya dengan detonasi kenaikkan tarif letrik akan berlaku sekiranya kerajaan BN kekal memerintah. Nah, ia benar-benar berlaku.

Apakah rasional sebuah syarikat monopoli berkaitan kerajaan yang sudah untung berbilion, menaikkan lagi tarif letriknya. Tidak kiralah apa jua alasannya samada untuk menampung kos operasi TNB atau menokok tembolok pengusaha IPP, soalnya mengapa rakyat terus menjadi mangsa? Sebagai syarikat monopoli yang mana tiada satupun bil letrik dibayar kepada pihak selain TNB, sepatutnya tidak mencari keuntungan syarikat semata-mata tetapi rakyat yang menjadi pelanggan setia ini juga perlu dipelihara. 

Kerajaan sepatutnya menyebelahi rakyat, sepatutnya menjadi pelindung rakyat, kerana itu kerajaan itu dipilih rakyat. Namun apakan daya, ini kerajaan 47 peratus, kerajaan undi pos, kerajaan dakwat pewarna makanan, penyangak yang menipu ini mana mungkin berniat menjaga rakyat.

Rungutan mula kedengaran, tarif letrik dikatakan mula naik mendadak sebanyak dua kali ganda dari kebiasaan sejak beberapa bulan lalu. Difahamkan, kenaikkan luar biasa ini berlaku setelah pengenalan meter letrik jenis baru. Ia bukan kes terpencil, pengalaman kenaikkan bil secara luar biasa ini dirasai semua.

Jika sebelum ini ramai pengguna yang kurang berkemampuan dan tidak punya banyak perkakas elektrik mendapat manfaat bil letrik percuma apabila mempunyai bil bawah RM20, kini angka RM20 sebulan itu hampir mustahil dicapai dengan penggunaan meter baru yang serba kejam. Itu belum lagi dikira kenaikkan tarif letrik.

Rakyat yang cuba meminimakan penggunaan eletrik, bergelap demi sedikit 'cahaya' supaya mendapat pengecualian RM20, namun keistimewaan ini ditarik secara terancang. Apakah kenaikkan tarif ini juga satu cara untuk pastikan semua bil letrik melebihi RM20 dan seterusnya tercicir dari dikecualikan pembayaran?

Inilah bonus kepada rakyat Malaysia hasil dari kekalnya sebuah kerajaan korup yang bermodalkan retorik 'negara aman'. Lebih menarik, minggu ini kita dikurniakan 'bonus kombo' apabila dua hadiah musibah dipakejkan sekali. Sedang menunggu giliran untuk diberikan kepada rakyat termasuklah pelaksanaan cukai GST sepenuhnya, pengenalan TPP dan seribu kamera AES sebagai bonus minggu akan datang.

Justeru, apa lagi yang kerajaan mahu dari poket rakyat? Apakah rakyat hanya perlu pasrah dan berserah?

Kami dari SAMM tidak sesekali menyerah. SAMM dan beberapa front anak muda serta front mahasiswa telah bertekad mengambil jalan yang lebih radikal demi memastikan keadilan berada di tempatnya. Masa depan kami menjadi pertaruhan demi masa depan seluruh anak bangsa. 


Radikal? Radikal itu bukan maksudnya bakar kereta, mohon jangan ditafsir dengan sifat bebal. Sifir 'jangan gopoh' dan sifir ikut saluran petisyen yang digunapakai akhirnya memakan diri apabila sekali lagi diperbodoh oleh regim penyangak. Bodoh ini dibayar pula dengan jumlah jutaan ringgit - ini contoh kebodohan berbayar.

Bagi SAMM, penipuan pilihanraya yang didalangi oleh SPR perlu dibangkitkan semula. Jawatankuasa SPR perlu diburu selagi tidak melepaskan jawatan masing-masing. Ingatlah bahawa hak rakyat untuk menikmati penurunan harga petrol seterusnya kelegaan harga keperluan asas dinafi oleh demokrasi mati, hasrat mahasiswa untuk PTPTN dimansuh turut dimusnahkan gara-gara penafian hak menukar kerajaan.

Dataran Merdeka wajib menjadi sasaran supaya diduduki sebagai tanda protes dan bantahan khususnya di atas penafian demokrasi yang berterusan. BERSIH 4.0 dilihat platform terbaik untuk perlawanan terbaru.

Akhir sekali, mungkin ada yang bertanya mengapa ulasan saya mengenai nasib peminjam PTPTN yang disenarai CCRIS sangat minima dalam tulisan ini, cukuplah sekadar saya berpesan kepada peminjam PTPTN yang disenarai-hitam: Ayuh lawan, atau melaratlah sampai mati! Sad but true...

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM

Friday, August 2, 2013

Kelajuan Bukan Faktor Utama Kemalangan, Rakyat Terus Diperangkap!

Kelajuan Bukan Faktor Utama Kemalangan, Rakyat Terus Diperangkap!

Syukurlah, walaupun sedikit demi sedikit kesabaran di bulan puasa ini tergugat, dek kenaikkan harga ayam, kenaikkan harga sayur, kenaikkan harga gas dan sebelum itu kenaikkan harga tiket bas, akhirnya ada juga penurunan yang diumumkan baru-baru ini. Daripada 110 turun menjadi 100, dari 90 turun menjadi 80, ini cukup bermakna buat semua pengguna jalanraya sempena musim perayaan.

Kononnya, demi mengurangkan statistik kadar kemalangan jalanraya di musim raya, halaju kebangsaan diberi diskaun oleh pihak kerajaan. Hanya seratus kilometer sejam sahaja kelajuan maksimum di seluruh rangkaian lebuhraya seantero Malaya, rangkaian lebuhraya yang dikatakan terbaik di dunia. Hanya 100km/j untuk semua jenama kereta.

Persoalannya, benarkah kelajuan itu faktor utama kemalangan jalanraya di Malaysia? Atau sebenarnya penurunan hadlaju kebangsaan ini sebuah skim cepat saman?

Dalam pengamatan saya, kesusahan dan kesengsaraan rakyat adalah sebenarnya antara faktor utama kemalangan jalanraya, bukan faktor kelajuan semata-mata. Tipikal rakyat Malaysia khususnya yang telah berkahwin dan punyai anak, walau macamana susah dan sempitnya kehidupan, hari raya wajib disambut. Hari raya tidak bermakna tanpa balik kampung, tidak kira samada kampung suami ataupun isteri. Biasanya dua-dua kampung menjadi destinasi, yang kerap menjadi titik perbalahan adalah untuk memilih kampung siapa di malam dan pagi raya pertama. 

Bila ekonomi rakyat tidak seberapa, kenaikkan kos sara hidup tidak terkawal, maka rakyat perlu memilih risiko balik kampung dalam keadaan kondisi kenderaan yang 'longgar'. Jika selenggara sekalipun, lazimnya rakyat akan tanya apa yang murah untuk tayarnya, untuk minyak hitamnya, untuk keperluan 'spare-part'nya demi menjimatkan kos. Jika ada bahagian yang perlu ditukar atau diperbaiki, maka tangguhlah dulu kerana rakyat nak balik raya, banyak kosnya. Ketika ini juga tayar terpakai cukup laris di pasaran. Ori atau lokal, untuk jimat kos, ambillah lokal. Kalau ada tiruan, ambil tiruan. 

Risiko ini diambil bukan memperjudikan keselamatan sendiri sahaja, tetapi juga nasib pengguna jalanraya yang lain. Akibat penyelenggaraan kenderaan yang sangat tidak sempurna, jalanraya menjadi medan bahana biarpun tanpa kelajuan. 

Rakyat yang tertekan dengan sosial kehidupan seperti masalah kewangan yang membawa kepada masalah rumahtangga, akan lebih banyak berkhayal ketika memandu. Tidak fokus ketika memandu dan boleh menyebabkan kecelakaan.

Skop penyelenggaraan kenderaan secara tidak selamat ini juga bukan dipraktik dari kalangan individu sahaja, malah pengusaha bas, pengusaha lori juga akan memilih jalan penjimatan yang sama demi mengurangkan kos untuk menjana sedikit lebihan keuntungan. Tayar celup pun tidak mengapa, asal barang boleh jalan.

Berapakah banyaknya kenderaan yang tidak berada dalam kondisi yang baik di atas jalanraya ketika ini?

Dalam masa yang sama, rakyat mencari duit lebih untuk sambut Aidilfitri, maka kerja pun lebih masa. Bagi pemandu bas dan lori, trip juga perlu lebih dari biasa dan untuk ambil trip lebih dari biasa, perlukan tenaga tahan mengantuk yang luar biasa. Di sini juga jalanraya terdedah kepada bahaya akibat pemandu yang mengantuk dan tidak cukup kuderat kerana telah mengulang trip dalam hari yang sama. Ini lebih seram, lori dan bas bergerak secara automatik sekali sekala tanpa pemandu.

Rakyat mencari sesuap nasi, mana-mana kontraktor kelas rendah perlu belajar rasuah untuk dapat sub-projek, projek tampal jalan seumpamanya. Tetapi oleh kerana sudah keluar kos luar jangka untuk dapat projek, maka kos tar berkualiti untuk menampal jalan juga terpaksa dikurangkan. Akhirnya jalan kembali berlubang juga dalam tempoh masa yang tidak dijangka, jauh lebih awal dari sepatutnya. Lihatlah bagaimana jalanraya di negara ini banyak berlubang, walaupun telah ditampal, jalan tetap kembali berlubang. 

Cuma lebuhraya menjadi pilihan yang lebih selamat berbanding jalan biasa. Lebuhraya tidak berlubang, hanya berlendut dan kurang rata. Namun bagi rakyat yang menghargai masa dan wang ringgit, apakah berbaloi untuk membayar tol dalam keadaan kesesakkan lebuhraya yang melampau? Jika duit bukan soal, pasti tiada masalah untuk bayar tol walaupun lalulintasnya tidak lancar sepanjang jalan.

Percayalah, jika rakyat tidak susah, 'spare-part' tiruan dan tayar terpakai tidak akan laku di pasaran maka jalanraya lebih selamat. Jika rakyat ada kemampuan, pemandu bas dan lori tidak ambil trip lebih dari sepatutnya, lebih baik duduk rumah rehat dan bermain dengan anak, maka jalanraya lebih selamat. 

Bukan sahaja jalanraya lebih selamat, malah jalanraya akan lebih berkualiti, mampu dicengkam oleh tayar dan tidak berlubang sekiranya rakyat tidak memberi dan menerima rasuah, yang juga berpunca dari kehidupan yang sempit. Tiada lagi rakyat yang tertekan ketika memandu, jika kehidupan berjalan baik tanpa masalah kewangan dan seterusnya rumahtangga aman.

Kerana itu saya katakan, kesusahan dan kesengsaraan rakyat menjadi punca utama mengapa jumlah kemalangan jalanraya di negara ini meninggi setiap tahun. Statistik kemalangan tidak mampu dikurangkan melainkan berlaku revolusi rakyat, di mana ketika itu rakyat senang dan tenang dengan kualiti kehidupan yang baik. Hidup ketika itu juga tidak dalam tergesa-gesa seperti hari ini, malah rakyat tidak perlu diugut supaya dikurangkan kelajuan. AES juga tidak perlu ketika itu.

Justeru itu, saya menilai bahawa tindakan kerajaan menurunkan halaju kebangsaan sebenarnya untuk perangkap rakyat, bukan untuk mengurangkan statistik kemalangan jalanraya. Tiada hujah kukuh yang mengatakan kelajuan faktor utama kemalangan.

Apakah dalam notis yang singkat, semua pemandu akan menyedari bahawa halaju kebangsaan telah dikurangkan bermula hari ini? Apakah ada papantanda sementara di sepanjang jalan? Bukan semua orang tengok berita, dan bukan semua orang maklum penurunan ini, ia perangkap!

Bermula hari ini hingga 18 ogos, semua mesin kamera AES akan menjalankan operasi 'menjala' dan 'memukat', tidak lagi memancing. Inilah yang dinamakan Skim Cepat Saman, kita sangka kita patuh halaju kebangsaan, rupa-rupanya kita terlebih 10km/j. Maka penuhlah kantung kerajaan untuk bayar BRIM tahun hadapan.


EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan