Tuesday, November 25, 2008

Nazri Terlepas Hukuman - Atas Dasar Imuniti Nasional


Dewan Rakyat hari ini memutuskan untuk tidak merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Aziz kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas didakwa membuat kenyataan yang tidak benar dalam Dewan Rakyat.

parliament gobind singh ban over nazri mistake 251108 01Keputusan Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu bagaimanapun dibantah keras oleh ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh, yang kemudiannya digantung selama dua hari kerana mencabar keputusan tersebut.

Dr Wan Junaidi menjelaskan bahawa beliau membuat keputusan itu berdasarkan kepada tiga faktor; pertama, sama ada kenyataan menteri itu mengelirukan; kedua, sama ada menteri sedar bahawa kenyataan itu mengelirukan, dan akhirnya sama ada jika menteri berkenaan berniat untuk mengelirukan dewan.

Mengikut Dr Wan Junaidi, walaupun kenyataan Nazri itu mengelirukan, tetapi beliau kemudian menyedarinya, dan oleh itu tidak dianggap berniat untuk mengelirukan dewan. - Malaysiakini


edyes wrote:

Perkara semacam ini memang sudah dijangka. Siapalah kita ini sebagai rakyat biasa untuk mempertikaikan keputusan yang dibuat di Parlimen sedangkan ahli-ahli parlimen pembangkang berhempas pulas menuntut keadilan sejagat.

Namun begitu, si polan yang bersalah sedikitpun tidak diberi hukuman manakala pihak yang mempertikaikan keputusan pula yang menjadi mangsa hukuman. Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat berkuatkuasa hari ini kerana mempertikaikan keputusan Timbalan Yang Dipertua, Datuk wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Di manakah keadilan negara ini jika keputusan di medan parlimen pun berat sebelah?

Jelaslah bahawa negara ini mempunyai satu dasar yang unik. Dasar Imuniti Nasional. Pemimpin UMNO yang mengikuti arus 'Perdana Menteri' diberikan pakej imuniti mengikut keperluan semasa. Pakej ini adalah exclusive untuk ahli-ahli tertinggi yang 'menyokong' sahaja.

Contohnya, sebagai ahli parlimen tiket Barisan Nasional, segala salah laku termasuklah raba-meraba dalam pub akan diberikan imuniti sekiranya terdapat laporan polis. Akhirnya ahli parlimen tersebut dicalunkan pula untuk naib presiden. Adoiyai.

Satu lagi contoh Dasar Imuniti Nasional, di mana seorang ketua bahagian UMNO yang diberikan imuniti setelah mengoyakkan gambar pemimpin cina. Kononnya UMNO telah memberikan hukuman 3 tahun gantung keahlian, tetapi bagaimana pula hukuman dari pihak kerajaan yang memerintah? Inilah yang dikatakan Dasar Imuniti Nasional.

Begitu juga dengan seorang bekas Menteri Besar Selangor yang jelas terdedah kepada kesalahan rasuah yang pelbagai, akhirnya dengan Dasar Imuniti Nasional, bekas MB Selngor itu kini sebagai salah seorang calon Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Dan akhir sekali, imuniti yang maha imune, yang paling mahal sekali harganya, iaitu Imuniti peringkat darjah kebesaran baginda, ialah imuniti yang melibatkan seorang bakal PM. Bakal PM ini bersama bik mamanya langsung tidak boleh mendekati 100meter perimeter Mahkamah Tinggi. Begitu besarnya imuniti tersebut sehingga si baginda dengan yakin mengatakan "Najib dan Rosmah tidak terlibat sama sekali". Tetapi apabila ditanya pula oleh wartawan berkaliber dengan soalan yang berbunyi "Bagaimana Razak Baginda tahu bahawa Najib dan Rosmah tidak terlibat?", maka dengan pakej imuniti yang telah tersedia untuk Razak Baginda, seraya beliau menjawab "Saya tau lah".

Dasar Imuniti Nasional ini akan diteruskan selama 50tahun lagi jika kerajaan Barisan Nasional masih diberi mandat. Mandat. Mantat.

Dengan dasar ini, Perdana Menteri, TPM, bakal Perdana Menteri, menteri-menteri, ahli parlimen Barisan Nasional akan lebih selamat dalam melakukan mana-mana jenis jenayah yang mereka suka kerana mereka imune kepada undang-undang ciptaan manusia, undang-undang yang boleh dijual beli bersama hakim-hakimnya sekali.

Dengan dasar ini juga, seluruh keturunan Perdana Menteri mempunyai peluang yang jauh lebih tinggi untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya berbanding orang yang lebih karisma dan berkaliber.

Dan ingatlah, jangan kamu sekali-kali terlibat dengan apa-apa jenayah, sekiranya kamu di luar pakej-pakej Dasar Imuniti Nasional.

Singapura Potong Gaji, Kita dah mula dulu - 'Potong Elaun'

Kerajaan Singapura mengumumkan gaji Presiden, Perdana Menteri dan pegawai kanan kerajaan akan dipotong antara 11 dan 19 peratus tahun depan ekoran kelembapan ekonomi negara itu.

Menurut kenyataan Bahagian Jabatan Perkhidmatan Awam Singapura, pemotongan gaji itu wajar kerana hampir 25 peratus daripada komponen gaji tahunan mereka adalah berkitan dengan pertumbuhan ekonomi negara bandar raya itu.

Mereka lain yang akan terlibat dalam pemotongan gaji termasuklah menteri dan Anggota Parlimen, kata kenyataan itu semalam. - Malaysiakini

edyes wrote:

Seperti yang kita sedia maklum, Kerajaan Malaysia telah memulakan langkah pemotongan jauh lebih awal dan lebih 'advance' daripada kerajaan Singapura.

Jika Kerajaan Singapura menurunkan gaji Perdana Menteri, gaji para menteri dan juga gaji ahli parlimen antara 11% hingga 19%, Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan menurunkan 10% ELAUN KERAIAN. Malaysia Boleh.

Pengumuman negara jiran ini adalah begitu bersesuaian untuk dibuat perbandingan di antara KEIKHLASAN dan KE'RETORIK'AN.

Apakah sudah sampai masanya untuk kita merujuk kepada Tuan Guru Nik Aziz kerana sejak sekian lama beliau telah contribute 45% daripada uwang gajinya untuk 'rakyat'.

Friday, November 21, 2008

Harga Minyak Dunia : DI BAWAH $50 !


Kini harga minyak dunia berada pada paras di bawah $50 setong. Berapakah 'actual price' untuk seliter?

Kita rakyat Malaysia merupakan rakyat yang begitu prihatin kepada kerajaan kerana memberi subsidi petrolium lebih kurang 50sen daripada setiap liter yang kita beli di stesen-stesen minyak (anggaran harga minyak sebenar tanpa subsidi kerajaan pada kadar RM1.50 per liter).

Cuba kita ingat kembali, harga minyak RM1.10 per litter sewaktu harga minyak dunia $35 setong. Naik seposen kepada RM1.22 seliter sewaktu harga minyak dunia meningkat kepada $50 setong.

Kemudian, paklah mengambil alih tampuk pemerintahan... dan segala-galanya merubah kepada cacamerba.

Minyak dunia cecah $60, paklah naikkan 20sen+seposen+seposen = 40sen. Tahun berikutnya naik lagi 30sen, kononnya naik 30sen sekaligus lebih baik daripada naik sedikit demi sedikit. Waktu itu, harga minyak dunia sedikit melebihi $70 setong dan harga minyak domestik ialah RM1.92.

Jun lalu naik 78sen, sebab harga minyak cecah $130 setong.

SEKARANG, harga minyak dunia ialah $48 setong. Di manakah letaknya maruah kerajaan BN apabila masih menetapkan harga minyak melebihi RM1.92 ??

Thursday, November 20, 2008

Kerajaan Maya Blogospera - Objektif Dan Rangka Pimpinan

Maklumat oleh RentapRevolusi

Kerajaan Maya Rakyat, ringkasnya KAMAR, ialah sebuah pakatan para pemaya (bloggers) yang bersetuju dengan objektif (fungsi) yang dinyatakan di bawah. Ia dibentuk pada 22 November 2008 di Ipoh, Perak. Para pemaya yang hadir pada tarikh pembentukan ialah mereka yang disenaraikan dalam lampiran Peserta.(akan diberikan semasa pertemuan)

Objektif

Objektif KAMAR ialah fungsi KAMAR. Ia berkembang luas berdasar scenario politik sesuatu masa. Namun, kerangka utamanya adalah sebagai berikut:

- Membantu orang ramai menjalankan aktiviti kemasyarakatan;

- Bekerjasama dengan kerajaan melaksanakan projek pembangunan;

- Mencadang kepada orang ramai aktiviti yang patut dijalankan;

- Membantu kerajaan merancang projek yang akan dilaksanakan;

- Merancang serta membimbing masyarakat dalam bidang keusahawanan;

- Mengadakan program pendidikan secara maya kepada masyarakat.

- Menyebar pelbagai maklumat kepada masyarakat.

Pimpinan

KAMAR dipimpin oleh:

1. Ketua Umum dinamakan PrimaMaya

2. Setiausaha Agong dinamakan ProMaya

3. Bendahari Agong dinamakan PraMaya

4. Jawatankuasa dinamakan J-Pemaya (seramai, misalan: 9 – 12 orang)

5. Juruaudit

Peserta

1. Para pemaya yang hadir pada 22 November 2008; dan

2. Mereka yang diterima mendaftar selepas tarikh tersebut.

Pejabat (akan ditentukan oleh pimpinan)

Kewangan (akan ditentukan oleh pimpinan)

Perancangan (akan ditentukan oleh pimpinan)

Lain-Lain (akan dibincangkan)

Agenda Konvensyen Teh Tarik (22/11/2008)

5.00pm: Salam perkenalan. (memperkenalkan para-para dan pari-pari Pemaya.)
5.20pm: Melantik Promaya sementara untuk mencatit perjalanan konvensyen.
5.25pm: Pembentukan kabinet Kerajaan Maya Rakyat
6.00pm: Pembentangan usul-usul.
7.00pm: Bersurai
7.30pm:
Makan malam diKluang Station Cafe.


Untuk maklumat lanjut mengenai KAMAR sila refer di sini.

Untuk mengetahui senarai para bloggers yang akan hadir dalam konvensyen 22/11/2008, sila refer di sini.

Monday, November 17, 2008

Adakah Ini Pengakuan Tun Dr. Mahathir ?

Rasuah dan UMNO umpama tidak dapat dipisahkan. Rosak ! Rosak ! Rosak Binasa !

Berikut adalah sedikit ungkapan TDM untuk dihayati;


21. Amatlah jelas bahawa rasuah sudah menjadi budaya ahli-ahli UMNO disemua peringkat. Apabila budaya ini dianggap sebagai sesuatu perkara biasa maka pemimpin yang akan dipilih lebih mungkin terdiri daripada mereka yang tidak bermoral, perasuah yang hanya ingin jadi pemimpin untuk kepentingan diri. Apabila ini berlaku maka negara akan perolehi pemimpin dan Kerajaan yang tidak bermoral, yang akan salahguna kuasa untuk kepentingan diri. Dengan ini akan rosaklah negara.

22. Rasuah dikalangan ahli dan pemimpin UMNO akan menjadikan UMNO parti yang tidak dapat dipercayai oleh rakyat, dipandang hina dan akhirnya ditolak.

Klik sini untuk artikel penuh

Ianya berlaku sejak Dulu, Kini Dan Mungkin Selamanya...

Reformis Bogel : Tindakan Tidak Bertamadun !

TINDAKAN segelintir individu yang mahu mengadakan demontrasi secara bogel di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dikecam oleh aktivis-aktivis reformasi.

Pada 14 November lalu, sekumpulan individu yang menggelar diri mereka Gerakan Reformis Rakyat (Reformis) mengancam untuk meneruskan mogok bogel sebagai membantah tindakan kerajaan negeri yang mahu menaikkan kadar sewa penduduk program Perumahan Rakyat (PPR) dari RM124 kepada RM250 sebulan.

Bagaimanapun, Nasir Isa seorang aktivis tegar reformasi berkata, kumpulan itu tidak mewakili aktivis-aktivis reformasi dan kebanyakan dari mereka tidak terlibat dalam aktivitit reformasi sejak 1998.

“Kumpulan itu sendiri tidak merangkumi aktivis reformasi yang lebih berwibawa dan terdahulu yang memberikan lebih banyak komitmen dan pengorbanan terhadap perjuangan reformasi tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Saya merasa kecewa kerana tindakan ini seolah mencerminkan majoriti reformis dan menunjukkan pemikiran golongan reformis yang dangkal, kosong dari segi pemahaman agama, tidak profesional dan menunjukkan sikap yang tidak bertamadun,” kata Nasir yang lebih 10 tahun melibatkan diri sebagai aktivis reformasi.

“Tindakan mereka bukan sahaja bertentangan dengan nilai agama, budaya dan moral tetapi turut menjejaskan imej reformis secara keseluruhan,” tambahnya.

Nasir berkata, beliau tidak mempunyai halangan kepada mana-mana pihak yang mahu menggelar diri mereka sebagai reformis kerana label reformis bukan bersifat mutlak kepada mana-mana individu tertentu sahaja, tetapi setiap tindakan haruslah dikaji terlebih dahulu.

“Sekiranya mana-mana pihak mahu ‘menggelar’ diri mereka sebagai reformis dan melakukan perkara yang bukan-bukan, adalah tidak adil kepada golongan reformis itu sendiri,” kata beliau lagi.

Mengulas lebih lanjut, Nasir berpendapat, terdapat saluran yang betul untuk menunjukkan rasa tidak puas hati seperti mengadakan perdebatan secara tertutup dengan pihak kerajaan negeri Selangor sekiranya mereka tidak berpuashati dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Namun menurutnya kerajaan Selangor juga harus diberi peluang kerana isu yang cuba ditimbulkan itu masih dalam peringkat perbicangan dan belum ada keputusan muktamad.

Seorang lagi aktivis reformasi tegar, S. Pushpaligam berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan Gerakan Reformis yang mahu berdemo secara bogel kerana ia bertentangan dengan budaya rakyat Malaysia.

“Saya tidak bersetuju sama sekali dengan pendekatan mogok secara bogel. Ini bukan budaya kita. Ini budaya barbarian. Kita adalah manusia yang bertamadun. Ketidakpuasan hati boleh disuarakan melalui saluran yang betul dan bukan dengan mengadakan mogok secara bogel,” katanya.

Menurutnya, sekiranya golongan itu tidak berpuasahati, mereka perlu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan bantahan.

Manakala seorang lagi aktivis NGO dan reformasi, Amin Iskandar, berkata beliau menyokong Gerakan Reformis rakyat Malaysia (reformis) dalam memprotes tindakan kerajaan negeri namun merasakan kaedah yang diguna pakai oleh mereka tidak sesuai dengan budaya masyarakat di Malaysia.

Beliau yang juga baru pertama kali mendengar nama gerakan tersebut berkata, adalah sesuatu yang biasa dilakukan oleh mana-mana parti politik atau kumpulan pendesak menggunakan pendekatan secara ‘gimik’ untuk menarik perhatian massa terhadap tuntutan-tuntutan mereka.

Namun kaedah yang digunakan seperti demonstrasi secara bogel adalah lebih sesuai dilaksanakan di Eropah berbanding Malaysia yang masih mengekalkan ciri-ciri dan nilai budaya ketimuran, kata Amin. - SK

Islam dan Hak Keistimewaan Orang Melayu Tetap Dipertahankan

Sumber Malaysiakini

Ketiga-tiga parti anggota Pakatan Rakyat menerima kedudukan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, isu berhubung perkara itu tidak perlu dirisaukan lagi kerana persefahaman mengenainya telah dibuat antara ketiga-tiga parti anggota Pakatan - PKR, DAP dan PAS.

Malah, tegas Anwar lagi, kenyataan bahawa kesemua pihak telah bersetuju mengenai perkara itu, telah dikeluarkan pada 8 September lalu.

Kenyataan tersebut atara lain menegaskan bahawa Pakatan sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjaminkan kebebasan mengamalkan agama lain, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan mempertahan hak bahasa ibunda, kedudukan kedaulatan dan institusi Raja-raja Melayu serta kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, serta hak-hak semua kuam yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan tersebut, Pakatan menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit.

Oleh itu, tegas Anwar, tidak timbul lagi sebarang salahfaham mengenai isu yang membabitkan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

Anwar menegaskan demikian dalam ucapannya di majlis perjumpaan khas dengan guru KAFA di Selangor di Shah Alam hari ini. Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

edyes wrote:

Harap ini bukan retorik. Kedudukan melayu dan Islam semakin membimbangkan. Kempen memartabatkan Islam itu harus didokongi dengan penuh keikhlasan dan dipenuhi bersama perlaksanaan yang praktikal, begitu juga dengan kempen memperkasakan bangsa melayu.

Ayuh, bersama Pakatan Rakyat kita realisasikan sebuah negara yang lebih hebat, lebih berkebajikan, sebuah Negara Rakyat. Keagungan Islam itu terbela dan kedudukan bumiputra dijamin tanpa menjejaskan hak-hak kaum bukan melayu. Keunikan ini harus dipraktik supaya negara terus maju tanpa politik perkauman sempit.

Hidup Pakatan Rakyat !


Thursday, November 13, 2008

Syabas Kerajaan Selangor !

oleh Malaysiakini

Kerajaan Negeri Selangor akan membantu golongan yang tidak berkemampuan yang tinggal Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk menyelesaikan masalah sewa mereka.

low cost housing ppr 131108 01Menurut kenyataan pejabat menteri besar Selangor, kerajaan negeri yang prihatin terhadap kebajikan dan keselesaan rakyat, begitu komited untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul ekoran daripada kenaikan kadar sewaan bagi PPR.

"Golongan yang benar-benar tidak berkemampuan, iaitu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM1500 sebulan dan golongan kurang upaya (OKU) akan diberi bantuan untuk menyelesaikan masalah bayaran sewa mereka," kata kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.

Menurutnya, permohonan bantuan boleh dibuat melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor yang terletak di Tingkat 5, Podium Utara, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri juga akan mempertingkatkan pengurusan dan penyelenggaraan di sesetengah PPR yang dirasakan kurang sistematik.

Langkah itu, tambahnya, bagi memastikan kediaman yang disediakan adalah selesa serta setimpal dengan nilai sewaan yang dibayar oleh penghuninya.

low cost housing ppr 131108 02Sejajar dengan matlamat tersebut, katanya, kerajaan negeri akan menubuhkan satu perbadanan pergurusan bagi mengawal selia dan mengurus semua PPR di Selangor.

Ia bertujuan untuk memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan kawasan perumahan terlibat dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu agi, kerajaan negeri akan sentiasa memantau bagi mengelakkan dari adanya pihak yang tidak layak, cuba mengambil kesempatan untuk bantuan yang diberikan.

"Kerajaan negeri akan senantiasa memantau dan seterusnya mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang sengaja membuat bayaran lewat atas alasan tidak berkemampuan sedangkan sebenarnya berkemampuan," katanya.


edyes wrote:

Jangan kita lupa, Kerajaan BN juga mengemukakan satu program yang amat menarik perhatian. Satu pasukan khas akan ditubuhkan untuk mencari rumah-rumah yang bil letriknya tidak mencecah RM20 sebulan. Ini kerana, sudah pasti rumah yang mempunyai bil letrik kurang dari RM20 TIDAK mempunyai kemudahan yang diperlukan seperti peti sejuk, TV, dan perkakas rumah yang lain. Lihatlah betapa ikhlasnya Kerajaan BN dalam melaksanakan program-program yang meringankan beban rakyat.

Tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor. Selangkah demi selangkah, penampilan sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat semakin menyinar. Hanya yang layak sahaja wajar menerima bantuan sedemikian.

Ini merupakan satu usaha yang jelas mengurangkan beban rakyat dan seharusnya membuka mata hati pihak-pihak yang selama ini melemparkan kritikan yang tidak membina.

Ramai penghuni-penghuni PPR mengalami masalah kewangan yang kritikal. Kerajaan pusat tidak memantau keadaan ini secara progressif dan hanya melakukanya di musim pilihanraya. Kebanyakkan penduduk PPR adalah berasal dari kampung setinggan yang berdekatan. Ada yang daif, susah, melarat dan tertindas oleh ekonomi yang menekan.

Mereka yang tinggal berpuluh tahun di setinggan kini menetap pula di PPR. Bayaran bulanan yang dikenakan adalah murah berbanding kadar sewa di sekitar kawasan tersebut. Tetapi bagi warga tua yang sudah tidak bekerja, bagi warga yang mempunyai masalah kesihatan dan warga yang tidak mempunyai pendapatan tetap, bayaran tersebut masih menjadi bebanan terhadap mereka.

Dengan langkahan terbaru ini, diharap sedikit sebanyak dapat membantu rakyat daif yang terhimpit dek kemajuan yang tidak selaras dengan taraf kehidupan.

Syabas sekali lagi saya ucapkan kepada Kerajaan Selangor. Merakyatkan Ekonomi, Merakyatkan Kerajaan.

Tuesday, November 11, 2008

Kerajaan Maya Blogospera

Kerajaan Maya (KeMaya)

Penubuhan Kerajaan Maya oleh para bloggers berhaluan RAKYAT adalah sesuatu yang sangat dinanti-nanti. Tahniah kepada MSK kerana menjadi pelopor dalam gerakan penubuhan sebuah ‘council’ non-partisan ini.

Buat masa ini, kita boleh mula untuk pengstrukturan peringkat negeri dan kebangsaan.

Kita akan usahakan Kerajaan Maya ini (Atau saya cadangkan Pertubuhan KeMaya) menjadi sebuah pertubuhan blogger yang sah dan diiktiraf oleh kerajaan. Boleh bertindak sebagai badan yang memantau pergerakan kerajaan yang memerintah dan menjadi pusat aduan alternatif.

Seperti yang kita sedia maklum, saluran untuk sampai kepada peringkat atasan penuh dengan BIROKRASI. Oleh demikian, kewujudan Kerajaan Maya bersama satu saluran aduan alternatif ini sangat sesuai untuk keadaan politik dwi-parti masakini.

Saya yakin pertubuhan ini bukan untuk mana-mana parti tetapi penubuhan Kerajaan Maya ini adalah terus-menerus untuk rakyat marhein. Seharusnya segala aktiviti dan isu akan menjadi TELUS kerana kapasiti blogospera yang meluas.


Berikut adalah link kepada 'founder' dan penggerak idea merakyatkan kerajaan bersama komen-komen yang penuh idea. Ia disampaikan dalam bentuk fiksyen, uniq sekali ;

Polifiksyen: Kerajaan Maya 1

Polifiksyen: Kerajaan Maya 2


Monday, November 10, 2008

Tompek Den Ekau Kolahi, UMNO Tak Guno !


Bak kata Husin Lempoyang, "Siapa biaso dengan orang Nogori dan Melako akan sodar mereko memang seronok dibuek kawan. Pandai borak, kaki bocerito dan copek mesro. Mereka bule melawak, konokan orang dan sporting bila dikonokan."

Memang benar sekali, orang nogori senang dibawak berkawan. Tidak dapat dinafikan dengan fakta sains sekalipun, orang nogori mudah mesra dan sporting.

Sebagai salah seorang anak nogori, saya terpanggil untuk mengulas isu yang agak memalukan ini. Jika diikutkan, kita memang tak peduli sangat tentang apa yang berlaku dalam masyarakat UMNO tambahan pula sekarang ini, UMNO semakin nazak dengan pelbagai insiden di peringkat akar umbi. Apatah lagi di peringkat tertinggi.

Tetapi oleh sebab peristiwa yang seumpama WWE berlaku di Seremban, anak-anak nogori yang lain sedikit-sebanyak terkena tempiasnya. Kawan-kawan sepejabat pun dah mula kenen-kenen. Perkataan-perkataan seperti MIC dan Hindraf begitu synonim untuk dikaitkan dengan apa yang telah berlaku.

Lantaklah, itu orang UMNO yang makin terdesak dan makin menjadi-jadi. Bezanya ia terjadi di Negeri Sembilan.

Kita di Pakatan Rakyat harus mengambil iktibar dan kembali mengukuhkan parti ke tahap yang lebih jitu. Kita harus mematri penyatuan di antara komponen Pakatan Rakyat dan kita juga harus bersedia untuk menjadi sebuah wadah yang diterima oleh semua peringkat masyarakat.

Mentaliti harus diubah, kita bukan parti keduitan. Pakatan Rakyat adalah parti untuk rakyat dan apabila diberi mandat menjadi kerajaan kelak, pastikan kerajaan itu adalah kerajaan untuk rakyat. Pastikan pengorbanan setiap rakyat ke arah reformasi ini berbaloi.

Otak UMNO Dalam Pakatan Rakyat

Reformasi itu harus dimulakan dalam diri setiap insan yang inginkan perubahan. Aspek-aspek perubahan itu relatif dengan apa yang kita mahukan dalam kehidupan ini. Ikuti artikel berikut;

Oleh Hishamuddin Rais

Hegemoni ketuanan Melayu yang disebarkan oleh United Malays National Organisation kelihatan telah dapat memerangkap dan menjaring fikrah sebahagian ahli PKR.

Ketuanan Melayu ini juga "mencelarukan pandangan agama" sebahagian anggota-anggota PAS. Ketuanan Melayu ini juga memperlihatkan pandangan cetek dan cauvanis sebahagian ahli DAP.

Kelemahan ini jelas terpampang dalam kes pelantikan pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Pelantikan ini telah mencarikkan kulit ahli-ahli PKR, PAS dan kulit ahli DAP sehingga menampakkan kemelayuan, kecinaan dan keislaman mereka yang jumud lagi pencong.

Semua ini membuktikan bahawa falsafah ketuanan rakyat yang diajukan oleh Pakatan Rakyat masih belum difahami untuk dihayati secara mendalam.

Ketuanan rakyat ialah falsafah yang tidak menobatkan Melayu, Islam, Cina, India, Kadazan, Dayak atau Melanau. Ketuanan rakyat tidak berpaksikan bangsa atau agama. Ketuanan rakyat melihat keupayaan individu. Ketuanan rakyat melihat keperluan individu. Ketuanan Rakyat mengungguli dan menobatkan seseorang bukan kerana seseorang ini Melayu, Islam, Cina, India, Kadazan atau apa sahaja.

Ketuanan rakyat mengajukan dasar membela kepentingan dan keperluan satu-satu kumpulan baik Melayu, baik Islam, baik Cina atau India. Semua bangsa dan semua agama akan dibantu jika mereka memerlukan bantuan. Wajib dan perlu dibantu bukan berasaskan Melayu, Islam, Cina, India, Kadazan – tetapi berasaskan yang paling layak mendapat bantuan.

Ketuanan rakyat menobatkan keupayaan, kejaguhan dan fikrah individu. Ketuanan rakyat mengajukan dasar meritokrasi.

Kita melihat selama 50 tahun bagaimana dasar ketuanan Melayu telah memporak-perandakan lembaga-lembaga asas yang menjadi tiang pasak kewujudan negara kita ini. Lihat bagaimana ketuanan Melayu telah memerosotkan lembaga-lembaga keilmuan – dari sekolah rendah hingga ke universiti, semuanya merosot.

Atas dasar hendak memperbanyak pelajar Melayu akhirnya sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti kita lingkup. Tahun demi tahun tahap pembelajaran kita merosot. Semua ini kerana dasar hendak meramaikan Melayu ke pusat pengajian tinggi. Hasilnya ramai Melayu dapat belajar tapi nilai ilmunya di bawah sifar.

Melantik Melayu menjadi naib canselor tidak mencukupi. Cap Melayu tidak akan menjanjikan keunggulan ilmu. Keilmuan seseorang itu bukan kerana dia memiliki cap Melayu atau kerana dia ada cap Islam atau kerana dia ada cap Cina. Keilmuan individu wujud kerana individu itu berilmu.

Ketrampilan individu bukan kerana bangsa atau agamanya tetapi kerana keilmuan dan keupayaan fikrah individu itu.

Lihat bagaimana ketuanan Melayu telah meruntuhkan lembaga kehakiman negara ini. Atas dasar hendak menaikkan dan meramaikan Melayu di lembaga perundangan, hasilnya kita lihat bagaimana peguam dan hakim dalam mahkamah boleh dibeli dan dirasuah.

Apabila terjadi sedemikian, yang dinaikkan bukan ilmu dan keadilan. Yang dijadikan pedoman bukan prinsip undang-undang tetapi Melayu. Gejala ini bukan lagi satu rahsia. Semua warga sedar bahawa lembaga kehakiman kita boleh dibeli. Ertinya keadilan dalam negara kita ini bukan lagi berasaskan siapa yang betul dan siapa yang benar.

Apa yang sedang berlaku - lembaga kehakiman akan dilihat betul, benar dan menjadi adil jika ia Melayu atau Islam. Pandangan ini salah.

Keadilan dilahirkan bukan kerana Melayu, Islam, Cina atau Kadazan. Keadilan wujud kerana yang adil itu adalah yang berhak. Yang hak itu berasaskan undang-undang yang adil yang telah diwujudkan secara adil. Perlembagaan dan undang-undang diwujudkan untuk menobatkan keadilan, bukan untuk menobatkan Melayu, Islam, Cina, Kadazan atau India.

Dalam ketuanan rakyat, keadilan milik semua.

Melantik hakim kerana hakim itu seorang Melayu tidak akan menjamin keutuhan undang-undang dan keadilan. Melantik ketua PKNS kerana seseorang itu Islam, Cina atau Melayu tidak akan menjamin apa-apa. Terbukti selama 50 tahun ini gerombolan United Malays National Organisation telah mengagungkan slogan "hidup Melayu" dan "ketuanan Melayu". Hasilnya elek.

Selama 50 tahun gerombolan United Malays National Organisation telah juga melaung-laungankan keislaman gerombolan mereka. Hasilnya elek.

Lantikan pegawai PKNS yang dilakukan oleh kerajaan Selangor kerana susuk itu yang paling layak, yang paling berpengalaman. Bangsa, agama dan gender individu ini tidak diambil kira. Fikrah dan pengalaman susuk ini yang dipentingkan.

Ada pandangan dari satu jalur kabilah parti DAP yang pencong. Tidak dapat tidak masih terdapat sebahagian anggota DAP ini yang masih memiliki faham kecinaan yang tebal. Pandangan kecinaan ini sebenarnya tidak ada bezanya daripada kemelayuan gerombolan United Malays National Organisation. Carik kulit DAP-nya, maka muncullah kecinaannya.

Pandangan kecinaan ini juga wajib dilawan dan ditentang. Sama seperti kita menentang dan melawan sikap kemelayuan gerombolan United Malays National Organisation. Kemelayuan dan kecinaan ini buah kelapa berbeza dari tandan yang sama.

Kecinaan dan kemelayuan jenis ini adalah salah dan bertentangan dengan falsafah ketuanan rakyat.

Islam adalah agama yang tidak memandang warna kulit dan bangsa. Agama ini mengajukan falsafah kesamaan derajat sesama manusia. Justeru apabila ada satu jalur kabilah ahli-ahli PAS yang menentang pelantikan pegawai PKNS kerana pegawai ini bukan Islam atau kerana gendernya, maka amat jelas ia menunjukkan bahawa kefahamam ahli-ahli parti jenis Islam ini terhadap agama masih cetek dan amat-amat disangsikan.

Kumpulan Islam jenis ini selalu bertempik dan berkhutbah mengatakan bahawa Islam itu lengkap dan Islam itu sejagat. Islam itu tidak memandang agama atau bangsa. Cakar punya cakar, maka kelihatan kulit kemelayuannya jenis gerombolan United Malays National Organisation wujud dalam wajah Islamnya.

Justeru terbukti bahawa kumpulan Islam jenis ini bukan sahaja tidak menghayati kesejagatan Islam tetapi mereka juga tidak memahami falsafah dan konsep ketuanan rakyat yang berpedomankan meritokrasi. Meritokrasi bukan sahaja selari dengan pandangan Islam, malah meritokrasi diagung-agungkan oleh semua agama yang mengajukan kesempurnaan penganutnya.

Tidak ada agama yang meminta penganutnya memilih-milih kaum atau gender. Tidak ada agama yang mendiskriminasi individu kerana anutan agama atau kepercayaan atau kerana bangsa individu itu. Jika ada agama yang mendiskriminasi kerana alasan agama, kepercayaan, bangsa atau gender, maka pandangan agama ini salah dan wajib dilawan.

Agama muncul bukan untuk menekan manusia. Agama muncul bukan untuk menyusahkan manusia. Agama muncul untuk membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Kejulingan dan kepencongan pandangan daripada satu jalur kabilah PKR, DAP dan PAS ini dapat kita fahami. Kita tahu kenapa kabilah PKR ini memunculkan kulit Melayunya, kenapa kabilah PAS ini mencuak kulit tidak Islamnya, dan kenapa kabilah DAP memunculkan kulit kecinaannya.

Semua ini lahir kerana hegemoni budaya berfikir gerombolan United Malays National Organisation. Budaya hegemoni ini luas dan telah menakluki kesemua jalur dan lembaga budaya tanah air kita.

Kepencongan pandangan yang kita dengar daripada PKR, PAS dan DAP lahir kerana kumpulan ini sedang berfikir dan menghuraikan masalah dengan menggunakan kepala gerombolan United Malays National Organisation.

Dalam kepala mereka ada fikrah gerombolan United Malays National Organisation. Yang berbeza hanya mereka cuba memakai jubah, baju, seluar, songkok, ketayap, topi dan beret Pakatan Rakyat. Kulit mereka mungkin lain tetapi isinya masih didominasi oleh hegemoni gerombolan United Malays National Organisation.

Kumpulan dan kabilah yang memiliki jalur pemikiran seperti ini harus ditarbiah. Jika tidak ditarbiah, mereka akan memberatkan saku perjuangan Pakatan Rakyat. Mereka akan menjadi tunggul dan ranjau yang terus mengganggu kaki Pakatan Rakyat yang sedang bergerak untuk mendirikan Malaysia baru.

Dalam Malaysia baru, ketuanan rakyat akan dinobatkan. Dalam Malaysia baru, anak semua bangsa adalah sederajat dan serata. Anak semua bangsa memiliki hak yang sama.

Jika ada kabilah yang tidak bersetuju dengan ketuanan rakyat dan masih termimpi-mimpi ketuanan Melayu dengan memakai topeng baru - mereka wajib dikenal pasti untuk dibungkus oleh ombak sejarah ketuanan rakyat.

Friday, November 7, 2008

Perbicaraan Anwar Di Mahkamah Yang Sama !

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh didengar di mahkamah yang sama.

Keputusan itu diambil selepas ketua pembangkang dan penasihat PKR itu membantah kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

anwar sodomy 2 trial session court 100908 07Pada 10 September lalu, hari kes itu disebut, peguam mantan timbalan perdana menteri itu membantah permohonan pendakwaraya untuk memindahkan kes tersebut.

Peguam utamanya Sulaiman Abdullah berkata, mahkamah sesyen memenuhi semua keperluan untuk terus mendengar kes tersebut dan menegaskan bahawa hakim SM Komathy Suppiah layak mendengarnya.

Pada 7 Ogos lalu, Anwar mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. - Malaysiakini

edyes wrote:

Berita baik untuk seketika. Alhamdulillah

Tamparan Hebat Deklarasi Najib !

Oleh Khalid Jaafar


Semalam apabila dunia meraikan kemenangan Barrack Obama sebagai presiden baru Amerika Syarikat, rakyat Malaysia juga memperolehi sesuatu untuk mereka rayakan.

Peristiwa itu adalah kemenangan institusi Parlimen apabila pindaan belanjawan bernilai RM7 bilion ditolak. Belum pernah seorang timbalan perdana menteri dan juga menteri kewangan menerima tamparan sebegitu hebat dalam sejarah politik dan parlimen Malaysia.

Malangnya rakyat Malaysia tidak merayakannya kerana majoriti tidak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku kerana kegagalan media melaporkan sejarah yang dicipta oleh institusi ulung demokrasi kita.

Majoriti yang mengundi pada 8 Mac lalu merasakan mereka telah melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka dengan mencipta tsunami politik tetapi selepas itu tidak mengikuti apa yang berlaku di Dewan Rakyat dengan teliti dan memantau perilaku wakil-wakil rakyat yang mereka hantar ke Parlimen.

Persepsi umum adalah pembangkang tidak boleh berbuat apa-apa yang berkesan selagai mereka tidak dapat membentuk sebuah kerajaan baru.

Tetapi persepsi ini akan berubah dengan insiden yang berlaku semalam. Bagi saya, peristiwa itu suatu revolusi.

Tahniah perlu diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, ahli parlimen veteran Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) dan Khalid Samad (PAS-Shah Alam).

Tanpa kepetahan mereka berhujah, kefahaman mereka yang mendalam tentang peraturan mesyuarat, dan fanatisme mereka terhadap kedaulatan Parlimen, revolusi semalam tidak dapat dilancarkan.

Namun hujah-hujah yang dikemuka oleh barisan pembangkang semalam tetap akan tinggal sebagai satu peristiwa dalam rentetan drama kekecohan Dewan Rakyat sekiranya yang dipertua dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan timbalannya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri tidak mengambil pendirian yang bersejarah.

Tanpa ketegasan, dan tentunya keberanian mereka, Parlimen tidak akan menjadi parlimen yang baru semalam.

Dalam revolusi parlimen tersebut Datuk Seri Mohd Najib Razak menerima tamparan yang paling hebat. Ia belum pernah berlaku dalam sejarah politik dan parlimen Malaysia.

Menteri kewangan yang masih merayakan kemenangannya sebagai presiden Umno tanpa cabaran memaklumkan pakej rangsangan sebayak RM7 bilion dalam ucapan menggulung perbahasan belanjawan 2009.

Najib menggunakan ucapan penggulungannya itu untuk menyindir “mimpi” Anwar yang tidak kesampaian bagi membentuk kerajaan baru. Singgungan politik yang dibuat oleh timbalan perdana menteri itu bukanlah suatu yang baru.

Menjadi haknya untuk memasukkan unsur politik membelasah pembangkang dalam ucapannya. Tradisi mempolitikkan ucapan belanjawan bermula pada Tun Daim Zainuddin lagi dan sampai puncaknya ketika Anwar menjadi menteri kewangan.

Tetapi ada perbedaan perilaku parlimen Anwar dengan Najib sebagai menteri kewangan. Anwar, setelah membelasah pembangkang dalam ucapan belanjawannya, akan duduk mendengar dengan teliti hujah dan kritikan pembangkang terutamanya ucapan dari ketua pembangkang.

Dan dalam waktu penggulungan dan perbahasan, Anwar memberikan laluan untuk pembangkang mencelah dan menyoal. Tetapi Najib cuma datang ke Dewan Rakyat untuk memberi ucapan dan tidak memberikan laluan sama sekali bagi pembangkang untuk mencelah.

Maka apabila Anwar dalam sidang akhbarnya semalam membelasah timbalan perdana menteri sebagai “tidak memiliki keyakinan diri” kerana enggan berbahas, ia merupakan suatu yang sungguh serius.

Dan tuduhan tersebut akan membayangi Najib, sebagaimana skandal-skandal lain membayanginya, selagi menteri kewangan tersebut tidak merobah perilaku parlimennya.

Mengapakan Najib yang sudah begitu lama menjadi ahli parlimen, sekian tahun menjadi menteri kanan, membuat suatu kesilapan yang begitu besar?

Apakah keseronokan beliau mewarisi takhta kepresidenan Umno menyebabkan beliau cuai dalam urusan Dewan Rakyat?

Saya melihat Najib dan pemimpin-pemimpin kanan BN masih lagi dalam situasi penafian selepas tsunami Mac lepas. BN sudah kehilangan majoriti dua pertiga tetapi beliau masih lagi terperangkap dalam bayangan majoriti dua pertiga.

Selama ini menteri-menteri BN hanya melihat Dewan Rakyat sebagai rubber stamp, sekadar satu formaliti untuk meluluskan apa yang telah diputuskan oleh eksekutif.

Tidak terbayang bagi mereka cadangan daripada kerajaan, apabila satu cadangan yang begitu penting seperti pindaan belanjawan berjumlah RM7 bilion boleh ditolak oleh parlimen.

Mereka tahu ada pemisahan kuasa antara badan legislatif dengan eksekutif, tetapi pada mereka pemisahan ini hanya pada peringkat teori, tetapi tidak pernah berlaku pada peringkat amalan.

Maka semalam apabila Dewan Rakyat mengumumkan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (iaitu belanjawan) masuk ke peringkat jawatankuasa,wakil-wakil pembangkang seorang demi seorang bangun menanyakan belanjawan yang mana satu hendak dibahaskan.

Belanjawan yang dibentangkan oleh perdana menteri sebagai menteri kewangan pada 29 Ogos lepas atau belanjawan yang telah dipinda oleh timbalannya sebagai menteri kewangan yang baru dengan tambahan sebanyak RM7 bilion?

Peraturan mesyuarat memerlukan cadangan pindaan itu dibentangkan dan sebelum dibentang, ia perlu diedarkan dua hari sebelumnya untuk memberikan masa yang cukup untuk ahli parlimen menelitinya.

Najib tidak mengikut prosedur ini, beliau hanya memberi ucapan dan dalam ucapan tersebut mengandungi cadangan pindaan.

Tanpa pindaan itu dibentangkan mengikut peraturan mesyuarat, ia tidak boleh dibahaskan dan tidak boleh diluluskan. Kelihatannya perkara ini hanya bersifat teknikal. Tetapi inilah tuntutan perlembagaan.

Sekiranya prosedur ini tidak ikuti, maka pembangkang boleh membawa isu ini ke mahkamah kerana telah berlaku suatu pelanggaran perlembagaan. Dan yang dipertua dewan dan timbalannya amat sedar perkara itu.

Sekiranya mereka membenarkan cadangan pindaan belanjawan Najib dibawakan kepada peringkat jawatankuasa, ia bermakna mereka yang membenarkan pelanggaran perlembagaan berlaku dalam majlis yang dipengerusikan mereka.

Tetapi media tidak dapat menangkap revolusi yang diciptakan oleh Pandikar Amin.

Akhbar Sinar Harian hanya melaporkan bahagian ucapan beliau: “pengumuman pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 billion tidak melanggar peraturan mesyuarat.”

Betul, pengumuman itu tidak melanggar peraturan. Tetapi RM7 bilion itu tidak boleh menjadi sebahagian daripada belanjawan 2009. Maka jumlah tersebut tidak boleh dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Mohd Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Kit Siang bangun untuk meminta penjelasan daripada speaker untuk tidak berlaku salah faham. Dalam penjelasannya, Pandikar Amin tidak mengatakan beliau menolak pindaan belanjawan yang diumumkan oleh Najib.

Beliau hanya menjelaskan dengan berulangkali bahawa belanjawan yang akan dibahaskan pada peringkat jawatankuasa adalah belanjawan yang dibentangkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam rumusannya, Anwar berkata pindaan belanjawaan yang diumumkan oleh timbalan perdana menteri hanyalah satu pandangan, ia tidak mempunyai kekuataan undang-undang.

Khalid Jaafar adalah pengarah eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD) dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR

Penahanan Raja Petra Bertentangan Dengan Perlembagaan!!!

Sila klik di sini untuk maklumat lanjut.

Perjuangan yang tidak sia-sia. Syabas kepada penggerak pembebasan Raja Petra !!

Sumber Tambahan oleh MSK

Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi memutuskan bahawa penahanan Raja Petra Kamarudin dibawah ISA adalah salah dan memerintahkan beliau dibebaskan dengan segera.

Hakim Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad berkata bahawa penahanan Raja Petra adalah bertentangan dengan perlembagaan.

Beliau berkata bahawa Menteri Dalam Negeri tidak mengikut prosedur dibawah Seksyen 8 dalam penahanan tersebut.

Hakim juga memerintahkan Raja Petra, editor Malaysia Today, dibawa kemahkamah sebelum pukul 4 petang ini untuk dibebaskan serta merta.

Raja Petra pada masa ini ditahan Di Kem Tahanan Kamunting, Perak.

Raja Petra di tangkap pada 12 September dan ditahan disatu lokasi rahsia sebelum dihantar ke Kamunting pada 23 Sept.

Najib Selamat, Nasib Anwar Petang Ini

Untuk makluman, kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didengar semula esok di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada jam 3 petang (7 November 2008).

Hakim Mahkamah Sesyen, SM Komathy Suppiah akan memutuskan samada kes tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi atau pun tidak.

PEJABAT DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

edyes wrote:

[Terdapat sedikit kesilapan dalam artikel ini dan ia telah diperbetulkan. Terima kasih kepada saudara cikundez]

Kita nantikan keputusan samada kes tersebut akan dibawa ke Mahkamah Tinggi atau hanya dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Najib akan mula bertapak sebagai PM dan akan terus berkuasa. Kita akan saksikan sedikit masa lagi di mana gula-gula akan dihulur kepada rakyat oleh Najib bagi menggambarkan betapa beliau adalah seorang PM yang baik.

Bagaimana pula dengan nasib seteru najib iaitu Anwar Ibrahim sekiranya kes ini 'berjaya' dibawa ke Mahkamah Tinggi? Sudah tentu Anwar disumbat habis-habisan bagi menjayakan kerjaya Najib sebagai PM untuk beberapa penggal.

Ingatlah, perjuangan ini masih belum tamat walaupun jika Anwar gugur ke Sg Buluh. Kita akan tetap memastikan kerajaan yang menindas rakyat dan merompak khazanah negara bakal tersungkur di PRU akan datang.

Salam Reformasi

Wednesday, November 5, 2008

Inikah Agenda Melayu yang Dibawa Oleh Najib ?


Agenda Melayu oleh Najib? Menarik untuk ditimbang-tara.

oleh sabahdaily

" Bakal Perdana Menteri sibuk menerang kenyataannya mengenai menghapuskan secara beransur-ansur unsur-unsur DEB. Datuk Najib kata DEB akan dihapuskan terus apabila orang Melayu sudah boleh berdikari sepenuh seperti kaum lain dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata , beliau akan memperjuangkan agenda Melayu dan katanya lagi jangan ada sesiapa yang berada dalam dewan atau di luar dewan mempertikaikan perjuangannya untuk agenda Melayu.

Hebat sungguh pemimpin kita ini !

Setelah 51 tahun Malaysia merdeka:-

1. Equiti 30% penyertaan orang Melayu dalam DEB tidak pernah tercapai. Bila akan tercapai entahlah ! Yang hanya mendapat keuntungan dari DEB hanya segelintir kroni dari kalangan UMNOPUTRA.

2. Kuasa politik Melayu terancam apabila dilakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya oleh kerajaan UMNO

3. Biasiswa yang merupakan keistimewaan kepada orang Melayu telah ditukar menjadi pinjaman oleh Dr Mahathir dan disokong oleh Datuk Najib pemimpin UMNO.

4. Habis sahaja belajar beribu anak-anak Melayu automatik menjadi penghutang kerana agaknya dasar UMNO aialah menjadi generasi Melayu penghutang untuk mudah ditarik hidung.

5. Masih ramai orang Melayu menjual tanah di kampung-kampung tradisional kepada kaum bukan Melayu kerana perlukan duit untuk anak-sekolah, perbelanjaan hidup, baiki buat rumah baru dan pergi ke Mekah. Inilah mentality orang Melayu yang UMNO lahirkan. UMNO tak pernah diambil kesah. Sudah merdeka selama itupun orang Melayu masih terpaksa jual tanah untuk mendapat sedikit kesenangan. Dah tu apa yang UMNO tolongnya.

6. Banyak mana tanah-tanah rezab Melayu telah berkurangan dalam 51 tahun UMNO memerintah. Salah siapakah ini ? Salah PAS agaknya, UMNO parti pembela Melayu tak salah!!!

7. Bahas Melayu telah digersangkan oleh kerajaan UMNO dengan terlaksananya PPSMI.

8. Sebelum terlaksananya PPSMI golongan professional Melayu dalam pelbagai bidang telah melebihi 30%. Tetapi dengan terlaksananya PPSMI golongan professional Melayu akan merudum jauh dari 30 %.

9. Ramai anak-anak Melayu dari golongan miskin yang belajar di IPTS lintang pukang kehidupannya kerana PTPTN hanya untuk yuran pengajian sahaja. UMNO tidak pernah ambik kesah walaupun mereka kerap makan mee segera yang sudahpun kian mahal.

10. UMNO ajar orang Melayu berpolitiklah sampai berkelahi sama ada dalam bidang politik, ekonomi, persatuan belia termasuk juga dalam persatuan sukan,

11. Agaknya majority orang Melayu dalam negara hanya mempunyai simpanan wang berjumlah lebih kurang RM6 -7 ribu sahaja.

12. Anak-anak Melayu semakin menderita mundur dalam mata pelajaran sains, matematik dan agama Islam terutama di kawasan luar bandar. UMNO tak kisah.

13. Ramai anak-anak remaja Melayu melahirkan anak luar nikah dan banyak kes buang bayi. UMNO tak kisah.

14. Betapa ramainya anak-anak Melayu yang menganggur pada ketika ini. UMNO tak kisah sebaliknya UMNO menempelak mereka yang mengganggur sebagai pemalas dan tidak kreatif. Tetapi apabila sampai musim pilihanraya inilah yang akan menjadi alat untuk dipergunakan.

15. UMNO tidak suka membuat perancangan agar orang Melayu cepat kaya dan boleh berdikari kerana UMNO lebih suka orang yang miskin dan orang yang berhutang untuk dipergunakan.

16. UMNO mengaku dia adalah parti yang membela orang Melayu tetapi sebenarnya UMNOlah pembuli orang Melayu terutama kerajaan Melayu yang memerintah Kelantan, Trengganu dan mungkin dan Kedah. Kalau tidak percaya tanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan sempat juga kena buli sekejap ialah Tuan Guru Haji Abdul Hadi.

INILAH RASANYA ANTARA AGENDA PERJUANGAN MELAYU YANG AKAN DITERUSKAN OLEH DATUK NAJIB.

HIDUP MELAYU !!!!!!!!


Monday, November 3, 2008

Naib Presiden parti Gerakan Ditemui Mati !

SEREMBAN 3 Nov. – Naib Presiden parti Gerakan, Datuk Dr S. Vijayaratnam ditemui mati di hadapan kliniknya di bangunan Vijaya Mahal, Jalan Tunku Hassan di sini pagi ini.

Kejadian itu berlaku pada pukul 11.15 pagi ini ketika orang ramai terdengar dentuman berhampiran pejabatnya.

Ketika ini, polis masih menjalankan siasatan sama ada kejadian itu mempunyai unsur-unsur jenayah atau mangsa terjatuh dari bangunan empat tingkat tersebut. - Utusan

edyes wrote:

Bahaya nie !

Dah macam kat negara Asia Selatan.

Malaysiaku "Selamat, Aman dan Makmur"

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan